disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 10 Mei 2011

Sumaiyyah : Hidup dan Mati Kerana Allah

Dia adalah wanita yang tabah dan menjadi contoh kepada wanita Islam lain bukan sahaja pada zaman nabi, malahan, sehingga kini, namanya disebut sebagai wanita pertama yang mati syahid di bumi Mekah. Dia mati demi menegakkan iman dan akidahnya terhadap Islam. Dia adalah Sumaiyyah binti Khaiyat yang merupakan isteri kepada Yasir bin Amin Al-Ansi dan juga ibu kepada Ammar bin Yasir.

Sumaiyyah bin Khaiyat adalah hamba perempuan kepada Abu Huzaifah bin al-Mughirah Abdullah bin Umar al-Ansi yang merupakan seorang pembesar Quraisy. Manakala suaminya pula bernama Yasir bin Amin Al-Ansi, seorang pendatang dari Yaman. Yasir juga dikenali sebagai Abu Ammar.

Sumaiyah dimerdekakan pada hari perkahwinannya dan tinggal bersama Huzaifah di bawah naungan Bani Makhzum.

Keluarga Yasir adalah di antara keluarga yang terawal memeluk Islam di Mekah ketika seruan dakwah baru sahaja di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Mereka terpaksa menempuh penderitaan dan penyeksaan daripada golongan musyrikin Mekah.

Bani Makhzum yang masih belum memeluk Islam ketika itu sangat marah apabila mengetahui keluarga Yasir memeluk Islam. Keluarga Yasir diseksa dengan pelbagai jenis seksaaan supaya mereka kembali kepada agama asal nenek moyang mereka yang menyembah berhala.

Sumaiyyah, Yasir dan Ammar telah diheret ke padang pasir dan dijemur di bawah pancaran matahari yang amat panas, mereka dipukul dan tidak diberi makan dan minum. Kaki dan tangan mereka diikat dengan rantai.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w lalu di tempat keluarga Yasir diseksa. Rasulullah s.a.w berkata, “Bersabarlah, wahai keluarga Yasir. Balasan untuk kamu adalah syurga.”

Kata-kata Rasulullah s.a.w itu telah menenangkan hati dan jiwa raga mereka, iman mereka jadi bertambah teguh walaupun mereka diseksa dengan kejam dan zalim oleh musyrikin daripada Bani Makhzum.

Pada suatu hari datanglah Abu Jahal ke tempat penyeksaan tersebut sambil menghina dan mencerca Sumaiyyah dan turut sama menyeksa Sumaiyyah. Abu Jahal memaksa Sumaiyah supaya meninggalkan Islam. Tetapi mereka menolaknya dan tetap beriman dengan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali akan meninggalkan Islam. Sumaiyah diikat di antara dua ekor unta.

Abu Jahal sangat marah dengan sikap Sumaiyyah yang tidak mahu tunduk dengan kemahuannya dan musyrikin Mekah. Abu Jahal pun mengambil lembing lalu menusukkan lembing tersebut di dada Sumaiyyah. Sumaiyyah pun gugur sebagai syahid pertama di bumi Mekah. Suaminya Yasir juga turut syahid kemudiannya.

Nama Sumaiyyah binti Khaiyat tercatat dalam sejarah Islam sebagai syahid pertama umat Islam yang mati kerana mempertahankan akidah dan keimanannya kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.