disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 7 November 2014

MASJID SULTAN YAHYA PETRA DINOBAT SEBAGAI JOHAN ANUGERAH MASJID MALAYSIA 2014


28 Ogos 2014 – Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2014 telah berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Anugerah tersebut julung kali diadakan bagi mengiktiraf masjid yang menunjukkan prestasi terbaik sebagai institusi kesatuan ummah dengan menampilkan dua kategori iaitu Masjid Kariah dan Masjid Daerah.

Masjid Sultan Yahya Petra, Machang dinobatkan sebagai Johan Masjid Daerah 2014 manakala Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu mendapat tempat Keempat Kategori Masjid Kariah.

Imam Tua Masjid Sultan Yahya Petra, Abd. Razak Husein menyifatkan kemenangan itu merupakan hasil semangat kesatuan dalam kalangan ahli jawatankuasa bagi mengimarahkan rumah ibadah itu.

Katanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah banyak menabur jasa untuk pembangunan Masjid Sultan Yahya Petra.

"Usaha pengimarahan bukan sahaja dilihat dari segi kuantiti jemaah yang hadir ke masjid tetapi nilai konsep itu, setakat mana ia menanam semangat beribadah kepada mereka," katanya.

Masjid Sultan Yahya Petra telah membawa pulang wang tunai RM100,000, sijil dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis yang turut dihadiri hampir 3,000 ulama dan umara dari seluruh negara.

Sebanyak 42 masjid di seluruh negara dinilai menggunakan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan empat kriteria iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran. Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah untuk tempat kedua sehingga kelima bagi setiap kategori kepada lapan masjid yang berjaya dan masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai antara RM5,000 hingga RM50,000.


Sumber: e-maik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.