disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Selasa, 21 November 2017

Asal Nama Kampung Wakaf Che Yeh.

Mengikut sejarah, setelah Puteri Saadong berkahwin dengan Raja Abdullah, baginda berpisah daripada bonda angkatnya Cik Siti Wan Kembang yang  memerentah kelantan (Tanah Serendah Sekebun Bunga).

Kota Jelasin telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong. Kota Jelasin dibina dengan batang-batang dan bongkah kayu besar serta diukir dengan baiknya oleh tukang-tukang ukir yang mahir pada waktu itu. Kubu-kubu pertahanan pula didirikan berhampiran dengan kota tersebut. Parit-parit pula digali dengan dalamnya serta timbunan tanah yang tinggi dibuat sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh.

Semasa pemerintahan Puteri Saadong, kota ini bertambah makmur dan kota ini dijadikan sebagai kubu pertahanan negeri Kelantan daripada serangan dan ancaman luar. Akhirnya mereka terpaksa juga melarikan diri ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mendapat ancaman dari Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik rupawan.

Tapak Kota Jelasin itu terletak di Kampung Wakaf Che Yeh iaitu di sekitar Pasar Borong dan tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan).


KAMPUNG WAKAF CHE YEH

Kampung Wakaf Che Yeh ni dapat nama dari sebuah wakaf yang terletak di simpang 3 iaitu Jalan Kota Bharu – Kuala Krai dan simpang ke  jalan Pasir Mas-Salor.  Sebidang tanah yang dalam kawasan itu dibina sebuah Wakaf dan sebuah telaga telah diinfaqkan oleh seorang penduduk tempatan bernama Che Yeh. Ianya dijadikan sebagai tempat orang ramai yang dalam perjalanan melalui sepanjang laluan dari Kuala Krai dan Pasir Mas-Salor yang berulang alik ke Kota Bharu sebagai tempat persinggahan untuk makan bekalan yang di bawa, mandi, solat atau berehat seketika selepas penat berjalan sebelum meneruskan perjalanan. 

Setelah sekian lama digunakan oleh orang sebagai tempat persinggahan, wakaf tersebut mereka anggapkan sebagai mercutanda yang akhirnya mereka menamakan kampung ini Wakaf Che Yeh. Maka kekallah nama Wakaf Che Yeh sebagai nama kampung ini sehingga ke hari ini.


Pada masa itu seawal tahun 1950an tak ada bas atau kereta macam sekarang. Beca roda tiga merupakan medium pengangkutan untuk orang awam. Mereka yang bekerja dalam sektor awam seperti di Hospital Besar Kota Bharu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Jajahan, berulang alik ke tempat kerja menggunakan basikal. Manakala yang bekerja sebagai guru pula biasanya menunggang motosikal. Pada masa itu berjalan kaki pada jarak 10km ke satu-satu kawasan untuk menziarahi sanak saudara tidak menjadi masaalah. 

Disepanjang jalan terdapat banyak wakaf yang diinfaqkan untuk maslahat umum. Itu antara sebab ramai penduduk yang berkemampuan menginfaqkan wakaf untuk kampung masing-masing. Tidak pelik kalau kita dapati banyak nama kampung di kelantan yang dimulai dengan wakaf seperti Wakaf Bharu, Wakaf Stan, Wakaf Aik, Wakaf Tok Peduka. Wakaf Siku, Wakaf Raja, Wakaf Merah, Wakaf Tok Wali, Wakaf Mek Zainab dan banyak lagi. 

Pembinaan wakaf mungkin berbeza antara satu-satu kampong, ini menunjukkan kreativiti dalam bidang senibina/ukiran telah lama wujud dalam masyarakat Kelantan. Walau bagaimanapun fungsi penggunaan sebenarnya sebagai tempat persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan yang lebih dititikberatkan.

https://www.google.com.my/maps/@6.0866529,102.2372972,727m/data=!3m1!1e3?hl=en
Di lokasi inilah sebuah wakaf diinfaqkan oleh Che Yeh.
Dimana asal bermulanya nama Kg WAKAF CHE YEH

Klik untuk besarkan imej

Pada tahun 1970an, kampung Wakaf Che Yeh ini terkenal di kalangan penduduk Kelantan kerana terdapat sebuah kilang memproses getah, Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. Kewujudan kilang tersebut menimbulkan keresahan orang ramai yang lalu lalang di sekitar pekan Wakaf Che Yeh kerana mengeluarkan bauan asap wap getah yang kurang menyenangkan. Namun bagi penduduk di kawasan tersebut sudah lali dengan bauan dan juga bunyi bising jentera memproses getah. Walau terima pelbagai ejekan tentang bauan yang busuk tapi bagi mereka bauan tersebut ibarat haruman kasturi yang telah banyak mengubah kehidupan mereka dan keluarga kearah kehidupan yang lebih selesa. Apatah lagi negeri Kelantan pada masa itu merupakan satu-satu negeri yang berada di bawah pemerentahan pembangkang yang ternyata jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara. 

Mereka bangga tinggal di Wakaf Che Yeh kerana kilang itu menyediakan ratusan peluang pekerjaan kepada penduduk. Sememangnya kilang getah itu dah jadi macam identiti Wakaf Che Yeh sehinggakan muncul usikan, 'orang buta kalau naik bas dari bandar Kota Bharu melalui Jalan Kuala Krai, tak perlu risau kalau nak berhenti kat Wakaf Che Yeh, bila terhidu saja bauan yang semerbak tu, terus tekan loceng, bas akan berhenti betul-betul dekat simpang tiga ke Pasir Mas-Salor'. Macam tu sekali sinonimnya kilang getah tu dengan Wakaf Che Yeh. 


Setelah beroperasi di Wakaf Che Yeh selama 30 tahun, akhirnya kilang tersebut diarahkan tutup oleh pihak berkuasa tempatan setelah mengambil kira faktor keselamatan alam sekitar dan komplen yang berterusan dari kalangan masyarakat setempat. Mereka akhirnya berpindah ke lokasi baru iaitu di Kuala Krai Kelantan. Kilang getah dirobohkan dan tapak kilang dimajukan dan dijadikan taman perumahan iaitu Taman Damai Perdana Wakaf Che Yeh.


Berikut adalah foto-foto yang sempat dirakam pada satu majlis kesyukuran/solat hajat di sebuah kediaman di Taman Damai Perdana Wakaf Che Yeh:







Tahun 2004 bermulalah era baru, Wakaf Che Yeh mulai dibangunkan sebagai bandar satelit setelah bandar Kota Bharu dinaiktaraf sebagai Bandaraya Islam. Kawasan-kawasan yang berdekatan dengan tapak kilang getah juga mulai membangun dengan terbinanya taman perumahan, deretan rumah kedai dan premis perniagaan, perbankkan, perhotelan, kedai emas, pusat tahfiz Al quran, kedai farmasi, klinik perubatan swasta, pasaraya dan banyak lagi. Dalam masa yang singkat Wakaf Che Yeh sudah berubah wajah. 



Pasar Borong Wakaf Che Yeh merupakan kawasan tumpuan ramai terutama semasa musim perayaan dan cuti persekolahan. Pelancong datang untuk membeli belah pelbagai jenis barangan yang dijual disitu dengan harganya sungguh berpatutan. Malah ada yang kata Wakaf Che Yeh ini syurga membeli belah. Penduduk Wakaf Che Yeh amat berbangga dengan keadaan sekarang, dengan kehadhiran mereka secara tak langsung memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekeliling dan menambah pendapatan mereka.

Rahim Hj Mat (Berkopiah) bersama rakannya 
Yahya Ibrahim (HUSM)

*Semua maklumat mengenai Wakaf Che Yeh adalah dari pengalaman saya sendiri sebagai penduduk yang dilahir dan dibesarkan dikampung ini. Banyak juga yang saya perolehi dari sahabat-sahabat saya dalam komuniti dari pelbagai peringkat usia dan juga dari cucu Almarhum Che Yeh sendiri iaitu saudara Rahim Hj Mat, seorang Juruhebah terkenal di Radio Malaysia Kota Bharu sekitar tahun 1970an.




Rabu, 21 November 2012

Sejarah Ringkas Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang


Masjid adalah lambang syiar Islam, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Masjid bukan saja tempat solat berjemaah, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, pengajian keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah islamiyyah sesama manusia.

Pada tahun 1931, Tok Guru Haji Abdullah Tahir, telah mendirikan Madrasah Ahmadiah di Bunut Payong. Pusat pengajian itu kemudiannya terkenal sebagai Pondok Bunut Payong. Tok Guru Haji Abdullah Tahir (pengasas pondok) merupakan seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pelajar-pelajar pondok Bunut Payong bukan saja terdiri daripada anak tempatan, tetapi ramai juga yang datangnya dari Johor, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Pahang serta pelajar-pelajar dari Thailand dan Indonesia.

Pak Su masih ingat beberapa pelajar Pondok Bunut Payong yang cergas dan cemerlang  dalam pengajian sering diberi peluang oleh Tok Guru mengajar dalam pondok secara bergilir.  Mereka ialah Hj Abdul Shukor dari Bangkok, Hj Budin dari Sumatera, Ustaz Abdul Rahman dari Perlis, Hj Husin Rahimi dari Pasir Puteh, Hj Mat Besi Berani dari Bukit Marak, Hj Abdul Aziz dan abangnya Hj Mustapha dari Limbat, kedua-duanya menjadi pengasas Pondok Terusan Pasir Tumboh dan Ustaz Fadhil dari Johor yang  selepas itu menjadi menantu Tok guru.

Ustaz Fadhil 
Menantu Tok Guru.

Beberapa orang anak mukim Padang Enggang  turut serta belajar ilmu agama di Pondok Bunut Payong  yang jaraknya 3 km dengan kampong Padang Enggang.Sungai Ijok menjadi sempadan diantara kampong padang enggang dan kampong bunut Payong. Ilmu yang yang mereka perolehi, mereka ajarkan pula kepada penduduk dan begitulah seterusnya.  Pada ketika itu, penduduk mukim Padang Enggang menunaikan solat  hanya di sebuah surau kecil bersebelahan tanah perkuburan (kubur surau). Di surau ini jugalah kanak-kanak belajar mengaji Al-Quran. Selain dari itu, kanak-kanak ini juga diajarkan asas Fardhu Ain secara teori dan amali.

Pakcik Chegu mantan
Bendahari Masjid

Bermulanya pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang  apabila Haji Abdullah Wan Ahmad (Pak Lah Kedai Wakaf Che Yeh) telah mewakafkan tanah seluas 480 depa (0.480 ekar) untuk didirikan sebuah masjid pada pertengahan tahun 1950an. Hasrat beliau untuk melihat tertegaknya sebuah masjid di Lot 687, Kampung Wakaf Che Yeh dalam mukim Padang Enggang tidak kesampaian, apabila beliau terlebih dahulu telah dijemput mengadap illahi semasa mengerjakan fardhu haji di Mekah.

Pada tahun 1959 sebuah jawatankuasa pembinaan masjid telah di tubuhkan oleh Allahyarham Ahmad bin Ismail (Imam Tua) yang bertindak sebagai pengerusi, Allahyarham Hj Ibrahim Awang (Pakcik Che Gu) sebagai bendahari yang pada masa itu adalah Guru Besar Sek. Keb. Mulong, Allahyarham Pauzi Ahmad (Pelajar di Pondok Bunut Payong) sebagai setiausaha dan beberapa orang penduduk sebagai AJK yang mewakili setiap kampung dalam Mukim Padang Enggang. 


Ahli jawatankuasa tersebut mewakili Kampung Wakaf Che Yeh, Kampung Padang Enggang, Kampung Padang Darat, Kampung Telok Chat, Kampung Rupek, Kampung Baru, Kampung Ijok, Kampung Seterpa, Kampung Jelasin, Kampung Air Deras dan Kampung Tini.


Antara aktiviti dan perancangan yang dilakukan oleh AJK  untuk memulakan pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang:
  1. Membuat kutipan wang dari rumah kerumah. Tugas ini dilakukan oleh semua AJK yang mewakili kawasan masing-masing dalam Mukim Padang Enggang.
  2. Mengadakan jamuan teh sambil menderma dilakukan di tapak masjid tersebut.
  3. Mendapat sumbangan kewangan sebanyak RM1,000.00 dari Dato Asri Muda yang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963.
  4. Husin Musa sawmill telah dipersetujui oleh majoriti AJK sebagai pembekal barangan keperluan untuk pembinaan masjid dengan kaedah pembayaran yang fleksible.                            
Dato Asri Muda
   
Masjid Mukim Padang Enggang dengan keluasan lantai 2,100 kaki persegi (42' X 50') dapat menampung jemaah seramai 250 orang. Pada peringkat awal, solat jumaat juga disertai oleh jemaah wanita untuk memenuhi ruang masjid yang agak besar dibandingkan dengan bilangan makmum yang tidak ramai. Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menarik jemaah mengimarahkan masjid. Pada masa itu bilangan guru agama amat terhad tambahan pula aktiviti kebudayaan mendapat tempat dihati penduduk. Walaupun begitu usaha membesarkan masjid terus dilakukan dari masa kesemasa  dengan mengambil kira bilangan penduduk mukim yang semakin bertambah dan minat mencari ilmu agama dikalangan mereka juga semakin meningkat.


Pak Su dilantik sebagai AJK Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang pada tahun 1959. Paksu diberi tanggungjawab menjaga  urusan pembinaan masjid, kebetulan pula Pak Su bekerja di Jabatan Kerja Raya, Kota Bharu dan mempunyai sedikit kemahiran dalam kerja-kerja pertukangan kayu dan binaan bangunan. Pak Su aktif  sebagai AJK selama 53 tahun tanpa henti dan berada dibawah 5 orang imam bermula dari 1959 hingga sekarang. Imam -imam tersebut adalah seperti berikut:

1) Allahyarham Ahmad Bin Ismail (Tok Ayah)
2) Allahyarham Pauzi Bin Ahmad (Tok Imam Pauzi)
3) Ustaz Yassin (Tok Imam Yassin)
4) Ustaz Haji Hanafi Bin Mohamad (Tok Imam Napi)
5) Ustaz Haji Abdul Halim Bin Mat Isa (Imam Tua sekarang.)


Tok Ime Pauzi bergambar bersama jemaah
depan Masjid Mukim Padang Enggang
di pagi raya sekitar tahun 1970an.

Pada awal tahun 1960an kemudahan letrik belum ada lagi waktu itu. Kami guna beberapa biji pelita untuk menerangi  ruang masjid  untuk solat dan juga ruang untuk kanak-kanak belajar mengaji al-Quran. Minyak gah (minyak tanah) lah yang menjadi sumber terpenting sebagai bahan bakar untuk menghidupkan api pelita. Pak Su  masih ingat lagi waktu malam  semua rumah bergelap, cuma yang ada pelita minyak tanah, bayangkan lah setakat mana saja lah yang boleh diterangi nya. Seluruh kampong bergelap, hiburan yang ada hanyalah siaran dari radio transistor, tv tiada. Jam 10.00 malam, setelah selesai kami menunaikan solat isyak berjemaah di masjid, tiada apa lagi aktiviti yang hendak dilakukan. Masa itu kebanyakan penduduk kampong mulai ketempat tidur. 

Pada awal tahun 1969 barulah ada kemudahan letrik dilengkapi pula dengan kemudahan air paip beberapa tahun selepas itu. Sejak dari itu kampung kami mula membangun dan terus menjadi tumpuan orang ramai terutama Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang kini menjadi destinasi tarikan pelancong membeli belah sepanjang tahun.

Bermula 1979, kerja-kerja pembesaran masjid telah diteruskan lagi setelah terhenti beberapa ketika atas faktor kewangan. Kerja pembinaan masjid melibatkan pembesaran anjung kiri dan anjung kanan masjid. Sebuah jawatankuasa kampong yang dianggota oleh Cg Zin, Cg Awang, Cg Rashid, Che Omar, Paksu Taib, Abang Awang kak Nab, Paksu Long, Pak Ngah Mamat dan beberapa lagi individu telah membuahkan hasil apabila permohonan mereka berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM 70,000 dari kerajaan pusat melalui YBM Tengku Ahmad Rithaudeen, ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Menteri Luar pada ketika itu. 

Salinan geran tapak 
Masjid Mukim Padang Enggang


Jawatankuasa ini patut diberi penghargaan kerana jasa-jasa yang telah mereka curahkan. Atas inisiatif dan kerja keras mereka jua kampong ini mendapat bekalan letrik seawal tahun 1969. Kita patut berbangga atas titik peloh dan pengorbanan mereka untuk memajukan kampong ini. Semoga pengorbanan mereka ditauladani oleh generasi muda hari ini.

Sebagai orang lama yang telah bergiat sebagai AJK masjid sejak 1959. Paksu dapat rasakan kehadhiran anak mukim berjemaah amat membanggakan. Alhamdulillah syukur kehadhrat Allah SWT, dengan berkat kesabaran dan usaha berterusan Ustaz Halim (Imam Tua sekarang) dibantu oleh AJK dan rakan-rakan qariah masjid, kebelakangan ini bilangan jemaah dewasa dan kanak-kanak yang datang ke Masjid Mukim Padang Enggang semakin bertambah.

Mereka mengimarahkan masjid setiap waktu untuk melakukan solat berjemaah, iktikaf, berzikir, membaca Al-Quran, mengikuti majlis-majlis ilmu dan menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta apa jua program yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada penduduk mukim Padang Enggang dan kepada umat islam keseluruhannya.

Wallahu a’lam.



View Masjid Mukim Padang Enggang, Wakaf Che Yeh,15100 Kota Bharu in a larger map


Ahad, 9 Oktober 2011

Arwah Emak Masih Kekal Dalam Ingatan


Tok Che dan Mok Wa bergambar bersama anak, 
cucu serta menantu (foto akhir 1950an)

Emak kami, Jah binti Hassan dilahirkan pada tahun 1934. Panggilan mesranya Mak Su. Merupakan anak bongsu dari 7 beradik (4 lelaki dan 3 perempuan) daripada perkahwinan Pak Chu Hassan Tok Teras dan Sepiah binti Hassan iaitu Tok Che dan Mak Wa kami. Emak berkulit cerah, sederhana tinggi, pemurah, peramah, murah dengan senyuman serta seorang yang penyayang.


          
Pada zaman remajanya emak kerap berkunjung ke rumah kakaknya Mariam yang juga mak saudara kami yang bersuamikan anggota polis, Sarjan Wan Mahmud (No Anggota: 7891) yang telah bertugas sebagai Ketua Polis Balai dibeberapa balai polis di negeri Kelantan sekitar tahun 1940an. Di rumah mak cik mariam emak belajar memasak dan menjahit. Ini adalah sebagai persiapan untuk menempuh alam rumahtangga. Kebolehan memasak dan menjahit yang emak perolehi sekurang-kurangnya mampu menampung keperluan keluarga sendiri.


Diawal perkahwinan emak dan ayah menetap di Kampung Tini, Pasir Hor bersama nenek. Pada masa itu nenek kami merupakan ‘Tukang Gulai’ tersohor dikawasan tersebut. Nenek juga adalah besan kepada Tok Guru Hj Abdullah Tahir Pengasas Pondok Bunut Payong.

Gulai Bakok
                                       
Sepanjang berada di Kampung Tini, Pasir Hor selama 2 tahun emak sempat belajar beberapa resipi masakan termasuklah Gulai Bakok dan juga Taucu. Sehingga ke hari ini hidangan ini menjadi kegemaran anak-anak hinggalah cucu-cucu. Sesekali apabila keluarga berkumpul, menu inilah yang menjadi pilihan untuk hidangan kami.









Hasil perkongsian hidup emak dan ayah kami, mereka dikurniakan 8 orang anak: 
Anak pertama:Ismail (meninggal 2007 - 57 tahun) 
Anak kedua : Mohd Pauzi (59 tahun) 
Anak ketiga: Ramli (meninggal semasa bayi) 
Anak keempat: Mohd Hashim (53 tahun) 
Anak kelima: Mohd Sayuti (50 tahun) 
Anak keenam: Rohani (47 tahun) 
Anak ketujuh: meninggal semasa lahir. 
Anak kelapan: Othman (42 tahun)




Dalam mendidik anak-anak emak mencurahkan sepenuh kasih sayang pada kami. Emak suka bercerita tentang pendudukan jepun di tanah melayu,dan cerita rakyat kepada kami. Cerita ‘Pakcik rimau’ antara cerita yang jadi kesukaan kami pada masa itu sehingga kini masih lagi terpahat diminda.  Aktiviti sebegini menghiburkan kami. Bagi kami emak adalah penghibur yang hebat.


Selepas ayah pencen, emak dan ayah menyempurnakan rukun islam ke lima bersama-sama dengan 6 orang keluarga terdekat menunaikan fardhu haji ke Mekah. Pada masa itu usia emak 49 tahun, itulah saat yang paling gembira buat emak setelah impiannya menjadi kenyataan.

Ayah dan emak tidak mengidap apa-apa penyakit. Mereka berdua masih sihat dan mampu berjalan jauh. Sesekali mereka dibawa oleh anak-anak dan menantu bersiar-siar di tempat menarik di seluruh Malaysia.





Kami adik beradik juga semuanya telah dewasa dan sudah mempunyai keluarga sendiri. Alhamdulillah tautan kekeluargaan kami bertambah erat. Tiada pernah berlaku pertelingkahan antara kami adik-beradik, malah kami bertolak ansur dalam semua perkara. Sesungguhnya masa dan peristiwa yang berlaku mematangkan kami dalam menempuh kehidupan yang penuh mencabar. Ini adalah hasil pengorbanan emak dan ayah yang telah mendidik kami supaya menjadi manusia yang bersyukur. 


Tanggal 22 Mac 2008 - Emak menghembuskan nafas terakhir jam 7:10 pagi pada usia 74 tahun. Kebetulan pada masa iitu ayah baru saja balik dari berjemaah solat subuh di masjid. Sebelum ke masjid emak masih sihat malah sempat mengingatkan ayah jemputan Hj Che Llah / Hjh Mek (Kg Ijok) untuk hadhir majlis cukur jambul cucu mereka selepas solat subuh. Kematian emak amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan ayah yang berusia 84 tahun keseorangan. Kami sedih kerana dengan kematian emak bermakna hilanglah satu lagi keberkatan dari Allah terhadap kami iaitu doa dari ibu terhadap kami, anak-anaknya. Walaupun begitu kami redha dengan segala ketentuan Allah SWT.
Hj Che Llah / Hjh Mek 


Kehidupan yang Allah pinjamkan kepada kita hanyalah sementara. Kita sebagai hamba hanya mampu berserah.... menunggu masa bila akan tiba giliran kita pula. Yang telah pergi, tak akan kembali lagi. Apa yang tinggal hanyalah kenangan yang pastinya takkan luput dan akan kekal sepanjang hayat.



Buat anak-anak dan semua pembaca fikir dan renungilah ungkapan berikut:

Hulurkan salam buat IBU, 
semasa IBU mampu menyambutnya.
Pimpinlah tangan IBU, 
semasa IBU masih boleh berjalan bersama-sama.
Tenunglah mata IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh melihat.
Bercakaplah dengan IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh mendengar.
Berilah ucapan sayang kepada IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh faham.
Ingat dan kenanglah jasa IBU, 
semasa IBU masih ada.
Sesungguhnya pengorbanan 
IBU tak mungkin dapat dibalas.

Kehadhiran seorang ibu adalah anugerah yang tidak ternilai. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih ada. Dan doakan untuk mereka hingga ke hujung nyawa kita. Sekurang-kurangnya kita amalkan doa berikut: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيرًا

Maksudnya: 

Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.


Sebagaimana yang kita tahu doa adalah suatu ibadah. Doa juga boleh mendekatkan kita dengan Allah. Doa juga adalah zikir. Doa akan menjadi lebih bermanafaat sekiranya doa daripada anak kepada ibubapa. 
Justeru itu berdoalah kepada kedua ibubapa baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada. Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah jua.
Semoga Allah SWT akan kurniakan keberkatan, ketenangan dalam kehidupan dan dimurahkan rezeki kepada kita semua yang sabar dan istiqomah berdoa kepada Allah SWT setiap masa.



Catatan diari anakanda
Ahad 09 Oktober 2011