disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 15 April 2011

Mengimarahkan Masjid





“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” 
(At-Taubah: 18)



Mengimarahkan masjid bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan untuk memajukan ummah kearah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Sejak zaman Rasulullah lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Ia dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah, malah perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu serta pelbagai lagi.

Bangunan masjid pada zaman nabi dulu juga tidaklah sehebat dan secanggih masjid pada zaman ini. Ia hanya berlantaikan tanah, manakala dinding dan atapnya daripada pelepah kurma. Namun, ia dapat memainkan peranan yang berkesan dan berfungsi dengan baik dan sempurna. Sungguhpun ia tidak hebat dari segi bangunannya tetapi para jemaahnya terdiri dari kalangan orang-orang yang hebat, kuat imannya dan tinggi semangat juangnya.

Hebatnya masjid dan ummahnya pada zaman nabi disebabkan ia berfungsi dengan betul. Kegiatan ekonomi juga bermula dari masjid, di sinilah Baitulmal dibentuk, tempat menghimpun dana daripada orang-orang kaya yang kemudiannya diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan.

Daripada kegiatan yang dijalankan, umat Islam menjadi kuat dan teguh serta lahirlah tokoh-tokoh berjasa yang sehingga kini kita kenang dan sanjung, di antaranya Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan banyak lagi.

Kehebatan fungsi masjid pada zaman Rasulullah disebabkan beberapa faktor, di antaranya:

i. Tingkat kesedaran tinggi umat Islam dalam pegangan (iman) dan nilai-nilai ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.

ii. Pembina dan pengurus masjid mampu melaksanakan aktiviti masjid dengan keperluan masyarakat setempat dan status sosialnya.

iii. Wujudnya kesamaan cita-cita dan harapan antara pemerintah, pemimpin dan rakyatnya, khususnya antara pengurusan masjid, ustaz, khatib dan para jemaahnya.

Tiga faktor ini merupakan kunci kejayaan yang boleh dicapai sekira-

nya semua berniat ikhlas terhadap Allah untuk memajukan umat Islam.

Masjid yang kecil dan tidak cantik, tidak mendatangkan masalah, yang penting jemaahnya berhati besar, bercita-bercita, bersatu padu untuk memajukan ummah. Berbeza pada masa kini, bentuk fizikal masjid sahaja yang hebat tetapi jemaahnya tidak hebat.

Di negara kita masjid bukan sahaja termasuk dalam kategori hebat, besar, indah tetapi mahal pula harganya, cuma malangnya kehebatan itu tidak direfleksikan oleh kehebatan ummahnya.

Masjidnya hebat dan canggih tetapi ummahnya lalai dan lupa diri. Keimanan kita berada pada tahap yang rapuh dan lupa untuk memakmurkan masjid. Benarlah firman Tuhan dalam Surah at-Taubah ayat: 18 yang bermaksud: Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan tidak takut pada sesiapa pun selain pada Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk.

Kepentingan solat di masjid amat ditekankan oleh Allah dan Rasul-Nya. Penerangan dan peringatan mengenainya disebut dalam banyak ayat al-Quran dan pesan Rasulullah, di antara yang penting ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Menyempurnakan wuduk, mengajak orang ramai ke masjid, menunggu solat selepas solat, dapat membersihkan dosa-dosa. Sesiapa yang berulang alik ke masjid, sesungguhnya Allah menyediakan untuk mereka suatu tempat di syurga setiap kali mereka pergi dan balik.

Peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah boleh dijadikan iktibar menunjukkan betapa pentingnya solat di masjid. Seorang hamba Allah bernama Ibnu Ummu Maktum yang buta, selalu khuatir tentang keselamatan dirinya apabila keluar rumah untuk ke masjid kerana di Madinah ketika itu terdapat banyak serangga yang merbahaya dan perigi buta dalam perjalanan ke masjid.

Beliau berjumpa Rasulullah dan menceritakan keadaannya itu kepada Baginda: "Tidak adakah kelonggaran supaya aku boleh bersolat di rumah?". Baginda bertanya semula kepada Ummu Maktum: "Adakah kamu mendengar azan?" Ia menjawab: "Ya!".  Rasulullah pun bersabda: "Aku tidak mendapati sebarang kelonggaran untukmu".

Daripada peristiwa ini membuktikan betapa pentingnya solat di masjid kerana masjid didirikan untuk kita beribadat dan menjalankan aktiviti keagamaan yang lain. Kalau fungsi ini kita abaikan, maka yang rugi adalah umat Islam sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.