doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 6 Mei 2016

SOLAT ISTISQA’ (MINTA HUJAN) - MASJID MUKIM PADANG ENGGANG


AJK Masjid Mukim Padang Enggang akan mengadakan solat Istisqa’ pada minggu depan sebagai ikhtiar memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan berikutan kemarau yang berpanjangan. Kelantan mencatatkan suhu tertinggi 38.9 darjah celcius pada 12 April 2016. keadaan ini telah menyebabkan kawasan sawah dan kebun kering kontang.

Sehubungan dengan itu, Imam Masjid Mukim Padang Enggang (Ustaz Haji Abdul Halim Mat Isa) sebelum menyampaikan khutbah jumaat pada hari ini, 06 hb May 2016 menjemput para jemaah sekelian khususnya anak mukim Padang Enggang - lelaki juga wanita samada tua ataupun muda supaya hadir ke majlis:

SOLAT ISTISQA’ (MINTA HUJAN)
TARIKH:  13HB MAY 2016 (JUMAAT)
MASA:  JAM 8 PAGI.
LOKASI:  DEPAN MASJID MUKIM PADANG ENGGANG.

Solat istisqa’ dan cara-cara mengerjakannya.
Solat Istisqa’ dua rakaat boleh dilakukan secara berjamaah. Bacaan dinyaringkan pada rakaat pertama dengan bacaan surah al-Fatehah dan surah al-A`la. Manakala pada rakaat kedua pula dibaca surah al-Fatihah dan surah al-Ghasiyah.

***Bacaan khutbah juga diharuskan dibaca samaada sebelum atau selepas solat. 

Selepas selesai solat, Jemaah semua disunatkan membalikkan baju atau kain sebaran di bahu dengan memakainya secara terbalik.
Hikmah disunat memakai secara terbalik adalah sebagai simbolik atau kesungguhan mereka yang hadhir mengerjakan solat Istisqa’ begitu mengharapkan semoga Allah SWT mengubah ujian kemarau ini dengan menurunkan hujan beserta dengan limpahan rezeki yang lebih berkat. Walaupun begitu muslimin dan muslimat juga disunatkan berdoa secara khusus setiap masa  samaada di masjid ataupun dimana-mana saja.

Cuaca yang panas dan berlarutan ini telah menganggu keselesaan kita semua. Ini adalah musibah dari Allah SWT untuk menguji kita… supaya kita sedar dari mana juga datangnya musibah ini dan kita juga harus ingat, dari mana pula datangnya nikmat yang banyak sebelum ini. Sudah terlalu lama kita hidup dalam penuh kenikmatan. Kita diberi kemudahan dan kesenangan dengan limpahan kemewahan dan kemurahan dalam kehidupan. Ada ketika ianya membuatkan kita terleka, lalai dan alpa kerana terlalu sibuk menikmati dan merebut nikmat duniawi. 

Sesungguhnya tidak ada yang lebih berkuasa yang mampu mengubah semua ini selain dari Tuhan Maha Esa yang menguasai dan mentadbir sekelian alam iaitu Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan