doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Ahad, 22 September 2013

Peranan AJK Masjid


Masjid adalah 'Rumah Allah' yang dibina untuk memenuhi semua keperluan kehidupan umat Islam. Kemakmuran sesebuah masjid lazimnya bergantung kepada kecekapan keseluruhan Jawatankuasa serta keprihatinan dan kerjasama ahli qariahnya. Pembangunan sesebuah masjid dapat dilaksanakan sekiranya kewangan diuruskan dengan berhemah oleh Jawatankuasa yang dilantik.

Wang tabung masjid hendaklah direkodkan perbelanjaan keluar masuknya dengan sempurna supaya pengurusan kewangan masjid dapat diuruskan dengan baik dan penuh amanah. Berapa pendapatan dan berapa telah dibelanja, bagaimana dibelanja dan berapa baki yang tinggal. Semua wang kutipan orang ramai atau dari mana-mana sumber perlu dilaporkan. Jangan ada satupun yang tertinggal.

Ingatlah, wang tabung masjid yang didermakan jemaah merupakan amanah yang perlu dipikul untuk menguruskan masjid. Gunakanlah wang sumbangan dan derma orang ramai ini untuk manfaat bersama demi memakmurkan masjid. Wang dari tabung masjid juga boleh digunakan bagi membaik pulih kerosakan serta menjaga kebersihan dan keceriaan.


Almarhum cg Awang
Mantan Setiausaha Masjid
Masjid Mukim Pdg Enggang

Sebagai AJK masjid, Pelbagaikanlah program-program ilmu gunakanlah wang tabung masjid untuk membiayai kegiatan keilmuan seperti mengadakan Kelas-kelas tuisyen anak-anak, kelas bahasa arab, kelas komputer, bimbingan UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan bebanan kewangan ibubapa. Eratkanlah ukhuwah dengan mengadakan gotong royong bagi memastikan kebersihan masjid khususnya tandas masjid dan kawasan sekitarnya terpelihara.

Inilah peranan AJK masjid bagi memanfaatkan kewangan masjid. Jadikanlah masjid tempat pergantungan ahli qariah untuk menyelesaikan masalah mereka. Ingatlah, setiap daripada kita bertanggungjawab mengurus hal ehwal masyarakat islam termasuk menguruskan masjid. Pengurusan masjid hendak lah diuruskan dengan baik terutamanya dalam urusan pengendalian kewangan masjid. Tunaikanlah amanah-amanah yang telah diberikan kepada kita dengan penuh kejujuran.

Seperti juga dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan, pelantikan AJK Masjid kita juga pun sepatutnya dipilih 2 tahun sekali. Ini bagi mengelakkan AJK sedia ada menjadi AJK terlalu lama. Ini juga untuk mengelak jika ada AJK mempunyai kepentingan peribadi. Tujuan kita sebagai AJK adalah mencari keredhaan Allah SWT, mengurus 'Rumah Allah' sebaik mungkin dengan penuh amanah.

Sifat amanah ini adalah merupakan lambang atau tanda bagi golongan orang beriman kepada Allah. Ketahuilah juga bahawa mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada kita adalah termasuk dalam golongan orang-orang munafik. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 27:




Yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Sabda Rasulullah S.A.W, berdasarkan kepada hadis yang telah diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah RA:


“Tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia tidak menepati dan apabila diberi sesuatu amanah dia khianat”.

AJK masjid bertanggungjawab dalam penjagaan dan pengurusan masjid. Ini kerana kita semua akan disoal di akhirat kelak terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab AJK untuk memastikan segala aspek dan keadaan di dalam masjid dijaga dan diuruskan dengan baik.

Bagi AJK masjid yang yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing atau rasa tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, maka mereka hendaklah memberi laluan kepada individu lain. Mungkin akan ada yang lebih layak dan mampu memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan. Sesungguhnya jawatan itu amanah dan ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat semua AJK dan petugas masjid yang terlebih dahulu meninggalkan kita semua.... semoga jasa dan pengorbanan mereka  dalam usaha meningkatkan syiar islam di bumi Padang Enggang ini diterima oleh Allah SWT….  dosa-dosa mereka pula diampunkan…. dan roh mereka ditempatkan bersama  roh mereka  yang beriman dan beramal soleh......Amiiin.

2 ulasan:

  1. Aslkm ... Kalau boleh adakan white board menunjukkan derma yg diterima basil kutipan setiap minggu ... Derma utk baik pulih

    BalasPadam
  2. وَعَلَيْكُمُ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
    InsyaAllah ambo akan kemukakan cadangan Tuan kepada Bendahari masjid selepas solat jumaat nanti…atau jika Tuan ada cadangan lain boleh saja menghubungi Bendahari , 011-10620190

    BalasPadam