doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Sabtu, 11 Jun 2011

Solat Qasar Dan Jamak

Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan solat fardhu yang empat rakaat (Zuhur, Asar dan Isyak) menjadi dua rakaat sahaja. Solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan, dan perlu ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.

Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat qasar, harus juga solat jamak. Maksud solat jamak ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zuhur dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Solat Subuh tidak boleh dijamakkan.


Syarat-syarat solat qasar:
1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
2. Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.
3. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isyak sahaja, dan dilaksanakan secara tunai. Tidak dibolehkan qasar solat qada’ bagi solat yang ditinggalkan semasa musafir apabila telah tiba di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di masih dalam musafir.
4. Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
5. Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam (sempurna ).
6. Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
7. Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
8. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Solat Jamak terbahagi kepada dua:
1. Jamak Taqdim
2. Jamak Takkhir.

Solat Jamak Taqdim:
Jamak Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isyak pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini Jamak Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.

Syarat-syarat Jamak Taqdim:
1. Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya mendirikan dahulu solat Zuhur atau Maghrib yang dikira solat yang pertama, kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar atau Isyak yang dikira solat kedua.
2. Hendaklah diniatkan jamak pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.
3. Hendaklah berturut-turut (mu'alat) antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
4. Hendaklah berkekalan musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratulihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya apabila ia jadi mukim di antara dua solat itu.

Solat Jamak Takkhir:
Jamak Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar, atau solat Maghrib dan solat Isyak dilakukan dalam waktu Isyak. Dinamakan solat ini Jamak Takkhir kerana solat pertama yang telah tamat waktunya itu dibawa ke solat yang kedua.

Syarat-syarat Jamak Takkhir:
1. Hendaklah berniat Jamak Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama (umpamanya berniat Jamak Takkhir untuk solat Zuhur bersama solat Asar, sebelum tamat waktu Zuhur). Jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang kedua.
2. Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada’.

Huraian pengertian musafir:
Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah (60 batu), maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekali. Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.

Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi. Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.

Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jamak dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara jamak dan qasar. Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.

Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jamak/qasar.

Orang yang musafir kurang dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat sebagaimana biasa. Jika perjalanannya melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal mengerjakan solat jamak dan qasar.

Kemudahan solat jamak (jamak sahaja) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang biasa lecah dan becak lalu tidak kemampuan untuk datang berjemaah, dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat, di antara kedua solat, dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan