doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 21 November 2017

Asal Nama Kampung Wakaf Che Yeh.

Mengikut sejarah, setelah Puteri Saadong berkahwin dengan Raja Abdullah, baginda berpisah daripada bonda angkatnya Cik Siti Wan Kembang yang  memerentah kelantan (Tanah Serendah Sekebun Bunga).

Kota Jelasin telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong. Kota Jelasin dibina dengan batang-batang dan bongkah kayu besar serta diukir dengan baiknya oleh tukang-tukang ukir yang mahir pada waktu itu. Kubu-kubu pertahanan pula didirikan berhampiran dengan kota tersebut. Parit-parit pula digali dengan dalamnya serta timbunan tanah yang tinggi dibuat sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh.

Semasa pemerintahan Puteri Saadong, kota ini bertambah makmur dan kota ini dijadikan sebagai kubu pertahanan negeri Kelantan daripada serangan dan ancaman luar. Akhirnya mereka terpaksa juga melarikan diri ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mendapat ancaman dari Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik itu.
Tapak Kota Jelasin itu terletak di Kampung Wakaf Che Yeh sekarang iaitu di tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan).




KAMPUNG WAKAF CHE YEH

Wakaf Che Yeh ni dapat nama dari sebuah wakaf yang terletak di simpang 3 iaitu Jalan Kota Bharu – Kuala Krai dan simpang ke  jalan Pasir Mas-Salor.  Sekeping tanah yang dalam kawasan itu dibina sebuah Wakaf dan sebuah telaga telah diinfaqkan oleh seorang penduduk tempatan bernama Che Yeh, Ianya dijadikan sebagai tempat orang ramai yang dalam perjalanan melalui sepanjang laluan dari Kuala Krai dan Pasir Mas-Salor yang berulang alik ke Kota Bharu sebagai tempat persinggahan untuk makan bekalan yang di bawa, mandi, solat atau berehat seketika selepas penat berjalan sebelum meneruskan perjalanan. Setelah sekian lama digunakan oleh orang sebagai tempat persinggahan. Wakaf ini mereka anggapkan sebagai mercutanda yang akhirnya merekalah yang menamakan kampung ini Wakaf Che Yeh. Maka kekallah nama Wakaf Che Yeh sebagai nama kampung ini sehingga ke hari ini.

Pada masa itu seawal tahun 1950an tak ada bas atau kereta macam sekarang. Beca roda tiga merupakan medium pengangkutan untuk orang awam. Mereka yang bekerja dalam sektor awam seperti di Hospital Besar Kota Bharu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Jajahan, berulang alik ke tempat kerja menggunakan basikal. Manakala yang bekerja sebagai guru pula biasanya menunggang motosikal. Pada masa itu berjalan kaki pada jarak 10km ke satu-satu kawasan untuk menziarahi sanak saudara tidak menjadi masaalah. Disepanjang jalan terdapat banyak wakaf yang diinfaqkan untuk maslahat umum. Itu antara sebab ramai penduduk yang berkemampuan menginfaqkan wakaf untuk kampung masing-masing. Tidak pelik kalau kita dapati banyak nama kampung di kelantan yang dimulai dengan wakaf seperti Wakaf Bharu, Wakaf Stan, Wakaf Aik, Wakaf Tok Peduka. Wakaf Siku, Wakaf Raja, Wakaf Merah, Wakaf Tok Wali, Wakaf Mek Zainab dan banyak lagi. Pembinaan wakaf mungkin berbeza antara satu-satu kampong, ini menunjukkan kreativiti dalam bidang senibina/ukiran telah lama wujud dalam masyarakat Kelantan. Walau bagaimanapun fungsi penggunaan sebenarnya lah yang lebih dititikberatkan.

https://www.google.com.my/maps/@6.0866529,102.2372972,727m/data=!3m1!1e3?hl=en
Di lokasi inilah sebuah wakaf diinfaqkan oleh Che Yeh.
Dimana asal bermulanya nama Kg WAKAF CHE YEH

Klik untuk besarkan imej

Satu ketika dulu dalam tahun 1970an, Wakaf Che Yeh ini terkenal di kalangan penduduk Kelantan kerana terdapat sebuah kilang memproses getahSeng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. Kilang tersebut menimbulkan keresahan orang ramai yang lalu lalang di sekitar pekan Wakaf Che Yeh kerana mengeluarkan bauan asap wap getah yang kurang menyenangkan. Namun bagi penduduk di kawasan tersebut sudah lali dengan bauan dan juga bunyi bising jentera memproses getah. Walau terima pelbagai ejekan tentang bauan yang busuk tapi bagi mereka bauan tersebut ibarat haruman kasturi yang telah banyak mengubah kehidupan mereka dan keluarga kearah kehidupan yang lebih selesa. Apatah lagi negeri Kelantan pada masa itu merupakan satu-satu negeri yang berada di bawah pemerentahan pembangkang yang ternyata jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara. 

Mereka bangga tinggal di Wakaf Che Yeh kerana kilang itu menyediakan ratusan peluang pekerjaan kepada penduduk. Sememangnya kilang getah itu dah jadi macam identiti Wakaf Che Yeh sehinggakan muncul usikan, 'orang buta kalau naik bas dari bandar Kota Bharu melalui Jalan Kuala Krai, tak perlu risau kalau nak berhenti kat Wakaf Che Yeh, bila terhidu saja bauan yang semerbak tu, terus tekan loceng, bas akan berhenti betul-betul dekat simpang tiga ke Pasir Mas-Salor'. Macam tu sekali sinonimnya kilang getah tu dengan Wakaf Che Yeh. 

Setelah beroperasi di Wakaf Che Yeh selama 30 tahun, akhirnya kilang tersebut diarahkan tutup oleh pihak berkuasa tempatan setelah mengambil kira faktor keselamatan alam sekitar dan komplen yang berterusan dari kalangan masyarakat setempat. Mereka akhirnya berpindah ke lokasi baru iaitu di Kuala Krai Kelantan. Kilang getah dirobohkan dan tapak kilang dimajukan dan dijadikan taman perumahan iaitu Taman Damai Perdana Wakaf Che Yeh. 




Majlis kesyukuran/solat hajat di sebuah kediaman
di Taman Damai Perdana Wakaf Che Yeh.
Tahun 2004 bermulalah era baru, Wakaf Che Yeh mulai dibangunkan sebagai bandar satelit setelah bandar Kota Bharu dinaiktaraf sebagai Bandaraya Islam. Kawasan-kawasan yang berdekatan dengan tapak kilang getah juga mulai membangun dengan terbinanya taman perumahan, deretan rumah kedai dan premis perniagaan, perbankkan, perhotelan, kedai emas, pusat tahfiz Al quran, kedai farmasi, klinik perubatan swasta, pasaraya dan banyak lagi. Dalam masa yang singkat Wakaf Che Yeh sudah berubah wajah. 



Pasar Borong Wakaf Che Yeh merupakan kawasan tumpuan ramai terutama semasa musim perayaan dan cuti persekolahan. Pelancong datang untuk membeli belah pelbagai jenis barangan yang dijual disitu dengan harganya sungguh berpatutan. Malah ada yang kata Wakaf Che Yeh ini syurga membeli belah. Penduduk Wakaf Che Yeh amat berbangga dengan keadaan sekarang, dengan kehadhiran mereka secara tak langsung memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekeliling dan menambah pendapatan mereka.

Rahim Hj Mat (Berkopiah) bersama rakannya 
Baeyaya Ibrahim (HUSM)

*Semua maklumat mengenai Wakaf Che Yeh adalah dari pemerhatian saya sebagai penduduk dan juga saya perolehi dari sahabat-sahabat saya dalam komuniti dari pelbagai peringkat usia dan juga dari cucu Almarhum Che Yeh sendiri iaitu Rahim Hj Mat, seorang Juruhebah terkenal di RTM Kota Bharu sekitar tahun 1960an.




2 ulasan:

  1. kena buat plat sejarah dan tepek dinesjid.wbp kena dapat pengesahan pihak berkyasa dulu

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum admin,saya ingin meminta izin mengambil maklumat tentang wakaf che yeh untuk kegunaan pengajian saya .bolehkah?

    BalasPadam