disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 22 November 2011

Tok Guru Haji Abdullah Tahir - Bunut Payong (1897 - 1961)



Salah seorang ulama' besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung itu. Seangkatan dengan Tok Guru Haji Ali Pulau Pisang, Tok Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Tok Guru Haji Saad Kangkong ,Tok Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Tok Guru Haji Saleh Pedada dan lain-lain.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj Ahmad b. Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).


Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Mekah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.


Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestij.


Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas.


Kerana kegigihannya yang sedemikian rupa maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husain Rahimi, Hj Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh dan lain-lain.

Pelajar-pelajar pondok Bunut Payong bukan saja terdiri daripada anak tempatan, malah ramai juga yang datangnya dari Johor, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Pahang serta pelajar-pelajar dari Thailand dan juga dari Indonesia.

Penglibatannya dalam pengembangan islam mendapat perhatian pihak berkuasa dan akhirnya beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan untuk beberapa penggal (seawal 1932).


Kematian fuqaha' ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang telah menerangi dan menerapkan budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya keseluruh rantau Asia Tenggara.



------------------------------------------------------------------------

Hjh Che Zainah Ab LLah

Paksu mengenali semua anak-anak Tok Guru Hj Abdullah Tahir dan pada satu majlis kenduri di Pasir Hor beberapa bulan yang lepas Paksu berkesempatan bersua muka dan bertanya khabar dengan salah seorang anak Tok Guru. Beliau ialah Hajjah Che Zainah Ab LLah, Timbalan Pengarah (Akademik) Yayasan Islam Kelantan. Sebelum pada itu beliau adalah Pengetua Maahad Muhammadi (P) Kota Bharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.