doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Isnin, 11 Julai 2016

Surah 23: Al-Mukminun (Golongan yang Beriman) - Saad Al Ghamdi








*Muqaddimah*

✏ Surah Al-Mu'minun

✏ Erti: Orang-Orang Yang Beriman

✏ Klasifikasi: Makkiyah

✏ Surah: ke-23

✏ Juzuk: ke-18

✏ Jumlah ayat : 118 ayat

✏ Bahasa Arab: ٱلْمُؤْمِنُون

✏ Dinamakan Al-Mu'minun, kerana permulaan ayat ini menerangkan bagaimana seharusnya sifat-sifat orang mukmin yang menyebabkan keberuntungan mereka di akhirat dan ketenteraman jiwa mereka di dunia. Demikian tingginya sifat-sifat itu, hingga ia telah menjadi akhlak bagi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.

🌱🍓🌱🍓🌱🍓🌱🍓🌱


أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk.
بِسْمِ ٱللهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

 🍄 Ayat 1-11 🍄 
 Sifat-sifat orang-orang yang beriman dan ganjaran kepada mereka ialah syurga Firdaus.

🍓 Ayat 1⃣
 *Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,*

 🌱 Dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa orang-orang yang beriman akan mendapat keuntungan, kebahagiaan dan kemenangan sekiranya mereka mempunyai sifat-sifat seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat seterusnya.

🍓  Ayat 2⃣ 
*(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya,*

 🌱 Sifat yang pertama yang perlu ada pada mereka ialah khusyuk dalam solat. 

🌱 ‘Ali ibnu Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata, yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang khusyuk" ialah orang-orang yang takut kepada Allah serta memiliki hati yang tenang ketika melaksanakan solat. Pendapat yang sama telah diutarakan oleh Mujahid, Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, dan Az-Zuhri. 

🌱 Al-Hasan Al-Basri berpendapat, kekhusyukan orang-orang yang beriman terletak pada hatinya sehingga mereka dapat menjaga pandangan mata serta merendahkan diri. Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang menumpukan perhatiannya pada solat dan mengosongkannya daripada hal-hal keduniaan. Dalam keadaan seperti ini barulah seseorang itu dapat merasakan ketenangan dan kenikmatan dalam solatnya, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam An-Nasa‘i, daripada Anas radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Diberikan kepadaku kecintaan terhadap wanita dan wangi-wangian, dan solat dijadikan untukku sebagai amalan yang paling menyenangkan."_*

 🍓 Ayat 3⃣ 
*dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna,*

🌱 Sifat yang kedua ialah mereka menjauhkan diri daripada melakukan hal-hal yang batil seperti syirik, maksiat dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak memberikan manfaat seperti dalam firman-Nya:

📖 *_".....dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya,"_*
[Surah Al-Furqan, 25:72]

🍓Ayat 4⃣ 
*dan orang-orang yang menunaikan zakat,*

🌱 Sifat yang ketiga ialah mereka menunaikan zakat berupa harta benda yang bergerak seperti haiwan-haiwan ternakan dan harta benda yang diam seperti mata wang (emas dan perak), biji-bijian serta buah-buahan. Dengan menunaikan zakat, mereka menyucikan jiwa sebagaimana firman-firman Allah:

📖 *_".....dan tunaikanlah haknya pada hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin)....."_*
[Surah Al-An‘am, 6:141]

📖 *_"Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)....."_*
[Surah At-Taubah, 9:103]

🍓Ayat 5⃣ 
*dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,*

🍓 Ayat 6⃣ 
*kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak terceIa.*

🍓Ayat 7⃣ 
*Barangsiapa yang mencari selain itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.*

 🌱 Sifat yang keempat ialah mereka memelihara kemaluan daripada yang haram sehingga tidak terjerumus dalam perkara-perkara yang dilarang oleh Allah baik dalam bentuk perzinaan mahupun homoseksual. Mereka hanya mendekati isteri-isteri yang dihalalkan oleh-Nya kepada mereka atau hamba sahaya perempuan yang dimiliki. Sesiapa yang melakukan perkara yang dihalalkan-Nya, tidak akan mendapat celaan dan dosa.

 🌱 Sebaliknya sesiapa yang melakukan selain yang telah Allah halalkan, dia termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim kerana telah melampaui batas yang telah ditetapkan oleh-Nya.

🍓 Ayat 8⃣ 
*Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.*

🌱 Sifat yang kelima iaitu apabila mereka diberikan kepercayaan, mereka tidak akan mengkhianatinya, bahkan menunaikan amanat itu kepada yang berhak. Apabila berjanji, mereka menepatinya. Gambaran sifat-sifat mereka berlawanan dengan sifat-sifat orang-orang munafik yang dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam:

📚 *_"Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu: Apabila berbicara, dia berdusta. Apabila berjanji, dia mungkiri dan apabila diberi amanah, dia khianati."_*
[Hadis riwayat Al-Bukhari] 

🍓 Ayat 9⃣ 
*dan orang-orang yang memelihara solatnya.*

🌱 Sifat yang keenam ialah mereka yang mengerjakan solat secara istiqamah dan sentiasa tepat pada waktunya, seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu, ketika beliau bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam:

📚 *_"Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling disukai Allah?" Baginda menjawab, "Mengerjakan solat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, "Berbakti kepada kedua orang tua." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, "Berjihad di jalan Allah.”_*

🌱 Allah Ta‘ala memulakan penjelasan sifat-sifat orang-orang yang beriman dalam surah ini dengan ibadah solat, kemudian mengakhirinya pula dengan penyebutan ibadah solat. Ini benar-benar menunjukkan keistimewaan ibadah solat.  

🍓 Ayat 1⃣0⃣ 
*Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,*

🍓 Ayat 1⃣1⃣ 
*(iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.*

 Itulah enam sifat orang-orang mukmin yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas yang dijanjikan oleh Allah syurga Firdaus kepada mereka. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_"Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kalian kerjakan."_*
[Surah Az-Zukhruf, 43:72]

🍄 Ayat 12 - 16 🍄 
Tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada proses penciptaan manusia.

🍓 Ayat 1⃣2⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah.*

🌱 Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala menceritakan permulaan kejadian manusia yang dibentuk daripada saripati tanah, iaitu Dia menciptakan Nabi Adam ‘alaihis salam daripada tanah liat kering yang berasal daripada lumpur hitam yang diberi bentuk sebagaimana firman-Nya:

📖 *_"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak."_*
[Surah Ar-Rum, 30:20]

🌱 Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abu Musa Al-Asy‘ari radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: 

📚 *_"Sesungguhnya Allah menciptakan Adam daripada segenggam tanah yang diambil daripada seluruh bahagian bumi, kemudian muncullah manusia dengan warna dan tabiat (masing-masing). Daripada merekalah muncul manusia yang berkulit merah, hitam, putih dan perpaduan antara warna-warna tersebut. Muncul pula manusia yang berperilaku jahat dan baik dan di antara keduanya."_*

🍓  Ayat 1⃣3⃣ 
*Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim).*

🌱 Allah Ta‘ala menjadikan keturunan Nabi Adam ‘alaihis salam daripada setitis air mani dan disimpan di tempat yang kukuh iaitu dalam rahim wanita. Firman-Nya:

📖 *_"Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani) kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim)."_*
[Surah Al-Mursalat, 77:20-21]

🌱 Air mani ialah air yang memancar keluar daripada tulang punggung lelaki dan daripada tulang dada wanita yang terletak antara tulang selangka dan tulang di bawah pusat.

🍓Ayat 1⃣4⃣ 
*Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.*

🌱 Daripada air mani Allah Ta‘ala menjadikannya segumpal darah dan kemudian menjadikannya segumpal daging yang tidak memiliki bentuk dan ukuran. Kemudian daripada segumpal daging tadi Dia membentuknya menjadi susuk tubuh yang mempunyai anggota-anggota badan seperti kepala, dua tangan dan dua kaki lengkap dengan tulang-tulang, otot-otot, dan urat-uratnya.

🌱 Kemudian Allah tiupkan ke dalam tubuhnya roh, sehingga dia dapat bergerak hidup dan menjadi makhluk yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan dan pergerakan.

🌱 Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anhu yang mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Sesungguhnya seseorang di antara kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut (rahim) ibunya selama empat puluh hari sebagai nutfah (dalam bentuk air mani). Lalu dalam masa empat puluh hari (berikutnya), berubah menjadi ‘alaqah (segumpal darah). Kemudian empat puluh hari (berikutnya) berubah menjadi mudhghah (segumpal daging). Kemudian Allah mengutus malaikat yang diperintahkan untuk meniupkan roh ke dalam tubuhnya seraya menuliskan empat perkara, iaitu tentang rezekinya, ajalnya, dan amal perbuatannya, serta ketentuannya sama ada dia termasuk orang yang celaka atau orang yang bahagia. Demi Allah yang tidak ada Ilah yang berhak diibadahi selain Dia, sesungguhnya salah seorang di antara kamu selalu beramal dengan amalan ahli syurga hingga tiada jarak antara dia dan syurga kecuali hanya satu hasta. Kemudian ketetapan terdahulu (daripada Allah bahawa dia mengakhiri perbuatannya dengan amalan ahli neraka), maka dia pun mengakhiri perbuatannya dengan amalan ahli neraka, maka dimasukkanlah dia ke dalamnya. Dan seseorang yang selalu beramal dengan amalan perbuatan ahli neraka, sehingga tiada jarak antara dirinya dengan neraka kecuali satu hasta sahaja. Kemudian ada ketetapan terdahulu (daripada Allah bahawa dia mengakhiri perbuatannya dengan perbuatan ahli syurga). Maka dia pun mengakhiri kehidupannya dengan amalan ahli syurga. Maka dimasukkanlah dia ke dalamnya."_*
[Hadis  ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim] 

 🌱 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyebutkan kekuasaan dan kelembutan-Nya dalam proses penciptaan manusia bermula daripada air mani (nutfah) kepada bentuk-bentuk yang lain sehingga menjadi manusia yang sempurna. Oleh itu Dia menyatakan bahawa Dia-lah Pencipta Yang Paling Baik. 

🍓 Ayat 1⃣5⃣ 
*Kemudian sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati.*

🍓Ayat 1⃣6⃣ 
*Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) pada hari kiamat.*

🌱 Allah Ta‘ala menegaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menempuh saat kematian seperti dalam firman-firman-Nya:

📖 *_"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati."_*
[Surah Az-Zumar, 39:30]

📖 *_"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh....."_*
[Surah An-Nisa', 4:78]

🌱 Setelah manusia dicipta dan dibiarkan hidup dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan-Nya, mereka akan dimatikan. Setelah itu, mereka akan dibangkitkan semula pada hari kiamat. Semua roh kembali kepada jasadnya masing-masing, lalu semua makhluk menjalani hisabnya, dan setiap orang yang beramal akan dibalas sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amalnya baik, maka balasannya baik, dan jika amalnya buruk, maka balasannya buruk pula. Firman Allah:

📖 *_"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu....."_*
[Surah ‘Ali Imran, 3:185]



🍄 Ayat 17 🍄 
Tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada penciptaan langit.

🍓 Ayat 1⃣7⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh buah jalan (tujuh buah langit), dan Kami tidaklah lalai terhadap ciptaan (Kami).*

🌱 Setelah Allah Ta‘ala menjelaskan proses penciptaan manusia dalam ayat-ayat yang lepas, Dia menyebutkan pula perihal penciptaan langit. 

🌱Allah seringkali membuat penjelasan tentang penciptaan langit dan bumi secara beriringan dengan penjelasan tentang proses penciptaan manusia sepertimana firman-Nya:

📖 _*"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia....."*_
[Surah Al-Mu'min/Ghafir, 40:57]

🌱 Mujahid mengatakan maksud "tujuh jalan" ialah tujuh lapis langit sepertimana dalam firman-firman Allah:

📖 *_"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah....."_*
[Surah Al-Isra', 17:44]

📖 *_"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis?"_*
[Surah Nuh, 71:15]

🌱 Allah Maha Mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Allah mengetahui jumlah semua makhluk ciptaan-Nya dan tidak pernah lalai terhadap apa yang telah Dia ciptakan sepertimana firman-Nya:

📖 *_"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia, dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)."_*
[Surah Al-An‘am, 6:59]

🍄 Ayat 18 - 22 🍄 
Tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang terdapat pada hujan, tumbuh-tumbuhan, pepohonan dan binatang ternak.

🍓  Ayat 1⃣8⃣ 
*Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.*

🌱Allah menyebutkan pelbagai nikmat yang tidak terbatas dan tidak terhitung yang dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya.

🌱 Dia menurunkan air hujan dari langit dengan suatu ukuran yang sesuai dengan keperluan sama ada untuk pengairan, keperluan manusia dan juga makhluk-makhluk-Nya yang lain. Allah menjadikan air berada dalam perut bumi sebagai air yang tersimpan yang dapat diserap oleh benih dan biji-bijian yang berada di dalam tanah.

🌱 Seandainya Allah berkehendak untuk tidak menurunkan hujan ke atas bumi nescaya Dia berkuasa melakukannya. Sekiranya Dia hendak mengalihkan limpahan air itu ke tanah yang tandus dan gersang maka Dia berkuasa melakukannya. Begitu juga Dia berkuasa menjadikan air masin yang tidak dapat dijadikan minuman atau untuk mengairi tumbuh-tumbuhan.

🌱 Namun dengan rahmat-Nya, Dia menurunkan air hujan dari langit dengan rasa tawar dan menyegarkan. Allah mengatur sistem yang sempurna menjadikan sumber-sumber air di bumi. Dia mewujudkan mata air dan sungai yang bermanfaat untuk manusia, tanam-tanaman, binatang ternak dan lain-lain lagi.

🍓 Ayat 1⃣9⃣ 
*Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur, di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian daripada buah-buahan itu kamu makan.*

🍓Ayat 2⃣0⃣ 
*Dan pohon kayu yang keluar dari Tursina (pohon zaitun), yang menghasilkan minyak, dan menjadi kuah (rempah) bagi orang-orang yang makan.*

🌱 Air yang telah diturunkan dari langit itu, mewujudkan kebun-kebun dan taman-taman yang indah dan subur. Di dalam kebun-kebun tersebut terdapat pokok-pokok kurma, anggur dan juga pokok buah-buahan yang lain.

🌱 "Pohon kayu yang keluar dari Tursina" bermaksud pokok zaitun. Pokok-pokok zaitun banyak tumbuh di sekitar Gunung Sinai dan mempunyai banyak manfaat. Buahnya boleh dimakan dan minyaknya boleh digunakan sebagai bahan-bahan campuran ke dalam masakan.

🌱 Imam ‘Abd bin Humaid meriwayatkan di dalam musnad dan tafsirnya daripada ‘Umar bin Al-Khattab radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Basahi makananmu dengan minyak zaitun dan gunakan (juga) untuk meminyaki (rambut dan sebagainya) kerana sesungguhnya minyak tersebut berasal daripada sebuah pohon yang diberkati."_*

🍓Ayat 2⃣1⃣ 
*Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu daripada air susu yang ada dalam perutnya, dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebahagian daripadanya kamu makan.*

🍓 Ayat 2⃣2⃣ 
*Dan di atas punggung binatang-binatang ternak itu dan (juga) di atas perahu-perahu, kamu diangkut.*

🌱 Dalam ayat-ayat ini Allah memerintahkan manusia supaya memerhatikan beberapa manfaat yang terdapat pada binatang ternakan seperti susu, daging, kulit dan bulu. Selain itu binatang ternakan juga boleh digunakan sebagai alat pengangkutan seperti firman-Nya:

📖 *_"Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternakan untuk mereka, iaitu sebahagian daripada apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan. Dan mereka memperoleh padanya manfaat dan minuman. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?"_*
[Surah Yasin, 36:71-73]

 🍄 Ayat 23 - 25 🍄 
Kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya.

🍓 Ayat 2⃣3⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, "Hai kaumku, beribadahlah kepada Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?"*

🌱 Dalam ayat ini Allah menyebut tentang Nabi Nuh ‘alaihis salam menyeru kaumnya agar beribadah hanya kepada Allah dan tidak menyembah tuhan selain-Nya. Seterusnya baginda menegur kaumnya yang tidak takut dengan ancaman-Nya terhadap perbuatan mereka yang mempersekutukan-Nya dengan sembahan-sembahan yang lain.

🍓Ayat 2⃣4⃣  
*Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab, "Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.*

🌱 Para pembesar orang-orang kafir di kalangan kaum Nabi Nuh ‘alaihis salam mengatakan bahawa baginda ingin menguasai dan membimbing mereka. Lalu baginda mengaku sebagai utusan Allah. Dengan itu dapatlah baginda menyeru mereka supaya tidak menyembah selain-Nya, padahal baginda adalah seorang manusia biasa, sama seperti mereka.

🌱 Mereka mendakwa sekiranya Allah ingin mengutus seorang nabi, tentulah Dia mengutus malaikat dari sisi-Nya, bukan manusia. Mereka belum pernah mendengar seorang manusia pun daripada kalangan nenek moyang terdahulu yang menyeru mereka seperti ini.

🍓 Ayat 2⃣5⃣ 
*Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu.”*

🌱 Mereka mengatakan bahawa Nabi Nuh ‘alaihis salam adalah seorang yang terkena penyakit gila. Jika bukan demikian, tentu baginda tidak akan menghina tuhan-tuhan mereka. Sungguh tercela tanggapan orang-orang musyrik ini kerana menyangka kecelakaan akan menimpa baginda sedangkan merekalah yang akan mendapat azab dan kecelakaan.

🍄 Ayat 26 - 27 🍄 
Doa Nabi Nuh ‘alaihis salam kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam menghadapi kaumnya.

🍓 Ayat 2⃣6⃣ 
*Nuh berdoa, "Ya Rabbku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku."*

 🌱  Nabi Nuh ‘alaihis salam berdoa kepada Allah Ta‘ala agar baginda diberikan pertolongan bagi menghadapi kaumnya yang telah mendustakannya sepertimana dalam ayat yang lain:

📖 *_"Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, 'Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah (aku).'"_*
[Surah Al-Qamar, 54:10]

🍓Ayat 2⃣7⃣ 
*Lalu Kami wahyukan kepadanya, "Buatlah bahtera di bawah pengawasan dan petunjuk Kami, maka apabila perintah Kami telah datang dan tannur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang daripada tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di antara mereka. Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim, kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.*

🌱 Allah Ta‘ala telah mengabulkan doa Nabi Nuh ‘alaihis salam dan Dia mewahyukan kepada baginda agar membina sebuah bahtera iaitu sebuah kapal yang besar dengan pembuatan yang kuat dan kukuh dengan mendapat bimbingan-Nya.

🌱 Allah memberitahu baginda, tanda-tanda hampirnya kebinasaan kepada kaumnya ialah apabila tannur iaitu alat memasak roti yang diperbuat daripada tanah liat dan diletakkan di dalam tanah telah memancarkan air. Ketika itu baginda hendaklah bersegera membawa masuk daripada jenis manusia, haiwan dan sebagainya berpasangan dan juga keluarganya ke dalam kapalnya kecuali sesiapa yang telah ditetapkan-Nya untuk dibinasakan. 

🌱  Allah juga melarang baginda mengajak-Nya berbicara tentang orang-orang yang zalim yang telah ditakdirkan oleh-Nya akan binasa. Mereka adalah daripada kalangan keluarganya yang tidak beriman kepada Rabb Yang Esa, seperti anak dan isterinya. Hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

🌱 Allah memerintahkan baginda supaya jangan sekali-kali berasa kasihan dan sayang terhadap kaumnya ketika menyaksikan turunnya hujan yang lebat, lalu baginda memohon kepada-Nya agar azab itu ditangguhkan dengan sangkaan mereka akan beriman. Ini kerana sesungguhnya Dia telah menetapkan bahawa mereka adalah orang-orang yang akan ditenggelamkan disebabkan kezaliman dan kekafiran mereka. Kisah ini telah dihuraikan secara panjang lebar dalam tafsir surah Hud yang lalu.


🍄 Ayat 28 - 30 🍄 
Masih berkisar tentang doa Nabi Nuh ‘alaihis salam kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam menghadapi kaumnya.

🍓Ayat 2⃣8⃣ 
*Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah, "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim."*

🌱 Allah mengajar Nabi Nuh ‘alaihis salam dan orang-orang beriman supaya memuji-Nya apabila telah menaiki kapal kerana Dia telah menyelamatkan mereka daripada kaum yang zalim. Hal ini sebagai mengingati nikmat-nikmat daripada-Nya seperti firman-Nya:

📖 *_"Dan yang menciptakan semua berpasangan dan menjadikan kapal untukmu dan binatang ternak yang kamu tunggangi. Agar kamu duduk di atas belakangnya, kemudian kamu ingat nikmat Rabbmu apabila kamu telah duduk di atasnya dan agar kamu mengucapkan, 'Maha Suci (Allah) yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Rabb kami.'”_* 
[Surah Az-Zukhruf, 43:12-14]

 🌱 Baginda melaksanakan perintah ini, seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya:

📖 *_"Dan Nuh berkata, 'Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah pada waktu belayar dan berlabuhnya.....'"_* 
[Surah Hud, 11:41]

🍓  Ayat 2⃣9⃣ 
*Dan berdoalah, "Ya Rabbku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat."*

🌱 Mereka juga diajar berdoa dengan merendahkan diri agar ditempatkan di bumi yang diberkati kerana Allah adalah sebaik-baik Yang Memberi tempat buat mereka.

🍓Ayat 3⃣0⃣ 
*Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda (kebesaran Allah), dan sesungguhnya Kami menguji hamba-hamba (dengan diutusnya para rasul).*

🌱 Allah menyatakan bahawa pada peristiwa orang-orang beriman diselamatkan daripada azab-Nya dan orang-orang kafir dibinasakan-Nya itu benar-benar terdapat tanda-tanda dan bukti-bukti yang jelas menunjukkan kebenaran ajaran-Nya yang disampaikan oleh para nabi. Oleh itu menjadi kewajipan kepada setiap manusia untuk mengimani dan mentauhidkan-Nya dalam beribadah.

🌱 Allah menegaskan bahawa Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia benar-benar menguji hamba-hamba-Nya dengan mengutus para rasul sebelum azab ditimpakan kepada mereka. Ini supaya dapat dikenal pasti siapa di antara mereka yang benar-benar beriman. Dia akan memberikan balasan yang sesuai dengan amalan mereka. Ini menunjukkan keadilan dan kasih sayang-Nya.

🍄 Ayat 31- 41 🍄 
Kisah kaum ‘Ad atau kaum Thamud.

🍓 Ayat 3⃣1⃣ 
*Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka umat yang lain.*

 🌱 Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa setelah kaum Nabi Nuh ‘alaihis salam dibinasakan, Dia mencipta pula umat yang lain.

🍓  Ayat 3⃣2⃣ 
*Lalu Kami utus kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri (yang berkata), "Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada ilah (sembahan-sembahan) yang hak selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?*

🌱 Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengutuskan seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri untuk menyeru agar menyembah-Nya semata-mata. Dia-lah yang telah menciptakan dan memberi rezeki kepada mereka. Mereka sepatutnya berasa takut kepada-Nya dan gerun terhadap balasan yang akan diterima jika mereka mengingkari-Nya.

 🌱 Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan "mereka" dalam ayat ini ialah kaum ‘Ad, kerana merekalah yang berkuasa sesudah kaum Nabi Nuh ‘alaihis salam. Manakala ada pendapat yang lain mengatakan, mereka adalah kaum Thamud, kerana ada firman Allah yang mengatakan:

📖 *_"Maka mereka pun dimusnahkan oleh suara yang benar-benar menggemparkan....."_*
[Surah Al-Mu’minun, 23:41]

 🍓Ayat 3⃣3⃣ 
*Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui hari akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia, "(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan daripada apa yang kamu makan, dan meminum daripada apa yang kamu minum.*

 🌱 Malangnya pembesar-pembesar kafir yang telah diberikan kemewahan dengan keluasan rezeki oleh Allah Ta‘ala juga mendustakan hari kebangkitan. Mereka mengatakan rasul tersebut adalah seorang manusia yang sama sahaja seperti mereka. Oleh itu mereka tidak mahu mengikuti rasul daripada kalangan manusia. 

🍓Ayat 3⃣4⃣ 
*Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang merugi.*

 🌱 Mereka juga mengatakan sekiranya kaum mereka mengikuti kata-kata rasul tersebut, mereka akan rugi dalam kehidupan dan kedudukan mereka di dunia ini.

🍓 Ayat 3⃣5⃣ 
*Apakah dia menjanjikan kepada kamu sekalian, bahawa bila kamu telah mati dan telah menjadi tanah dan tulang-belulang kamu sesungguhnya akan dikeluarkan (dari kuburmu)?* 

  🍓 Ayat 3⃣6⃣ 
*Jauh, jauh sekali (daripada kebenaran) apa yang diancamkan kepada kalian itu,*

🌱 Pembesar-pembesar ini juga tidak percaya bahawa mereka akan dibangkitkan setelah hancur menjadi tanah kemudian hidup semula setelah dibangkitkan dari kubur. Bagi mereka amatlah mustahil dan sangat jauh daripada kebenaran tentang apa yang diperkatakan oleh utusan Allah itu.

🍓 Ayat 3⃣7⃣ 
*kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi,*

🌱 Orang-orang kafir mempercayai bahawa mereka hanya hidup di dunia. Ini kerana mereka yakin bahawa satu generasi mati, satu generasi yang selanjutnya pula akan hidup dan sekali-kali mereka tidak akan dibangkitkan lagi.

  🍓 Ayat 3⃣8⃣ 
*Dia tidak lain hanyalah seorang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, dan kami sekali-kali tidak akan beriman kepadanya."*

🌱 Mereka mendakwa bahawa semua berita yang disampaikan oleh pesuruh Allah tentang kerasulannya, keesaan-Nya, peringatan dan berita-berita tentang hari kiamat adalah satu pembohongan.

🍓Ayat 3⃣9⃣ 
*Rasul itu berdoa, "Ya Rabbku, tolonglah aku kerana mereka mendustakanku."*

🍓 Ayat 4⃣0⃣ 
*Allah berfirman, "Sebentar lagi pasti mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal."*

🌱 Oleh itu, rasul memohon pertolongan dan bantuan kepada Allah dalam menghadapi mereka, lalu Dia memperkenankan doanya.

 🌱 Allah memberi jaminan bahawa orang-orang kafir akan menyesal kerana menentang baginda dan mengingkari apa yang disampaikannya kepada mereka.

🍓 Ayat 4⃣1⃣ 
*Maka mereka pun dimusnahkan oleh suara yang benar-benar menggemparkan dan Kami jadikan mereka (sebagai) sampah banjir, maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu.*

🌱 Maka Allah mendatangkan azab berupa gabungan antara angin yang kencang lagi sangat kuat dan sangat dingin menyebabkan mereka semua mati dan binasa seperti buih banjir, iaitu sesuatu yang hina lagi tiada manfaatnya sama sekali. Firman Allah:

📖 *_"yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, sehingga mereka  tidak kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka....."_*
[Surah Al-Ahqaf, 46 :25]

🌱 Sememangnya mereka berhak mendapat azab ini disebabkan oleh kekafiran, keingkaran, dan sikap mereka yang selalu menentang utusan Allah. Firman-Nya:

📖 *_"Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri."_*
[Surah Az-Zukhruf, 43 :76]

🌱 Oleh itu kisah kebinasaan kaum-kaum ini hendaklah dijadikan pelajaran buat orang-orang yang mendustakan rasul mereka.



 🍄 Ayat 42 - 44 🍄 
 Penjelasan tentang umat-umat yang lain.

🍓 Ayat 4⃣2⃣ 
*Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka umat-umat yang lain.*

🌱 Setelah kehancuran kaum Nabi Hud ‘alaihis salam seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat yang lalu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menggantikan pula dengan kaum-kaum lain seperti kaum Nabi Saleh, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Lut dan kaum Nabi Syu‘aib ‘alaihimus salam. 

🍓Ayat 4⃣3⃣ 
*Tidak (dapat) suatu umat pun dapat mendahului ajalnya, dan tidak (dapat pula) mereka terlambat (daripada ajalnya itu).*

🌱 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa tidak ada satu umat pun yang dibinasakan itu dilambatkan atau dicepatkan ajalnya. Mereka dibinasakan sesuai dengan takdir yang ditetapkan oleh-Nya kepada mereka dalam Lauh Mahfuz.

🌱 Dia Maha Mengetahui ketetapan mereka sebelum mereka tercipta sebagai umat manusia yang hidup silih berganti daripada satu generasi ke satu generasi yang lain.

🍓 Ayat 4⃣4⃣ 
*Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) para rasul Kami berturut-turut. Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, maka Kami ikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Dan Kami jadikan mereka buah tutur (manusia), maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.*

🌱 Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma menyatakan maksud "Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) para rasul Kami berturut-turut" ialah sebahagian daripada mereka datang secara berturutan setelah kedatangan yang lainnya. Firman Allah:

📖 *_"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru), 'Sembahlah Allah dan jauhilah taghut itu' maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah, ada pula di antaranya orang-orang yang tetap dalam kesesatan....."_*
[Surah An-Nahl, 16:36]

🌱 Sebahagian besar daripada manusia mendustakan rasul-rasul tersebut sebagaimana firman Allah:

📖 *_"Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya."_*
[Surah Yasin, 36:30]

🌱Setiap kali satu umat mendustakan rasul-Nya dan menolak untuk bertaubat serta kembali kepada-Nya, Allah akan menghancurkan-Nya sebagaimana firman-Nya:

📖 *_"Dan berapa banyak kaum setelah Nuh yang telah Kami binasakan....."_*
[Surah Al-Isra', 17:17]

🌱 Kisah mereka menjadi bahan perbualan oleh generasi setelah mereka yang sering menyebut dan meriwayatkan keadaan mereka sebagaimana firman Allah:

📖 *_".....Maka Kami jadikan mereka bahan pembicaraan dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya....."_*
[Surah Saba', 34:19]

🌱 Dalam ayat ini terdapat ancaman keras kepada orang-orang Quraisy yang terus berada dalam kesyirikan, pendustaan dan penolakan terhadap-Nya. Sunnatullah (ketetapan Allah) telah berlaku buat mereka. Sesungguhnya Allah pasti akan menghancurkan orang-orang yang menentang dan zalim.

🍄 Ayat 45 - 50 🍄 
Kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dan Firaun.

 🍓 Ayat 4⃣5⃣ 
*Kemudian Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa tanda-tanda (kebesaran) Kami, dan bukti yang nyata,*

🍓Ayat 4⃣6⃣ 
*kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.*

🌱 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa Dia telah mengutus rasul-rasul-Nya iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimus salam dengan membawa hujah-hujah yang jelas dan tanda-tanda kekuasaan-Nya agar Firaun dan pengikut-pengikutnya mentauhidkan-Nya.

🌱 Walau bagaimanapun Firaun dan pengikut-pengikutnya tetap sombong dan enggan menerima dakwah baginda berdua.

🍓Ayat 4⃣7⃣ 
*Dan mereka berkata, “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”*

🌱 Mereka mengatakan bagaimana mungkin mereka patut mengikuti perintah dan larangan Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimus salam, sedangkan mereka berdua terdiri daripada manusia biasa seperti mereka. Malah mereka berdua daripada kaum Bani Israil iaitu kaum yang menghambakan diri kepada mereka dan tunduk serta patuh kepada arahan dan larangan mereka.

🍓 Ayat 4⃣8⃣ 
*Maka (tetaplah) mereka mendustakan kedua-duanya, sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.*

🌱 Oleh sebab mereka telah mendustakan risalah iman dan tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimas salam, maka akibatnya ialah kebinasaan. Allah telah menghancurkan mereka iaitu dengan menenggelamkan semuanya ke dalam lautan.

🍓 Ayat 4⃣9⃣ 
*Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al-Kitab (Taurat) kepada Musa, agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.*

🌱Allah menyatakan setelah dihancurkan Firaun beserta kaumnya dan diselamatkan-Nya Bani Israil yang mengikuti Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimus salam, Nabi Musa ‘alaihis salam diberikan-Nya kitab Taurat supaya Bani Israil diberikan hidayah. Kitab ini mengandungi petunjuk buat mereka dan merupakan nikmat-Nya serta tanda-tanda kebesaran-Nya kepada makhluk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Firman-Nya:

📖 *_"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat."_*
[Surah Al-Qasas, 28:43]

 🍄 Ayat 50 🍄 
Penjelasan tentang Nabi ‘Isa ‘alaihis salam dan Maryam.

🍓 Ayat 5⃣0⃣ 
*Dan telah Kami jadikan (‘Isa) putera Maryam beserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.*

🌱Allah menyatakan bahawa Dia telah menjadikan Nabi ‘Isa ‘alaihis salam dan ibunya sebagai suatu bukti yang jelas terhadap kekuasaan, ilmu dan kebijaksanaan-Nya. Dia berkuasa mencipta Nabi ‘Isa ‘alaihis salam daripada seorang wanita tanpa lelaki. Peristiwa ini sepatutnya diimani dan menjadikan seseorang beribadah dan mentauhidkan-Nya.

🌱 Dia juga telah menempatkan Maryam dan Nabi ‘Isa ‘alaihis salam di bukit yang tinggi lagi datar yang banyak terdapat padang-padang rumput serta sumber-sumber air bersih.

🌱Adh-Dhahhak daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma menyatakan maksud "di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir" ialah dataran tinggi yang sangat baik bagi tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan. Pendapat ini juga diungkapkan oleh Mujahid, ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair dan Qatadah. Adh-Dhahhak dan Qatadah juga berpendapat tempat itu adalah Baitul Maqdis.

🌱 Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma mengatakan maksud "air yang mengalir" ialah sungai seperti dalam firman Allah:

📖 *_"Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah, 'Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Rabbmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.'"_*
[Surah Maryam, 19:24]

🍄 Ayat 51 - 56 🍄 
Perintah makan makanan yang halal dan beramal soleh, agama seluruh Nabi ‘alaihimus salam adalah agama tauhid, dan penjelasan tentang ancaman terhadap orang-orang yang berpecah belah. 

🍓Ayat 5⃣1⃣ 
*Wahai para rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.*

🌱 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hamba-Nya iaitu para rasul agar makan makanan yang baik (halal) dan melakukan amal soleh. Hal ini menunjukkan bahawa makanan yang halal dapat membantu seseorang itu melakukan amalan soleh. Oleh itu para nabi mengerjakan perintah ini dengan sebaik-baiknya. Mereka menggabungkan semua kebaikan, sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan, tunjuk ajar dan juga nasihat. 

🌱 Dalam kitab Sahih Muslim, kitab Jami' At-Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad, terdapat hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, dia mengatakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"'Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik (halal) sahaja. Sesungguhnya Dia telah memerintahkan kepada kaum mukminin seperti apa yang telah diperintahkan-Nya kepada para rasul-(Nya).' Allah Ta‘ala berfirman: 'Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.' Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman: 'Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.'_* [Surah Al-Baqarah, 2:172]

*_Selanjutnya baginda menceritakan kisah seseorang yang sekian lama menempuh perjalanan dengan rambut yang kusut dan tubuh penuh dengan debu. Sementara makanan yang dimakannya haram, minuman yang diteguknya haram dan pakaian yang dikenakannya pun haram, (tegasnya) diberi makan dengan sesuatu yang haram. Dia pun menadahkan kedua belah tangannya ke langit seraya berdoa, 'Wahai Rabbku! Wahai Rabbku!' Maka bagaimana mungkin doa yang dipanjatkannya itu dimakbulkan."_*

🌱 Allah Maha Mengetahui apa yang dikerjakan oleh para rasul dan Dia akan memberikan balasan terhadap amal-amal soleh yang mereka lakukan. 

🍓 Ayat 5⃣2⃣ 
*Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada-Ku.*

🌱 Allah Ta‘ala menyatakan bahawa agama para rasul iaitu agama Islam itu adalah agama yang satu. Agama ini adalah agama yang menyeru supaya menyembah semata-mata kepada-Nya dan tiada sekutu bagi-Nya. 

🌱 Dia juga mengatakan bahawa Dia-lah Rabb sekalian makhluk. Dia menguasai dan mentadbir segala urusan mereka. Oleh itu hendaklah mereka mencari keredhaan-Nya dengan mengerjakan perintah-Nya.

🍓 Ayat 5⃣3⃣ 
*Kemudian mereka (pengikut-pengikut Rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).*

🌱 Allah menyatakan para pengikut rasul-rasul telah memecah belahkan agama mereka sendiri menjadi beberapa kelompok. 

🌱 Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Ketahuilah bahawa Ahli Kitab sebelum kamu telah berpecah menjadi tujuh puluh dua agama dan umat ini akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga, yang tujuh puluh dua akan masuk ke dalam neraka, sedangkan yang akan masuk ke dalam syurga hanya satu iaitu Al-Jama‘ah."_*

🌱 At-Tarmizi juga meriwayatkan hadis yang sama seperti di atas dengan tambahan:

📚 *_"Para sahabat bertanya, 'Siapakah itu wahai Rasullullah?' Baginda menjawab, 'Yang berada atas jalanku dan para sahabatku.'"_*

🌱 Golongan yang berpecah ini berbeza pendapat dalam agama mereka sehingga membentuk beberapa aliran fahaman yang sangat banyak. Mereka berasa bangga dengan kesesatan mereka kerana menyangka bahawa pihak mereka berada pada jalan yang benar.

🍓Ayat 5⃣4⃣ 
*Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sampai suatu waktu.*

🌱 Allah menakut-nakutkan dan mengancam mereka yang sesat ini dengan menyuruh para rasul meninggalkan mereka hingga sampai kepada waktu mereka dibinasakan. Hal ini sama seperti yang disebutkan oleh firman-firman-Nya:

📖 *_"Kerana itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir. Berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu."_*
[Surah At-Tariq, 86:17]

📖 *_"Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka)."_*
[Surah Al-Hijr, 15:3]

🍓Ayat 5⃣5⃣ 
*Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),* 

🍓Ayat 5⃣6⃣ 
*Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.*

🌱 Ayat-ayat di atas merupakan sindiran kepada golongan orang-orang kafir yang terpedaya dengan banyaknya harta benda dan anak-anak. Mereka menyangka bahawa anugerah yang diberikan-Nya kepada mereka itu merupakan petanda bahawa mereka telah diberikan kemuliaan dan penghormatan. Amatlah jauh sekali apa yang mereka sangkakan. Sebenarnya semua kesenangan dan kemewahan yang mereka peroleh adalah sebagai satu amaran dan istidraj iaitu penangguhan waktu daripada-Nya, sebagaimana firman-firman-Nya:

📖 *_"Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah bermaksud dengan itu (memberi harta benda dan anak-anak) adalah untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak mereka akan mati dalam keadaan kafir."_*
[Surah At-Taubah, 9:55]

📖 *_".....Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya dosa mereka semakin bertambah....."_*
[Surah Ali Imran, 3:178]

📖 *_"Maka serahkanlah (wahai Muhammad) kepada-Ku (urusannya) dan orang-orang yang mendustakan perkataan ini (Al-Qur'an). Kelak akan kami hukum mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) daripada arah yang tidak mereka ketahui, dan Aku memberi tangguh kepada mereka....."_*
[Surah Al-Qalam, 68:44 - 45]



🍄 Ayat 57- 61 🍄 
 Sifat-sifat pelaku kebaikan dan balasan buat mereka.

🍓Ayat 5⃣7⃣ 
*Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Rabb mereka,*

🌱 Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuji hamba-hamba-Nya yang beriman iaitu golongan yang sentiasa takut kepada-Nya. Meskipun mereka memiliki keimanan yang kukuh dan sentiasa melakukan perbuatan yang soleh, mereka begitu berhati-hati dan sentiasa berasa bimbang akan mendapat azab-Nya pada hari akhirat kelak.  

🌱 Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa sesungguhnya dalam diri orang-orang mukmin itu terdapat kebaikan dan rasa takut kepada Allah. Sebaliknya dalam diri orang-orang munafik pula terdapat keburukan dan rasa aman daripada azab-Nya.

🍓Ayat 5⃣8⃣ 
*dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Rabb mereka,*

🌱 Sikap kedua ialah mereka yakin dengan tanda-tanda kebesaran Allah sama ada tanda-tanda yang dapat dilihat pada kejadian alam semesta mahupun daripada ayat-ayat-Nya yang terdapat dalam Al-Qur'an, sebagaimana firman-Nya tentang Maryam:

📖 *_".....Dan dia (Maryam) membenarkan kalimat-kalimat Rabbnya dan kitab-kitab-Nya....."_*
[Surah At-Tahrim, 66:12]

🍓 Ayat 5⃣9⃣ 
*dan orang-orang yang tidak menyekutukan dengan Rabb mereka (sesuatu apa pun),*

🌱 Sifat yang ketiga ialah mereka tidak mempersekutukan-Nya sama ada pada Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan juga dalam beribadah kepada-Nya. Mereka mentauhidkan-Nya dan beribadah sesuai dengan syariat-Nya.

🍓 Ayat 6⃣0⃣ 
*dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka,*

🌱 Sifat keempat ialah mereka menunaikan semua hak dan kewajipan terhadap Allah. Mereka berasa takut kepada-Nya sekiranya mereka lalai dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Mereka juga bimbang segala kewajipan yang dilaksanakan itu tidak diterima oleh-Nya. 

🌱 Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha yang mengatakan bahawa beliau pernah bertanya:

📚 *_"Wahai Rasulullah, firman Allah: “Dan mereka yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati penuh rasa takut,” apakah yang dimaksudkan dengannya? Adakah seseorang yang mencuri, berzina, dan minum arak dalam keadaan takut kepada Allah?" Baginda menjawab: "Bukan, wahai puteri Abu Bakar, wahai puteri As-Siddiq! Yang dimaksudkan adalah orang-orang yang melaksanakan solat, puasa dan bersedekah seraya mereka berasa takut kepada Allah."_*

🍓Ayat 6⃣1⃣ 
*mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.*

🌱 Ayat ini merupakan berita gembira kepada orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat sebelum ini. Allah menyatakan merekalah orang-orang yang bersegera dan saling berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Oleh itu mereka akan memperoleh kebahagiaan dan kegembiraan di akhirat nanti iaitu syurga.

 🍄 Ayat 62 - 67 🍄 
Penjelasan tentang keadilan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan kesesatan orang-orang musyrik.

🍓 Ayat 6⃣2⃣ 
*Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.*

🌱 Allah Ta‘ala menceritakan keadilan dalam syariat-Nya terhadap hamba-hamba-Nya di dunia, bahawa Dia sama sekali tidak pernah membebankan seseorang pun melainkan menurut kesanggupannya. 

🌱 Pada hari kiamat kelak, Allah akan menghisab segala amalan yang tertulis rapi di dalam kitab catatan amalan masing-masing. Tidak ada sesuatu pun daripada amalan mereka yang tidak tercatat ataupun hilang. Mereka juga tidak akan dizalimi atau dirugikan sedikit pun daripada kebaikan yang telah dilakukan.

🍓 Ayat 6⃣3⃣ 
*Tetapi, hati mereka (orang-orang kafir) itu dalam kesesatan daripada (memahami kenyataan) ini, dan mereka (banyak mengerjakan) perbuatan-perbuatan (buruk) lain, yang mereka tetap mengerjakannya.*

🌱Hati orang-orang yang kufur penuh dengan kelalaian dan kesesatan daripada memahami Al-Qur'an yang diturunkan kepada rasul-Nya.

🌱 Muqatil bin Hayyan, As-Suddi dan ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam menyatakan maksud "dan mereka (banyak mengerjakan) perbuatan-perbuatan (buruk) lain, yang mereka tetap mengerjakannya" ialah telah dituliskan amal-amal buruk yang pasti mereka lakukan sebelum kematian mereka agar ketentuan azab daripada Rabb betul-betul terbukti kebenarannya.

🌱 Hal ini telah disebutkan dalam hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Demi Allah, yang tidak ada Rabb selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amal perbuatan ahli syurga hingga tidak ada jarak di antara dirinya dengan syurga kecuali satu hasta sahaja, namun catatan (takdir) mendahuluinya, lalu dia mengamalkan amalan penghuni neraka, dan dia pun memasukinya."_*

Na‘uzubillahi min zalik.

🍓Ayat 6⃣4⃣ 
*Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang hidup mewah di antara mereka, dengan serta-merta mereka memekik meminta tolong.*

🌱 Dalam ayat ini, Allah menyatakan apabila Dia menimpakan seksaan kepada orang-orang yang hidup mewah di kalangan mereka yang melakukan kejahatan dan syirik, mereka serta-merta berteriak dengan suara yang keras sambil meminta tolong.

🍓 Ayat 6⃣5⃣ 
*Janganlah kamu memekik minta tolong pada hari ini. Sesungguhnya kamu tidak akan mendapat pertolongan daripada Kami.*

🌱Tidak ada seorang pun yang dapat menolong mereka daripada apa yang ditimpakan kepada mereka, sama ada dengan menjerit-jerit atau pun diam sahaja. Ini kerana tidak ada peluang untuk mereka melepaskan diri ataupun mencari tempat untuk berlindung. Semua itu telah menjadi ketetapan yang mesti mereka lalui dan menanggung seksa serta merasakan kepedihan sebagaimana firman-Nya:

📖 *_"Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong, padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri."_*
[Surah Sad, 38:3]

🍓 Ayat 6⃣6⃣ 
*Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (Al-Qur'an) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, maka kamu selalu berpaling ke belakang,*

🍓Ayat 6⃣7⃣ 
*dengan merasa sombong dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya (Al-Qur'an/Muhammad) pada waktu kamu bercakap-cakap pada malam hari.*

🌱Allah menyatakan bahawa mereka selalu diperingatkan dengan ayat-ayat-Nya tetapi mereka tetap berpaling.

🌱 Mereka menyombongkan diri dengan menjauhi Al-Qur'an dan enggan mendengarnya. Mereka menyangka dan meyakini bahawa merekalah kekasih-kekasih Allah namun sebenarnya mereka bukanlah begitu.

🌱 Mereka menghabiskan masa dengan memperkatakan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan sama sekali. Ini dilakukan pada waktu malam dengan tujuan menghindarkan diri daripada mendengar perkara-perkara yang hak dan seruan ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka. 

🍄 Ayat 68 - 70 🍄 
 Sanggahan dan celaan terhadap orang-orang musyrik. 

🍓Ayat 6⃣8⃣ 
*Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?*

🌱Dalam ayat ini Allah Ta‘ala mencela orang-orang musyrik, mengapa mereka tidak mahu memahami dan memperhatikan isi Al-Qur'an yang mereka dengar daripada Rasulullah sallallah ‘alaihi wa sallam. Sedangkan perkataan-perkataan yang disampaikan oleh baginda itu merupakan perkataan-perkataan yang baik, benar dan membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat. 

🌱 Kemudian Allah mempersoalkan lagi adakah mereka tidak pernah mendengar bahawa ada rasul-rasul yang telah diutuskan kepada nenek moyang mereka terdahulu dengan membawa agama dan syariat-Nya. Sungguh telah datang kepada nenek moyang mereka para rasul yang diturunkan kitab-kitab dan orang-orang musyrik mengetahui akan hal itu.

🍓 Ayat 6⃣9⃣ 
*Ataukah mereka tidak mengenal rasul mereka, kerana itu mereka memungkirinya?*

🌱Dalam ayat ini pula Allah bertanya apakah mereka tidak mengenal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu mereka mengingkarinya padahal mereka telah mengetahui tentang kejujuran baginda semenjak baginda masih kecil hingga saat baginda mengajak mereka kepada Allah.

🍓 Ayat 7⃣0⃣ 
*Atau (apakah patut) mereka berkata, "Padanya (Muhammad) ada penyakit gila." Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka, dan kebanyakan mereka benci kepada kebenaran.*

🌱 Allah menjelaskan bahawa tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh orang-orang musyrik terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah tidak benar. Mereka menuduh baginda adalah seorang yang gila. Padahal baginda adalah seorang lelaki yang bersikap jujur, amanah dan terpuji. Baginda mengucapkan kata-kata yang hak dan mengajak kepada kebenaran. 

🌱 Sebenarnya inilah rahsia daripada penolakan dan kesombongan mereka iaitu kebencian mereka terhadap kebenaran.



🍄 Ayat 71 🍄 
Kebenaran tidak akan pernah mengikuti hawa nafsu.

🍓  Ayat 7⃣1⃣ 
*Seandainya kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah memberi peringatan kepada mereka tetapi mereka berpaling daripada peringatan itu.*

🌱 Sekiranya kebenaran yang datang dari sisi Allah seperti Al-Qur'an, mengikuti kehendak hawa nafsu mereka dan sesuai pula dengan keinginan mereka pasti alam seluruhnya baik langit mahupun bumi akan mengalami kehancuran. Pelaku kebatilan tidak akan dapat melihat sesuatu melainkan yang batil. Oleh itu sudah tentu kehidupan mereka berlawanan dengan kebenaran. Sekiranya ini terjadi, pasti akan mengakibatkan kehancuran alam semesta.

🌱 Dalam ayat ini juga Allah menyatakan bahawa Dia telah memberikan Al-Qur'an kepada mereka yang sepatutnya dijadikan suatu peringatan. Namun disebabkan mereka memiliki hati yang rosak, maka mereka berpaling daripadanya.

🍄 Ayat 72 - 73 🍄 
Para nabi tidak pernah meminta upah dan mereka selalu menyeru ke jalan yang lurus.

🍓Ayat 7⃣2⃣ 
*Atau kamu meminta upah daripada mereka? Maka upah daripada Rabbmu adalah lebih baik, dan Dia adalah Pemberi Rezeki yang paling baik.*

🌱 Para rasul tidak pernah meminta hadiah atau apa sahaja sebagai upah kepada mereka atas usaha dakwah mengajak kepada petunjuk Allah. Walaupun begitu mereka pasti akan mendapat pahala yang besar di sisi-Nya kerana mereka benar-benar menyeru ke jalan yang lurus sebagaimana firman-firman-Nya:

📖 *_".....Upah apa pun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah daripada Allah....."_*
[Surah Saba', 34:47]

📖 *_"Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku, dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mereka-reka"_*
[Surah Sad, 38:86]

🌱 Allah menyatakan bahawa pahala dari sisi-Nya adalah lebih baik kerana Dia adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.

🍓 Ayat 7⃣3⃣ 
*Dan sesungguhnya kamu benar-benar menyeru mereka ke jalan yang lurus.*

🌱 Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam benar-benar telah membawa risalah Islam iaitu agama yang menuju kepada jalan kebahagiaan dan kesempurnaan di dunia dan akhirat.

🍄 Ayat 74 - 75 🍄 
Penjelasan tentang sifat-sifat orang kafir.

🍓  Ayat 7⃣4⃣ 
*Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat benar-benar menyimpang dari jalan (yang lurus).*

🌱 Mereka telah menyimpang jauh daripada agama Islam. Ini kerana mereka tidak mengimani hari akhirat. Hati yang tidak diisi dengan keimanan kepada hari akhirat dan tidak yakin akan bertemu dengan Allah, tidak akan berada di jalan yang lurus.

 🍓 Ayat 7⃣5⃣ 
*Seandainya mereka Kami belas kasihani, dan Kami lenyapkan kemudaratan yang mereka alami, benar-benar mereka akan terus-menerus terumbang-ambing dalam sikap mereka yang keterlaluan.*

🌱 Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa sekiranya dengan sifat belas kasihan daripada-Nya, Dia menghilangkan kemudaratan yang telah menimpa orang-orang musyrik seperti kekurangan hujan, kelaparan, penyakit dan lain-lain, mereka tetap tidak bersyukur kepada-Nya malahan terus menerus berada dalam kesesatan dan kezaliman. Firman-Nya:

📖 *_"Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedangkan mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu)._*
[Al-Anfal, 8:23]

🍄 Ayat 76 - 83 🍄 
Merenungi nikmat-nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan kekuasaan-Nya Yang Agung, serta orang-orang musyrik menganggap bahawa kebangkitan setelah kematian itu adalah sesuatu yang mustahil.

🍓Ayat 7⃣6⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami pernah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.*

 🌱 Dalam ayat ini, Allah Ta‘ala menyatakan bahawa Dia pernah menimpakan ujian kepada orang-orang musyrik dalam pelbagai bentuk musibah dan kesulitan hidup agar dijadikan pengajaran. Namun segala mala petaka dan bencana tersebut tidak dapat menyedarkan mereka daripada kekufuran dan penentangan yang selama ini mereka lakukan. Malah mereka masih sahaja tidak tunduk kepada Rabb mereka dan meneruskan kesesatan serta berpaling daripada kebenaran.

 🌱 Mereka juga tidak mahu berdoa memohon pertolongan kepada Allah kerana ada sifat sombong dalam diri mereka, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:

📖 *_"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras....."_*
[Al-An‘am, 6:43]

🍓 Ayat 7⃣7⃣ 
*Hingga apabila Kami bukakan untuk mereka suatu pintu yang ada azab yang amat sangat (pada waktu itulah) tiba-tiba mereka menjadi putus asa.*

🌱 Apabila telah datang kepada mereka ketetapan Allah dan hari kiamat secara tiba-tiba, mereka pun merasakan pedihnya azab-Nya dengan perasaan yang tidak pernah mereka sangka sebelumnya. Pada saat ini mereka berputus asa daripada segala bentuk ketenangan.

🍓 Ayat 7⃣8⃣ 
*Dan Dia-lah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah kamu bersyukur.*

 🌱 Selanjutnya Allah Ta‘ala menyebutkan nikmat-nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada semua hamba-Nya. Dia mengurniakan pendengaran, penglihatan, dan hati kepada mereka supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripada alam semesta. Ini kerana pada alam semesta terdapat tanda-tanda yang menunjukkan keesaan-Nya dan Dia-lah yang melakukan segala sesuatu atas kehendak-Nya sendiri. Namun sangat sedikit hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

🍓 Ayat 7⃣9⃣ 
*Dan Dia-lah yang menciptakan serta mengembang biakkan kamu di bumi ini dan kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.*

🌱 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyebut tentang kekuasaan dan keperkasaan-Nya yang agung terhadap makhluk-makhluk-Nya. Dia-lah yang telah menciptakan bumi dan mereka tinggal di atasnya. Kemudian beranak pinak menjadikan bilangan mereka ramai dengan pelbagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Dia juga menempatkan mereka di segala penjuru dunia.

🌱 Kemudian mereka semua yang terdiri daripada orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian akan dihimpunkan dalam satu masa dan satu tempat iaitu pada hari kiamat untuk dipertanggungjawabkan terhadap apa yang telah mereka lakukan. Maka tiada seorang pun yang tertinggal. Semuanya dihidupkan kembali sebagaimana awal penciptaan mereka.

🍓 Ayat 8⃣0⃣ 
*Dan Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia-lah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Maka apakah kamu tidak memahaminya?*

 🌱 Allah Ta‘ala menghidupkan manusia yang berasal daripada air mani dengan menjadikannya segumpal daging. Kemudian ditiupkan ruh dan menjadi manusia. Setelah tiba ajalnya, Dia akan mematikan mereka. Dia menghidupkan kembali tulang belulang mereka yang telah hancur. Dia Maha Berkuasa melakukan apa sahaja menurut kehendak-Nya.

🌱 Sesungguhnya pergantian malam dan siang juga tunduk di bawah perintah Allah. Dia-lah yang menjadikan malam dan silih berganti dengan memasukkan salah satunya ke dalam yang lain menurut gilirannya. Kedua-duanya tidak pernah berhenti dan tidak pernah bertukar waktu beredar dan masing-masing menurut aturan-Nya seperti firman-Nya:

📖 *_"Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya."_*
[Surah Yasin, 36:40]

🌱 Namun masih lagi ada antara hamba-hamba-Nya tidak mahu menggunakan akal untuk melihat semua tanda-tanda kekuasaan-Nya Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui yang mengalahkan segala sesuatu dan Maha Agung atas segala sesuatu, serta tunduk kepada-Nya segala sesuatu.

🍓  Ayat 8⃣1⃣ 
*Sebenarnya mereka mengucapkan perkataan yang serupa dengan perkataan yang diucapkan oleh orang-orang dahulu kala.*

🌱 Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang orang-orang yang ingkar kepada hari berbangkit, iaitu orang-orang yang meniru sikap orang-orang dahulu yang mendustakan-Nya. Ini merupakan sikap taklid buta terhadap nenek moyang mereka.

🍓Ayat 8⃣2⃣ 
*Mereka berkata, "Apakah betul apabila kami telah mati dan kami telah menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan?*

🌱 Ungkapan ini merupakan ungkapan pengingkaran yang sangat jelas terhadap kebangkitan pada hari kiamat. Mereka menganggap adalah mustahil mereka akan dibangkitkan semula sesudah tubuh mereka hancur.

🍓  Ayat 8⃣3⃣ 
*Sesungguhnya kami dan bapa-bapa kami telah diberi ancaman (dengan) ini dahulu, ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu kala."*

🌱 Orang-orang kafir mengatakan bapa-bapa mereka dahulu pun sudah diberikan ancaman seperti itu tetapi tiada bukti tentangnya. Pada sangkaan mereka apa yang diancamkan itu tidak lain hanyalah cerita-cerita yang sudah ditulis oleh orang-orang terdahulu dalam kitab-kitab mereka, lalu diceritakan turun temurun oleh manusia tanpa bukti yang nyata. 

 🌱 Namun Allah menempelak sangkaan mereka itu dengan firman-Nya:

📖 *_"Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami dan dia lupa kepada kejadiannya; dia berkata, "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?" Katakanlah, "Dia akan dihidupkan oleh Rabb yang menciptakannya kali yang pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.”_*
[Surah Yasin, 36:78-79]



🍄 Ayat 84 - 90 🍄 
 Orang-orang musyrik mengaku bahawa Allah itu Maha Pencipta dan dengan pengakuan ini sepatutnya mereka mengaku hanya Allah yang patut disembah.

 🍓 Ayat 8⃣4⃣ 
*Katakanlah, "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?"*

🍓  Ayat 8⃣5⃣ 
*Mereka akan menjawab, "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak berfikir?"*

 🌱 Dalam ayat ini Allah memerintahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada orang-orang musyrik yang mengingkari hari kebangkitan dan pembalasan, siapakah pemilik bumi ini yang telah menciptakannya begitu sempurna, dipenuhi di atasnya dengan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan makhluk-makhluk yang lain.

🌱 Dia menyatakan, pasti mereka menjawab seraya mengaku kepada baginda bahawa semuanya adalah milik Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.

🌱 Oleh itu Dia mengatakan sepatutnya mereka sedar dan berfikir bahawa yang hanya layak disembah adalah Rabb Yang Maha Pencipta lagi Maha Pemberi rezeki, bukan selain-Nya.

🍓Ayat 8⃣6⃣ 
*Katakanlah, "Siapakah yang memiliki langit yang tujuh dan yang memiliki ‘Arasy yang besar?"*

🍓 Ayat 8⃣7⃣ 
*Mereka akan menjawab, "Kepunyaan Allah." Katakanlah, "Maka apakah kamu tidak bertakwa (takut)?"*

🌱 Ayat ini pula merupakan perintah Allah agar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada orang-orang musyrik siapakah yang telah menciptakan alam langit yang begitu unik dan sempurna. Bintang-bintang, planet-planet dan malaikat-malaikat semuanya tunduk kepada-Nya. Dia juga memerintahkan supaya bertanya kepada mereka siapakah yang memiliki ‘Arasy yang besar itu.

 🌱 Allah menyatakan bahawa mereka tetap akan mengaku bahawa Dia adalah Pemilik langit dan Pemilik ‘Arasy yang besar. Maka sepatutnya mereka berasa takut dan gerun kepada seksaan-Nya dan menghindari azab-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain.

🌱 Imam Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Keadaan Allah Maha Besar daripada semuanya. Sesungguhnya ‘Arasy Allah berada di atas semua langit-Nya seperti ini." Sambil baginda menujukkan isyarat dengan tangannya menggambarkan sesuatu seperti kubah."_*

 🍓  Ayat 8⃣8⃣ 
*Katakanlah, "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?"*

🍓 Ayat 8⃣9⃣ 
*Mereka akan menjawab, "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"*

🌱 Seterusnya Allah memerintahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada mereka siapakah yang berkuasa dan memiliki semua perbendaharaan serta dapat melindungi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada azab-Nya.

🌱 Jawapan mereka mengandungi pengakuan bahawa Dia-lah Rabb Yang Maha Besar yang menguasai segala sesuatu dan tidak ada yang dapat melindungi daripada azab-Nya melainkan Dia.

🌱 Dalam hati orang-orang musyrik ini sebenarnya mengakui dan meyakini Allah sebagai pencipta dan pentadbir sekalian makhluk.

🌱 Oleh itu apabila meyakini hal tersebut, mereka sepatutnya tidak tertipu dan menyimpang daripada kebenaran. Mereka sepatutnya tidak menyembah selain-Nya bersama-sama dengan yang lain.

🍓 Ayat 9⃣0⃣ 
*Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.*

🌱 Allah menyatakan semua dalil-dalil di atas tentang penciptaan dan kekuasaan-Nya adalah keterangan yang sahih menunjukkan bahawa tidak ada ilah yang wajib disembah kecuali Dia. 

🌱 Sebenarnya tidak ada satu dalil pun kepada orang-orang musyrik untuk mendorong mereka melakukan kebohongan dan kesesatan. Mereka melakukan hal tersebut adalah semata-mata mengikut jejak nenek moyang mereka dan orang-orang terdahulu yang tidak ada pegangan, jahil lagi mudah tertipu, seperti yang disebutkan oleh firman-firman-Nya:

📖 *_".....Sesungguhnya kami mendapati nenek moyang kami menganut suatu (agama) dan sesungguhnya kami sekadar pengikut jejak-jejak mereka."_*
[Surah Az-Zukhruf, 43:23]

📖 *_"Dan barangsiapa menyembah ilah yang lain bersama-sama Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Rabb-nya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan beruntung."_* 
[Surah Al-Mu'minun, 23:117]

🍄 Ayat 91- 92 🍄 
Tidak ada sekutu bagi Allah.

🍓 Ayat 9⃣1⃣ 
*Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) beserta-Nya, kalau ada ilah beserta-Nya, masing-masing ilah itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada ilah-ilah itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu,*

🌱 Allah Ta‘ala menafikan bahawa Dia mempunyai anak dan memiliki sekutu dalam menciptakan alam, mentadbir makhluk dan dalam hak pengibadahan.

🌱 Sekiranya jumlah ilah itu berbilang-bilang bukan satu, nescaya tiap-tiap ilah itu menciptakan makhluk masing-masing bersendirian dan sudah pasti makhluk ciptaan ilah-ilah itu akan berbeza-beza mengikut penciptanya. Setiap ilah akan bersama dengan hasil ciptaannya dan sebahagian yang lain akan berusaha untuk mengalahkan satu sama lain sehingga alam ini dan semua kehidupan di dalamnya menjadi huru-hara.

🌱 Sedangkan apa yang kita dapat saksikan sekarang ialah alam ini saling berfungsi dengan begitu teratur seperti firman-Nya:

📖 *_".....Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Rabb Yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?"_*
[Surah Al-Mulk, 67:3]

🌱 Allah mensucikan diri-Nya daripada segala sifat-sifat kekurangan, seperti mempunyai anak, sekutu dan tidak mampu untuk membangkitkan semua makhluk-Nya yang telah mati. 

🍓 Ayat 9⃣2⃣ 
*Yang mengetahui semua yang ghaib dan semua yang nampak, maka Maha Tinggi-lah Dia daripada apa yang mereka persekutukan.*

🌱Allah Maha Mengetahui segala sesuatu sama ada yang tersembunyi mahupun yang dapat dilihat oleh makhluk-makhluk-Nya. 

🌱Maha Suci, Maha Tinggi, Maha Perkasa dan Maha Agung Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

🍄 Ayat 93 - 95 🍄 
Perintah berdoa (meminta keselamatan) ketika melihat seksaan daripada Allah.

🍓 Ayat 9⃣3⃣ 
*Katakanlah, "Ya Rabb, jika Engkau sungguh-sungguh hendak memperlihatkan kepadaku azab yang diancamkan kepada mereka,*

🍓 Ayat 9⃣4⃣ 
*Ya Rabbku, maka janganlah Engkau jadikan aku berada di antara orang-orang yang zalim."*

🌱 Ayat ini merupakan ancaman besar kepada orang-orang musyrik yang tidak ambil peduli terhadap peringatan dan amaran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam ayat-ayat sebelum ini.

🌱 Oleh itu Allah memerintahkan baginda supaya berdoa memohon kepada-Nya agar jangan ditimpakan seksaan ke atasnya ketika kehancuran menghampiri kaumnya. Maksudnya janganlah Allah membinasakan baginda bersama-sama dengan mereka.

🌱 Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan At-Tirmizi:

📚 *_"Jika Engkau berkehendak menimpakan fitnah (mala petaka di dunia) pada sekelompok kaum, maka matikanlah aku dalam keadaan selamat daripada fitnah itu."_*

🍓 Ayat 9⃣5⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa untuk memperlihatkan kepadamu apa yang Kami ancamkan kepada mereka.*

🌱 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyatakan, sekiranya Dia berkehendak nescaya Dia akan memperlihatkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam semua seksaan, bencana dan ujian yang ditimpakan kepada orang-orang yang ingkar itu.

🍄 Ayat 96 🍄 
 Perintah untuk membalas perbuatan yang buruk dengan cara yang baik.

🍓 Ayat 9⃣6⃣ 
*Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.*

🌱 Hal ini terjadi sebelum adanya perintah boleh memerangi orang-orang kafir. Allah memerintahkan baginda menolak segala bentuk ucapan yang mengandungi kekafiran dan pendustaan mereka dengan akhlak yang lebih baik seperti memaafkan dan menghindarkan diri atau berpaling meninggalkan mereka. Ini bertujuan supaya hati mereka menjadi lembut menyebabkan kebencian bertukar kepada kasih sayang. Firman-Nya:

📖 *_".....Tolaklah dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar....."_*
[Surah Fussilat, 41:34-35]

🌱 Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala perkataan mereka yang menuduh bahawa Dia memiliki sekutu, mempunyai anak, menolak Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai seorang rasul, tiada hari kebangkitan dan tiada hari dihisab segala amalan. 

🍄 Ayat 97- 98 🍄 
Perintah mengucapkan ta‘awwuz.

🍓 Ayat 9⃣7⃣ 
*Dan katakanlah, "Ya Rabbku, aku berlindung kepada Engkau daripada bisikan-bisikan syaitan.*

 🍓  Ayat 9⃣8⃣ 
*Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Rabbku, daripada kedatangan mereka kepadaku."*

🌱 Allah Ta‘ala juga mengajar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjaga diri dengan meminta perlindungan kepada-Nya daripada kedatangan syaitan dan pujukannya dalam urusan agamanya. Tipu daya syaitan tidak pernah membawa kebaikan melainkan semuanya mendatangkan keburukan.

🌱 Dalam Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berdoa:

📚 *_"Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk, daripada godaan, daripada tiupan dan daripada hembusannya."_*

🌱 Abu Daud meriwayatkan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada tua renta, dan aku berlindung kepada-Mu daripada tertimpa runtuhan dan tenggelam, dan aku berlindung kepada-Mu daripada tipu daya syaitan merosakkan akal dan agamaku menjelang kematian."_*



🍄 Ayat 99 - 100 🍄 
Harapan orang-orang kafir ketika menjelang kematian.

🍓 Ayat 9⃣9⃣  
*(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seorang daripada mereka, dia berkata: "Ya Rabbku, kembalikanlah aku (ke dunia),*

🍓  Ayat 1⃣0⃣0⃣ 
*agar aku dapat berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan." Sekali-kali tidak, sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada barzakh (penghalang) sehingga hari mereka dibangkitkan.*

🌱 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menceritakan keadaan orang-orang kafir dan orang-orang yang lalai terhadap perintah-Nya pada saat kematian mereka telah tiba. Mereka sangat menyesal apabila melihat tempat kembali mereka dan menyaksikan keburukan amalan masing-masing. Mereka pun meminta dipanjangkan umur iaitu dikembalikan ke dunia supaya boleh melakukan amalan soleh yang selama ini mereka tinggalkan semasa berada di dunia dahulu. Firman-firman-Nya.

📖 *_"Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata, 'Wahai Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.'"_*
[Surah Al-Munafiqun, 63:10]

📖 *_"Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim, 'Ya Rabb kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.' (Kepada mereka dikatakan): 'Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?'"_*
[Surah Ibrahim, 14:44]

🌱 Daripada ayat-ayat di atas, Allah Ta‘ala menjelaskan bahawa orang-orang kafir dan orang-orang yang lalai terhadap perintah-Nya memohon agar mereka dikembalikan ke dunia. Namun permintaan mereka sia-sia dan tidak pernah dikabulkan oleh-Nya.

🌱 Permohonan mereka agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh itu hanyalah ucapan dan kata-kata kosong yang tidak mungkin mereka tunaikan seperti firman Allah:

📖 *_".....Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka."_*
[Surah Al-An‘am, 6:28]

🌱 Qatadah berkata, "Demi Allah! (setelah mereka melihat azab yang sesungguhnya), maka mereka tidak berharap kembali berkumpul dengan saudara-mara mereka atau mengumpul harta kekayaan. Mereka hanya berharap kembali ke dunia untuk melakukan ketaatan terhadap Allah.

🌱Ayat "Dan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai pada hari mereka dibangkitkan" bermaksud yang menghalangi mereka kembali ke dunia ialah adanya barzakh. Barzakh (alam kubur) merupakan penghalang antara dunia dan akhirat. Dalam alam barzakh ini, orang-orang yang taat akan merasakan kenikmatan, sedangkan orang-orang yang bermaksiat akan merasakan penderitaan dan azab daripada sejak mereka mati sampai mereka dibangkitkan. 

🌱 Mujahid menyatakan 'barzakh' bermaksud alam pemisah antara alam dunia dan alam akhirat. Manakala Muhammad bin Ka‘ab berkata 'barzakh' adalah alam yang berada di antara dunia dan akhirat. Abu Shakhr pula berpendapat 'barzakh' adalah alam kubur, mereka tidak tinggal di dunia dan belum berada di alam akhirat. Mereka tinggal di sana sehingga hari kebangkitan.

🍄 Ayat 101- 104 🍄 
Tiupan sangkakala, dan timbangan amal perbuatan.

🍓Ayat 1⃣0⃣1⃣ 
*Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling bertanya.*

 🌱 Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu apabila sangkakala ditiup sebagai tanda kebangkitan semua makhluk, manusia pun dibangkitkan daripada kubur mereka. Pada hari itu hubungan nasab tidak lagi bererti iaitu mereka tidak dapat saling tolong menolong meskipun di kalangan keluarga. Orang tua tidak lagi dapat memberikan pertolongan dan perlindungan kepada anak-anaknya sepertimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_"Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya, dan daripada ibu dan bapanya, dan daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya."_*
[Surah ‘Abasa, 80:34-37]

 🌱 Seorang teman karib pula tidak akan bertanyakan temannya padahal mereka saling melihat. Meskipun di dunia dahulu mereka saling sayang menyayangi, namun saat mereka melihat temannya sedang menanggung dosa, mereka sedikit pun tidak mengambil tahu. Mereka enggan memikul dosa temannya walaupun hanya seberat sayap nyamuk. Mereka hanya memikirkan keselamatan diri sendiri. Firman Allah:

📖 *_"Dan tidak ada seorang teman karib pun menanyakan temannya, sedangkan mereka saling melihat....."_*
[Surah Al-Ma‘arij, 70:10-11]

🌱 *_Ibnu Mas‘ud berkata, "Bila hari kiamat datang, Allah mengumpulkan umat manusia daripada awal hingga akhir. Kemudian terdengar suara penyeru. 'Ingatlah, barangsiapa pernah dizalimi, datanglah ke sini dan ambillah haknya.' Maka orang yang pernah memiliki hak yang tidak dipenuhi orang tua, anak atau isteri berasa gembira, meskipun hak itu ukurannya kecil. Ayat "Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya" inilah yang membenarkannya."_*
[Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim]

🍓 Ayat 1⃣0⃣2⃣ 
*Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya maka mereka itulah orang-orang yang mendapat keuntungan.*

🌱 Menurut Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, sesiapa yang kebaikannya melebihi keburukan, walaupun hanya dengan satu kebaikan, mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan sehingga mereka selamat dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

🍓Ayat 1⃣0⃣3⃣ 
*Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam Neraka Jahannam.*

🌱 Dalam ayat Ini Allah Ta‘ala menyatakan, orang-orang yang amalan buruknya melebihi amalan baiknya, mereka adalah termasuk golongan yang rugi. Mereka jauh daripada syurga, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam. Bagi orang-orang kafir, walaupun mereka telah berbuat kebaikan tetapi disebabkan mereka syirik kepada-Nya, segala kebaikan mereka itu tidak ada nilainya di sisi-Nya. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menetap di dalamnya buat selama-lamanya. Manakala orang-orang beriman pula, walaupun keburukannya lebih besar sehingga mengalahkan kebaikannya, mereka akan dimasukkan ke neraka, tetapi tidak kekal di sana sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam: 

📚 *_“…..Hingga apabila Allah telah selesai memutuskan perkara di antara hamba-hamba-Nya dan hendak mengeluarkan penghuni neraka dari neraka dengan rahmat-Nya, Allah menyuruh para malaikat-Nya mengeluarkan mereka yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu. Mereka ini adalah daripada orang-orang yang Allah ingin menyayanginya, iaitu orang-orang yang bersaksi bahawa tidak ada ilah yang berhak disembah melainkan Allah dan mereka dikenali di neraka dengan tanda-tanda bekas sujudnya.”_*
[Hadis Riwayat Bukhari] 

🍓 Ayat 1⃣0⃣4⃣ 
*Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.*

🌱 Mereka benar-benar terbakar oleh api neraka. Api neraka mengelilingi mereka, sehingga membakar anggota tubuh yang paling mulia, iaitu muka menjadikan muka mereka cacat dan amat menakutkan. Firman-firman Allah:

📖 *_".....dan muka mereka ditutup oleh api neraka....."_*
[Surah Ibrahim, 14:50] 

📖 *_"Seandainya orang-orang kafir itu mengetahui, ketika mereka itu tidak mampu mengelakkan api neraka daripada muka mereka dan (tidak pula) daripada belakang mereka, sedang mereka (tidak pula) mendapat pertolongan, (tentulah mereka tidak meminta disegerakan)."_*
[Surah Al-Anbiya', 21:39]

🍄 Ayat 105 - 107 🍄 
Celaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada penghuni neraka dan permohonan mereka agar dikeluarkan dari neraka.

🍓Ayat 1⃣0⃣5⃣
*Bukankah ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepadamu sekalian, tetapi kamu selalu mendustakannya?*

🌱 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala mencela dan mengejek penghuni neraka kerana mereka masih ingkar walaupun Dia telah mengutuskan para rasul dan juga menurunkan kitab-kitab suci kepada mereka semasa berada di dunia dahulu. Para rasul telah membacakan ayat-ayat dan keterangan-keterangan yang mengandungi peringatan dan amaran kepada mereka.

 🌱 Setiap kali para rasul mengajak mereka untuk beriman kepada Allah, mereka mendustakannya sama ada dari segi perbuatan ataupun ucapan. Oleh itu dengan sikap yang demikian tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk tidak mendapat seksaan. Ini kerana Allah tidak akan menyeksa mereka sekiranya tidak diutuskan para rasul untuk memberikan peringatan sepertimana firman-firman-Nya yang lain:

📖 *_"Rasul-rasul itu merupakan pembawa berita gembira dan peringatan, agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu....."_*
[Surah An-Nisa', 4:165]

📖 *_".....dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."_*
[Surah Al-Isra', 17:15]

📖 *_".....Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, "Apakah belum pernah ada orang yang datang kepada kamu (di dunia) pemberi peringatan?” Mereka menjawab, "Benar ada, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, tetapi kami mendustakan(nya)....."_*
[Surah Al-Mulk, 67:8-9]

🍓Ayat 1⃣0⃣6⃣ 
*Mereka berkata, "Ya Rabb kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang tersesat.*

🌱 Ini merupakan pengakuan yang jujur dan juga penyesalan oleh orang-orang kafir terhadap kezaliman mereka. Mereka mengakui bahawa telah datang kepada mereka dalil-dalil yang meyakinkan namun mereka telah dikuasai oleh kejahatan sehingga mereka tidak mahu mengikutinya. Oleh itu mereka termasuk dalam golongan yang sesat. 
🍓Ayat 1⃣0⃣7⃣ 
*Ya Rabb kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (lagi kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”*

🌱 Ini adalah permohonan orang-orang kafir ketika berada dalam neraka Jahannam. Mereka memohon kepada Allah agar dikembalikan kepada kehidupan dunia untuk beriman dan beristiqamah pada jalan-Nya yang lurus iaitu Islam. Sekiranya mereka mengulangi lagi perbuatan yang serupa, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang zalim dan berhak mendapat azab sepertimana firman-Nya:

📖 *_"'.....lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah suatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?' Yang demikian itu adalah kamu kafir apabila diseru untuk menyembah Allah sahaja....."_*
[Surah Al-Mu'min/Ghafir, 40:11-12]

🌱 Sesungguhnya tidak ada jalan untuk mereka keluar dari neraka dan mereka sebenarnya berdusta dalam membuat janji. Ini kerana sekiranya mereka dikembalikan lagi ke dunia, tentu mereka akan melakukan perkara yang sama. Allah telah mengutuskan para rasul-Nya, menurunkan kitab-kitab-Nya, menegakkan hujah-hujah kepada mereka, memperlihatkan ayat-ayat-Nya, memberikan mereka musibah agar mereka sedar, memanjangkan usia yang cukup untuk mereka berfikir, namun mereka tetap tidak menghiraukan peringatan-peringatan tersebut.



🍄 Ayat 108 -111 🍄 
Sanggahan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang-orang kafir.

🍓 Ayat 1⃣0⃣8⃣ 
*Allah berfirman, "Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku."*

🌱 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyanggah permohonan orang-orang kafir agar mereka dikeluarkan dari neraka dan dikembalikan kepada kehidupan di dunia. Sanggahan tersebut menyebabkan mereka berasa kecewa dan putus asa kerana mereka akan tetap tinggal kekal dalam neraka dengan penuh kehinaan.

🌱 Mereka juga diingatkan supaya tidak lagi memohon kepada-Nya untuk dikembalikan ke dunia kerana Allah sekali-kali tidak akan memenuhinya. 

🌱 Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia berkata, "Sungguh penduduk neraka Jahannam memanggil malaikat Malik namun panggilan itu tidak dipenuhi selama empat puluh tahun. Setelah itu barulah mereka menyeru Rabb mereka seperti firman Allah:

📖 *_"Mereka berkata, 'Ya Rabb kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat. Ya Rabb, kami, keluarkanlah kami darinya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.'"_*
[Surah Al-Mu'minun, 23:106-107]

🍓 Ayat 1⃣0⃣9⃣ 
*Sesungguhnya, ada segolongan daripada hamba-hamba-Ku berdoa (di dunia): "Ya Rabb kami, kami telah beriman maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi Rahmat yang paling baik."*

🍓Ayat 1⃣1⃣0⃣ 
*Lalu kamu menjadikan mereka buah ejekan, sehingga (kesibukan) kamu mengejek mereka menjadikan kamu lupa mengingati Aku, dan adalah kamu selalu mentertawakan mereka.*

🌱 Allah Ta‘ala menyatakan bahawa terdapat hamba-hamba-Nya di kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa berdoa dengan doa di atas semasa berada di dunia dahulu. Mereka juga mengerjakan amal-amal soleh dengan mengharapkan keampunan serta rahmat-Nya.

🌱 Namun orang-orang kafir amat membenci tindakan orang-orang yang beriman. Kebencian mereka itu menyebabkan mereka melupakan Allah Ta‘ala. Mereka mentertawakan cara ibadah orang-orang mukmin yang bertakwa iaitu mereka yang menjadi kekasih-kekasih-Nya. Firman-Nya:

📖 *_"Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang dahulunya (di dunia) mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman berjalan di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya."_*
[Surah Al-Mutaffifin, 83:29-30]

🍓  Ayat 1⃣1⃣1⃣ 
*Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka pada hari ini, kerana kesabaran mereka, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang menang.*

🌱 Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa pada hari akhirat nanti Dia akan membalas segala kesabaran orang-orang beriman yang mentaati perintah-Nya dan bersabar terhadap segala ejekan serta hinaan yang dilemparkan oleh orang-orang kafir semasa di dunia dahulu. Mereka akan memperoleh kemenangan, kebahagiaan, keselamatan berupa syurga dan terhindar dari neraka.

🍄 Ayat 112 - 114 🍄 
Penjelasan tentang masa di dunia berbanding dengan masa di akhirat.

 🍓 Ayat 1⃣1⃣2⃣ 
*Allah bertanya, "Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?"*

🌱 Pertanyaan Allah Ta‘ala ini ditujukan kepada orang-orang kafir yang mensyirikkan-Nya dan mengingkari hari kebangkitan pada waktu kiamat nanti, sedangkan Dia Maha Mengetahui berapa lama mereka tinggal di dunia dahulu.

🍓 Ayat 1⃣1⃣3⃣ 
*Mereka menjawab, "Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung."*

🌱 Orang-orang kafir menjawab bahawa mereka hidup di dunia selama sehari atau setengah hari sahaja.

🌱 Sebahagian pendapat mengatakan oleh sebab keadaan hari kiamat itu tersangat dahsyat, mereka lupa untuk mengingat berapa lama mereka berada di dunia dan di alam kubur. Mereka merasakan sekejap sahaja jika dibandingkan dengan hari-hari mereka berada pada ketika itu. Firman Allah:

📖 *_"Dan pada hari (ketika) terjadinya kiamat, orang-orang yang berdosa bersumpah, bahawa mereka berdiam (dalam kubur) hanya sesaat (sahaja)....."_*
[Surah Ar-Rum, 30:55]

🍓 Ayat 1⃣1⃣4⃣ 
*Allah berfirman, "Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui."*

🌱 Allah menyatakan bahawa jikalau diukur dengan ukuran waktu dunia, lamanya kehidupan mereka di dunia dan mati hinggalah ke waktu dibangkitkan hanyalah sebentar sahaja.

🌱 Seandainya mereka bersabar mengerjakan perintah Allah selama berada di dunia yang waktunya sangat pendek itu, tentulah mereka memperoleh keuntungan sama sebagaimana kekasih-kekasih-Nya yang bertakwa iaitu dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

🍄 Ayat 115 - 116 🍄 
Allah tidak pernah main-main dalam menciptakan makhluk-Nya. 

🍓 Ayat 1⃣1⃣5⃣ 
*Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?*

🌱 Ini adalah hinaan dan celaan Allah Ta‘ala kepada orang-orang yang mengingkari adanya hari berbangkit dan yang menganggap bahawa tujuan penciptaan mereka adalah tanpa tujuan, tanpa dirancang dan tidak ada apa-apa hikmah daripada-Nya. Mereka menganggap mereka dicipta bukan untuk beribadah, tetapi untuk makan, minum dan berkahwin. Mereka juga menyangka segala perbuatan mereka tidak akan diberikan balasan. 

🌱 Padahal sesungguhnya manusia diciptakan tiada lain hanyalah untuk beribadah dan mengerjakan perintah-perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mereka juga akan dibangkitkan dan diberikan balasan pada hari kiamat kelak. Firman-Nya:

📖 *_"Apakah manusia menyangka dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan?)"_*
[Surah Al-Qiyamah, 75:36]

🍓Ayat 1⃣1⃣6⃣ 
*Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya, tidak ada Rabb (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia, Rabb (Yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.*

🌱Maha Suci Allah daripada perbuatan sia-sia dan daripada sesuatu yang tidak layak dengan ketinggian dan kesempurnaan-Nya. Dia-lah Rabb yang berhak diibadahi dan tiada sekutu bagi-Nya. 

🌱 Dia memiliki ‘Arasy yang mulia menunjukkan keagungan-Nya sepertimana firman-firman-Nya:

📖 *_"(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Rabbnya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Rabb kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka daripada seksaan neraka yang menyala-nyala.""_*
[Surah Ghafir, 40:7]

📖 *_"Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung ‘Arasy Rabbmu di atas (kepala) mereka."_*
[Surah Al-Haqqah, 69:17]

🍄 Ayat 117 - 118 🍄 
Orang-orang yang melakukan syirik tidak akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

🍓 Ayat 1⃣1⃣7⃣ 
*Dan barangsiapa menyembah ilah yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya (adalah) di sisi Rabbnya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan beruntung.*

🌱 Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencela dan mengancam orang-orang yang menyembah-Nya dengan disertakan pula menyembah ilah yang lain.  Padahal tidak ada dalil atau hujah yang menunjukkan ilah yang mereka sekutukan dengan-Nya itu adalah ilah yang layak disembah. 

🌱 Allah menyatakan bahawa Dia-lah yang akan menghitung dan memberi balasan atas segala kesesatan mereka. Pada hari kiamat kelak mereka ini betul-betul akan mengalami kerugian atas kekafiran mereka dengan dijauhkan daripada syurga dan dimasukkan ke dalam neraka. 

🍓 Ayat 1⃣1⃣8⃣ 
*Dan katakanlah: "Ya Rabbku, berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat yang paling baik.”*

🌱 Dalam ayat ini pula Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi petunjuk kepada Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan orang-orang yang beriman agar memohon dengan doa ini.

🌱  Doa ini mengandungi perkataan ampunan dan rahmat. Ampunan ertinya memohon kepada Allah agar menghapus dosa-dosanya dan menyembunyikan kesalahannya daripada manusia. Manakala Rahmat pula bererti memohon kepada Allah agar diberikan bimbingan dan taufik oleh-Nya dalam semua ucapan dan perbuatan.

Allahu a‘lam.


🌱 Selesai sudah tafsir Surah Al-Mu'minun. Segala puji hanya milik Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Selawat dan salam sentiasa dicurahkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam, keluarga dan para sahabat baginda. 🍓

Tiada ulasan:

Catat Ulasan