doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 25 September 2013

Video Para Jemaah Menunaikan Haji Di Mekah Pada Tahun 1953





Melihat video di atas, Pak Su kagum dengan semangat jemaah haji dari seluruh dunia yang menyahut seruan  ke Tanah Suci untuk menjalani ibadah haji.

Begitu juga dengan jemaah dari negara kita Malaysia. Mereka terpaksa membuat persediaan dari segi kewangan, rohani, jasmani dan juga kekuatan mental untuk menempuh keadaan yang serba kekurangan tambahan pula pemergian mereka mengambil masa yang lama. Mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga tetapi 'menyabung nyawa'  menaiki kapal dagang yang belayar dari Pulau Pinang menuju ke Tanah Suci. Perjalanan dengan kapal laut mengambil masa berbulan-bulan, jadi jemaah haji kena bawa bekalan makanan yang agak banyak seperti ikan kering,sambal daging, beras, kain baju, perkakas memasak dan lain-lain lagi. Jemaah haji tanpa mengira jantina, faktor usia maupun golongan kelainan upaya bersesak-sesak diatas kapal. Mereka tak mahu melepaskan peluang kesana walaupun terdedah dengan cuaca yang tidak menentu, keadaan dalam kapal yang serba kekurangan dan tahap penjagaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Ada Jemaah yang dapat kembali semula ke tanah air dengan selamat dan ada  yang terus menetap di Mekah. Ada juga Jemaah haji yang meninggal dunia di atas kapal. Jemaah haji yang meninggal dunia tadi jenazahnya akan disemadikankan ke dalam laut sama ada dalam perjalanan pergi mahupun perjalanan pulang. Menghadapi situasi sebegini tentulah amat menyayatkan hati.  

Saat yang paling sedih dan sayu apabila azan dilaungkan dan jemaah mula melangkah turun dari rumah untuk memulakan perjalanan mereka. Ada sanak saudara yang menangis kerana belum tentu dapat berjumpa lagi dengan jemaah yang pergi ke Mekah. Lambaian tangan  kepada  ahli keluarga dan rakan taulan yang mengiringi  pemergian mereka sebagai lambaian terakhir, seolah-olah pergi yang tak akan kembali lagi. Mungkin itulah sebabnya pemergian mereka ke Tanah Suci ditangisi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan