disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 5 Julai 2016

Surah 8: Al-Anfaal (Rampasan Perang) - Saad Al Ghamdi





 Surah Al-Anfaal adalah surah yang ke-8 dalam Al-Quran.

Surah ini mengandungi 75 ayat yang merupakan Surah Madaniyyah, (ada yang berpendapat kecuali ayat 30-37)

Surah ini dinamakan Al-Anfaal yang bererti "harta rampasan perang," berhubung kata Al-Anfaal yang terdapat pada permulaan surah ini dan juga persoalan yang menonjol dalam surah ini ialah tentang harta rampasan perang, hukum perang dan hal-hal yang berhubungan dengan peperangan pada umumnya.

Menurut riwayat Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu, surah ini diturunkan berkenaan dengan perang Badar yang terjadi pada tahun 2 Hijrah.

Peperangan ini sangat penting ertinya, kerana merupakan peristiwa yang menentukan jalan sejarah Perkembangan Islam. Pada waktu itu umat Islam dengan berkekuatan kecil untuk pertama kali dapat mengalahkan kaum musyrik yang berjumlah besar dan memiliki kelengkapan yang mencukupi dan mereka dalam peperangan ini memperoleh harta rampasan perang yang banyak. Oleh sebab itu timbul masalah bagaimana membahagi harta-harta rampasan perang itu, maka kemudian Allah menurunkan ayat pertama daripada surah ini.



🐚📍🐚📍🐚📍🐚📍🐚





أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

 🍄 Ayat 1 - 4 🍄
Hukum ghanimah (rampasan perang) dan cara pembahagiannya terserah kepada Allah dan Rasul-Nya serta penjelasan sifat-sifat orang mukmin yang sebenarnya.

📍Ayat 1
Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang itu milik Allah dan Rasul (menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya), maka bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesamamu, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu orang-orang yang beriman.”

🐚 Terdapat beberapa tafsiran tentang sebab turunnya ayat ini. Di antaranya hadis sahih riwayat Tirmizi:

🔹Sa’ad bin Malik, dia berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menyelamatkanku daripada kaum musyrik, maka berikanlah pedang ini kepadaku.” Rasulullah menjawab, “Pedang ini tidak untukku dan tidak untukmu.” Aku (Sa'ad bin Malik) pun meletakkannya dan sambil berlalu berkata, “Boleh jadi pedang ini akan diberikan kepada orang yang tidak mendapat cubaan seperti yang aku lalui.” Tiba-tiba seseorang memanggilku. Kemudian, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya engkau telah meminta kepadaku, sedangkan pedang itu bukan milikku, namun sekarang telah jadi milikku, dan pedang ini aku berikan kepadamu.”

🐚 Allah memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki, dan tidak ada yang boleh menghalangnya. Oleh itu kita mesti menerima ketentuan Allah dengan redha. Manakala Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pula membahagikan harta ghanimah sama rata mengikut perintah Allah.

🐚 Perbaikilah hubungan sesama manusia dengan saling mencintai dan meninggalkan pertengkaran, kerana ketika kaum muslimin memperoleh harta rampasan perang, mereka bertengkar, lalu mereka bertanyakan jalan penyelesaian dengan merujuk kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

🐚 Berimanlah kepada Allah kerana melalui iman dapat mencapai ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Apabila taat kepada Allah dan Rasul-Nya berkurangan, itu tandanya iman juga berkurangan.

 📍 Ayat 2
Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.

🐚 Hatinya takut sehingga membuatnya menjauhi larangan Allah dan bertakwa kepada-Nya. Takut kepada Allah merupakan penghalang terbesar seseorang mengerjakan larangan-larangan Allah dan pendorong utama seseorang mengerjakan perintah-perintah-Nya.

 🐚 Kuatnya iman kerana mereka mendengar dan menghadirkan hati untuk mentadabburi ayat-ayat Allah sehingga iman bertambah. Tentunya mereka akan mengetahui makna ayat tersebut, mengingatkan apa yang telah mereka lupakan, adanya kecintaan kepada kebaikan, rindu dengan keutamaan daripada sisi Allah, takut terhadap seksa-Nya dan menghindari maksiat. Semua ini dapat menambah iman mereka.

🐚 Bertawakal bermaksud mereka bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam mendapatkan nikmat dan menghindarkan bahaya serta yakin kepada-Nya.

📍 Ayat 3
(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

🐚 Beriman dengan menunaikan solat sama ada yang wajib ataupun yang sunat disertai sikap khusyuk (hadirnya hati dan diamnya anggota badan).

🐚 Berinfak sama ada yang wajib (seperti zakat, kafarah, menafkahi anak dan isteri, orang tua, dan hamba yang dimiliki) ataupun yang sunat (seperti sedekah pada jalan-jalan kebaikan).

📍 Ayat 4
Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka akan memperoleh darjat (tinggi) di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.

 🐚 Mereka benar-benar beriman kerana mereka menggabungkan antara Islam dengan iman, antara amalan batin dengan zahir (nampak), antara ilmu dengan amal, antara hak Allah dan hak hamba-hamba-Nya. Ayat ini menunjukkan bahawa sepatutnya seorang hamba memerhatikan imannya dan menguatkannya, yang di antara caranya adalah dengan mentadabburi (memikirkan) kitab Allah dan memerhatikan maknanya.

🐚 Rezeki yang sebenar ialah apabila dimasukkan ke syurga. Allah siapkan untuk penghuni syurga berupa sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di hati manusia.

📚 Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan hadis riwayat Ahmad, daripada 'Abi Sa'id, baginda bersabda, "Sesungguhnya penduduk syurga benar-benar dapat melihat penduduk syurga yang paling tinggi tingkatnya sebagaimana jelasnya kalian melihat bintang di ufuk langit. Dan sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk penghuninya dan diberi kenikmatan."

🍄 Ayat 5 - 8 🍄
Keengganan sebahagian kaum muslimin untuk menyertai perang Badar, pertolongan Allah kepada Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kaum muslimin serta tingginya kalimah Allah dan kalahnya kebatilan.

📍 Ayat 5
Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi (berperang) dari rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya.

🐚 Sebelum menyebutkan peristiwa perang Badar, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebutkan terlebih dahulu sifat yang perlu dimiliki oleh orang-orang mukmin (rujuk surah Al-Anfaal: 2-3). Apabila sudah memiliki sifat-sifat tersebut, mereka akan dapat istiqamah dan amal mereka akan menjadi semakin baik, antaranya bersedia untuk berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

🐚 Ada yang menafsirkan bahawa ayat ini bermaksud, Allah mengatur pembahagian harta rampasan perang dengan kebenaran, sebagaimana Allah menyuruhnya keluar dari rumah (di Madinah) untuk menyertai perang Badar dengan kebenaran pula. Ada pula yang menafsirkan, bahawa kerana iman mereka adalah hak dan balasan yang dijanjikan Allah untuk mereka juga adalah hak (benar). Demikian pula Allah mengarah Rasul-Nya keluar dari rumah baginda di Madinah menemui kaum musyrikin di Badar juga dengan hak (kebenaran).

🐚 Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapat berita tentang khafilah dagang Quraisy yang datang dari Syam menuju perjalanan pulang ke Mekah. Mereka dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengajak para sahabat untuk menghalang khafilah tersebut dengan harapan Allah memberikan ghanimah dari kabilah itu sebab orang Quraisy telah merampas harta kaum muslimin dan sebahagian harta yang lain ditinggalkan di Mekah kerana berhijrah.

🐚 Ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapat tahu bahawa rombongan dagang itu berjaya melepaskan diri, bahkan orang-orang Quraisy dari Mekah telah datang dengan bilangan yang ramai dan bersenjata lengkap, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bermusyawarah dengan para sahabat untuk bertempur dengan mereka di Badar. Sebahagian mereka bersetuju dan sebahagian lagi memberi alasan bahawa mereka tidak mempunyai persiapan untuk bertempur.

📍 Ayat 6
Mereka membantahmu (Muhammad) tentang kebenaran setelah nyata (bahawa mereka pasti menang), seakan-akan mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebab kematian itu).

🐚 Sepatutnya sikap seperti ini tidak patut ada pada mereka, terutama setelah mereka mengetahui bahawa keluarnya mereka dari rumah adalah dengan hak (kebenaran), termasuk yang diperintahkan Allah dan diredhai-Nya. Oleh sebab itu, tidak sepatutnya mereka memperdebatkannya, kerana berdebat hanyalah ketika kebenaran itu dalam keadaan samar atau kekeliruan. Adapun apabila telah jelas dan terang, maka tunduk dan patuhlah pada sesuatu arahan.

📍 Ayat 7
Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu daripada dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedangkan kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah untukmu, padahal Allah hendak membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir keseluruhannya.

🐚 Dua golongan tersebut adalah:

1 Kafilah Abu Sufyan yang membawa dagangan dari Syam.

2 Kumpulan yang datang dari Mekah untuk berperang di bawah pimpinan Utbah bin Rabi’ah bersama Abu Jahal.

🐚 Allah memerintahkan kaum mukmin memerangi kelompok yang datang dari Mekah itu yang jumlahnya lebih besar dan sudah lengkap senjatanya. Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh Quraisy dan pasukan tentera.

📍 Ayat 8
Agar Allah memperkuat yang hak (Islam) dan menghilangkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.

🐚 Allah berkehendak untuk mengunggulkan agama-Nya, meninggikan kalimah tauhid dan memenangkan agama-Nya di atas seluruh agama (yang batil). Allah tidak peduli walaupun kaum musyrik tidak menyukainya.

🍄 Ayat 9 - 14 🍄
Permintaan pertolongan yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Tuhannya dalam perang Badar dan kesungguhan baginda dalam berdoa.

📍 Ayat 9 
(Ingatlah!), ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.”

🐚 Imam Ahmad meriwayatkan, daripada Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu, dia berkata, “Ketika tiba perang Badar, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat para sahabatnya yang jumlahnya dalam tiga ratus orang dan melihat pula ke arah kaum musyrikin yang jumlahnya dalam seribu orang, maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berpaling mengadap kiblat dan mengangkat kedua tangannya. Ketika itu baginda memakai rida' (sehelai kain yang menutupi bahagian atas badan). Baginda berdoa:

“Ya Allah! Di mana janji yang Engkau janjikan kepadaku? Ya Allah! Penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah! Jika Engkau binasakan pasukan muslimin ini, maka Engkau tidak akan disembah di bumi selamanya.” Baginda terus berdoa kepada Allah Azza wa Jalla sehingga selendang baginda jatuh. Abu Bakar mendatangi baginda, lalu mengambil rida' tersebut dan meletakkan kembali pada baginda serta memeluk daripada belakang. Abu Bakar berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, dan Dia akan memenuhi janji-Nya kepadamu.” Maka Allah menurunkan ayat ini. 

📚 Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi, dan Al-Hafiz, dengan menyandarkannya kepada Abu Dawud, dia berkata, “Disahihkan oleh Ali bin Al-Madini.” Disebutkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir.

🐚 Doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam agar Dia memberikan kemenangan kepada kaum muslimin. Kemudian kaum muslimin dibantu-Nya dengan tiga ribu malaikat, dan kemudian lima ribu malaikat sebagaimana disebutkan dalam surat Ali ‘Imran ayat 124-125.

📍 Ayat 10
Dan tidaklah Allah menjadikannya (bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah daripada sisi Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

🐚 Hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjadi tenteram kerana baginda sangat yakin bahawa kemenangan itu di Tangan Allah dan bukan kerana ramainya bilangan tentera yang lengkap bersenjata. Allah jugalah yang menetapkan berbagai-bagai perkara dengan sebab-sebabnya dan meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

📍 Ayat 11
(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu rasa mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit kepadamu untuk menyucikan kamu dengan (hujan) itu dan menghilangkan gangguan-gangguan syaitan daripada dirimu dan untuk menguatkan hatimu serta memperteguhkan dengannya tapak kakimu (teguh pendirian).

🐚 Sebelumnya mereka ditimpa ketakutan namun setelah itu Allah telah menggantikannya dengan ketenteraman dalam hati-hati mereka. Hal ini termasuk pertolongan dan doa baginda dikabulkan.

🐚 Gangguan syaitan temasuklah bisikan was-was kepada golongan muslimin bahawa sekiranya mereka berada di atas kebenaran, tentu mereka tidak akan berada dalam keadaan haus serta berhadas disebabkan ketiadaan air, sedangkan kaum musyrikin berada dalam keadaan sebaliknya. Maka Allah menurunkan hujan yang sangat lebat, dengan air itu mereka boleh minum dan mandi.

🐚 Allah menguatkan hati mereka dengan keyakinan dan kesabaran, kerana kuatnya hati mempengaruhi kuatnya badan dan teguhnya pendirian.

 📍 Ayat 12
(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat [yang membantu kaum muslimin]: “Sesungguhnya Aku bersama kamu [dengan memberikan bantuan dan pertolongan], maka teguhkanlah (pendirian) orang-orang yang telah beriman. Kelak akan Aku berikan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan potonglah tiap-tiap hujung jari mereka.”

🐚 Orang-orang beriman dibantu dan diberikan khabar gembira. Hal ini dapat mendorong mereka untuk berani melawan musuh serta sanggup berjihad.

🐚 Menurut Tafsir Ibnu Kathir, hadis daripada Imam Muslim, beliau telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu daripada Umar radhiallahu ‘anhu. Hadisnya berbunyi:

📚 Tatkala seorang daripada kaum muslimin sedang bersungguh-sungguh melawan tentera musyrik yang ada di hadapannya, tiba-tiba dia terdengar suara hayunan cemeti (cambuk) di atasnya dan
suara penunggang kuda yang berkata, 'Majulah Haizum' (dalam syarah Muslim disebutkan nama kuda malaikat). Tiba-tiba dia melihat orang musyrik tadi telah terkulai jatuh di hadapannya. Apabila beliau mendekati, ternyata hidung tentera musyrik itu telah dipukul dan wajahnya terbelah, seperti terkena pukulan daripada cemeti. Maka orang Ansar tadi berjumpa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan menceritakan kepada baginda. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"Engkau benar, itu adalah bantuan daripada langit ketiga."

🐚 Maksud hujung jari di sini adalah persendian anggota tangan dan kaki. Dalam peperangan, sasaran yang dapat mematikan pihak lawan adalah di leher, tetapi apabila pihak lawan memakai baju besi sehingga sukar untuk dikalahkan, maka bahagian tangannya akan dipotong agar tidak dapat memegang senjata sehingga mudah ditawan.

📍 Ayat 13
(Ketentuan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang  menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya, Allah amat keras seksaan-Nya.

🐚 Di antara seksaan-Nya adalah dengan memberikan kekuasaan kepada para wali-Nya (muslimin) terhadap musuh-musuh-Nya.

📍 Ayat 14
Demikianlah (hukum dunia yang ditimpakan atasmu), maka rasakanlah hukuman itu (wahai orang-orang kafir). Sesungguhnya bagi orang-orang kafir ada (lagi) azab neraka.

🐚 Dalam kisah di atas terdapat ayat-ayat Allah yang menunjukkan bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan janji Allah adalah benar. Allah memberi perhatian dan mengabulkan doa hamba-hamba-Nya yang beriman. Allah menyediakan sebab (malaikat dan hujan) yang dapat mengukuhkan iman dan pendirian mereka serta penyingkiran-Nya terhadap bahaya dan was-was syaitan yang datang kepada mereka.

🍄 Ayat 15 - 19 🍄
Mentaati Allah dan Rasul-Nya merupakan jalan untuk memperoleh kemuliaan di dunia dan akhirat, serta larangan melarikan diri daripada pertempuran.

📍 Ayat 15
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang akan menyerangmu, maka janganlah kamu berundur daripada menentang mereka.

📍 Ayat 16
Dan sesiapa yang berundur daripada menentang mereka pada waktu itu, (kecuali berundur untuk menjalankan tipu muslihat peperangan) atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu (yang berundur tanpa sebab) kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah dan tempatnya ialah neraka jahanam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.

🐚 Tipu muslihat atau strategi seperti contoh memperlihatkan kepada musuh yang dia seakan-akan lari ke belakang, padahal akan kembali menyerang atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain agar lebih mudah untuk memerangi musuh.

🐚 Hal ini apabila kaum kafir tidak berjumlah lebih daripada dua kali ganda kaum muslimin sebagaimana akan diterangkan nanti. Ayat ini menunjukkan bahawa melarikan diri daripada peperangan merupakan dosa yang besar.

📚 Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah. Baginda bersabda: "Hindari tujuh dosa besar." Para sahabat bertanya, "Apakah tujuh perbuatan itu?" Baginda menjawab "Mempersekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang dan menuduh perempuan beriman berzina."

📍 Ayat 17
Maka (sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, melainkan Allah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik [ghanimah]. Sungguh, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

🐚 Kemenangan yang baik itu adalah yang mendapat ghanimah (harta rampasan perang). Ada pula yang menafsirkan, bahawa Allah Ta‘ala sesungguhnya berkuasa untuk memenangkan kaum mukmin ke atas orang-orang kafir tanpa perlu adanya peperangan, akan tetapi Allah ingin menguji orang-orang mukmin dengan jihad agar mereka mencapai darjat yang tinggi, kedudukan yang mulia dan mendapat pahala yang baik dan banyak.

🐚 Allah mendengar apa yang dirahsiakan hamba dan apa yang dinampakkannya, serta mengetahui apa yang ada dalam hati sama ada niat yang baik atau yang buruk. Dia menetapkan untuk hamba takdir yang sesuai dengan ilmu-Nya dan kebijaksanaan-Nya. Allah juga memberikan balasan sesuai dengan niat dan amalan masing-masing.

📍 Ayat 18
Demikianlah (kurnia Allah yang dilimpahkan kepadamu), dan sungguh, Allah melemahkan tipu daya orang-orang kafir.

🐚 Allah melemahkan tipu daya dan helah orang-orang kafir yang mereka lancarkan kepada Islam dan pengikutnya, dan menjadikan tipu daya mereka berbalik menimpa mereka.

📍 Ayat 19
Jika kamu (orang-orang musyrik) meminta keputusan [dengan menimpakan azab kepada orang yang zalim], maka sesungguhnya keputusan telah datang kepadamu [dengan membinasakan yang layak dibinasakan] dan jika kamu berhenti [daripada kekufuran dan daripada memerangi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam], maka itulah yang lebih baik bagimu dan jika kamu kembali [memusuhi dan memerangi Rasul], nescaya Kami kembali (memberi pertolongan kepadanya) dan pasukanmu tidak akan dapat menolak sesuatu bahaya sedikit pun daripadamu, biarpun jumlahnya (pasukan) banyak. Sungguh, Allah beserta orang-orang beriman.

🐚 Keputusan daripada Allah adalah dengan menimpakan azab kepada orang yang zalim dan bersalah.

📚 Daripada Tafsir At-Tabari, hadis riwayat An-Nasa‘i, daripada Abdullah bin Tha’labah, dia berkata, “Orang yang meminta keputusan pada perang Badar adalah Abu Jahal, ketika dia berkata, “Ya Allah, siapakah di antara kami yang lebih memutuskan tali silaturahim dan datang membawa sesuatu yang tidak kami kenali? Oleh sebab itu, binasakanlah dia pada pagi hari ini.”

🐚 Keputusan Allah ialah membinasakan orang yang layak dibinasakan, iaitu Abu Jahal dan orang-orang yang terbunuh bersamanya.

🐚 Allah sentiasa bersama dengan mereka yang beriman dan beramal soleh walaupun mereka lemah dan bilangan yang sedikit. Bantuan Allah sesuai dengan keimanan dan amalan yang mereka kerjakan.

🐚 Oleh itu, apabila terjadi kekalahan pada kaum muslimin pada sesuatu masa, itu tidak lain kerana sikap remeh mereka dan tidak mengerjakan kewajipan iman dan ketakwaan. Jika mereka melakukan apa yang diperintahkan Allah, tentu mereka tidak akan kalah dan musuh tidak akan menang.

🍄 Ayat 20-26 🍄
Arahan kepada kaum mukmin untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta peringatan buat mereka bahawa Allah Subhaanahu wa Ta'ala akan memberikan kekuasaan kepada mereka.

📍 Ayat 20
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),

🐚 Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar taat kepada-Nya dan Rasul-Nya. Allah melarang mereka berpaling daripada-Nya sedangkan mereka mendengar ayat-ayat yang dibacakan kepada mereka. Terdapat banyak berita gembira dan juga amaran silih berganti di dalam Al-Quran, juga melalui sabda Rasul-Nya.

📍 Ayat 21
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata, “Kami mendengar,” padahal mereka tidak mendengar (kerana hati mereka mengingkarinya).

🐚 Orang-orang munafik ialah orang-orang yang pada zahirnya mendengar dan beramal dengan ayat-ayat Allah, tetapi sebenarnya mereka berpura-pura. Mereka berkata mereka mendengar, padahal mereka tidak menghayati dan memikirkan apa yang mereka dengar.

📍 Ayat 22
Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikiran mereka).

🐚 Maksud pekak dan bisu adalah mereka yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. Ayat-ayat dan peringatan daripada Allah sama sekali tidak bermanfaat bagi mereka. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk kerana kufur kepada Allah, mempersekutukan-Nya dan beribadah kepada selain daripada-Nya. Mereka terkeluar daripada jalan-Nya dengan berbuat kefasikan, kezaliman dan kejahatan.

📍 Ayat 23
Kalau sekiranya Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu).

🐚 Mereka adalah kaum musyrikin yang telah tenggelam dalam kejahatan, berbuat kerosakan dan bersikap sombong sehingga mereka terhalang daripada mendapat hidayah daripada Allah Ta'ala.

 📍 Ayat 24
Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.

🐚 Allah memuliakan mereka dengan panggilan 'orang-orang yang beriman'. Allah memberikan perintah atau larangan kepada mereka adalah sebagai satu didikan dan juga persiapan dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Perintah dan larangan inilah yang dapat memberi kehidupan yang bermanfaat bagi orang-orang mukmin buat selama-lamanya.

 🐚 Allah memberi peringatan agar tidak menolak seruan Allah dan Rasul-Nya dengan firman-Nya, “Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya.” Ini adalah peringatan yang penting buat orang-orang mukmin. Ketika mereka diberi kesempatan untuk berbuat kebaikan, maka hendaklah mereka memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya sebelum terlambat. Oleh sebab itu, berhati-hatilah jangan sampai menolak apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia boleh membolak-balikkan hati sesuai dengan apa yang Dia kehendaki. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berdoa dengan doa:
“Yaa muqallibal quluub tsabit qalbii ‘alaa diinik” (“Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.”)

🐚 Allah-lah yang menguasai hati manusia, sehingga seseorang tidak mampu beriman atau berbuat kufur melainkan dengan iradah (kehendak)-Nya. Dia juga yang berhak memberikan balasan terhadap amal seseorang.

📍 Ayat 25
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya amat keras seksaan-Nya.

🐚 Allah mengingatkan kaum muslimin agar tidak meninggalkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya serta melaksanakan tanggungjawab dalam melakukan amar makruf nahi mungkar. Jika mereka meninggalkannya, maka kejahatan akan bermaharajalela dan kerosakan akan tersebar di mana-mana. Hal ini boleh menyebabkan bencana atau musibah menimpa ke atas semua golongan termasuk orang-orang yang  beriman, kafir, zalim dan adil. Allah memberi seksaan sebagai balasan di atas perbuatan maksiat dan dosa mereka.

📍 Ayat 26
Dan ingatlah (para muhajirin) ketika kamu masih (berjumlah) sedikit, lagi tertindas di bumi (Mekah), dan kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu, maka Dia memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki yang baik agar kamu bersyukur.

🐚 Wajib mengingati akan nikmat kurniaan Allah sebagai tanda bersyukur. Mensyukuri dan mengakui nikmat Allah dengan memuji dan menggunakannya pada jalan yang diredhai-Nya.

🍄 Ayat 27-29 🍄
Berhati-hati agar tidak mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan agar jangan sampai tidak menunaikan amanah, serta mengingatkan terhadap ujian harta dan anak.

📍 Ayat 27
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

🐚 Dalam ayat ini, Allah Subhaanahu wa Ta'ala memerintahkan kaum mukmin agar menjalankan amanah Allah yang telah diserahkan kepada mereka iaitu mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Amanah tersebut sebelumnya telah ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung namun mereka semua enggan menerimanya. Mereka khuatir tidak mampu menanggung amanah itu, manakala manusia berasa mampu memikulnya. Maka amanah itu dipikul oleh manusia.

🐚 Sesiapa yang menjalankan amanah itu, dialah berhak mendapatkan pahala yang besar daripada Allah, sebaliknya siapa yang tidak menjalankannya, dia menjadi orang yang mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu dia berhak mendapat azab yang berat.

📍 Ayat 28
Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.

🐚 Cinta yang melampau terhadap harta dan anak-anak boleh menjadi penghalang buat seseorang itu untuk menunaikan amanah kepada Allah.

📍 Ayat 29
Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan Furqan kepadamu dan menghapus segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki kurnia yang besar.

🐚 Furqan ertinya kemampuan membezakan di antara yang hak (benar) dengan yang batil, di antara petunjuk dengan kesesatan, dan di antara yang halal dengan yang haram.

 🐚 Allah menawarkan pahala yang besar dan banyak bagi orang-orang yang bertakwa dan mendahulukan keredhaan Allah lebih daripada mendahului hawa nafsu.

🍄 Ayat 30 🍄
Penjelasan tentang tipu daya orang-orang musyrikin Quraisy untuk membunuh, memenjarakan atau mengasingkan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

📍 Ayat 30
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan tipu daya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.

🐚 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu, Jibril mendatangi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan memerintahkannya agar baginda tidak bermalam di tempat tidur yang biasa. Baginda tidur pada waktu malam, dan memberitahu tentang tipu daya orang-orang kafir. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak bermalam di rumahnya pada malam itu, dan Allah telah mengizinkan baginda keluar (berhijrah). Allah juga menurunkan Surah Al-Anfal kepada baginda setelah tiba di Madinah.

🐚 Allah menerangkan nikmat-nikmat-Nya dan ujian daripada-Nya, “Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan tipu daya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap dan memenjarakanmu, membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.”

🐚 Allah mampu menggagalkan tipu daya orang-orang kafir dengan mengaturkan urusan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, memberi wahyu tentang apa yang mereka rencanakan dan memerintahkan baginda berhijrah.

🍄 Ayat 31 - 33 🍄
Sangkaan orang-orang kafir Quraisy bahawa mereka sanggup membuat seperti Al-Quran.

📍 Ayat 31
Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat seperti ini), jika kami menghendaki nescaya kami dapat membacakannya seperti ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah dongeng orang-orang terdahulu.”

 📍 Inilah sikap keras dan kezaliman mereka, padahal sesungguhnya Allah telah mencabar mereka membuat satu surah yang sepertinya dan menyuruh mereka memanggil yang lain selain Allah untuk berkumpul dan membuatnya, namun mereka tidak sanggup juga membuatnya.

📍 Ucapan mereka itu hanyalah dakwaan semata-mata yang didustakan oleh kenyataan. Padahal telah diketahui bahawa baginda adalah seorang ummi (yang tidak boleh membaca dan menulis), dan tidak pernah mengadakan perjalanan jauh untuk mempelajari berita orang-orang terdahulu.

📍 Ayat 32
Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.”

🐚 Seharusnya mereka ucapkan, “Ya Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka tunjukkanlah kami kepadanya.” Namun kerana tahap kejahilan mereka yang begitu tinggi, mereka mengucapkan sebaliknya. Padahal kalau Allah mahu segera menimpakan azab kepada mereka, maka tidak ada satu pun daripada mereka yang selamat, akan tetapi Dia menghindarkan azab itu kerana Rasul masih berada di tengah-tengah mereka.

📍 Ayat 33
Tetapi Allah tidak akan menghukum mereka, selama engkau (Muhammad) berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan menghukum mereka, sedang mereka (masih) memohon ampunan.

🐚 Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia berkata: Abu Jahal berkata, “Ya Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.” Maka turunlah ayat ini.

🐚 Azab apabila turun akan ditimpakan dan dirasai oleh semua. Satu umat tidaklah diazab kecuali setelah nabi dan kaum mukmin keluar dari tempat yang ditimpakan azab tersebut.

🐚 Selagi ada umat yang memohon keampunan menyedari dosa dan keburukannya, kerana takut kalau azab itu menimpa mereka sehingga mereka beristighfar, mereka akan selamat.

🍄 Ayat 34 - 35 🍄
Azab menimpa kaum musyrikin setelah berbagai-bagai perbuatan mungkar dan keji mereka lakukan.

📍 Ayat 34
Mengapa Allah tidak menghukum mereka padahal mereka menghalang-halangi orang untuk (mendatangi) Masjidil Haram dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya?  Orang yang berhak menguasai(nya) hanyalah orang-orang yang bertakwa. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 📍 Ayat 35
Solat mereka di sekitar Baitullah itu, tidak lain hanyalah siulan dan tepuk tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.

🐚 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan rumah-Nya yang suci agar agama-Nya dapat ditegakkan, dan supaya Dia diibadahi dengan ikhlas. Mereka yang melakukan demikian adalah hamba-hamba-Nya yang benar-benar mukmin.

🐚 Manakala orang-orang musyrik pula menghalang orang-orang mukmin daripada beribadah di Baitullah, sedangkan solat sebagai ibadah paling besar di Baitullah hanyalah siulan dan tepuk tangan bagi mereka. Perbuatan ini biasa dilakukan oleh orang-orang bodoh yang tidak memiliki rasa takzim kepada Allah, tidak mengenal hak-hak-Nya, serta tidak menghormati tempat mulia. Jika solat mereka seperti ini, lalu bagaimana dengan ibadah mereka lainnya?

🐚 Oleh itu, siapakah yang lebih berhak mengurus Masjidil Haram? Mereka atau kaum mukmin yang khusyuk dalam solatnya, beribadah dengan cara yang diredhai oleh pemilik-Nya? Sudah pasti, Allah akan menyerahkan rumah-Nya yang suci kepada kaum mukmin dan akan memberi mereka tempat di sana.

🐚 Oleh itu, setelah Allah memberi hak kepada kaum muslimin di sana, Dia berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram........” [At-Taubah, 9:28]

🍄 Ayat 36 - 37 🍄
Harta orang-orang kafir yang mereka infakkan dalam rangka menghalangi manusia daripada jalan Allah, akan kembali sebagai penyesalan bagi mereka.

📍 Ayat 36
Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menginfakkan harta mereka untuk menghalang-halangi (orang) daripada jalan Allah. Mereka akan (terus) menginfakkan harta itu, kemudian mereka akan menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahanam orang-orang kafir itu akan dikumpulkan.

🐚 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan permusuhan yang dilakukan orang-orang musyrik dan tipu daya yang mereka buat serta penentangan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka berusaha memadamkan cahaya Allah dan kalimah-Nya. Maka akibat daripada tipu daya mereka,  ia kembali kepada mereka kerana tipu daya yang buruk tidaklah menimpa kecuali kepada pembuatnya.

🐚 Mereka rela mengorbankan harta dalam jumlah besar untuk membatalkan yang hak dan membela yang batil, membatalkan tauhid dan menegakkan syirik seperti yang mereka lakukan ketika memerangi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini terjadi kerana kebencian mereka terhadap kebenaran, akan tetapi hal itu akan menjadi penyesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan sehingga harta dan apa yang mereka harapkan sia-sia, manakala di akhirat mereka akan diazab dengan keras.

📍 Ayat 37
Agar Allah memisahkan (golongan) yang buruk daripada yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas yang lain, lalu kesemuanya dikumpulkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

🐚 Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu dalam Tafsir At-Tabari, dia berkata Allah membezakan orang yang mentaati-Nya dalam menghadapi orang kafir dengan orang yang menentang perintah-Nya dalam menghadapi orang kafir.

🍄 Ayat 38 - 40 🍄
Dorongan kepada kaum kafir untuk bertaubat dan ancaman kepada kekafiran mereka, serta perintah berperang untuk melenyapkan kekufuran dan kesyirikan.

📍 Ayat 38
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya dan daripada memerangi Nabi), nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya akan berlaku (ke atas mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu (dengan dibinasakan).

🐚 Ayat ini menunjukkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bersifat adil dan lembut terhadap hamba-hamba-Nya. Dia mengampuni segala dosa-dosa mereka yang terdahulu setelah mereka memeluk agama Islam. Ini menunjukkan betapa luasnya kurniaan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hamba-hamba-Nya.

📚 Hadis sahih daripada Abi Wa-il, daripada Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang berbuat baik setelah dia masuk Islam, maka dia tidak akan dihukum atas perbuatan (buruk) yang dilakukannya masa jahiliah. Dan sesiapa berbuat buruk setelah memeluk agama Islam, maka dia akan dikenakan hukuman atas keburukan yang dilakukannya masa jahiliah dan masa Islamnya". [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
📚 Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: "(Masuknya seseorang ke dalam agama) Islam menghapus dosa yang dilakukan sebelumnya dan taubat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya." [Hadis riwayat Muslim]

🐚 Sunnah Allah terhadap orang-orang yang terdahulu bermaksud, sekiranya mereka sentiasa berdusta dan menyelisihi perintah Allah serta menentang Rasul-Nya, maka Allah akan menyegerakan azab seksaan terhadap mereka.

📍 Ayat 39
Dan perangilah mereka agar jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata hanya untuk Allah. Jika mereka berhenti (daripada kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

🐚 Fitnah dalam ayat di atas ialah gangguan-ganguan terhadap agama Islam dan orang-orang mukmin. Fitnah juga bermaksud berlakunya kekufuran dan kesyirikan.

📚 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan; 'Tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah', apabila mereka mengucapkannya, maka mereka telah menghalangiku (untuk menumpahkan) darah dan (merampas) harta mereka kecuali dengan hak, sedangkan (apabila mereka menyembunyikan kekafiran dan kemaksiatan) maka Allah-lah yang menghisab mereka.
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
🐚 Tertegaknya tauhid atau tingginya agama Islam dan lenyapnya agama-agama yang batil. Inilah matlamat perang atau jihad, agar gangguan terhadap agama Islam dapat dihapuskan.



📍 Ayat 40
Dan jika mereka berpaling (daripada iman), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah adalah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

🐚 Allah akan menolongmu dan menghindarkan tipu daya yang dilancarkan oleh orang-orang fasik. Sesiapa yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya, maka tidak ada yang perlu dibimbangkan lagi. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pelindung dan penolong bagi mereka yang beriman.

🍄 Ayat 41 🍄
Menjelaskan tentang pembahagian ghanimah dan pengagihannya.

📍 Ayat 41
Ketahuilah, sesungguhnya apa sahaja yang kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka satu perlima untuk Allah, Rasul, kaum kerabat Rasul, anak yatim, orang miskin dan ibnu sabil, (demikian) jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

🐚 Rampasan perang (ghanimah) adalah harta yang diperoleh daripada orang-orang kafir melalui peperangan, sedangkan yang diperoleh tanpa melalui peperangan dinamakan al-fai'.

🐚 Bahagian untuk Allah dan Rasul-Nya disalurkan untuk manfaat kaum mukmin secara umum, kerana Allah dan Rasul-Nya tidak memerlukannya, dan tidak disebutkan ke mana disalurkan, asalkan penyalurannya untuk kepentingan umum.

🐚 Kaum kerabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam terdiri daripada kalangan Bani Hasyim dan Bani Muttalib. Mereka berhak menerima ghanimah sama ada yang kaya ataupun yang miskin, lelaki ataupun perempuan. Mereka dilarang menerima zakat harta kerana kedudukan mereka yang mulia.

🐚 Maksud ayat ini adalah bahawa satu perlima daripada ghanimah itu dibahagikan kepada Allah dan Rasul-Nya, kaum kerabat Rasul, anak yatim, fakir miskin dan ibnu sabil. Ibnu sabil ialah orang yang terhenti di perjalanan (musafir) kerana kehabisan bekalan keperluan. Sedangkan empat perlima daripada ghanimah itu dibahagikan kepada mereka yang ikut berperang. Mereka yang berjalan kaki memperoleh satu bahagian, sedangkan penunggang kuda memperoleh dua bahagian iaitu bahagian untuk dirinya dan kudanya.

🐚 Sebahagian mufassir berpendapat, bahawa satu perlima daripada ghanimah hanya untuk 5 golongan tersebut, dan tidak semestinya dibahagikan secara sama rata, bahkan disesuaikan dengan keperluan masing-masing.

🐚 Allah menetapkan cara pembahagian ghanimah sesuai dengan aturan-Nya sebagai syarat keimanan.

🐚 Hari Furqan adalah hari yang memisahkan antara yang hak dan yang batil atau hari ditunjukkan kebenaran dan dikalahkan kebatilan, iaitu hari bertemunya dua pasukan di Badar.

🍄 Ayat 42 - 44 🍄
Mengingatkan bahawa kemenangan yang diperolehi dalam perang Badar adalah nikmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

📍 Ayat 42
(Iaitu di hari) ketika kamu berada di pinggir lembah yang dekat dan mereka berada di pinggir lembah yang jauh, sedang kafilah itu berada lebih rendah daripada kamu. Sekiranya kamu mengadakan persetujuan (untuk menentukan hari pertempuran), nescaya kamu berbeza pendapat dalam menentukan hari pertempuran itu, akan tetapi (Allah mempertemukan dua pasukan itu) agar Dia melakukan suatu urusan yang pasti dilaksanakan, iaitu agar orang yang binasa (kafir) itu binasa dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidup dengan keterangan yang nyata (pula). Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

🐚 Allah menjelaskan, bahawa dipertemukan-Nya kaum mukmin dengan kaum musyrik di suatu tempat tanpa ada kesepakatan sebelumnya. Ini merupakan ketentuan daripada Allah yang mesti terjadi. Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya sesuai dengan kekuasaan dan ilmu-Nya.

🐚 Allah hendak menolong orang-orang mukmin, meninggikan kalimah tauhid, menegakkan yang hak atas yang batil sehingga permasalahan menjadi jelas dan terang.

🐚 Orang-orang yang tetap di dalam kekafirannya tidak mempunyai alasan lagi di hadapan Allah kerana hujah dan bukti yang telah nyata (seperti menangnya kaum mukmin terhadap musuh mereka yang berjumlah banyak padahal jumlah mereka hanya sedikit), dan orang-orang yang beriman bertambah lagi keimanannya kerana Allah telah menampakkan bukti-bukti yang nyata yang menunjukkan kebenaran mereka, iaitu terdapat peringatan bagi orang-orang yang berakal.

📍 Ayat 43
(Ingatlah) ketika Allah memperlihatkan mereka di dalam mimpimu (dalam jumlah) sedikit. Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (dalam berjumlah) banyak tentu sahaja kamu menjadi gentar dan tentu sahaja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu, akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hatimu.

🐚 Sekiranya Allah memperlihatkan mereka dalam jumlah yang banyak, tentu ada di antara mereka yang akan berasa takut untuk berperang dan akan timbul perselisihan dalam hal ini. Allah lebih mengetahui tentang diri mereka, oleh itu Allah memperlihatkan kepada mereka bilangan musuh yang sedikit.

📍 Ayat 44
Dan ketika Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai kaum mukmin), ketika kamu berjumpa dengan mereka, jumlah mereka sedikit menurut penglihatan matamu dan kamu diperlihatkan-Nya berjumlah sedikit menurut penglihatan mereka, kerana Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang mesti dilaksanakan. Hanya kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.

🐚 Hal ini merupakan kelembutan Allah Ta‘ala terhadap kaum mukmin, pada saat Allah memperlihatkan mereka berjumlah sedikit pada pandangan mata, sehingga kaum mukmin berasa bersemangat dan berani untuk menentang orang-orang Quraisy.

🐚 Allah juga menampakkan kaum mukmin di mata kaum musyrik dalam jumlah yang sedikit agar mereka tetap mara dan tidak berundur dari medan peperangan. Hal ini sebelum bermulanya peperangan, namun setelah peperangan bermula, maka diperlihatkan oleh Allah bilangan kaum mukmin berjumlah dua kali ganda daripada mereka. [Rujuk surah Ali ‘Imran, 3:13]

🐚 Rancangan Allah kepada kaum mukmin dengan memberikan kemenangan dan meninggikan darjat mereka serta memberikan kekalahan dan kehinaan kepada musuh-musuh mereka.

🐚 Kejayaan dan kegagalan adalah ditentukan oleh Allah dengan kehendak-Nya. Tidak ada seorang pun dapat meraihnya tanpa izin Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

🍄 Ayat 45 - 47 🍄
Di antara peraturan perang adalah taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta sabar terhadap penderitaan perang, kewajipan berteguh hati, bersatu dalam peperangan dan larangan berlaku sombong dan riyak.

📍 Ayat 45
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka tetaplah pendirian dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung.

🐚 Tahanlah jiwa dan bersabarlah di atas ketaatan yang besar ini, yang akibatnya adalah kemuliaan dan kemenangan. Untuk memperoleh kesabaran di waktu ini, caranya adalah dengan memperbanyakkan zikrullah. Berdasarkan ayat ini, sabar, teguh hati dan banyak berzikir merupakan sebab terbesar seseorang memperoleh kemenangan.

📍 Ayat 46
Taatilah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang serta bersabarlah. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.

🐚 Patuhilah suruhan Allah dan Rasul dengan melakukan apa yang diperintahkan dan tetap mengerjakan ketaatan kepada Allah dan Rasul. Bersabarlah kerana Allah akan memberikan pertolongan dan bantuan.

📍 Ayat 47
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang keluar dari kampung halamannya dengan rasa angkuh dan ingin dipuji orang serta menghalang-halangi (orang) daripada jalan Allah. Allah meliputi segala yang mereka kerjakan.

🐚 Mereka adalah kaum musyrik yang keluar untuk berperang di Badar, mereka berkata, "Kami tidak akan pulang sehingga kami minum khamr (arak), menyembelih unta, dan para penyanyi memukul rebana kepada kami di Badar.”

🐚 Oleh itu, hendaklah keluar berperang kerana mencari keredhaan Allah dan meninggikan kalimah-Nya, menyingkirkan semua jalan yang membawa kepada kemurkaan Allah dan seksa-Nya serta membawa manusia ke jalan Allah yang lurus yang membawa mereka ke syurga.

🍄 Ayat 48 - 51 🍄
Pengkhianatan syaitan terhadap janjinya kepada pengikut-pengikutnya, dan pengaruh perang bagi kaum muslimin dan bagaimana para malaikat menyeksa orang-orang kafir.

📍 Ayat 48
Dan (ingatlah) ketika syaitan menjadikan perbuatan dosa kelihatan baik dan mengatakan: “Tidak ada (orang) yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sungguh, aku adalah penolongmu.” Maka ketika kedua pasukan itu telah saling melihat (berhadapan), syaitan pun berundur ke belakang sambil berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah.” Allah sangat keras seksa-Nya.

🐚 Syaitan yang bongkak mengatakannya untuk meyakinkan kaum muslimin disebabkan jumlah mereka yang ramai dan telah menyiapkan kelengkapan senjata yang lengkap, maka mereka boleh mencapai kemenangan.

🐚 Tetapi akhirnya syaitan melarikan diri ke belakang kerana melihat malaikat, terutama malaikat Jibril. Daripada sini diketahui, bahawa syaitan suka mengingkari janji, dan bahawa janji-janjinya adalah dusta. Oleh itu, janganlah tergoda olehnya.

📖 “Ketika syaitan memujuk manusia, “Kafirlah kamu,” lalu ketika manusia itu telah kafir, ia berkata, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam.” Maka kesudahannya kedua-duanya masuk ke dalam neraka dan mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang zalim.” [Surah Al-Hasyr, 59:16-17]

📍 Ayat 49
(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: “Mereka itu (orang mukmin) ditipu agamanya.” (Allah berfirman): “Sesiapa bertawakal (menyerahkan urusan) kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

🐚 Sesiapa yang bertawakal, maka dia akan menang. Ini kerana, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepada seseorang walaupun dengan bilangan yang sedikit, nescaya mereka tidak akan mampu kecuali sesuai dengan apa yang ditetapkan Allah Ta‘ala, dan sekiranya mereka berkumpul untuk menimpakan bahaya, nescaya mereka tidak akan mampu kecuali sesuai dengan ketetapan Allah Ta‘ala.

📍 Ayat 50
Dan sekiranya kamu melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir sambil memukul wajah dan punggung mereka (dan berkata): “Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar.”

🐚 Para malaikat mencabut nyawa orang-orang kafir sambil berkata, “Keluarlah kamu.” Namun ruh mereka tidak mahu keluar kerana mengetahui ia akan memperoleh azab yang pedih, lalu ditariklah ruh tersebut dengan sentapan yang kuat.

🐚 Seksa neraka diberikan kepada mereka yang derhaka kerana ia merupakan ketetapan Allah kepada orang-orang terdahulu dan yang kemudian, iaitu dengan menghukum mereka disebabkan dosa-dosa mereka sebagaimana diterangkan dalam ayat selanjutnya.

📍 Ayat 51
Demikian itu disebabkan  oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.

🐚 Perkataan “tangan” digunakan kerana pada kebiasaannya perbuatan manusia dilakukan oleh tangan. Namun, Dia tidak akan menyeksa hamba-Nya yang tidak berdosa.

🍄 Ayat 52 - 54 🍄
Kisah kebinasaan orang-orang kafir kerana perbuatan dan dosa-dosa mereka sendiri.

📍 Ayat 52
(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir‘aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Sesungguhnya, Allah Maha Kuat lagi sangat berat seksaan-Nya.

🐚 Keadaan orang-orang musyrik daripada kaum kafir Quraisy itu sama keadaannya seperti Fir‘aun dan pengikutnya serta orang-orang yang datang sebelum mereka dalam hal kekufuran dan pendustaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah menyeksa mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka.

🐚 Hal ini dibuktikan dengan apa yang telah Allah lakukan terhadap Fir‘aun dan pengikutnya serta orang-orang yang datang sebelum mereka seperti kaum ‘Ad, Thamud, kaum Nabi Ibrahim, penduduk Madyan dan penduduk negeri-negeri yang dihancurkan dan yang terakhir Allah menyeksa kaum kafir Quraisy di perang Badar dengan seksaan yang sangat keras.

📍 Ayat 53
(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah diberikan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

🐚 Allah tidak mencabut nikmat yang telah dilimpahkan-Nya kepada sesuatu kaum, bahkan akan mengekalkan dan menambahnya selama mana kaum itu tetap taat dan bersyukur kepada-Nya. Sekiranya mereka kufur, maka Allah akan mencabut nikmat tersebut. Hal ini telah dilakukan oleh kaum kafir Quraisy, mereka diberi makanan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ketika lapar dan diamankan daripada ketakutan (lihat surah Quraisy), lalu mereka mendustakan utusan Allah dan menghalang serta memerangi orang-orang yang beriman di jalan-Nya. Mereka berubah daripada taat kepada maksiat. Maka Allah menggantikan kesenangan dengan kesusahan dan kebinasaan.

🐚 Allah mendengar semua kata-kata hamba-hamba-Nya dan mengetahui semua perbuatan mereka. Oleh sebab itu, Allah menurunkan balasan ini berdasarkan keadilan dan ilmu-Nya.

📍 Ayat 54
(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir‘aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya, maka Kami membinasakan mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka dan Kami tenggelamkan Fir‘aun dan pengikut-pengikutnya; kerana mereka semua adalah orang-orang yang zalim.

🐚 Ayat ini seakan-akan serupa dengan ayat 52 di atas. Dalam ayat ini, Allah menceritakan bahawa dosa yang menyebabkan mereka dibinasakan adalah kerana pendustaan dan kekufuran mereka terhadap ajaran Allah. Mereka juga bersikap zalim dengan menghalang manusia daripada jalan Allah. Allah menenggelamkan Fir‘aun serta pengikut-pengikutnya kerana dosa-dosa mereka.

 🍄 Ayat 55 - 59 🍄
Jangan terlalu percaya dengan janji-janji orang-orang kafir, perintah bersiap sedia pada setiap masa, perang dalam Islam bukanlah satu penganiayaan malah demi kepentingan agama dan tanah air. Perdamaian hanya boleh diterima apabila kaum mukmin kuat dan musuh cenderung untuk berdamai.

📍 Ayat 55
Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman.

 📍 Ayat 56
(iaitu) orang-orang yang terikat perjanjian dengan kamu, kemudian setiap kali berjanji mereka mengkhianati janjinya, sedang mereka tidak takut (kepada Allah).

🐚 Makhluk bergerak yang paling buruk dalam pandangan Allah adalah mereka yang tidak beriman dan khianat, kerana pada mereka tidak ada kebaikan sama sekali dan yang ada hanya keburukan. Oleh sebab itu, mereka dibinasakan dengan pantas sekali agar penyakit mereka tidak menular kepada yang lain.

📍 Ayat 57
Maka jika engkau (Muhammad) menemui mereka dalam peperangan, maka cerai beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka (dengan menumpaskan mereka) supaya mereka mengambil pelajaran.

🐚 Maksudnya apabila bertemu mereka (orang-orang kafir) dalam peperangan berikanlah seksaan yang keras dan bersikap kasarlah dalam melakukan penyerangan, supaya musuh-musuh yang lain, baik daripada kalangan bangsa Arab dan yang lainnya menjadi takut dan mengambil pengajaran.

  Mengambil pengajaran supaya mereka tidak melakukan hal yang sama. Inilah faedah adanya saksi dan hukuman hudud terhadap maksiat agar orang yang melakukan kesalahan dan orang lain yang belum melakukan tidak melakukan hal yang sama.

📍 Ayat 58
Dan jika engkau (Muhammad) khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berkhianat.

🐚 Dan jika kamu bimbang terhadap suatu golongan yang telah mengadakan perjanjian perdamaian dengan kamu melakukan pengkhianatan, iaitu melanggar perjanjian yang ada antara kamu dan mereka, kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara  yang jujur.

🐚 Beritahulah mereka bahawa kamu membatalkan perjanjianmu dengan mereka kerana mereka telah melanggarnya, sehingga kedua-dua pihak (pihakmu dan pihak mereka) mengetahui tidak ada lagi perjanjian yang mengikat mereka. Kini mereka adalah musuhmu dan kamu adalah musuh mereka secara terang-terangan.

🐚 Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat walaupun kepada orang-orang kafir.

📍 Ayat 59
Dan janganlah orang-orang yang kafir itu mengira, bahawa mereka akan dapat melepaskan diri (daripada kekuasaan Allah). Sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan (Allah).

🐚 Ada yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang kafir yang melarikan diri daripada perang Badar. Allah Ta‘ala memiliki hikmah yang dalam mengapa Dia memberi penangguhan kepada mereka dan tidak segera menghukum mereka, yang di antara hikmah-Nya adalah menguji hamba-hamba-Nya yang mukmin dan menambahkan kepada mereka ketaatan kepada-Nya sehingga mereka dapat mencapai tempat dan kedudukan yang tinggi.

🍄 Ayat 60 - 61 🍄
Masih berkisar kepada janji-janji orang-orang kafir yang tidak boleh dipercayai dan perintah bersiap sedia pada setiap masa.  Perang dalam Islam bukanlah satu penganiayaan malah demi kepentingan agama dan tanah air. Perdamaian hanya boleh diterima apabila kaum mukmin kuat dan musuh cenderung untuk berdamai.

📍 Ayat 60
Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan daripada pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya tetapi Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu infakkan di jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi (dirugikan).

🐚 Kekuatan maksudnya sama ada kepandaian, keterampilan, kekuatan fizikal, pelbagai persenjataan dan kelengkapan perang serta mengetahui taktik berperang. Termasuk juga memanah; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Alaa innal quwwatar ramyu.” (Ertinya: Ingat! Kekuatan itu adalah memanah”).

🐚 Persiapkan apa sahaja untuk menggentarkan musuh Allah.

📍 Ayat 61
Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

🐚 Ajaran-ajaran Islam begitu mulia, Islam memerintahkan kita memiliki sifat pemaaf, namun dengan memperhatikan agar kejahatan tetap diberikan hukuman yang setimpal agar tidak muncul kejahatan yang baru. Islam memerintahkan agar manusia selalu berbuat baik, sekalipun terhadap orang yang pernah berbuat jahat kepadanya. Islam mengajarkan manusia agar mereka banyak beribadah kepada Allah, tetapi jangan menjadi rahib yang melupakan hak diri dan orang lain. Islam memerintahkan manusia merendah diri, namun jangan melupakan harga diri. Oleh kerana itu, Islam melarang bersikap lemah dan meminta damai dalam peperangan ketika belum tercapai tujuan, bahkan berdamai pada saat seperti ini merupakan kelemahan dan kehinaan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang lebih tinggi dan Allah pun bersamamu..…” [Surah Muhammad, 47:35]

🐚 Sesungguhnya tidak ada  perdamaian dalam Islam kecuali setelah berada dalam keadaan kuat dan mampu. Oleh sebab itu, Allah tidak menjadikan perdamaian secara mutlak dalam semua keadaan, bahkan dengan syarat dapat menghentikan musuh daripada permusuhan, dan dengan syarat tidak ada lagi kezaliman di muka bumi serta seseorang tidak boleh dianiaya ketika mengamalkan agamanya dan mendakwahkannya.

Daripada ayat ini dapat diambil beberapa faedah:

Mencari keselamatan dituntut pada setiap waktu, jika mereka (musuh) yang memulai maka sangat layak diterima.

Dapat menyegarkan kembali kekuatan kaum muslimin dan mempersiapkan diri untuk berperang pada waktu yang lain jika diperlukan.

Adakan perdamaian di mana satu sama lain berasa aman sehingga pihak masing-masing dapat mengenal yang lain. Oleh sebab Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya, maka pihak lain yang memiliki akal dan basirah (mata hati) tentu akan mengutamakan Islam dengan memeluknya. Ini kerana ajarannya begitu indah. Ketika itulah ramai orang yang cinta kepadanya dan mengikutinya. Dengan demikian, perdamaian dapat membantu kaum muslimin terhadap kaum kafir.

🐚 Memang tidak ada yang dikhuatirkan daripada adanya perdamaian selain satu perkara, iaitu menipu kaum muslimin dan mereka mengambil kesempatan di sana. Oleh itu dalam ayat selanjutnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan, bahawa Dia yang akan melindungi kaum muslimin daripada tipu daya orang kafir, dan bahawa bahayanya akan kembali kepada mereka.

🍄 Ayat 62 - 65 🍄
Penyatuan umat, pertolongan Allah kepada Rasul-Nya, serta dorongan untuk berperang.

📍 Ayat 62
Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindung) bagimu. Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang mukmin,

📍 Ayat 63
Dan Dia (Allah) yang menyatukan hati orang-orang yang beriman. Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

🐚 Penduduk Madinah yang terdiri daripada suku 'Aus dan Khazraj sebelum Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berhijrah ke Madinah selalu bermusuhan dan setelah mereka masuk Islam, mereka tidak lagi menjadi musuh. [Ali ‘Imran, 3:103]

🐚 Allah telah menyatukan hati mereka kerana tidak ada yang mampu membolak-balikkan hati selain daripada Dia.

📍 Ayat 64
Wahai Nabi (Muhammad)! Cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan (cukuplah bagimu) orang-orang mukmin yang mengikutimu.

🐚 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan kaum mukmin sebagai pembela baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam.

📍 Ayat 65
Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti.

🐚 Kobarkan semangat dengan menyampaikan targhib dan tarhib iaitu sebagai dorongan untuk berjihad dan ancaman meninggalkannya, menyebutkan keutamaan jihad, keberanian dan kesabaran, serta bahaya sikap penakut. Sikap penakut termasuk akhlak yang hina yang mengurangi kebesaran agama dan kehormatan.

🐚 Ayat ini sesungguhnya mengandungi perintah, iaitu hendaknya dua puluh orang di antara mereka tidak berundur menghadapi dua ratus orang musuh, dan seratus orang di antara mereka tidak berundur menghadapi seribu orang musuh.

🐚 Perintah ini walaupun dalam bentuk khabar (berita) terdapat rahsia di dalamnya, iaitu untuk menguatkan hati kaum mukmin, dan memberikan khabar gembira, bahawa jika mereka bersabar, maka mereka akan menang.

🐚 Orang-orang kafir itu tidak sedar bahawa perang itu adalah untuk membela keyakinan dan mentaati perintah Allah. Sebaliknya mereka berperang hanya semata-mata mempertahankan tradisi jahiliah dan maksud-maksud duniawi lainnya. Mereka juga tidak mengetahui, bahawa Allah telah menyediakan pahala yang besar untuk para mujahid, sedangkan mereka berperang hanya ingin bersikap sombong dan berbuat kerosakan di bumi.

🐚 Mereka juga tidak mengetahui, bahawa kaum mukmin memiliki pendorong kuat untuk berperang, untuk meninggikan kalimah Allah, dan membela agama-Nya, serta untuk memperolehi kenikmatan yang sebenarnya, iaitu syurga.

🍄 Ayat 66 - 67 🍄
Masih lagi tentang penyatuan umat, pertolongan Allah kepada Rasul-Nya, serta dorongan untuk berperang.

📍 Ayat 66
Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahawa ada kelemahan padamu. Maka jika ada di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang (musuh) dan jika di antara kamu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Allah berserta orang-orang yang sabar.

📚 Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu, bahawa ketika turun ayat, “Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.” 

🐚 Ayat ini merupakan perintah agar tetap menghadapi musuh dan tidak berundur ketika mereka berjumlah dua kali ganda. Jika lebih daripada dua kali ganda, barulah dibolehkan berundur.

📍 Ayat 67
Tidaklah pantas, bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

🐚 Ayat ini turun ketika mereka (Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat) mengambil tebusan daripada para tawanan perang Badar.

📚 Hakim  meriwayatkan daripada Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, dia berkata,

🔹“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bermesyuarat dengan Abu Bakar untuk berhadapan para tawanan. Abu Bakar berkata, ”Mereka adalah kaummu dan keluargamu, maka lepaskanlah.” Lalu baginda bermesyuarat dengan Umar, dia berkata, “Bunuhlah mereka.” Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengambil tebusan daripada mereka, maka Allah 'Azza wa Jalla menurunkan ayat ini. Ibnu Umar berkata, “Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menemui Umar dan berkata, “Hampir sahaja kami ditimpa azab kerana tidak bersetuju denganmu.” (Hadis ini sahih sanadnya, menurut Adz Dzahabi sesuai Syarah Muslim).

🐚 Mereka menginginkan agar Allah tidak disembah dan agar yang disembah adalah selain-Nya.

🐚 Mereka menginginkan agar kezaliman dan kemaksiatan yang menguasai dunia, dan tidak suka kalau keadilan dan ketaatan yang menguasai dunia. Mereka suka jika bumi ini rosak dan tidak suka diperbaiki. Oleh itu, mereka patut ditentang.

🐚 Pahala akhirat dapat dicapai dengan meningkatkan ketakwaan dalam agama-Nya. Oleh itu, Allah telah memerintahkan dan memberi petunjuk supaya manusia dapat mencapai kepada kejayaan di akhirat.

🐚 Jika Allah menghendaki, Dia mampu memberikan kemenangan terhadap orang-orang kafir tanpa melalui peperangan, akan tetapi Dia Maha Bijaksana, Dia menguji sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain.

🍄 Ayat 68-71 🍄
Berlakunya ijtihad dalam masalah tawanan perang dan pengaruhnya kepada jiwa, serta dibolehkan memakan harta ghanimah.

📍 Ayat 68
Sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu daripada Allah  nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana (tebusan) yang kamu ambil.

🐚 Maksud ayat di atas adalah sekiranya tidak ada ketetapan berdasarkan ilmu Allah tentang halalnya harta rampasan perang bagi umat ini, nescaya mereka akan ditimpa seksaan yang besar sebagai balasan kerelaan mereka atas tebusan yang telah mereka ambil (rujuk hadis dalam huraian surah Al-Anfaal, 8:67)

📍 Ayat 69
Maka makanlah daripada sebahagian rampasan perang yang telah kamu peroleh itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

🐚 Hal ini termasuk kelembutan Allah Subhaanahu wa Ta'ala terhadap mereka yang ikut dalam peperangan Badar. Allah membenarkan mereka memakan harta rampasan yang mereka perolehi dan juga wang tebusan yang mereka ambil daripada tawanan perang sebagai nikmat daripada-Nya untuk mereka. Allah juga mengingatkan mereka agar bertakwa kepada-Nya dengan menjalankan semua perintah-Nya dan Rasul-Nya serta menjauhi kesemua larangan-Nya.

🐚 Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia tidak akan menyeksa mereka setelah mereka bertaubat atas dosa-dosa mereka, bahkan Dia memberikan rahmat-Nya kepada mereka di dunia dan akhirat.

📍 Ayat 70
Wahai Nabi (Muhammad)! Katakanlah kepada para tawanan perang yang ada di tanganmu, “Jika Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan kamu yang lebih baik daripada apa (tebusan) yang telah diambil daripadamu dan Dia akan mengampuni kamu.” Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

🐚 Menurut sesetengah riwayat, ayat ini turun berkenaan dengan para tawanan perang Badar, yang di antaranya adalah Al-Abbas bin Abdul Mutalib bapa saudara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ketika dia diminta menebus dirinya, dia mengaku bahawa dirinya adalah sebagai muslim sebelum peristiwa tersebut, namun mereka (para sahabat) tidak menggugurkan tebusan terhadapnya, maka Allah Subhaanahu wa Ta'ala menurunkan ayat-ayat-Nya untuk menenangkan hatinya dan menenangkan hati orang-orang yang sepertinya.

🐚 Allah Maha Penyayang serta memasukkan mereka ke dalam syurga. Allah Subhaanahu wa Ta'ala memenuhi janji-Nya, iaitu Dia menjadikan Al-Abbas dan yang lainnya memperoleh harta yang banyak selepas kemasukan mereka dalam agama Islam. Pernah suatu ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memperoleh harta ghanimah yang banyak, maka Al-Abbas datang, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadanya mengambil harta itu dengan bajunya yang mampu diangkutnya. Al-Abbas cuba mengambilnya dan hampir sahaja dia tidak mampu mengangkatnya. Akhirnya beliau hanya mengambil harta yang termampu dibawa bersamanya.
(Tafsir Ibnu Kathir)

📍 Ayat 71
Akan tetapi jika mereka (tawanan-tawanan itu) bermaksud hendak mengkhianatimu (Muhammad), maka sesungguhnya sebelum itu pun mereka telah berkhianat kepada Allah, lalu Dia memberikan kekuasaan kepadamu atas mereka, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

🐚 Sekiranya mereka (tawanan) mempunyai niat untuk berkhianat dan melanggar perjanjian, maka janganlah berasa takut terhadap mereka kerana mereka pun sebelum ini telah berkhianat kepada Allah dengan kekufuran dan kesyirikan mereka.

🐚 Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas apa yang Dia kerjakan dan Maha Bijaksana dalam segala tindakan-Nya.

🍄 Ayat 72 - 75 🍄
Keutamaan selain daripada kaum Muhajirin dan kaum Ansar ketika mereka memberikan tempat dan pertolongan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, dan kekafiran agama, serta pembatalan pewarisan jika selain daripada kerabat.

 📍 Ayat 72
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itu saling melindungi antara satu sama lain. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah, tidak ada kewajipan sedikit pun bagimu melindungi mereka, sampai mereka berhijrah. (Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah terikat perjanjian di antara kamu dengan mereka. Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

🐚 Ayat ini merupakan akad untuk saling melindungi, memberikan pertolongan dan saling mencintai yang Allah jalinkan di antara kaum Muhajirin dengan Ansar.

🐚 Saling melindungi antara kaum Muhajirin dan Ansar terjalin persaudaraan yang amat teguh, untuk membentuk masyarakat yang baik. Oleh sebab keteguhan dan keakraban persaudaraan mereka, sehingga pada permulaan Islam mereka saling mewarisi seakan-akan mereka saudara kandung.

🐚 Ada yang menafsirkan, bahawa tidak ada waris-mewarisi antara kamu dengan mereka dan bahawa mereka (yang tidak ikut berhijrah) tidak memperoleh bahagian daripada ghanimah sehingga mereka berhijrah, namun waris-mewarisi persaudaraan akhirnya dimansuhkan. [Lihat ayat akhir surah Al-Anfaal ini]

🐚 Namun jika mereka meminta pertolongan untuk memerangi orang-orang yang memerangi mereka kerana agama, maka wajib kamu membantu, adapun selain itu, tidak ada kewajipan atas kamu menolong mereka sekiranya mereka tidak mahu berhijrah.

🐚 Kecuali jika mereka meminta pertolongan untuk melawan kaum kafir yang terikat perjanjian di antara kamu dengan mereka, maka jangan menolong mereka dan membatalkan perjanjian.

📍 Ayat 73
Adapun orang-orang kafir, sebahagian mereka melindungi sebahagian yang lain. Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah (saling melindungi), nescaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerosakan yang besar.

🐚 Ada yang menafsirkan, “saling melindungi” sebagai saling tolong-menolong dan mewarisi. Oleh sebab itu tidak ada waris mewarisi di antara kamu dengan mereka (orang-orang kafir).

🐚 Maksud dengan apa yang telah diperintahkan Allah itu adalah keharusan adanya persaudaraan yang teguh antara kaum Muslimin, berwala’  (mencintai) dengan mereka, saling melindungi, dan berbara’ (berlepas diri) terhadap orang-orang kafir.

📍 Ayat 74
Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang Muhajirin), mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.

🐚 Ayat 72 menerangkan akad saling tolong menolong dan persaudaraan di antara kaum Muhajirin dan Ansar; pada ayat ini menyebutkan pujian untuk mereka.

🐚 Merekalah yang benar-benar beriman kerana mereka membenarkan iman mereka dengan melakukan hijrah, tolong-menolong antara yang satu dengan yang lain, dan berjihad melawan musuh-musuh mereka yang terdiri daripada kaum kafir dan orang-orang munafik.

🐚 Mereka akan mendapat nikmat di syurga, dan ada di antara mereka yang memperoleh pahala yang disegerakan yang menyejukkan pandangan dan menenteramkan hati.

📍 Ayat 75
Dan orang-orang yang beriman setelah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu maka mereka termasuk golonganmu. Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) menurut kitab Allah. Sungguh, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

🐚 Setelah kaum Muhajirin dan Ansar, yang mengikuti dengan kebaikan, beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah, mereka pun akan sama memperoleh apa yang diperoleh dan memiliki kewajipan yang sama dengan generasi sebelum mereka.

🐚 Bukan kerabat bermaksud yang menjadi dasar waris-mewarisi. Dalam Islam adalah hubungan kerabat, bukan hubungan persaudaraan keagamaan sebagaimana yang terjadi antara Muhajirin dan Ansar pada permulaan Islam.

🐚 Oleh sebab itu, tidak ada yang menjadi ahli waris bagi seseorang selain kerabatnya, yang terdiri daripada As-habul Furudh dan ‘Ashabah. Jika mereka tidak ada, maka yang mewarisinya adalah kerabat terdekat mereka daripada kalangan Dzawul Arham sebagaimana ditunjukkan oleh ayat ini. Kata-kata “Menurut kitab Allah” adalah menurut hukum dan syariat-Nya.

Wallahu a‘lam.

🐚📍🐚📍🐚📍🐚📍🐚

 📍 Selesai tafsir surah Al-Anfaal dengan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, walhamdulillah.

🐚📍🐚📍🐚📍🐚📍🐚

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.