doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 30 Oktober 2013

KENANGAN BERSAMA AYAH DI HOSPITAL USM

26 Ogos 2013, Ayah mula mengadu sakit dibahagian perut. Rawatan telah diberikan samada secara moden maupun tradisional. Penyakitnya tidak juga berkurangan.

6 Oktober 2013, ayah dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ayah ditempatkan di katil 29 wad 2 Intan. Hasil daripada kajian , doktor telah mengesahkan ada batu dan jangkitan kuman di bahagian hempedunya.

Pada pagi khamis 10 Oktober 2013, ayah menerima rawatan awal dengan membuang cecair daripada perutnya. Alhamdullilah ayah lebih bertenaga. Walaubagaimanapun ayah masih kerap berulang alik ke tandas. Cucu-cuculah yang menyorong kerusi rodanya, memicit, menyuap makanan dan sebagainya. Shazwani, ieka, madihah, kak cik, nurul, arisya, amirul, syahira, izzati, azyyati, athirah, ikhwan, azeem dan syafiq. Mereka inilah yang bergilir-gilir menjaga ayah sepanjang 10 hari ayah berada dalam wad. Syukur, ayah dikurniakan cucu-cucu yang prihatin dan penyayang.


Keceriaan terpancar pada wajah ayah pada hari jumaat,sabtu dan ahad terutama apabila dikunjungi sanak saudara dan sahabat handai. Ayah kemudian mula bersungut untuk pulang berehat di rumah. Ada ketikanya beliau memberitahu doktor sakitnya sudah sembuh. Doktor hanya tersenyum memandang wajah ayah yang uzur dan tidak bertenaga. Ayah juga perlu dibantu dan dipapah untuk bangkit daripada tidur. 

Isnin 14 oktober 2013 @12.30 tengahari, ayah begitu gembira apabila doktor membenarkannya balik bercuti sempena Aidiladha. Kami sampai ke rumah jam 1.15 ptg. Kegembiraan terserlah di wajah ayah ketika diziarahi saudara mara. Ayah juga sempat makan ketupat dan beberapa kali menyampuk ketika kami sedang rancak berbual. 

12:00 tengah malam, ayah mengalami demam panas dan denyutan nadinya makin perlahan. Sekali lagi ayah dibawa ke HUSM. Rawatan kecemasan diberikan. Doktor dan jururawat amat teliti menjalankan tugas mereka, begitu juga dengan lain-lain staf yang bertugas pada malam itu. Terima kasih yang tak terhingga dari kami sekeluarga. Apabila keadaan ayah semakin pulih, mulalah ia memujuk dan merayu supaya sekali lagi dibawa pulang. ”sabarlah ayah...ayah perlu dirawat sehari dua lagi, nanti keadaan ayah baik barulah doktor benarkan untuk balik” kata salah seorang dari kami.

Pada jam 4:30 pagi, ayah ditemani anak dan cucu-cucunya ditolak dari Jabatan Kecemasan ke wad 2 Intan. Kali ini ayah ditempatkan di katil 19 yang berhampiran dengan meja doktor . Sebelum ini ayah ditempatkan di katil 11 dan 29. “ayah nak balik kerumah, ayah nak sembahyang tasbih...ayah nak sembahyang tahajjud” pintanya berulang kali. Kami adik beradik hanya mampu memandang satu sama lain.

Fajar Aidiladha 2013 menjelang, kami masih lagi berada di hospital. Sebahagian kami terpaksa pulang untuk melaksanakan Ibadah Qurban. Sepanjang Aidiladha ayah gembira dalam keletihan. Keceriaan jelas terbayang diwajah ayah apabila kami adik beradik bersama keluarga serta sanak saudara mengziarahi ayah. Ayah memperlihatkan sifat kebapaanya sepertimana yang dilakukannya waktu dia sihat. Ayah menadah tangan dan berdoa memohon kehadhrat Ilahi agar dimurahkan rezeki, memohon kesejahteraan, panjang umur, kuatkan iman dan taat menjalankan perintah Allah. Kami semua mengaminkan doa ayah, rupa-rupanya ini doa terakhir ayah bersama kami sebelum ayah tinggalkan kami buat selama-lamanya.


Isnin 15 oktober 2013 @ 11.00 malam kami adik beradik dan cucu-cucunya masih menemani ayah di hospital. Ayah telah dipindahkan ke wad 8 Selatan. Ayah kelihatan begitu tenang, memandang dan menyentuh kami. Ayah juga meminta kami membuka alat bantuan pernafasan yang dipakainya. Selepas beberapa patah bercakap kami memakaikannya semula. ”Buka....ayah nak minum nescafe susu” selepas menyedut minuman itu kami memakaikannya semula. Begitulah yang berlaku sepanjang malam. Petugas hospital menyuruh sebahagian daripada kami pulang dahulu datang 11 pagi esok. Kami terpaksa akur walaupun berat untuk kami melangkah.

16 Oktober 2013 @ 10:30 pagi hari raya kedua, cucunya iaitu Kak Shazwani dan Ieka yang menemani pada pagi itu menelefon memberitahu ayah tenat. Kami yang berada di rumah pada waktu itu bergegas ke hospital tetapi segalanya telah ditentukan oleh Nya. Ayah telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 11:05 pagi. 

Ayah dibawa pulang ke rumah untuk dimandikan dan dikafankan. Solat jenazah telah dilakukan di Masjid Mukim Padang Enggang. Ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jias, Kampung Wakaf Che Yeh selepas solat asar. Pusaranya berhampiran pusara emak dan saudara mara kami yang lain.




Ayah amat menjaga solat berjemaah, ayah tetap pergi ke masjid untuk solat  5 waktu berjemaah kecuali  ayah uzur. Kadang-kadang ayah disuruh jadi imam, ayah masih mampu melakukannya walaupun usia ayah mencecah 90 tahun.

Kini tiada lagi kedengaran suara ayah membaca Al-Quran yang jadi rutin baginya setiap hari, tiada lagi insan dalam keluarga kami yang istiqomah memberi salam kepada setiap saudara seislam yang beliau temui samaada di rumah, di masjid ataupun dimana-mana ….. segalanya telah tiada....yang tinggal hanyalah kenangan.


Begitulah perjalanan akhir ayah @ Paksu yang  menghabiskan sebahagian besar hidupnya mengimarahkan masjid bermula dari Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang sehingga sekarang melalui caranya yang tersendiri. Mudah-mudahan segala usahanya dikira sebagai amal jariah yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat.

Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya, setiap yang hidup pasti akan mati... Itu janji Allah, kami semua juga akan menyusul kemudian nanti.

Al-Fatihah buat:
Ayahnda tercinta Hj Deris bin Salleh (1924-2013)
Bonda tercinta Hajah Jah binti Hassan (1934-2008)
Kekanda tercinta Ismail bin Deris (1950-2007)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan