doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 12 Julai 2016

Surah 24: An-Nur (Cahaya) - Saad Al Ghamdi








 *Muqaddimah* 

✏ Surah An-Nur Erti: Cahaya

✏ Klasifikasi: Madaniyah

✏ Surah ke-24

✏ Juzuk ke-18

✏ Jumlah ayat: 64 ayat

✏ Bahasa Arab: ٱلنُّور 

✏ Nama surah ini diambil daripada kata An-Nur yang terdapat pada ayat ke 35. Dalam ayat ini, Allah Ta‘ala menjelaskan tentang Nur Ilahi, iaitu Al-Qur'an yang mengandungi petunjuk-petunjuk. Petunjuk-petunjuk Allah itu, merupakan cahaya yang terang benderang menerangi alam semesta. Surah ini sebahagian besar isinya memuatkan petunjuk- petunjuk Allah berkaitan soal kemasyarakatan dan rumah tangga.

🌿🌹🌹🌿🌹🌹🌿🌹🌹🌿


أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk.
 
بِسْمِ ٱللهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


🍄 Ayat 1- 2 🍄
Penjelasan tentang hukuman kepada penzina, larangan mempunyai perasaan belas kasihan dalam perlaksanaannya dan mestilah dilakukan hukuman tersebut di hadapan khalayak ramai.

🌿  Ayat 1⃣ 
*(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.*

🌹 Ayat "ini adalah satu surah yang Kami turunkan" bermaksud surah ini adalah salah satu surah dalam Al-Qur'an yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian. Namun hal ini tidaklah menafikan pentingnya surah-surah yang lain.

🌹 Allah mewajibkan orang-orang beriman agar melaksanakan hukum-hukum, perintah-perintah, larangan, adab-adab dan akhlak yang terkandung di dalamnya. 

🌹 Mujahid dan Qatadah mengatakan ayat "Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya" bermaksud Allah telah menjelaskan halal, haram, perintah, larangan dan batasan-batasan (hukum) di dalamnya. 

🌹 Manakala Imam Bukhari mengatakan "Dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya" bermaksud Allah mewajibkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya kepada orang-orang beriman pada masa itu, juga kepada orang-orang sesudah mereka.

🌿  Ayat 2⃣ 
*Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”*

🌹 Dalam ayat ini terdapat penjelasan tentang hukuman kepada orang-orang yang berzina. Hukuman adalah berbeza mengikut keadaan penzina. Penzina itu adakalanya belum pernah bernikah dan adakalanya muhsan, iaitu seseorang yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah yang sah dan telah akil baligh. Oleh itu hukuman terhadap penzina dikategorikan kepada dua, iaitu:

1⃣Apabila seorang wanita berzina dengan seorang lelaki dan kedua-duanya masih belum berkahwin, sudah baligh, berakal dan bukan pula di kalangan hamba sebaliknya merdeka, maka hukumannya ialah dikenakan seratus kali sebatan seperti yang dijelaskan oleh ayat di atas. Sebatan ini merupakan sebatan yang kuat tetapi tidak melukainya dengan parah dan tidak mematahkan anggota badannya. Kemudian sebagai hukuman tambahannya, dia akan diusir selama satu tahun, jauh dari negerinya. 

2⃣Hukuman terhadap penzina yang muhsan, iaitu yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan perkahwinan yang sah, merdeka, baligh dan berakal ialah mereka direjam iaitu dilempar dengan batu ukuran sederhana hingga mati.

🌹 Dalil yang menunjukkan adanya hukuman di atas terdapat dalam kitab Sahihain. Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dan Zaid bin Khalid Al-Juhahi, mereka berkata, "Dua orang Arab pedalaman datang berjumpa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. 

Salah seorang berkata, "Wahai Rasulullah, anakku bekerja sebagai kuli kepada orang ini, dan anak lelakiku ini berzina dengan isterinya. Aku membayar denda kepadanya seratus ekor kambing dan seorang hamba sahaya. Kemudian aku bertanya kepada orang-orang yang mengetahui hukum, mereka mengatakan anakku diwajibkan menjalani hukuman seratus kali sebatan dan diusir dari kampung halamannya selama satu tahun, manakala isteri orang ini dikenakan hukuman rejam." 

Baginda bersabda :

📚 _*"Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya! Aku benar-benar akan menetapkan hukuman kepada kamu berdua dengan Kitabullah.*_

_*Hamba sahaya dan kambing dikembalikan kepadamu. Anakmu wajib dikenakan hukuman sebatan seratus kali dan diusir. Wahai Unais! (seorang lelaki daripada Bani Aslam), pergilah menemui isteri orang ini.*_

_*Sekiranya dia mengakui perbuatannya, maka rejamlah dia." Maka Unais berangkat menemui isteri lelaki tadi. Perempuan itu mengakui perbuatannya, lalu dia dihukum rejam (dengan dilempari batu-batu sebesar genggaman tangan hingga mati)."*_

🌹 Allah juga melarang terutamanya kepada para hakim memiliki rasa belas kasihan terhadap penzina sehingga tidak mahu melaksanakan hukum-hukum-Nya.

Perasaan belas kasihan ini tidak dibenarkan oleh syarak. 

Sekiranya mereka tidak melakukan hukuman tersebut mereka sebenarnya telah menghalang kedua-duanya daripada membersihkan diri mereka kerana hukuman tersebut adalah sebagai penghapus dosa penzina. 

Oleh itu hukuman tersebut hendaklah ditegakkan sekiranya mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. 

🌹 Menurut Mujahid, makna ayat ini ialah sekiranya hal ini sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, maka hendaklah segera dilaksanakan dan jangan ditangguhkan. 

Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

📚 *_"Hindarkanlah pelaksanaan hukuman di antara kamu (usahakan penyelesaian di antara kamu secara damai), namun hukuman yang sudah sampai kepadaku, wajib dilaksanakan."_*

🌹 Pelaksanaan hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman. 

Hikmahnya adalah untuk menanamkan rasa takut kepada orang-orang yang berkeinginan untuk melakukan perbuatan zina. 

Manakala para pelaku zina pula akan berasa takut dan serik untuk melakukannya lagi. 

Mereka juga akan berasa hina dan malu yang tidak terhingga bila mengingatkan hukuman tersebut dilakukan di khalayak ramai.

🍄Ayat 3 🍄
Penjelasan kedudukan pernikahan penzina lelaki dan penzina perempuan.

🌿  Ayat 3⃣ 
*Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.*

🌹 Allah Ta‘ala menyatakan bahawa lelaki penzina tidak mungkin melakukan persetubuhan haram kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrik. 

Begitu juga wanita penzina tidak mungkin melakukannya kecuali dengan lelaki penzina atau lelaki musyrik.

🌹Sufyan Ath-Thauri meriwayatkan daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, dia mengatakan ayat "dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik" bermaksud bukanlah nikah melainkan jima' (bersetubuh) iaitu tidaklah bersetubuh dengan wanita penzina itu kecuali lelaki penzina atau lelaki musyrik.

🌹Ayat "yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang mukmin" ialah diharamkan orang-orang mukmin lelaki menikahi wanita-wanita pelacur. 

Begitu juga dengan wanita-wanita mukmin yang terpelihara kesucian dirinya diharamkan bernikah dengan lelaki fasik. 

Manakala ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma menyatakan maksud ayat ini ialah Allah mengharamkan zina kepada kaum mukminin. 

Qatadah dan Muqatil bin Hayyan menyatakan maksudnya ialah Allah mengharamkan lelaki mukmin menikahi wanita pelacur.

🌹 Firman ini sama seperti firman-firman-Nya dalam ayat lain:

📖 *_".....dan berilah mas kahwinnya menurut yang patut, sedangkan mereka pun wanita-wanita yang memelihara diri, bukan penzina dan bukan (pula) wanita yang mengambil lelaki lain sebagai pasangan berzina....."_*
[Surah An-Nisa', 4:25]

📖 *_".....Dan dihalalkan bagimu (menikahi) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikan perempuan simpanan....."_*
[Surah Al-Ma'idah, 5:5]

🌹 Di dalam Kitab As-Sunan oleh Abu Daud, Ibnu Hatim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Seorang penzina yang dikenakan hukuman sebat tidak boleh menikah kecuali dengan penzina juga sepertinya."_*

🌹 Manakala Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak sah akad pernikahan antara lelaki yang baik-baik dengan wanita pelacur selagi dia tidak bertaubat. 

Begitu jugalah halnya dengan wanita-wanita yang baik-baik tidak sah perkahwinannya dengan lelaki penzina sehingga dia bertaubat.

🌹 Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa seorang lelaki daripada golongan mukmin meminta kebenaran daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menikahi seorang wanita pelacur bernama Ummu Mahzul. 

Wanita ini akan memberi nafkah kepada suaminya daripada hasil pelacurannya (tidak bertaubat). Maka baginda membacakan ayat 3 daripada Surah An-Nur ini.

🍄Ayat 4 - 5 🍄
Penjelasan hukum qazaf (menuduh zina) dan taubatnya orang yang menuduh zina.

 🌿Ayat 4⃣ 
*Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (melakukan zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.*

🌹 Ayat ini memberikan penjelasan tentang hukuman sebat kepada orang yang menuduh wanita atau lelaki yang terpelihara kesuciannya, merdeka dan sudah mencapai umur baligh melakukan perzinaan padahal mereka tidak melakukannya. 

Orang yang menuduh mereka berzina itu perlu membawa saksi yang menyokong pertuduhan tersebut. Jika dia gagal mendatangkan saksi terhadap tuduhan yang dibuat itu maka dia akan dijatuhkan hukuman.

🌹 Hukuman yang dikenakan ke atasnya ialah:

🔺 Disebat sebanyak 80 kali.

🔺  Ditolak kesaksiannya buat selama-lamanya.

🔺  Dia dinyatakan sebagai orang fasik dan bukan tergolong dalam kalangan orang-orang yang adil (soleh).

 🌿Ayat 5⃣ 
*Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.*

🌹 Pengecualian diberikan sekiranya orang yang menuduh itu bertaubat iaitu kesaksiannya diterima dan dia bukan lagi seorang yang fasik. 

Namun dia masih tetap dihukum dengan sebatan. Ini dikemukakan dengan tegas oleh Sa‘id bin Al-Musayyab dan segolongan besar ulama' salaf.

🌹 Manakala Asy-Sya‘bi dan Adh-Dhahhak pula menyatakan bahawa persaksiannya tidak diterima sekali pun dia bertaubat kecuali setelah dia mengakui bahawa dia telah mengatakan pendustaan yang besar.

 🌹Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 
Dia mengampuni orang-orang yang melakukan dosa besar ini dan tidak mengazab mereka setelah mereka bertaubat.


🍄 Ayat 6 - 10 🍄
Penjelasan tentang li‘an (sumpahan laknat ketika berlaku tuduhan zina oleh suami kepada isterinya).

🌿  Ayat 6⃣ 
*Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.*

 🌿Ayat 7⃣ 
*Dan (sumpah) yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.*

🌹 Ayat ini memberikan jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri dalam permasalahan yang mereka hadapi. Apabila seorang suami menuduh isterinya berzina sedangkan dia tidak dapat menghadirkan saksi terhadap tuduhannya itu, dia hendaklah membawa isteri yang dituduh itu kepada pihak pengadilan syariah dan menjelaskan pertuduhan tersebut.

🌹 Kemudian hakim akan memerintahkan suami itu melakukan mula‘anah iaitu bersumpah sebanyak empat kali dengan nama Allah sebagai ganti empat orang saksi bahawa dia adalah orang yang benar dan jujur terhadap tuduhan zina yang dibuat kepada isterinya itu. Sumpah yang kelima pula adalah laknat Allah kepadanya sekiranya dia berbohong.

🌹 Setelah suami selesai bersumpah, bererti isteri tersebut sudah diceraikan dan kedua-duanya haram bercampur buat selama-lamanya. Bekas suami wajib menyerahkan baki mas kahwin jika masih berhutang dan bekas isteri pula dikenakan hukuman zina iaitu rejam hingga mati.

🌿  Ayat 8⃣ 
*Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah, bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta,*

🌿 Ayat 9⃣ 
*dan (sumpah) yang kelima bahawa murka Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.*

🌹 Walau bagaimana pun, isteri itu dikecualikan daripada hukum rejam jika dia melakukan mula‘anah iaitu bersumpah sebanyak empat kali dengan nama Allah bahawa tuduhan zina yang dibuat kepadanya itu adalah dusta. Sumpah yang kelima pula adalah murka Allah kepadanya sekiranya dia yang berbohong.

🌹 Allah menggunakan perkataan murka pada ayat ke sembilan sedangkan pada ayat ke tujuh digunakan laknat kerana biasanya seorang suami tidak akan mengaibkan isterinya dengan tuduhan berzina dan sebagai isteri, seharusnya dia mengetahui tuduhan itu benar atau palsu. Oleh itu, sumpahan yang kelima daripada isteri membuktikan dia sanggup ditimpa kemurkaan Allah jika dia berdusta.

🌿  Ayat 1⃣0⃣ 
*Dan seandainya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya atas dirimu dan (seandainya) Allah bukan Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, (nescaya kamu akan mengalami banyak kesulitan).*

 🌹Hukuman li‘an ini  menunjukkan terdapat kasih sayang dan kelembutan Allah kepada para hamba-Nya dalam mencari penyelesaian yang terbaik dan keluar daripada permasalahan yang dihadapi dalam rumah tangga.

🌹 Allah Maha Penerima Taubat hamba-Nya yang bertaubat setelah melakukan sumpah yang berat. Allah juga Maha Bijaksana menentukan segala perintah dan larangan dalam syariat-Nya.

🌹 Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma tentang sebab turunnya ayat hukum li‘an ini. Kisah ini dihadapi oleh seorang sahabat bernama Hilal bin ‘Umayyah. Dia merupakan salah seorang yang telah diampuni Allah kerana tidak menyertai Perang Tabuk.

🌹 Suatu hari Hilal datang kepada Rasulullah sallalahu ‘alaihi wa sallam mengadu bahawa isterinya berzina dengan lelaki lain. Sebelum baginda sempat memberi hukuman sebatan kerana menuduh berzina tanpa saksi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat-ayat di atas.

 🌹 Setelah proses mula‘anah selesai dilakukan oleh Hilal dan isterinya, maka baginda menjatuhkan hukuman talak dan menetapkan bahawa anak yang lahir tidak dinasabkan kepada Hilal. Baginda juga menetapkan barangsiapa menuduh wanita itu berzina dan menuduh anak dalam kandungan perempuan itu sebagai hasil zina, dia akan dikenakan hukuman sebatan. Hilal juga tidak diwajibkan menyediakan rumah dan makanan (dalam tempoh ‘iddah) kerana perempuan itu bukan ditalak dan bukan kematian suami.

 🌹Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam kemudiannya bersabda:

📚 *_"Jika dia melahirkan bayi berkulit putih kemerah-merahan dan kecil kedua-dua betisnya, maka dia anak Hilal. Tetapi jika bayi itu berkulit hitam, berambut kerinting, rupa elok, betisnya besar dan kedua pinggulnya panjang maka bayi itu anak kepada lelaki lain tersebut."_*

🌹 Setelah lahir, didapati anak itu berkulit hitam, berambut kerinting, rupa elok, betisnya besar dan kedua pinggulnya panjang. Maka baginda bersabda:

📚 *_"Seandainya tidak ada sumpah, nescaya ada urusan antara aku dengan wanita itu."_*

🌹 Maksud baginda ialah sekiranya tidak ada hukum mula‘anah, sudah pasti baginda akan menegakkan hukum rejam hingga mati terhadap wanita tersebut.

🌹‘Ikrimah mengatakan anak itu kemudiannya menjadi Gabenor Mesir dan dia menasabkan dirinya kepada ibunya dan tidak kepada ayahnya.

 🍄 Ayat 11 🍄
Peristiwa tersebarnya fitnah dan tuduhan yang tidak benar terhadap Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha. 

🌿  Ayat 1⃣1⃣ 
*Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.*

🌹 Ayat ini dan sembilan ayat berikutnya, keseluruhannya adalah diturunkan berkenaan dengan Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha yang dituduh berbuat serong oleh segolongan orang-orang munafik. Mereka membuat fitnah dengan menyebarkan berita kononnya ‘Aisyah radhiallahu ‘anha telah melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin Mut‘athal semasa dalam perjalanan pulang daripada satu peperangan. Sebenarnya berita yang mereka sebarkan itu adalah bohong belaka dan rekaan mereka sendiri. 

🌹 Lalu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat ini bagi membersihkan nama ‘Aisyah radhiallahu ‘anha dan membebaskannya daripada fitnah yang keji itu. Selain itu, ayat ini juga diturunkan untuk menjaga martabat serta kehormatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sekali gus membersihkan nama sahabat baginda iaitu Safwan bin Mut‘athal.

🌹 Sebenarnya orang-orang yang menyebarkan tuduhan keji ini adalah daripada kalangan mereka sendiri. Orang yang mula-mula menyebarkan fitnah dusta ini ialah ‘Abdullah bin Ubay bin Salul iaitu pemimpin kaum munafik, semoga Allah melaknatnya. Kemudian disertai pula oleh tiga orang lagi iaitu Hasan bin Thabit, Mistah bin Athathah dan Hamnah binti Jahsy. Ada sebahagian daripada kalangan kaum mukmin terpedaya dan mempercayai fitnah yang disebarkan itu, akhirnya menjadi bahan perbualan dan cemuhan di kalangan orang ramai.

🌹 Walaupun begitu, terdapat sebahagian daripada orang-orang yang beriman tidak mempercayai tuduhan tersebut. Keadaan fitnah ini berlanjutan selama sebulan, iaitu sehingga turun ayat-ayat Al-Qur'an yang menjelaskan perkara yang sebenarnya.

📌 Penjelasan tentang kisah ini secara terperinci boleh dirujuk dalam hadis-hadis sahih seperti dalam Kitab Tafsir Sahih Ibnu Kathir.

🌹 Dalam ayat ini juga Allah mengajar orang-orang beriman agar tidak berkeluh kesah dan bersedih atas peristiwa ini. Sebenarnya hal ini membawa kebaikan iaitu mereka akan mendapat pahala yang besar di sisi-Nya atas kesabaran mereka menghadapi ujian yang besar ini. 

🌹 Allah berjanji bahawa setiap hamba-Nya pasti menerima balasan daripada apa yang mereka lakukan baik dari segi perbuatan mahupun perkataan dan apa sahaja yang mereka sebarkan. Sesiapa yang mengambil bahagian terbesar dalam penyebaran berita bohong ini, mereka akan ditimpakan azab yang besar di akhirat nanti.

🍄Ayat 12 - 13 🍄
Pelajaran yang boleh diambil oleh orang-orang mukmin apabila tersebarnya berita bohong.

🌿 Ayat 1⃣2⃣ 
*Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”*

🌹 Pada peristiwa ‘Aisyah radhiallahu ‘anha ini terdapat pelajaran yang berharga daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang-orang yang beriman. Ketika mendengar berita palsu tersebut, mereka sepatutnya membayangkan tuduhan keji seperti itu dikenakan terhadap diri mereka sendiri. Jika mereka berasa tuduhan seperti itu tidak layak ditujukan kepada mereka, tentulah Ummul Mukminin lebih layak bebas daripada tuduhan itu. Ummul Mukminin lebih suci daripada diri mereka. Oleh itu mereka sepatutnya tidak mempercayai berita bohong tersebut.

🌿  Ayat 1⃣3⃣ 
*Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh sebab mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.”*

🌹 Allah Ta‘ala menyatakan bahawa sepatutnya orang-orang yang membuat tuduhan keji terhadap Ummul Mukminin, mendatangkan empat orang saksi, bagi membuktikan kebenaran tuduhan mereka. Namun mereka tidak mendatangkan saksi-saksi tersebut. Oleh itu pada sisi Allah, mereka termasuk orang-orang yang berdusta. 



🍄Ayat 14 -15 🍄
Allah Subhanahu wa Ta‘ala membuka pintu taubat sebagai salah satu kurnia-Nya kepada penyebar berita bohong.

🌿 Ayat 1⃣4⃣ 
*Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.*

🌹 Ayat ini ditujukan kepada orang-orang beriman yang terlibat dalam penyebaran berita bohong dan berlebih-lebihan dalam memperkatakan tentang Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha. Oleh sebab dalam hati mereka masih terdapat keimanan terhadap hari akhirat, Allah menerima taubat dan memaafkan mereka. Ini adalah kurniaan dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya dengan dibukanya pintu taubat buat mereka, antaranya ialah Mistah iaitu saudara Abu Bakar yang miskin, Hasan bin Thabit dan Hamnah binti Jahsy, saudara perempuan Zainab binti Jahsy. 

🌹 Walau bagaimanapun, penyebar fitnah di kalangan orang-orang munafik seperti ‘Abdullah bin Ubay bin Salul dan pengikut-pengikutnya, tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam ayat ini. Ini kerana mereka tidak memiliki iman dan amal soleh.

🌿 Ayat 1⃣5⃣ 
*(Ingatlah) pada waktu kamu menerima berita bohong itu daripada mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ia pada sisi Allah adalah besar.*

🌹 Ayat ini merupakan celaan dan pelajaran kepada mereka yang sangat mudah membuat tuduhan yang amat berat kepada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, Ummul Mukminin. Ketika mereka saling menerima berita bohong ini, mereka menganggap hal tersebut adalah remeh, tidak berdosa dan ringan di sisi Allah sedangkan di sisi-Nya, tuduhan ini merupakan dosa yang amat besar. Lebih-lebih lagi hal ini melibatkan kehormatan Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, Ummul Mukminin, Abu Bakar A-Siddiq dan ahlul bait. 

🌹 Andai kata Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bukan isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, tuduhan itu tetap bukan satu tuduhan yang ringan. Terdapat sebuah hadis dalam kitab sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim:

📚 *_"Sungguh seseorang hamba mengucapkan satu perkataan yang menyebabkan kemurkaan Allah, dia tidak tahu sampai ke mana akibat buruknya. Dengan kalimat itu mengakibatkan dia terjerumus ke dalam neraka, lebih jauh antara jarak langit dan bumi." Dalam riwayat yang lain: "Yang tidak terfikirkan olehnya baik dan buruknya."_*

🍄Ayat 16 - 19 🍄
Pelajaran kepada orang-orang yang menyukai tersebarnya tuduhan palsu terhadap orang-orang mukmin.

🌿Ayat 1⃣6⃣ 
*Dan mengapa kamu tidak berkata pada waktu mendengar berita bohong itu, "Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.”*

🌹 Sebenarnya setiap mukmin tidak patut membicarakannya atau mengucapkannya kerana perkara ini adalah perkara yang besar. Maha Suci Allah kerana apa yang mereka tuduh itu terkena kepada isteri seorang rasul yang merupakan kekasih-Nya.

 🌹 Allah juga memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bersangka baik. Sekiranya terdetik suatu bisikan dalam hati mereka yang mengarah kepada buruk sangka, mereka hendaklah menahan diri daripada mengucapkannya. Ini sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam kitab Sahihain:

📚 *_"Sesungguhnya Allah memberikan maaf untuk umatku atas apa yang dikatakan hatinya selama mana belum diucapkan atau belum dilaksanakan."_*

🌿  Ayat 1⃣7⃣ 
*Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali berbuat seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman,*

🌹 Allah melarang dan mengancam mereka agar tidak melakukan kesalahan seperti ini lagi buat selama-lamanya. Itu pun sekiranya mereka benar-benar beriman kepada-Nya, syariat-syariat-Nya dan menerima Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai pemimpin manusia di dunia dan akhirat.

🌿 Ayat 1⃣8⃣ 
*dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.*

🌹 Allah menjelaskan tentang hukum-hukum syarak dan hikmah-hikmah daripada ketetapan-Nya yang mengandungi petunjuk dan cahaya agar hamba-hamba-Nya mendapat bimbingan dan kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Dia Maha Mengetahui apa sahaja yang menjadi maslahat kepada para hamba-Nya dan Maha Bijaksana dalam syariat dan menentukan sesuatu.

🌿 Ayat 1⃣9⃣ 
*Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.*

🌹 Ini merupakan pengajaran kepada orang-orang yang memilih untuk menyebarkan perkataan-perkataan keji terhadap orang-orang yang beriman. Mereka akan dikenakan hukuman dan mendapat penghinaan daripada orang-orang sekeliling semasa berada di dunia. Manakala di akhirat pula mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu dimasukkan ke neraka Jahannam sekiranya tidak bertaubat. Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Thauban, Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Janganlah kamu menyakiti hati hamba-hamba Allah, janganlah membuka aib mereka, janganlah mencari-cari keburukan mereka. Kerana barangsiapa yang mencari-cari keburukan saudaranya, nescaya Allah akan mencari keburukannya sehingga Dia akan memalukannya (sekali pun) di dalam rumahnya sendiri."_*

🌹 Oleh itu kembalikanlah semua urusan kepada-Nya, nescaya akan mendapat bimbingan kerana Allah Maha Mengetahui, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu sedangkan manusia tidak mengetahui apa-apa kecuali sedikit sahaja.

🍄 Ayat 20 - 21🍄 
Perintah supaya mengingati nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan larangan mengikuti langkah-langkah syaitan.

🌿  Ayat 2⃣0⃣ 
*Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar).*

🌹 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyatakan jikalau tidak dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, nescaya Dia meninggalkan mereka begitu sahaja selepas mereka membuat tuduhan palsu dan pasti mereka akan ditimpa azab di akhirat kelak. Namun Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dia mengampuni orang-orang yang memohon ampun dan bertaubat di kalangan mereka serta orang-orang yang membersihkan diri mereka dengan menjalani hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

🌿Ayat 2⃣1⃣ 
*Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih (daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.*

🌹 Allah memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar menjauhi ajakan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata, sentiasa menyuruh manusia mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.

🌹 ‘Ali bin Abi Talhah mengatakan "langkah-langkah syaitan" bermaksud perbuatan syaitan. ‘Ikrimah mentafsirkannya sebagai pujuk rayu syaitan dan Qatadah pula menyatakan maksudnya ialah semua perbuatan maksiat.

🌹Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan orang-orang beriman agar berhati-hati terhadap bisikan syaitan dan selalu meminta pertolongan dan perlindungan kepada-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dan hanya Dia yang dapat menyelamatkan manusia daripada syaitan.

🌹 Jikalau bukan kerana kurnia dan rahmat-Nya, terhadap orang-orang mukmin dengan cara menjaga dan melindungi mereka daripada gangguan syaitan, sudah tentu Dia tidak akan mensucikan seorang pun daripada mereka. Ini kerana kebiasaannya mereka mempunyai kelemahan dan kecenderungan untuk mengikuti pujukan syaitan.

🌹 Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka Allah akan memelihara mereka dan wajib atas mereka berserah diri kepada-Nya. Dia Maha Mendengar perkataan hamba-hamba-Nya dan Maha Mengetahui segala amalan, niat dan keadaan mereka.

🍄Ayat 22 🍄
Anjuran kepada orang-orang yang memiliki hati dermawan untuk bersedekah dan memaafkan kesalahan.

🌿  Ayat 2⃣2⃣ 
*Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.*

🌹 Ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Bakar radhiallahu ‘anhu yang telah bersumpah tidak akan memberikan sebarang nafkah pun kepada sepupunya yang bernama Mistah bin Uthathah yang miskin. Ini kerana Mistah telah membuat tuduhan palsu terhadap ‘Aisyah radhiallahu ‘anha dan menyebarkan berita bohong tersebut.

🌹 Ayat ini juga telah membuka pintu hati Abu Bakar radhiallahu ‘anhu untuk memaafkan Mistah, maka Allah pun mengampuni dosa-dosanya. Dia yang terkenal sebagai seorang dermawan terhadap saudara mara, kaum kerabat dan masyarakat di sekelilingnya kemudiannya memberikan kembali nafkah yang dulu pernah diberikan dan bersumpah bahawa dia tidak akan menghentikan nafkah kepada sepupunya itu buat selama-lamanya.

🌹 Maksud ayat "orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan" ialah orang-orang yang memiliki harta, rajin bersedekah dan berhati dermawan.

🌹 Allah menganjurkan agar  menyambung silaturrahim dan memerintahkan setiap orang supaya memaafkan dan berlapang dada atas tuduhan buruk dan menyakitkan yang pernah ditujukan kepadanya. Ini adalah bukti kemurahan, kemuliaan dan kasih sayang Allah terhadap makhluk-makhluk-Nya meskipun mereka telah menzalimi diri sendiri.

 🌹Allah memiliki ampunan dan rahmat, kedua-duanya sifat wajib bagi Allah. Ayat ini juga menganjurkan para hamba-Nya untuk selalu meminta keampunan dan rahmat-Nya dengan selalu memohon ampun dan bertaubat yang sebenar-benarnya. 



🍄Ayat 23 - 25 🍄
Ancaman kepada orang-orang yang menuduh zina kepada wanita-wanita beriman dan baik-baik, padahal tidak terlintas dalam fikiran mereka untuk berzina.

🌿 Ayat 2⃣3⃣ 
*Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lalai (daripada berbuat zina bahkan tidak ada sedikit pun dalam hati mereka untuk melakukannya) lagi beriman, mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar,*

🌹 Ayat ini pada awalnya ditujukan kepada Abdullah bin Ubay bin Salul, tetapi kemudiannya ditujukan kepada sesiapa sahaja yang menuduh perempuan yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, yang baik-baik dan tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk melakukan perbuatan keji ini kerana kesucian hati mereka.

🌹 Mereka yang melemparkan tuduhan ini akan jauh daripada rahmat Allah. Di dunia mereka ditegakkan hukuman dan mendapat laknat manakala di akhirat dikenakan azab. Firman Allah:

📖 *_"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan."_*
[Surah Al-Ahzab, 33:57]

🌹 Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Jauhi tujuh dosa (besar) yang dapat merosakkan amal perbuatan." Mereka bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri pada hari peperangan dan menuduh zina wanita-wanita yang baik serta beriman yang tidak terlintas dalam fikirannya berbuat zina."_*

🌿  Ayat 2⃣4⃣ 
*pada hari (ketika) lidah, tangan, dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.*

🌹 Pada hari kiamat nanti semua anggota badan akan menjadi saksi terhadap segala perbuatan yang telah mereka lakukan. 

🌹 Dalam sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim, Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, dia berkata: "Ketika kami duduk bersama Rasulullah salllallahu ‘alaihi wa sallam tiba-tiba baginda tertawa hingga terlihat gigi gerahamnya. Kemudian baginda bersabda: 

📚 *_"Tahukah kamu kenapa aku tertawa?" Kami menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: "(Aku tertawa) kerana ada perdebatan antara seorang hamba dengan Rabb-Nya." Hamba itu berkata: "Ya Rabbku, bukankah Engkau telah memberi rasa aman bahawa Engkau tidak menzalimiku?" Allah menjawab "Benar." Hamba itu melanjutkan: "Aku tidak akan menerima kesaksian atasku kecuali diriku sendiri." Allah berfirman: "Cukuplah dirimu menjadi saksi bagimu pada hari ini dan para malaikat yang mulia adalah saksi atas dirimu." Lalu dikuncikan mulutnya dan dikatakan kepada anggota tubuhnya: "Bicaralah kamu!" Lalu anggota tubuhnya menceritakan seluruh amal perbuatannya. Kemudian hamba itu diberikan kuasa untuk berbicara, dia berkata: "Celaka kamu (anggota tubuhnya)! Sesungguhnya untuk kamulah dahulu aku berbuat."_*

🌿  Ayat 2⃣5⃣ 
*Pada hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Dia-lah Yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).*

🌹 Pada hari kiamat, ketika Allah memberi balasan kepada mereka barulah mereka sedar bahawa Dia adalah Maha Benar yang wajib diibadahi.

🌹 Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma mengatakan balasan dalam ayat ini merujuk kepada perhitungan terhadap amalan mereka. Allah Ta‘ala Maha Menjelaskan janji, ancaman dan perhitungan amal perbuatan manusia. Dia Maha Adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.

🍄 Ayat 26 🍄
‘Aisyah radhiallahu ‘anha adalah wanita yang baik kerana beliau adalah isteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam seorang manusia yang terbaik.

🌿  Ayat 2⃣6⃣ 
*Wanita-wanita yang tidak baik adalah untuk lelaki yang tidak baik, dan lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (iaitu syurga).*

🌹 Allah menyatakan bahawa wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji seperti Abdullah bin Ubay dan begitulah sebaliknya. Sementara wanita yang baik seperti Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha adalah untuk lelaki yang baik seperti Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan begitulah sebaliknya. Ayat ini juga menguatkan ayat, "Mereka yang dituduh itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka yang dituduh" iaitu bersih daripada perkataan buruk yang diucapkan oleh Abdullah bin Ubay dan orang-orang yang turut menyebarkan bersama-samanya.  

🌹 Allah menyatakan "bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia" merupakan khabar gembira kepada mereka iaitu diampunkan dosa-dosa mereka dan dimasukkan ke syurga sebagai balasan terhadap fitnah yang mereka terima.

🌹 Dengan ini selesai sudah pembebasan diri Ummul Mukminin, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha daripada segala tuduhan. Segala puji bagi Allah di dunia dan akhirat.

🍄Ayat 27 - 29 🍄
Adab memasuki rumah orang.

🌿  Ayat 2⃣7⃣  
*Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.*

🌹 Allah memerintahkan orang-orang mukmin agar jangan sekali-kali memasuki rumah yang berpenghuni dan bukan rumahnya sendiri sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu. Meminta izin ini mestilah dilakukan sebanyak tiga kali. Apabila telah mendapat keizinan, barulah dibolehkan masuk. Hukum ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari tentang Abu Musa Al-Asy‘ari meminta izin untuk masuk ke rumah ‘Umar radhiallahu ‘anhu sebanyak tiga kali tetapi ‘Umar radhiallahu ‘anhu belum juga memberikan keizinan lalu beliau pulang. Ini kerana beliau telah mendengar Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Apabila salah seorang di antara kamu meminta izin sebanyak tiga kali, kemudian dia tidak diizinkan masuk, maka hendaklah dia pergi."_*

🌹 Selain itu, orang yang meminta izin untuk memasuki sesebuah rumah hendaklah tidak berdiri di hadapan muka pintu. Dia hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu tersebut. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ‘Abdullah bin Busr, dia berkata, "Rasullullah bila telah sampai ke hadapan pintu rumah orang, baginda tidak menghadapkan wajahnya ke arah pintu. Baginda berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucapkan, "Assalamualaikum! Assalamualaikum!" Hal ini kerana pada masa itu rumah-rumah belum menggunakan langsir". Hadis ini diriwayatkan secara sendirian oleh Abu Daud, terdapat dalam Sahihul Jami‘.

🌹 Perbuatan meminta izin terlebih dahulu ini menunjukkan akhlak yang mulia dan melindungi seseorang daripada terjerumus ke dalam dosa. 

🌿  Ayat 2⃣8⃣ 
*Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembali (sahaja)lah," maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.*

🌹 Dalam ayat ini, Allah melarang para hamba-Nya yang beriman memasuki rumah yang tiada penghuninya kecuali setelah mendapat izin.

🌹 Sekiranya penghuni rumah itu tidak bersedia untuk menerima tetamu pada hari itu maka hendaklah pulang dengan hati yang lapang dan berbaik sangka serta tidak pula berasa marah atau berkecil hati.

🌹 Sememangnya tidak patut menunggu-nunggu di hadapan pintu rumah orang. Allah sahajalah yang mengetahui tentang niat orang-orang yang menunggu-nunggu itu. Kelak Allah akan memberikan balasan.

🌹 Adab meminta izin sebelum masuk rumah itu baik bagi kedua-dua belah pihak sama ada untuk yang meminta izin atau pihak tuan rumah. Ini kerana apabila memasuki sebuah rumah tanpa mendapat izin, mereka telah menggunakan hak milik orang lain dan ini adalah salah daripada segi hukum syarak.

🌿 Ayat 2⃣9⃣ 
*Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.*

🌹 Ayat ini bermaksud dibolehkan memasuki rumah yang tidak didiami oleh seorang pun jika ada keperluan di dalamnya tanpa perlu minta izin. Contohnya seperti rumah yang memang disediakan untuk para tamu, jika pada awalnya telah diberikan kebenaran.

🌹 Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan sama ada secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi, baik dari segi perbuatan ataupun percakapan. Oleh itu hendaklah sentiasa berasa diawasi-Nya dalam segala perintah dan larangan-Nya. 

🍄 Ayat 30 🍄
Perintah untuk menjaga pandangan.

🌿  Ayat 3⃣0⃣ 
*Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."*

🌹 Ayat ini mengandungi perintah daripada Allah kepada para hamba-Nya yang beriman agar menjaga pandangan daripada perkara yang diharamkan seperti memandang wanita-wanita yang bukan mahramnya dan menjaga kemaluan mereka daripada yang haram seperti zina. 

🌹 Sekiranya terlihat sesuatu yang diharamkan dengan tidak sengaja maka hendaklah terus mengalihkan pandangannya. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya daripada Jubair bin ‘Abdillah Al-Bajali radhiallahu ‘anhu, dia berkata, "Aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang pandangan yang datang tiba-tiba dan tidak dilakukan dengan sengaja. Baginda memerintahkan aku agar segera memalingkannya pandanganku."

🌹 Abul Qasim Al-Baghawi meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Umamah, dia berkata, "Aku mendengar Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Berikan aku jaminan (agar kamu) melakukan enam perkara nescaya aku akan menjamin kamu masuk syurga. Apabila salah seorang daripada kamu berkata-kata, maka janganlah berdusta. Apabila dia diberikan amanah, maka jangan ingkari. Apabila berjanji, dia tidak melanggarnya. Hendaklah menjaga pandangan, hendaklah memelihara tangan dan hendaklah memelihara kemaluan."_*

🌹 Memandang perkara-perkara yang diharamkan boleh merosakkan hati. Oleh sebab itulah Allah memerintahkan kita untuk menjaga kemaluan sebagaimana Dia memerintahkan kita untuk menjaga pandangan mata yang menjadi pendorong kepada memelihara kemaluan.

🌹 Menjaga kemaluan kadangkala maksudnya adalah mencegah diri daripada perbuatan zina, seperti firman Allah:

📖 *_“Dan mereka yang menjaga kehormatannya“_*
[Surah Al-Mu’minun, 23:5]

 🌹Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang hamba-hamba-Nya lakukan seperti firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”_*
[Surah Al Mu’min/Ghafir, 40:19] 



🍄Ayat 31 🍄
Hukum hijab dan etika berjalan bagi seorang wanita.

🌿Ayat 3⃣1⃣ 
*Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat)nya, kecuali yang (biasa) terlihat daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung (selendang) hingga ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (aurat)nya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kalian beruntung.*

🌹 Ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada kaum wanita mukmin, sebagai ketetapan-Nya supaya terpelihara kehormatan suami-suami mereka yang terdiri daripada hamba-hamba-Nya yang beriman. Selain itu, perintah ini juga adalah untuk membezakan ciri-ciri wanita-wanita yang beriman dengan ciri-ciri wanita jahiliah. 

🌹 Allah memerintahkan para wanita agar menundukkan pandangan mereka daripada hal-hal yang diharamkan oleh-Nya seperti memandang lelaki yang bukan mahram. Walau bagaimanapun sebahagian ulama' menetapkan kaum wanita dibolehkan melihat lelaki sekiranya tidak menimbulkan syahwat. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, bahawa Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat orang-orang Habsyi bermain permainan tombak di dalam masjid pada hari raya ‘Id. Sementara ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, Ummul Mukminin juga melihat mereka dari arah belakang baginda dan baginda melindunginya daripada pandangan mereka. ‘Aisyah radhiallahu ‘anha pun melihat mereka bermain sehingga beliau berasa puas dan kembali ke rumah.

🌹 Allah juga memerintahkan kaum wanita mukmin agar menjaga kemaluan mereka daripada melakukan perbuatan zina dan tidak menampakkan satu pun aurat kepada lelaki yang bukan mahram, kecuali yang zahir sahaja. Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhuma mengatakan yang zahir itu ialah kain tudung dan pakaian luar yang dipakai oleh seseorang wanita kerana hal ini tidak dapat dielakkan.

🌹 Mereka juga diperintahkan melabuhkan kain tudung sehingga menutupi bahagian dada mereka seperti firman-Nya:

📖 *_"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."_*
[Surah Al-Ahzab, 33:59]

🌹 Allah menyatakan hanya golongan yang tertentu sahaja yang dibolehkan kaum mukminah untuk mempamerkan atau dilihat aurat mereka. Mereka adalah mahram-mahram kepada wanita itu iaitu suami, bapa, saudara-saudara lelaki mereka sama ada sebapa atau seibu dan seterusnya ke atas, bapa mertua dan seterusnya ke atas, anak dan seterusnya ke bawah, anak-anak suami dan seterusnya ke bawah. Anak saudara lelaki daripada abangnya dan seterusnya ke bawah, baik daripada sebapa atau seibu, anak lelaki daripada saudara perempuan kandung daripada saudara perempuan sebapa dan seibu, wanita muslimah daripada wanita-wanita yang beriman, budak lelaki yang dimilikinya secara penuh (hamba sahaya).

🌹 Isteri dibolehkan membuka auratnya di hadapan suaminya. Ini kerana semua perilaku isteri memang untuk berkhidmat kepada suami. Oleh itu isteri boleh melakukan apa sahaja di hadapan suaminya dengan syarat tidak ada orang lain yang melihatnya.

🌹 Allah juga memberi keringanan kepada kaum muslimah untuk menampakkan aurat mereka kepada lelaki tua yang sudah tiada nafsu dan kanak-kanak lelaki yang belum baligh. Ini kerana mereka belum mengetahui sama sekali tentang aurat wanita.

🌹 Allah melarang wanita-wanita mukminah yang memakai gelang kaki menghentakkan kakinya ke tanah agar didengari bunyi gemercingnya sama seperti yang dilakukan oleh wanita jahiliah. Tujuannya supaya para lelaki mengetahui bahawa dia memiliki perhiasan di kakinya walaupun tidak bermaksud memperlihatkan auratnya. Daripada ayat inilah menjadi hujah larangan wanita memakai wangi-wangian ketika hendak keluar rumah sehingga dapat dihidu oleh lelaki bukan mahram. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmizi daripada Abu Musa Al-Asy‘ari, dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Setiap mata (yang melihat wanita dengan syahwat yang tidak halal baginya), bererti mata tersebut melakukan perzinaan. Dan wanita, bila dia memakai wangi-wangian, kemudian dia melintasi suatu kumpulan, maka dia telah melakukan ini dan itu. (At-Tirmizi berkata) iaitu telah menyebabkan mata lelaki berzina kerana bau wangi-wangiannya itu menyebabkan lelaki tertarik memandangnya."_*

🌹 Ayat ini juga menunjukkan larangan bagi wanita mukmin yang berjalan ditengah-tengah jalan kerana terdapat unsur tabarruj (menampakkan aurat dan kecantikan tubuh badan). Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Abu Usaid Al-Ansari, ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berada di luar masjid dan melihat sekumpulan lelaki dan wanita di jalan lalu baginda bersabda:

📚 *_"Berjalanlah ke belakang, kerana kamu tidak boleh berjalan di tengah jalan. Kamu harus berjalan di tepi jalan."_*

🌹 Allah memerintahkan wanita-wanita mukminah agar bertaubat dengan meninggalkan perbuatan yang menyebabkan kemurkaan-Nya dan mengerjakan amalan yang telah disyariatkan-Nya. Mereka juga hendaklah memiliki sifat-sifat yang mulia dan berakhlak yang terpuji agar mereka beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

🍄 Ayat 32 - 34 🍄
 Perintah menikah dan memelihara kesucian kepada sesiapa yang tidak mampu menikah, perintah supaya hamba sahaya diberi peluang kebebasan melalui akad mukatabah, dan larangan memaksa hamba sahaya perempuan melakukan perzinaan.

🌿  Ayat 3⃣2⃣ 
*Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha mengetahui.*

🌹 Allah memerintahkan supaya menikahkan orang-orang muslimin yang belum memiliki pasangan hidup sama ada lelaki atau perempuan, yang masih bujang atau yang telah berpisah dengan pasangan masing-masing. 

🌹 Sebahagian ulama' berpendapat, nikah adalah hukumnya wajib kepada setiap orang berkemampuan. Mereka berdalil dengan hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Wahai sekalian pemuda! Barangsiapa di antara kamu yang mampu mengeluarkan biaya pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu lebih menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa merupakan penawar nafsu syahwat."_*

🌹 ‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma mengatakan, Allah Ta‘ala mendorong manusia untuk menikah. Dia memerintahkan orang-orang yang merdeka dan juga hamba sahaya supaya menikah. Dia juga menjanjikan kecukupan dan kemampuan kepada mereka untuk menikah.

🌹 Hadis riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka: (1) orang yang menikah dengan tujuan menjaga kesucian, (2) hamba sahaya yang ingin membebaskan diri dengan membayar secara ansuran dan (3) orang yang berperang di jalan Allah."_*

🌿Ayat 3⃣3⃣ 
*Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan budak-budak yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa budak-budak wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa (itu).*

🌹 Allah Ta‘ala juga memerintahkan orang yang tidak mampu membiayai pernikahan supaya menjaga kehormatan diri dengan bersabar dan berpuasa.

🌹 ‘Ikrimah menyatakan bahawa jika seorang lelaki melihat wanita lain dengan penuh syahwat dan dia mempunyai isteri, hendaklah dia menggauli isterinya. Namun jika tidak beristeri, maka hendaklah dia menunggu ketentuan Allah iaitu sehingga Dia memberikan kemampuan kepadanya.  

🌹 Dalam ayat ini juga terdapat perintah daripada Allah kepada pemilik hamba, jika dia seorang muslim memiliki seorang hamba yang memintanya melakukan perjanjian mukatabah, hendaklah dia memberi peluang kebebasan itu. Syarat yang dikenakan kepada hamba ialah dia hendaklah berkemampuan untuk bebaskan dirinya dan juga berkemampuan untuk membayar mukatabah dan boleh hidup berdikari. Tuannya pula menyetujui akad mukatabah itu dan membantunya dengan melunasi salah satu syarat mukatabah.

🌹 Perjanjian mukatabah ialah perjanjian untuk seseorang hamba membebaskan diri dan ini tidak akan terjadi kecuali jika dibayar secara ansuran. Perjanjian ini tidak sah jika dibayar sekali gus atau dalam masa satu bulan.

🌹 Al-Hasan Al-Basri dan beberapa mufassir berpendapat maksud ayat "Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu" ialah diberikan zakat kepada mereka. Manakala Ibrahim An-Nakha'i pula berpendapat memberikan sebahagian harta kepada mereka sama ada tuannya sendiri atau orang lain untuk menolong hamba sahaya yang sedang berusaha untuk membebaskan diri.

🌹 Di dalam ayat ini juga terdapat larangan memaksa hamba sahaya perempuan melakukan perzinaan. Ini kerana telah menjadi tradisi jahiliyah akan menyuruh hamba perempuan melacurkan diri (berzina) dan hasilnya diambil oleh tuan itu. Anak-anak hasil perzinaan itu pula nanti akan menjadi milik mereka juga.

🌹 Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba sahaya yang dipaksa melacurkan diri. Sebab turunnya ayat ini menurut sebahagian besar para ulama' tafsir, adalah berkaitan dengan Abdullah bin Ubay bin Salul. Dia memiliki ramai hamba sahaya yang dipaksanya untuk melacur kerana mengharapkan upah hasil pelacuran dan anak daripada hamba sahayanya. Anak-anak hasil pelacuran itu pula diharapkan akan menjadi hambanya juga.

🌿 Ayat 3⃣4⃣ 
*Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penerangan, dan contoh-contoh daripada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.*

🌹 Allah telah menurunkan Al-Qur'an yang mengandungi kisah-kisah umat-umat terdahulu sebagai peringatan dan pengajaran kepada umat kemudian. Firman-Nya:

📖 *_"Dan Kami jadikan mereka sebagai pengajaran dan contoh bagi orang-orang kemudian."_*
[Surah Az-Zukhruf, 43:56]

🌹 Walau bagaimanapun peringatan dan pengajaran ini hanya memberi kesan kepada orang-orang yang bertakwa iaitu mereka yang takut kepada Allah.



🍄Ayat 35 🍄
Perumpamaan cahaya Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

🌿Ayat 3⃣5⃣ 
*Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak di sebelah barat(nya), yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.*

🌹 Allah menyatakan bahawa jika bukan kerana-Nya, tidak adalah cahaya di alam ini dan tidak ada petunjuk di langit mahupun di bumi. Ini kerana Dia-lah yang menyinari kedua-duanya. Kitab dan rasul-Nya juga adalah cahaya dan kedua-duanya merupakan petunjuk dalam gelapnya kehidupan seseorang sebagaimana cahaya yang menerangi kegelapan.

🌹 ‘Ali bin Abi Talhah menyatakan, Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata maksud ayat "Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi" ialah Allah memberikan petunjuk kepada penduduk langit dan bumi.

🌹 Ibnu Juraij pula mengatakan Mujahid mentafsirkan ayat "Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi" sebagai Allah Ta‘ala mengatur segala urusan di langit dan bumi termasuk bintang-bintang, matahari dan bulan.

🌹 Allah memberikan petunjuk dengan cahaya-Nya iaitu cahaya iman, Islam dan ihsan kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki, iaitu mereka yang mengharapkan hidayah dengan mencarinya.

🌹 Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu maksud ayat "Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis)" ialah Allah Ta‘ala menggambarkan iman dan amal soleh orang-orang mukmin sama seperti cahaya di atas cahaya yang berlapis-lapis.

🌹 Setelah menyebut perumpamaan cahaya dan hidayah-Nya dalam hati seorang mukmin, Allah menutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak dapat hidayah dan siapa yang berhak disesatkan.

🍄Ayat 36 - 38 🍄
Keutamaan masjid, adab memasukinya dan keutamaan orang-orang yang memakmurkannya.

🌿 Ayat 3⃣6⃣ 
*Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang,*

🌹 ‘Ikrimah, Adh-Dhahhak dan ulama-ulama lain mengatakan, Allah memerintahkan untuk mensucikan dan membersihkan masjid daripada kotoran, perkataan sia-sia seperti meninggikan suara dan sebagainya.

🌹 Masjid juga perlu dijaga dan dilindungi daripada sesuatu yang boleh merosakkan kedudukannya yang mulia kerana itu adalah rumah-rumah Allah. 

 🌹 Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma menyatakan maksud "disebut nama-Nya di dalamnya" ialah dibacakan kitab-Nya (Al-Qur'an) di dalamnya.

🌹 Azan yang dikumandangkan, iqamah, solat yang didirikan, zikir, tasbih, doa adalah termasuk dalam perbuatan mensucikan Allah di dalam masjid pagi dan petang.

🌿 Ayat 3⃣7⃣ 
*lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan solat, dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.*

🌹 Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Apabila kamu melihat orang yang melakukan jual beli di masjid, maka katakanlah, 'Allah tidak akan memberikan keuntungan kepada urusan jual beli ini.....'"_*
[Hadis riwayat At-Tirmizi] 

🌹 Ibnu Hatim dan Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma bahawa pada satu hari dia berada di pasar dan iqamah berkumandang, maka para sahabat terus menutup kedai masing-masing dan segera memasuki masjid.

🌹 Dalam ayat ini Allah menyatakan, sifat orang-orang yang beriman dan bertakwa ialah mereka tidak dilalaikan dengan aktiviti jual beli. Mereka sentiasa berzikir dan tidak berkata perkara yang sia-sia atau tidak memberi manfaat. 

🌹 Urusan dunia tidaklah menjadikan mereka lalai mengingati hari akhirat. Mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Ini kerana mereka takut dan bimbang yang teramat sangat terhadap kengerian hari kiamat.

🌿 Ayat 3⃣8⃣ 
*(Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.*

🌹 Mereka itu tergolong ke dalam kalangan orang-orang yang diterima kebaikan dan mendapat keampunan Allah terhadap segala kesalahan. Dia menerima segala kebaikan yang mereka lakukan serta melipatgandakannya untuk mereka sepertimana firman-Nya:

📖 *_"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar."_*
[Surah An-Nisa', 4:40]

🍄 Ayat 39 - 40 🍄
Dua perumpamaan bagi dua golongan kafir.

🌿 Ayat 3⃣9⃣ 
*Dan orang-orang yang kafir, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apa pun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.*

🌹 Dalam ayat ini Allah menyebut perumpamaan terhadap orang kafir yang menyeru kepada kekufuran dan mengajak kepada kesesatan. Dia menyangka bahawa dia beramal baik dan berada di jalan yang benar dan segala amal baiknya akan mendapat balasan. Padahal amal perbuatan dan keyakinannya itu tidak mempunyai nilai sedikit pun di sisi Allah. Perumpamaan dalam hal ini sama dengan fatamorgana yang berlaku di tanah datar yang luas dilihat dari jauh. Pemandangannya kelihatan seakan-akan lautan yang sedang pasang.

🌹 Apabila orang yang memerlukan air atau dahaga melihat fatamorgana ini, dia menyangka bahawa terdapat air di kawasan yang lapang itu. Dia pun berlari untuk mendapatkannya dengan harapan dapat mengambil atau meminumnya tetapi apabila sampai di sana, dia mendapati tiada suatu apa pun. Fatamorgana telah menipunya. 

🌹 Demikian keadaan orang kafir yang menyangka dirinya telah melakukan amal-amal kebaikan, dan mengira dia pasti mendapat sesuatu pahala. Namun ketika Allah menghisabnya, meminta pertanggungjawaban dan memberi balasan pada hari kiamat nanti, ternyata tidak ada satu pun amalan baiknya diterima. Sesungguhnya perhitungan Allah amatlah cepat dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Firman-Nya:

📖 *_"Dan Kami akan perlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan."_*
[Surah Al-Furqan, 25:23]

🌿 Ayat 4⃣0⃣ 
*Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan, gelap gelita yang bertindih-tindih. Apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun.*

🌹 Ini pula perumpamaan hati orang kafir yang jahil (ahli taklid) yang tidak mengetahui hakikat sebenar orang yang diikutinya dan tidak tahu ke mana tujuannya. Mereka hidup dalam kegelapan kekafiran, keyakinan yang batil, kebodohan terhadap apa yang dikehendaki dan dijanjikan Allah. Itulah gelap gelita yang bertindih-tindih. Ubay bin Ka‘ab, As-Suddi dan Ar-Rabi‘ bin Anas mengatakan, orang kafir tidak terlepas daripada lima kegelapan: perkataannya gelap, amal perbuatannya gelap, tempat masuknya gelap, tempat keluarnya gelap dan tempat kembalinya pada hari akhirat menuju kepada kegelapan iaitu neraka.

🌹 Allah menyatakan bahawa cahaya (petunjuk) itu adalah milik-Nya. Barangsiapa yang tidak diberikan petunjuk oleh-Nya, dia pasti hidup dalam kegelapan dan pasti binasa. Wal'iyazubillahi min zalik! Firman-Nya:

📖 *_"Barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya....."_*
[Surah Al-A‘raf, 7:186]

🌹 Hal ini berlawanan dengan apa yang disebutkan oleh Allah tentang perumpamaan orang-orang mukmin dalam firman-Nya:

📖 *_".....Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki....."_*
[Surah An-Nur, 24:35]

🌹 Kita berdoa kepada Allah Yang Maha Agung, semoga Dia menjadikan cahaya dalam hati kita, di kiri kanan kita dan membesarkan cahaya itu dalam kehidupan kita. Allahumma amin!

🍄Ayat 41- 42 🍄
Semuanya bertasbih kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, Dia memiliki kerajaan.

🌿  Ayat 4⃣1⃣ 
*Tidakkah kamu tahu bahawa Allah, kepada-Nya bertasbih apa yang ada di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) solat dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.*

🌹 Allah menyatakan seluruh makhluk-Nya yang berada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada-Nya. Mereka terdiri daripada para malaikat, manusia, jin dan semua haiwan serta benda-benda yang mati. Burung bertasbih kepada-Nya pada saat terbang di angkasa. Allah menyatakan bahawa Dia-lah yang mengilhamkan cara bertasbih dan beribadah kepada-Nya sehingga semua makhluk-Nya itu mengetahui apa yang mesti dilakukan. Hanya Dia sahaja Yang Mengetahui semuanya itu, tiada yang tersembunyi bagi-Nya sesuatu pun daripada hal tersebut. Firman-Nya:

📖 *_"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah....."_*
[Surah Al-Isra', 17:44]

🌿 Ayat 4⃣2⃣ 
*Dan kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan kepada Allah-lah kembali (semua makhluk).*

🌹 Kemudian Allah memberitahu bahawa Dia adalah Pemilik langit dan bumi. Dia-lah Yang Maha Berkuasa, Maha Mengatur, Maha Pencipta dan Maha Menguasai, bagi-Nya segala puji di dunia dan di akhirat. Oleh itu hanya kepada-Nya yang wajib disembah dan Dia akan memutuskan pada hari kiamat kelak menurut apa yang Dia kehendaki. Firman-Nya:

📖 *_".....supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan....."_*
[Surah An-Najm, 53:31]



🍄Ayat 43 - 44 🍄
Kekuasaan Allah dalam penciptaan awan dan fenomena selepasnya.

🌿Ayat 4⃣3⃣ 
*Tidakkah kamu lihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka terlihatlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya. Dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya daripada siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.*

🌹 Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa Dia-lah yang menggerakkan awan secara perlahan-lahan dengan kekuasaan-Nya. Kemudian Dia mengumpulkan satu bahagian awan kepada bahagian yang lain menjadi kelompok dan yang satu berada di atas yang lain. Akhirnya hujan akan turun dari celah-celah awan. 

🌹Allah juga menurunkan hujan air batu daripada gumpalan-gumpalan awan yang membentuk seperti gunung-gunung air batu yang saling bertindih di langit lalu menimpa sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya sebagai azab. Hal ini kerana apabila hujan air batu turun, ia akan merosakkan tanam-tanaman, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang ternakan. Walau bagaimanapun dihindarkan-Nya bencana tersebut daripada orang-orang yang dikehendaki-Nya sebagai rahmat kepada mereka.

🌹 Allah juga menyatakan gambaran lain tentang kekuatan-Nya iaitu menerusi kilat. Semasa hujan, Dia memperlihatkan kilat dari celah-celah awan. Hampir sahaja cahaya kilat yang terang itu menghilangkan penglihatan orang yang melihatnya atau hampir sahaja kilat itu menyambarnya.
 
🌿 Ayat 4⃣4⃣ 
*Allah menggantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.*

🌹Allah juga mengatur pertukaran siang dan malam silih berganti. Adakalanya Dia memendekkan waktu siang dan memanjangkan waktu malamnya. Begitulah sebaliknya. 

🌹 Penurunan hujan, hujan air batu, pancaran kilat serta pergantian malam dan siang merupakan pelajaran yang sangat besar kepada orang-orang mahu berfikir. Allah mengatur semua ini dengan keperkasaan, keagungan dan ilmu-Nya dan ini merupakan dalil atau tanda kebesaran-Nya seperti firman-Nya:

📖 *_"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal."_*
[Surah Ali ‘Imran, 3: 190]

🍄Ayat 45 - 46 🍄
 Kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada penciptaan haiwan.

🌿 Ayat 4⃣5⃣ 
*Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian daripada haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.*

🌹 Allah menyebutkan kekuasaan-Nya Yang Maha Sempurna dan kerajaan-Nya yang Maha Agung, dengan menciptakan manusia dan haiwan dalam pelbagai bentuk, rupa, warna dan gerak-geri yang berbeza. Walaupun dicipta daripada air, iaitu bercampurnya sperma dan ovum, namun hasilnya berbeza-beza. Ada yang berjalan dengan perutnya seperti ular, berjalan dengan ke dua-dua kakinya seperti manusia dan burung serta ada yang berjalan dengan empat kaki seperti binatang ternakan dan binatang-binatang yang lain. Dia mencipta apa yang dikehendaki-Nya dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

🌿  Ayat 4⃣6⃣ 
*Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.*

🌹  Allah menurunkan Al-Qur'an yang mengandungi hukum-hukum, hikmah dan perumpamaan-perumpamaan yang nyata lagi jelas maksudnya dan dalam jumlah yang banyak agar para hamba-Nya beroleh kebahagiaan dan kesempurnaan hidup. 

🌹 Barangsiapa yang beriman dengan Al-Qur'an, memperhatikannya dan mengikuti segala arahan dan meninggalkan larangan di dalamnya, dia akan mendapat petunjuk. Barangsiapa yang menolaknya, dia akan tersesat dan celaka. 

🍄 Ayat 47 - 52 🍄
Tipu daya orang-orang munafik, dan sifat-sifat orang-orang mukmin.

🌿  Ayat 4⃣7⃣ 
*Dan mereka berkata, "Kami telah beriman kepada Allah dan rasul-(Nya), dan kami mentaati (kedua-duanya)." Kemudian sebahagian daripada mereka berpaling sesudah itu. Sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.*

🌹  Allah menjelaskan sifat-sifat orang-orang munafik yang selalu menampakkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ada di dalam hati. Mereka menyatakan bahawa mereka beriman sedangkan perbuatan mereka menunjukkan yang sebaliknya iaitu mereka mengatakan sesuatu yang tidak mereka lakukan.

🌿  Ayat 4⃣8⃣ 
*Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian daripada mereka menolak untuk datang.*

🌹 Mereka mengaku beriman tetapi apabila diajak mengikuti petunjuk Allah melalui Al-Qur'an yang disampaikan melalui rasul-Nya, mereka mengingkarinya sebagaimana firman Allah:

📖 *_"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengakui dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang telah Allah turunkan dan kepada hukum rasul," nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu."_*
[Surah An-Nisa', 4:60-61]

🌿Ayat 4⃣9⃣ 
*Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, (maka) mereka datang kepada rasul dengan patuh.*

 🌹 Apabila keputusan hukum menguntungkan mereka, maka mereka akan datang kepada rasul dengan patuh dan setia. Namun apabila hukum tidak menguntungkan mereka iaitu mengganggu kepentingan mereka, maka mereka akan berpaling dan mengajak manusia mengikuti jalan yang tidak benar.

🌹 Kepatuhan mereka selama ini bukan lahir daripada keyakinan bahawa yang mereka ikuti adalah satu kebenaran. Sebaliknya mereka menurutinya apabila sesuai dengan hawa nafsu mereka.

🌿 Ayat 5⃣0⃣ 
*Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit atau (kerana) mereka ragu-ragu ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim.*

 🌹 Alasan mereka tidak berhukum dengan perintah Allah dan rasul-Nya adalah disebabkan oleh:

🔹Hati yang dihinggapi penyakit.

🔹 Hati yang dipenuhi keraguan terhadap Islam.

🔹Mereka khuatir Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka dalam menetapkan sesuatu hukum.

🌹 Hakikatnya merekalah orang-orang yang zalim. Allah dan rasul-Nya bebas daripada apa yang mereka sangkakan iaitu berlaku zalim terhadap mereka. Maha Suci Allah dan rasul-Nya daripada apa yang mereka perkatakan.

🌿  Ayat 5⃣1⃣ 
*Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, "Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.*

🌹 Allah Ta‘ala menyifatkan orang-orang mukmin yang taat sebagai orang yang beruntung iaitu mereka yang mendapat apa yang diingini dan selamat daripada kejadian-kejadian yang menakutkan.

🌹 Diriwayatkan oleh Ibnu Hatim, daripada Qatadah mengatakan bahawa ketika ‘Ubadah bin As-Samit menghadapi sakaratul maut, beliau telah berpesan kepada anak saudaranya Junadah bin Abi Umayyah supaya mendengar dan patuh (kepada pemimpin dalam ketaatan) sama ada pada waktu susah atau senang walaupun mereka dizalimi. Dia juga berpesan supaya menghiasi lidah dengan keadilan, jangan berselisih dengan keluarga kecuali apabila disuruh melakukan kemaksiatan. Dia juga mengatakan bahawa dia sedikit pun tidak memerintahkan Junadah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Kitabullah sebaliknya menyuruh mengikutinya.

🌿 Ayat 5⃣2⃣ 
*Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.*

🌹 Taat bermaksud melakukan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Mereka adalah orang-orang yang menang dengan mendapat segala jenis kebaikan dan terhindar daripada segala keburukan di dunia dan akhirat.



🍄 Ayat 53 - 54 🍄
Kecaman Allah terhadap sikap orang-orang munafik yang suka bersumpah, dan tugas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai penyampai risalah-Nya.

🌿 Ayat 5⃣3⃣ 
*Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah yang bersungguh-sungguh, (bahawa) jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi. Katakanlah, "Janganlah kamu bersumpah, (kerana ketaatan yang diminta ialah) ketaatan yang sudah dikenal. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."*

🌹 Dalam ayat ini Allah menceritakan perilaku orang-orang munafik yang bersumpah kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa sekiranya baginda memerintahkan mereka keluar berperang, mereka pasti akan taat. 

🌹 Allah mengetahui bahawa ketaatan mereka itu hanya kata-kata kosong kerana setiap kali mereka bersumpah pasti mereka berdusta seperti firman-firman-Nya:

📖 *_"Mereka akan bersumpah kepada kamu agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, maka sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu."_*
[Surah At-Taubah, 9:96]

📖 *_"Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah; kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan."_*
[Surah Al-Mujadilah, 58:16]

🌿 Ayat 5⃣4⃣ 
*Katakanlah, "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanah Allah) dengan terang.*

🌹 Allah memerintahkan manusia supaya mengikuti Al-Qur'an dan sunnah rasul-Nya. Walaupun manusia meninggalkan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh baginda, amanah menyampaikan risalah telah ditunaikan. Kewajipan manusia adalah menerima ajaran-ajaran tersebut dan mengamalkannya kerana apa yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ialah mengajak kepada jalan yang lurus sebagaimana firman-firman-Nya:

📖 *_"(Iaitu) jalan Allah yang kepunyaan-Nya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah bahawa kepada Allah-lah semuanya kembali."_*
[Surah Asy-Syura, 42:53]

📖 *_".....kerana sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan sahaja, sedangkan Kamilah yang menghisab amalan mereka."_*
[Surah Ar-Ra‘d, 13:40]

📖 *_"Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka."_*
[Surah Al-Ghasyiyah, 88:21-22]

🍄Ayat 55 🍄
Janji Allah kepada orang-orang beriman bahawa mereka akan berkuasa di muka bumi.

🌿 Ayat 5⃣5⃣ 
*Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.*

 🌹 Ini adalah janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa Dia akan menjadikan umat ini sebagai khalifah iaitu pemimpin dan penguasa umat manusia di muka bumi. Di bawah kekuasaan merekalah negeri-negeri akan menjadi baik. Umat manusia akan tunduk kepada mereka dan Dia benar-benar akan mengubah keadaan mereka yang sebelum ini selalu berada dalam ketakutan kepada keadaan yang aman sentosa.

🌹 Dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

📚 *_"Sesungguhnya Allah Ta‘ala membentangkan bumi kepadaku sehingga aku dapat melihat belahan timur dan baratnya. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan mencapai belahan bumi yang dibentangkan kepadaku."_*

🌹 Allah Ta‘ala telah menunaikan janji-Nya, segala puji hanya milik-Nya.

 🌹 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat berjaya menakluk Mekah, Khaibar, Bahrain, seluruh Jazirah Arab sehingga ke Yaman. Baginda mengambil jizyah daripada kaum Majusi di daerah Hajar di Bahrain dan sebahagian kecil negeri Syam. Baginda juga pernah menerima hadiah hasil perdamaian daripada Heraklius (Raja Rom), Muqauqis (Raja Mesir), penguasa-penguasa Oman dan Najasyi (Raja Habsyah).

🌹 Setelah kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakar As-Siddiq radhiallahu ‘anhu menggantikan baginda untuk meneruskan perkembangan dakwah Islam ke seluruh Jazirah Arab.

🌹 Seterusnya, setelah Umar Al-Khattab radhiallahu ‘anhu menggantikan Abu Bakar As-Siddiq radhiallahu ‘anhu, beliau meneruskan penguasaan dan penaklukan ke atas Syam, Mesir dan sebahagian Parsi. Beliau juga berjaya menghancurkan kekuasaan Qaisar Raja Rom dan menakluk Istanbul.

 🌹Ketika Islam diterajui oleh ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu, daerah kekuasaan Islam tersebar sehingga Morocco, pesisir pantai Sepanyol, Cyprus dan juga China.

♦Terdapat beberapa cerita berkaitan kejayaan perkembangan Islam yang boleh dirujuk dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir.

🌹 Allah menyatakan bahawa akan ada umat baginda yang tetap menyembah-Nya dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Sesiapa yang ingkar, mereka itulah orang-orang yang fasik.

🌹 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menghina dan yang menyalahi mereka, hingga datang hari kiamat."_*
[Hadith riwayat Muslim] 

 🍄Ayat 56 - 57 🍄
 Perintah melaksanakan solat, zakat dan taat dalam beribadah, serta penjelasan tentang lemahnya orang-orang kafir berdasarkan tempat kembali mereka.

🌿  Ayat 5⃣6⃣ 
*Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.*

🌹 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala memerintahkan para hamba-Nya melaksanakan solat dan menunaikan zakat. Solat adalah satu bentuk peribadahan semata-mata kepada-Nya, iaitu Rabb Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Zakat pula adalah berbuat baik dengan cara berkongsi nikmat kepada para makhluk-Nya yang lemah dan fakir. Dalam melaksanakan kedua-duanya ini, mereka hendaklah mentaati perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan meninggalkan apa yang dilarang. Tidak diragukan lagi, sesiapa yang melakukan hal-hal di atas, nescaya akan mendapat anugerah dan rahmat daripada-Nya. Firman-Nya:

📖 *_".....Mereka itulah yang akan diberikan rahmat oleh Allah....."_*
[Surah At-Taubah, 9:71]

🌿Ayat 5⃣7⃣ 
*Janganlah kamu kira bahawa orang-orang yang kafir itu dapat melemahkan (Allah daripada mengazab mereka) di bumi ini, sedangkan tempat tinggal mereka (di akhirat) adalah neraka. Dan sungguh amat buruklah tempat kembali itu.*

🌹 Allah memberitahu rasul-Nya supaya tidak menyangka bahawa orang-orang kafir itu berdaya untuk menghalang kehendak-Nya, atau menyangka bahawa Dia tidak berdaya menghalang mereka melarikan diri ketika ditimpakan azab. Mereka sekali-kali tidak akan dapat melemahkan-Nya, bahkan Dia-lah Yang Berkuasa ke atas mereka. Jika Dia menghendaki membinasakan mereka, Dia boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sahaja. Dia juga menjanjikan mereka di akhirat nanti seburuk-buruk tempat iaitu neraka, sebagaimana firman-firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_"Adapun orang-orang yang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak memperoleh penolong."_*
[Surah Ali ‘Imran, 3:56]

📖 *_"(Ketentuan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras seksaan-Nya. Itulah (hukum dunia yang ditimpakan atas kamu), maka rasakanlah hukuman itu. Sesungguhnya bagi orang-orang yang kafir itu ada (lagi) azab neraka."_*
[Surah Al-Anfal, 8:13-14]



 🍄Ayat 58 - 60 🍄
Perintah kepada orang-orang beriman agar mendidik hamba sahaya, anak-anak yang belum baligh dan yang sudah baligh untuk meminta izin sebelum memasuki bilik tidur tuan atau ibu bapa serta tidak ada dosa bagi wanita-wanita tua untuk membuka hijab.

🌿 Ayat 5⃣8⃣ 
*Hai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba sahaya (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah solat Isya’. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.*

🌹 Allah Ta‘ala memerintahkan orang-orang beriman agar mendidik anak-anak mereka yang belum baligh dan hamba sahaya mereka supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan masuk ke bilik ibu bapa atau tuannya. Mereka hendaklah dilarang masuk secara bebas pada tiga waktu yang berikut:

🔸 Pada waktu pagi sebelum solat Subuh kerana pada masa itu kebiasaannya orang baru bangun tidur dan melucutkan pakaian tidur.

🔸 Pada waktu tengah hari, biasanya orang menanggalkan pakaian luar untuk tidur sekejap (qailulah) dan istirahat.

🔸 Pada waktu malam selepas solat Isya' iaitu ketika orang mulai masuk tidur.

🌹 Selain tiga waktu yang disebutkan di atas, kanak-kanak dan hamba sahaya bebas keluar masuk untuk melayani mereka. 

🌹 Ini adalah hukum dan syariat Allah. Dia Maha Mengetahui kebaikan untuk para makhluk-Nya lagi Maha Bijaksana dalam syariat-Nya.

🌿 Ayat 5⃣9⃣ 
*Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.*

🌹Apabila anak-anak mereka telah baligh, mereka perlu minta izin terlebih dahulu pada setiap waktu sekiranya ingin masuk ke bilik tidur orang tua mereka.

🌹 Demikianlah Allah menjelaskan hukum-hukum dan adab-adab untuk para hamba-Nya. Segala puji bagi-Nya atas segala nikmat-Nya. Dia Maha Mengetahui keperluan para hamba-Nya lagi Maha Bijaksana terhadap apa yang disyariatkan kepada hamba-hamba-Nya.

🌿 Ayat 6⃣0⃣ 
*Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (daripada haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tidaklah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.*

 🌹 Wanita-wanita tua yang telah berhenti haid dan tidak lagi dapat melahirkan anak kerana usianya, juga tidak mengharapkan untuk berkahwin, maka dalam keadaan ini tidaklah dituntut untuk menutup aurat sebagaimana yang diwajibkan kepada wanita-wanita yang masih muda. Walau bagaimanapun adalah lebih baik sekiranya mereka tidak menampakkan aurat di hadapan bukan mahram. Allah telah memberi pilihan kepada mereka dan apa yang telah Allah pilihkan lebih baik untuk dunia dan akhirat mereka.

🌹 Sebahagian berpendapat yang dimaksudkan hijab adalah pakaian yang menutupi seluruh tubuh termasuk wajah, tangan dan kaki. Kebiasaannya seorang wanita mengenakan dua lapis pakaian yang menutupi seluruh tubuhnya. Demikian juga penutup kepala, biasanya terdiri daripada dua lapis dengan lapisan luar sekali menutupi wajahnya. Bagi wanita tua yang telah terhenti daripada haid, sudah tidak dapat mengandung dan tiada lagi mengharapkan untuk berkahwin, dibolehkan membuka kain luar penutup kepala tersebut iaitu wajahnya terbuka namun rambut dan aurat yang lain masih tertutup.

🌹 Oleh itu para wanita yang beriman hendaklah memilih apa yang telah Allah pilihkan buat mereka. Dia Maha Mengetahui ucapan hamba-hamba-Nya dan keadaan serta perbuatan mereka. Oleh itu bertakwalah kepada-Nya dengan mentaati perintah-Nya dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.



🍄 Ayat 61 🍄
Tiada larangan makan bersama dengan orang-orang yang kurang upaya, dan adab ketika memasuki rumah.

🌿 Ayat 6⃣1⃣ 
*Tidak ada halangan bagi orang buta, tidak (pula) bagi orang pincang, tidak (pula) bagi orang sakit, dan tidak (pula) bagi dirimu sendiri, makan (bersama-sama mereka) di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa-bapamu, di rumah ibu-ibumu, di rumah saudara-saudaramu yang lelaki, di rumah saudaramu yang perempuan, di rumah saudara bapamu yang lelaki, di rumah saudara bapamu yang perempuan, di rumah saudara ibumu yang lelaki, di rumah saudara ibumu yang perempuan, di rumah yang kamu miliki kuncinya atau di rumah kawan-kawanmu. Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama mereka atau sendirian. Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini), hendaklah kamu memberi salam (kepada penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan daripada sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-(Nya) bagimu, agar kamu memahaminya.*

🌹 Dalam ayat ini Allah meringankan sebahagian kesulitan yang dihadapi oleh para sahabat ketika makan bersama dengan orang-orang yang buta, pincang dan orang sakit. Dahulu para sahabat berasa kekok untuk makan bersama dengan orang buta disebabkan mereka tidak dapat melihat makanan yang terhidang di hadapan mereka. Mereka juga khuatir jika makanan yang dimakan oleh orang buta pernah dijamah oleh orang lain. Begitu juga dengan orang yang cacat, dirasakan mereka tidak dapat duduk dengan selesa dalam tempat yang sama sehingga menyusahkan orang lain. 

🌹 Mereka juga berasa kasihan ketika makan bersama dengan orang yang sakit kerana orang yang sakit tidak dapat menikmati makanan secara sempurna sepertimana orang yang sihat. Para sahabat enggan makan bersama dengan tiga golongan ini kerana khuatir akan menzalimi mereka. Maka Allah menurunkan ayat ini untuk meringankan beban mereka. Ini adalah pendapat Sa‘id bin Jubair dan Miqsam.

🌹 Dalam masa yang sama, orang-orang yang berpenyakit juga berasa berat untuk makan bersama-sama orang yang sihat kerana bimbang akan menjadikan mereka berasa jijik atau janggal. Hal ini akan membuat mereka bersedih atau sakit hati. Lalu Allah menurunkan ayat ini dan meringankan kesulitan yang dihadapi oleh kedua-dua pihak iaitu pihak yang sihat dan pihak yang sakit.

🌹 Az-Zuhri meriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anhu bahawa ketika kaum muslimin berangkat ke medan perang bersama dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, mereka menyerahkan kunci-kunci rumah mereka kepada orang-orang yang dipercayai supaya mereka boleh makan apa yang mereka perlukan dalam rumah-rumah itu. Juga tidak berdosa untuk makan makanan di rumah kawan-kawan jika diyakini tidak membebankan dan telah mendapat izin terlebih dahulu.

🌹 Allah juga memberi keringanan kepada mereka untuk membuat pilihan kerana ada di antara mereka yang suka makan bersendirian disebabkan mereka bimbang akan mengganggu orang lain atau termakan harta orang lain dan ada pula yang selesa makan beramai-ramai. 

🌹 ‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan athar daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma bahawa ketika turun ayat "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar)" iaitu Surah An-Nisa' ayat 26, maka mereka mengatakan Allah melarang mereka makan di rumah salah seorang daripada mereka sehinggalah turun ayat 61 di atas.

🌹 Sebahagian daripada para sahabat berasa pelik jika makan bersendirian dan perlu ditemani oleh orang lain sehingga Allah memberi keringanan dengan turunnya ayat 61 ini. Dia memberikan keringanan untuk makan bersendirian walaupun makan secara berjemaah lebih berkat. Ini sebagaimana riwayat daripada Wahsyi bin Harb bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, "Sungguh kami sudah makan, namun masih tidak kenyang." Lalu baginda bersabda:

📚 *_"Barangkali kerana kamu makan bersendirian. Makanlah secara berjemaah dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismalah), nescaya Allah akan memberkati makanan kamu."_*
[Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah] 

🌹 Allah memerintahkan agar mengucapkan salam kepada penghuni rumah sebelum masuk ke dalam rumahnya sama ada rumah sendiri atau rumah orang lain dengan salam yang telah ditetapkan oleh-Nya. Memberi salam membawa keberkatan kepada pemberi salam dan penghuni di dalamnya.

🌹 Sa‘id bin Jubair, Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Az-Zuhri berkata maksud ayat "Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah daripada) rumah-rumah (ini), hendaklah kamu memberi salam (kepada penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri" ialah hendaklah sebahagian orang memberi salam kepada sebahagian yang lain.

🌹 Setelah Allah menjelaskan hukum-hukum dan syariat-Nya yang lurus dalam ayat ini, Allah mengingatkan pula para hamba-Nya bahawa Dia telah menjelaskan ayat-ayat-Nya dengan sangat sempurna agar mereka merenungi, memahami dan menghayatinya. Demikianlah hukum-hukum dan adab-adab yang telah diterangkan oleh-Nya kepada hamba-hamba-Nya agar dilaksanakan semoga mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

🍄Ayat 62 🍄
Adab meninggalkan majlis.

🌿 Ayat 6⃣2⃣ 
*Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad), mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.*

🌹  Sebagaimana Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain, demikian pula pada ayat ini Allah memerintahkan mereka meminta izin ketika hendak keluar (daripada sesuatu pertemuan).

🌹 Oleh itu Allah menerangkan tentang adab apabila bersama dengan Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam suatu pertemuan untuk urusan yang penting seperti solat Jumaat, bermesyuarat dan pertemuan-pertemuan yang lain. Mereka tidak boleh pergi meninggalkan pertemuan tersebut sebelum meminta izin dan mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada baginda.

🌹 Allah menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dengan keimanan yang sempurna adalah mereka yang beriman kepada-Nya dan rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. 

🌹Ayat ini juga merupakan pendidikan kepada baginda dan orang-orang beriman sekaligus menegur orang-orang munafik. Ini kerana orang-orang beriman akan mematuhi adab-adab terhadap baginda sedangkan orang-orang munafik akan keluar begitu sahaja tanpa terlebih dahulu meminta izin atau mendapat keizinan daripada baginda.

🌹Allah juga memerintahkan Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, mengizinkan sesiapa yang baginda kehendaki sekiranya ada di kalangan orang-orang yang beriman meminta izin untuk keluar daripada perhimpunan itu atas sesuatu urusan yang munasabah. Dia juga memerintahkan baginda untuk memohon ampun bagi mereka. Hal ini memberi ketenangan kepada mereka atas ampunan yang dipanjatkan oleh baginda untuk mereka kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

🍄Ayat 63 - 64 🍄
Perintah supaya memuliakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, tidak melanggar perintah Allah dan rasul-Nya, serta Allah Ta‘ala mengetahui keadaan setiap manusia.

🌿Ayat 6⃣3⃣ 
*Janganlah kamu jadikan panggilan rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.*

🌹 Adh-Dhahhak meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhuma bahawa dahulu kaum muslimin selalu memanggil Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan panggilan "Wahai Muhammad! Wahai Abul Qasim!" Kemudian Allah melarang penggunaan panggilan tersebut dan memerintahkan memanggil "Wahai Nabiyyullah! Wahai Rasulullah." Menurut Qatadah, Allah memerintahkan demikian supaya mereka menghormati dan memuliakan baginda serta menunjukkan baginda adalah seorang pemimpin.

🌹 Dalam ayat ini juga Allah menyatakan Dia mengetahui secara pasti siapa di kalangan orang-orang munafik yang berada dalam kumpulan bersama-sama Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka ini keluar beransur-ansur dari tempat perkumpulan tersebut seorang demi seorang tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada baginda.

🌹 Maksud ayat "maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih" dijelaskan dengan sabda baginda:

📚 *_"Barangsiapa yang melakukan amal ibadah yang tidak sesuai dengan ajaran kami, maka amal tersebut akan ditolak."_*
[Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim] 

🌿 Ayat 6⃣4⃣ 
*Ketahuilah, sesungguhnya kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada di dalamnya (sekarang). Dan (mengetahui pula) hari (manusia) dikembalikan kepada-Nya, lalu diterangkan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.*

🌹  Allah menyatakan bahawa langit dan bumi adalah kepunyaan-Nya. Dia Berkuasa mencipta sesuatu, berbuat mengikut apa yang dikehendaki-Nya dan menghukum sesuai dengan apa yang diinginkan-Nya. 

🌹 Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan batin. Semua manusia akan kembali kepada-Nya di akhirat nanti. Dia akan memberitahu mereka tentang semua amal perbuatan yang telah mereka lakukan di dunia dan memberikan balasan yang setimpal dengan amalan mereka. Oleh itu hanya Dia yang layak ditakuti dengan menerima segala seruan rasul-Nya, tidak menyelisihi perintah-Nya dan tidak menentang larangan-Nya kerana seksaan-Nya amat keras dan berat.

Allahu'alam



🌹 Demikian berakhirnya tafsir Surah An-Nur. Hanya bagi Allah segala pujian dan hanya daripada-Nya segala kurnia.🌿

Tiada ulasan:

Catat Ulasan