disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 18 September 2013

Tanggungjawab kepada kedua Ibu Bapa

Dewasa ini terdapat ramai di kalangan masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab kepada kedua ibu bapa mereka Dan juga terdapat ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak mempedulikan nasib ibu bapa dan kurang prihatin terhadap kesusahan ibubapa mereka.

Ibu mengandungkan kita selama 9 bulan dengan penuh kepayahan sehingga kita dilahirkan, kita adalah makhluk yang sangat lemah sehingga kita terpaksa dibantu dan dibelai oleh ibu dan bapa dengan penuh kasih sayang. Atas rahmah dan kasih sayang jualah kita telah dipelihara dengan penuh kasih sayang ibu dan bapa sehingga kita menjadi dewasa. Maka dengan kesusahan  ibu dan bapa yang membesar kita, adalah menjadi kewajipan atas kita untuk mentaati mereka.

Firman Allah SWT:

                  

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”.
Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa kita, lebih lebih lagi terhadap seorang ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu lebih dari seorang bapa.


Hadis daripada Mu’awiyah bin Haidah Al-Qusyairi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling
patut untuk aku berbuat baik? Rasulullah s.a.w menjawab: ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa ? Rasulullah s.a.w : Ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab bapa Mu kemudian orang yang paling hampir dengan mu dan seterusnya”.
(Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut maksud hadis tersebut pengulangan lafaz ‘ibuMu’ menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah . Pengorbanan seorang ibu adalah lebih besar bermula daripada peringkat kehamilan , seterusnya proses kelahiran , kemudian proses membesar memerlukan satu tahap kesabaran dan kecekalan yang tinggi.

Justeru itu pengorbanan seorang ibu adalah satu pengorbanan yang tidak boleh ditandingi dan sebab itu Islam telah meletakkan penghormatan yang tinggi kepada ibu.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berjanji pada diri kita untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibubapa kita dan
tidak menyakiti hati mereka. Perbuatan menyakiti hati ibubapa adalah merupakan dosa yang cukup besar. Berjanjilah pada diri kita bahawa kita akan menjadi anak yang tidak mengecewakan harapan kedua ibu bapa kita dan sentiasa menjaga nama baik keluarga kita dan jauh sekali untuk menjatuhkan maruah keluarga.

Berdoalah untuk  kesejahteraan mereka dan sewajarnya kita meraikan mereka dengan sentiasa mengunjungi dan menziarahi mereka , hulurkanlah bantuan dan kewangan yang sepatutnya, bawalah mereka turut serta dalam aktiviti percutian kita, sentiasalah bertanya khabar dan prihatin tentang kesihatan mereka. Sebagai anak maka kita hendaklah sentiasa mendahulukan keutamaan ibu walaupun ketika itu ada yang juga yang perlukan perhatian seperti seorang isteri. Seorang suami seharusnya bijak mengatur tentang keutamaan tersebut dan jika isteri yang solehah pasti akan memahami tentang tuntutan tersebut.


Firman Allah SWT:
“Dan Hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana kasihan belas dan kasih sayang Mu dan Doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai tuhan kami cucurilah rahmat kepada kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”.


Firman Allah SWT lagi:


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Cuba kita imbas kembali sejarah ketika di Zaman Nabi s.a.w, maka kita akan teringat kisah seorang pemuda yang bernama Al-Qamah yang lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya. Maka apakah nasib Al Qamah ketika saat kematiannya sidang Jumaat sekalian sehingga Nabi s.a.w mengugut untuk membakar Al Qamah jika ibunya tidak memaaafkan kesalahan anaknya itu. Akhirnya selepas puas dipujuk, maka dengan penuh rasa kasih sayang ibu memaafkan Al Qamah dan Al Qamah dapat menghembuskan nafasnya dengan penuh tenteram.

Mahukah peristiwa tersebut terjadi kepada diri kita? Persoalan dan peristiwa ini seharusnya dijadikan pengajaran dan peringatan semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

Kita hendaklah sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka kerana jika kita menghitung tentang pengorbanan ibu bapa kita nescaya kita tidak mampu untuk membalas jasa mereka. Lantaran itu kita hanya mampu untuk mendoakan mereka semoga dibalas oleh Allah SWT segala jasa dan tenaga yang telah dicurahkan kepada kita. Oleh itu selalulah bermohon kepada Allah agar kita termasuk dalam golongan yang sentiasa bertaubat dan diberkati di dunia dan Akhirat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.