doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 9 Disember 2016

Permohonan Rayuan Haji bagi 1438H / 2017M telah pun dibuka pada 1 Disember 2016.

Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori:
  1. Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
  2. Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
  3. Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.

Semua individu yang beragama Islam memang berkeinginan menjadi tetamu Allah, lebih-lebih lagi sekiranya individu berkenaan memang berkemampuan dari segi kewangan dan kemampuan fizikal. Namun begitu tidak semuanya mendapat jemputan.

Walau memiliki harta melimpah ruah sekalipun, namun apabila ia bukan dalam ketetapan Allah untuk dijemput sebagai tetamu, maka dia tidak akan sesekali mampu menjengah ke Tanah Suci, semuanya tetap tertakluk pada jemputan Allah. Begitu juga sebaliknya pernah kita melihat ramai yang tidak mampu menunaikan Rukun Islam Yang Kelima itu, tetapi secara tiba-tiba mereka berjaya ke sana berbanding dengan mereka yang dilihat lebih berkemampuan.
Jika tidak diizinnya, berbagai halangan datang. Kadang-kadang ada yang dah dapat jemputan Tabung Haji tapi pemeriksaan kesihatan pula yang tak lepas…itu maknanya belum diterima lagi jemputan jadi tetamu Allah.

Kepada mereka yang telah mendaftar untuk menunaikan fardhu haji tetapi belum lagi terpilih, dibolehkan membuat rayuan untuk menunaikan fardu haji. Surat-surat rayuan untuk menunaikan fardhu haji sebaiknya dikemukakan kepada Tabung Haji pada tahun semasa di mana bakal-bakal haji tersebut bercadang untuk menunaikan fardhu haji. Walau bagaimana pun, ianya tertakluk kepada kekosongan tempat pada satu-satu tahun haji berkenaan. 




--------------------------------------------------------------------------

Berikut adalah contoh surat rayuan dilampirkan boleh dijadikan panduan dalam menyediakan surat rayuan haji sekiranya bersesuaian:

Nama Suami & No Akaun Tabung Haji
Nama Isteri & No Akaun Tabung Haji
Alamat
No. Tel: (penting untuk dihubungi)
_____________________________________

10 Disember 2016

Bahagian Operasi Domestik
Lembaga Tabung Haji
Lantai 30, Banguana Ibu Pejabat Tabung Haji
201 Jalan Tun Razak
50732 Kuala Lumpur

Tuan,
RAYUAN PENEMPATAN HAJI BAGI TAHUN 1438 H/ 2017 M

Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

Untuk makluman tuan, kami telah membuat pendaftaran haji di Tabung Haji Cawangan XXXX pada tahun 2009 dan disenaraikan untuk ke sana pada tahun 2029 M.
Justeru itu, kami memohon dan merayu jasa baik pihak Tuan untuk memperoleh penempatan ibadah haji pada tahun 1438H/2017 berdasarkan perkara berikut

1.Kesihatan kami yang baik pada masa sekarang memberikan keyakinan untuk mengerjakan ibadah haji dengan sempurna berbanding ketidaktentuan keadaan kesihatan di masa akan datang.
2. Kami diberikan pelepasan oleh majikan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Kebiasaannya, tugasan kerjaya membataskan peluang kami bercuti panjang
3. Anak-anak sudah bersekolah dan tidak ada yang mengambil peperiksaan besar pada tahun ini.
4. Kami sudah mengikuti Kursus Asas Haji di Masjid XXXX
5. Akaun Tabung Haji sudah mencukupi untuk mengerjakan Haji

Besarlah harapan kami sekiranya rayuan ini dipertimbangkan dan diberi peluang mengerjakan Rukun Islam ke -5 pada tahun ini.
Kerjasama dan maklum balas dari pihak tuan amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih

Yang benar,

.....................                              ......................................
Nama Suami                              Nama Isteri
No Kad Pengenalan:                  No Kad Pengenalan

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi
Tabung Haji Contact Center di talian 03-62071919.


 --------------------------------------------------------------------------

Biasanya rayuan-rayuan yang mempunyai alasan kukuh seperti berikut akan diberi lebih keutamaan berbanding alasan-alasan yang lain :

i) Rayuan Lanjut Usia. (Telah lanjut usia)

ii) Rayuan Kesihatan. - mengemukakan surat rayuan menunaikan haji bersama surat sokongan laporan perubatan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan.

iii) Rayuan Mahram:
  1. Bagi suami/isteri telah terpilih untuk menunaikan haji, pasangan masing-masing boleh membuat rayuan untuk menjadi pengiring.
  2. Bakal haji lelaki yang diperlukan untuk menjadi mahram kepada bakal haji wanita yang terpilih, yang tiada mahram lain dan terhad kepada seorang saja.
Alasan-alasan yang selain daripada yang disebutkan di atas biasanya dikira sebagai rayuan biasa yang tertakluk kepada kekosongan tempat dalam satu-satu tahun haji. 

Bagi mereka yang menerima jemputan Allah, jangan menolak tawaran tersebut dengan memberi pelbagai alasan, sibuk dengan kerja la, projek tak selesai la, anak sekolah, anak kecik lagi la, bimbang nak tinggalkan rumah dan 1001 alasan lagi perlu ditimbang dengan waras. Jika Allah jemput,bermakna Allah jualah yang akan menjaga apa yang kita tinggalkan, bertawakkallah. Sekali kita tolak, dikhuatiri tidak dijemput lagi maka tidak sempurnalah Rukun Islam ke 5 yang wajib kita laksanakan iaitu mengerjakan haji di Baitillah (Mekah).

Bagi mereka yang berduit dan mampu adalah lebih baik pergi secara pakej, tak perlu berebut dengan orang yang kurang mampu. Jangan pula rasa pergi haji dengan pakej ni nak tunjuk hebat, ini soal kita mampu, segerakanlah menunai rukun ibadah ini, sekurang-kurangnya kita memberi satu ruang kepada mereka yang berbaris untuk dapat giliran di tabung haji.

Saya dan isteri sudah daftar pada tahun 2010 dan mendapat giliran haji pada tahun 2034. Apapun kami selalu memohon pada Allah SWT agar kami diberi ruang dan kesempatan menjadi tetamuNya lebih awal sebelum dijemput pulang kembali kepadaNya....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan