doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 17 Mei 2011

Penawar Jiwa, Ubat Gelisah

Seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.
Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?. 


Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa. Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.
Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.
Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.


Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).


Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah. Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.


Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang. Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.


Baginda bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).


Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.
Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.
Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).



Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud: "Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.


Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214).


Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya.
Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.


Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah s.w.t yang pasti mempunyai perancangan buat manusia.
Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan,


Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang. Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya, kita perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat redha menerima ketentuan yang Allah janjikan,
Bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran.


Redha dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul. Kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?
Orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah s.w.t dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah.
Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.


Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah," katanya.
Bebanan masalah tidak boleh disimpan dan ia perlu dibawa berbincang dengan mereka yang boleh menyelesaikannya.
Kadangkala kesusahan hati seseorang tidak digambarkan melalui riak wajahnya kerana mereka dilihat bersahaja. Sebab itu mereka lebih selesa memendam perasaan. Namun, itu bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah kerana dibimbangi ia akan memudaratkan diri sendiri.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan