disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Haji Deris Salleh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haji Deris Salleh. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Disember 2018

Lorong Paksu Haji Deris

Anak mukim Padang Enggang makin bertambah. Mengikut bancian zakat fitrah tahun lepas ianya telah melebehi 5000 isirumah. Menyedari keperluan penduduk yang semakin meningkat ianya memerlukan penempatan baru. Justeru itu Lorong Paksu Haji Deris yang menghubungkan Lorong Madrasah dengan Lorong Kampong Dusun telah dilebarkan lagi menjadi 10 kaki. Kerja melebar laluan ini dilakukan secara gotong royong oleh penduduk kampong.


Sebuah jawatankuasa bertindak yang diwujudkan oleh En Hassan dan dibantu oleh En Ramli Mohd telah berjaya mendapatkan 20 lori batu kasaran (crusher run) dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Bunut Payong melalui Penghulu Mukim Padang Enggang, En Zakaria Salleh. 

Permohonan mereka seterusnya yang bertarikh 18 ogos 2016 untuk mendapatkan 5 penutup longkang konkrit dari Jabatan Parit Dan Saliran Kelantan mendapat kelulusan segera dengan kerjasama dan bantuan teknikal mantan Pengarah Jabatan Parit Dan Saliran, Dato Mat Rahim Ismail. 

Dato Mat Rahim Ismail


Kerja-kerja merata batu kasaran dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu. Manakala kerja memasang lima penutup konkrit pada longkang pula dilakukan oleh pihak Jabatan Parit Dan Saliran. Setelah semuanya siap dilaksanakan telah membolehkan lori kecil keluar masuk membawa barangan keperluan binaan melintasi longkang air buangan dari pekan Wakaf Che Yeh ke sungai ijok. 

Dengan adanya kemudahan pengangkutan keluar masuk, kawasan ini dijangka akan jadi tumpuan anak Mukim Padang Enggang untuk membina rumah kediaman setelah Lorong Masjid Padang Enggang dan Lorong Madrasah serta kawasan yang berdekatan sudah agak padat dengan penduduk.


Lorong Paksu Haji Deris sebelum
penambakan batu kasaran

En Hassan (berkopiah) dan En Ramli (bertopi)
tekun memerhati kerja merata jalan dilakukan



Lampu jalan dipasang pada tiang letrik (TNB) 
menjadikan laluan sekitar kawasan ini 
terang benderang pada waktu malam


Laluan yang melintasi longkang dilebarkan bagi
memudahkan kenderaan keluar masuk melalui 
Lorong Paksu Haji Deris 

Laluan yang sebelum ini sunyi sepi.. kini sudah
kedengaran deruan enjin kenderaan setiap hari

Sebuah banglo di Lorong Paksu Haji Deris
yang masih dalam pembinaan











Rujukan: Fail

Rabu, 30 Oktober 2013

KENANGAN BERSAMA AYAH DI HOSPITAL USM

26 Ogos 2013, Ayah mula mengadu sakit dibahagian perut. Rawatan telah diberikan samada secara moden maupun tradisional. Penyakitnya tidak juga berkurangan.

6 Oktober 2013, ayah dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ayah ditempatkan di katil 29 wad 2 Intan. Hasil daripada kajian , doktor telah mengesahkan ada batu dan jangkitan kuman di bahagian hempedunya.

Pada pagi khamis 10 Oktober 2013, ayah menerima rawatan awal dengan membuang cecair daripada perutnya. Alhamdullilah ayah lebih bertenaga. Walaubagaimanapun ayah masih kerap berulang alik ke tandas. Cucu-cuculah yang menyorong kerusi rodanya, memicit, menyuap makanan dan sebagainya. Shazwani, ieka, madihah, kak cik, nurul, arisya, amirul, syahira, izzati, azyyati, athirah, ikhwan, azeem dan syafiq. Mereka inilah yang bergilir-gilir menjaga ayah sepanjang 10 hari ayah berada dalam wad. Syukur, ayah dikurniakan cucu-cucu yang prihatin dan penyayang.




Keceriaan terpancar pada wajah ayah pada hari jumaat,sabtu dan ahad terutama apabila dikunjungi sanak saudara dan sahabat handai. Ayah kemudian mula bersungut untuk pulang berehat di rumah. Ada ketikanya beliau memberitahu doktor sakitnya sudah sembuh. Doktor hanya tersenyum memandang wajah ayah yang uzur dan tidak bertenaga. Ayah juga perlu dibantu dan dipapah untuk bangkit daripada tidur. 

Isnin 14 oktober 2013 @12.30 tengahari, ayah begitu gembira apabila doktor membenarkannya balik bercuti sempena Aidiladha. Kami sampai ke rumah jam 1.15 ptg. Kegembiraan terserlah di wajah ayah ketika diziarahi saudara mara. Ayah juga sempat makan ketupat dan beberapa kali menyampuk ketika kami sedang rancak berbual. 

12:00 tengah malam, ayah mengalami demam panas dan denyutan nadinya makin perlahan. Sekali lagi ayah dibawa ke HUSM. Rawatan kecemasan diberikan. Doktor dan jururawat amat teliti menjalankan tugas mereka, begitu juga dengan lain-lain staf yang bertugas pada malam itu. Terima kasih yang tak terhingga dari kami sekeluarga. Apabila keadaan ayah semakin pulih, mulalah ia memujuk dan merayu supaya sekali lagi dibawa pulang. ”sabarlah ayah...ayah perlu dirawat sehari dua lagi, nanti keadaan ayah baik barulah doktor benarkan untuk balik” kata salah seorang dari kami.

Pada jam 4:30 pagi, ayah ditemani anak dan cucu-cucunya ditolak dari Jabatan Kecemasan ke wad 2 Intan. Kali ini ayah ditempatkan di katil 19 yang berhampiran dengan meja doktor . Sebelum ini ayah ditempatkan di katil 11 dan 29. “ayah nak balik kerumah, ayah nak sembahyang tasbih...ayah nak sembahyang tahajjud” pintanya berulang kali. Kami adik beradik hanya mampu memandang satu sama lain.

Fajar Aidiladha 2013 menjelang, kami masih lagi berada di hospital. Sebahagian kami terpaksa pulang untuk melaksanakan Ibadah Qurban. Sepanjang Aidiladha ayah gembira dalam keletihan. Keceriaan jelas terbayang diwajah ayah apabila kami adik beradik bersama keluarga serta sanak saudara mengziarahi ayah. Ayah memperlihatkan sifat kebapaanya sepertimana yang dilakukannya waktu dia sihat. Ayah menadah tangan dan berdoa memohon kehadhrat Ilahi agar dimurahkan rezeki, memohon kesejahteraan, panjang umur, kuatkan iman dan taat menjalankan perintah Allah. Kami semua mengaminkan doa ayah, rupa-rupanya ini doa terakhir ayah bersama kami sebelum ayah tinggalkan kami buat selama-lamanya.


Isnin 15 oktober 2013 @ 11.00 malam kami adik beradik dan cucu-cucunya masih menemani ayah di hospital. Ayah telah dipindahkan ke wad 8 Selatan. Ayah kelihatan begitu tenang, memandang dan menyentuh kami. Ayah juga meminta kami membuka alat bantuan pernafasan yang dipakainya. Selepas beberapa patah bercakap kami memakaikannya semula. ”Buka....ayah nak minum nescafe susu” selepas menyedut minuman itu kami memakaikannya semula. Begitulah yang berlaku sepanjang malam. Petugas hospital menyuruh sebahagian daripada kami pulang dahulu datang 11 pagi esok. Kami terpaksa akur walaupun berat untuk kami melangkah.

16 Oktober 2013 @ 10:30 pagi hari raya kedua, cucunya iaitu Kak Shazwani dan Ieka yang menemani pada pagi itu menelefon memberitahu ayah tenat. Kami yang berada di rumah pada waktu itu bergegas ke hospital tetapi segalanya telah ditentukan oleh Nya. Ayah telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 11:05 pagi. 

Ayah dibawa pulang ke rumah untuk dimandikan dan dikafankan. Solat jenazah telah dilakukan di Masjid Mukim Padang Enggang. Ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jias, Kampung Wakaf Che Yeh selepas solat asar. Pusaranya berhampiran pusara emak dan saudara mara kami yang lain.




Ayah amat menjaga solat berjemaah, ayah tetap pergi ke masjid untuk solat  5 waktu berjemaah kecuali  ayah uzur. Kadang-kadang ayah disuruh jadi imam, ayah masih mampu melakukannya walaupun usia ayah mencecah 90 tahun.


Kini tiada lagi kedengaran suara ayah membaca Al-Quran yang jadi rutin baginya setiap hari, tiada lagi insan dalam keluarga kami yang istiqomah memberi salam kepada setiap saudara seislam yang beliau temui samaada di rumah, di masjid ataupun dimana-mana ….. segalanya telah tiada....yang tinggal hanyalah kenangan.


Begitulah perjalanan akhir ayah @ Paksu yang  menghabiskan sebahagian besar hidupnya mengimarahkan masjid bermula dari Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang sehingga sekarang melalui caranya yang tersendiri. Mudah-mudahan segala usahanya dikira sebagai amal jariah yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat.

Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya, setiap yang hidup pasti akan mati... Itu janji Allah, kami semua juga akan menyusul kemudian nanti.


Al-Fatihah buat:
Ayahnda tercinta Hj Deris bin Salleh (1924-2013)
Bonda tercinta Hajah Jah binti Hassan (1934-2008)
Kekanda tercinta Ismail bin Deris (1950-2007)








Pautan:



Jumaat, 25 Oktober 2013

Dalam Kenangan - Paksu, AJK Masjid Mukim Padang Enggang


Al-Fatihah buat Allahyarham ayahnda ambo @Paksu (Hj Deris Bin Salleh) yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11.05 pagi, Rabu 11 Zulhijjah 1434 Hijrah bersamaan dengan 16hb Oktober 2013. Allahyarham Paksu telah meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian Kelantan kerana jangkitan kuman pada hempedu.

Jenazah paksu disolatkan di Masjid Mukim Padang Enggang selepas solat asar. Ustaz Halim (Imam tua) bersama rakan-rakan qariah masjid, sanak-saudara serta rakan taulan mengiringi jenazah paksu yang dibawa dengan van jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Jias. Alhamdulillah urusan pengkebumian paksu berjalan lancar dan selesai jam 6.00 petang.
Semoga roh Paksu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat serta keampunan Allah SWT.

Terima kasih kepada AJK dan rakan-rakan qariah masjid, penduduk kampung Padang Enggang dan saudara mara semua yang banyak membantu menyempurnakan solat jenazah dan pengkebumian jenazah paksu. Ambo amat terharu dan menghargai diatas sokongan yang diberikan, hanya Allah SWT saja yang mampu membalasnya.

Rabu, 21 November 2012

Sejarah Ringkas Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang


Masjid adalah lambang syiar Islam, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Masjid bukan saja tempat solat berjemaah, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, pengajian keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah islamiyyah sesama manusia.

Pada tahun 1931, Tok Guru Haji Abdullah Tahir, telah mendirikan Madrasah Ahmadiah di Bunut Payong. Pusat pengajian itu kemudiannya terkenal sebagai Pondok Bunut Payong. Tok Guru Haji Abdullah Tahir (pengasas pondok) merupakan seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pelajar-pelajar pondok Bunut Payong bukan saja terdiri daripada anak tempatan, tetapi ramai juga yang datangnya dari Johor, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Pahang serta pelajar-pelajar dari Thailand dan Indonesia.

Pak Su masih ingat beberapa pelajar Pondok Bunut Payong yang cergas dan cemerlang  dalam pengajian sering diberi peluang oleh Tok Guru mengajar dalam pondok secara bergilir.  Mereka ialah Hj Abdul Shukor dari Bangkok, Hj Budin dari Sumatera, Ustaz Abdul Rahman dari Perlis, Hj Husin Rahimi dari Pasir Puteh, Hj Mat Besi Berani dari Bukit Marak, Hj Abdul Aziz dan abangnya Hj Mustapha dari Limbat, kedua-duanya menjadi pengasas Pondok Terusan Pasir Tumboh dan Ustaz Fadhil dari Johor yang  selepas itu menjadi menantu Tok guru.

Ustaz Fadhil 
Menantu Tok Guru.

Beberapa orang anak mukim Padang Enggang  turut serta belajar ilmu agama di Pondok Bunut Payong  yang jaraknya 3 km dengan kampong Padang Enggang.Sungai Ijok menjadi sempadan diantara kampong padang enggang dan kampong bunut Payong. Ilmu yang yang mereka perolehi, mereka ajarkan pula kepada penduduk dan begitulah seterusnya.  Pada ketika itu, penduduk mukim Padang Enggang menunaikan solat  hanya di sebuah surau kecil bersebelahan tanah perkuburan (kubur surau). Di surau ini jugalah kanak-kanak belajar mengaji Al-Quran. Selain dari itu, kanak-kanak ini juga diajarkan asas Fardhu Ain secara teori dan amali.

Pakcik Chegu mantan
Bendahari Masjid

Bermulanya pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang  apabila Haji Abdullah Wan Ahmad (Pak Lah Kedai Wakaf Che Yeh) telah mewakafkan tanah seluas 480 depa (0.480 ekar) untuk didirikan sebuah masjid pada pertengahan tahun 1950an. Hasrat beliau untuk melihat tertegaknya sebuah masjid di Lot 687, Kampung Wakaf Che Yeh dalam mukim Padang Enggang tidak kesampaian, apabila beliau terlebih dahulu telah dijemput mengadap illahi semasa mengerjakan fardhu haji di Mekah.

Pada tahun 1959 sebuah jawatankuasa pembinaan masjid telah di tubuhkan oleh Allahyarham Ahmad bin Ismail (Imam Tua) yang bertindak sebagai pengerusi, Allahyarham Hj Ibrahim Awang (Pakcik Che Gu) sebagai bendahari yang pada masa itu adalah Guru Besar Sek. Keb. Mulong, Allahyarham Pauzi Ahmad (Pelajar di Pondok Bunut Payong) sebagai setiausaha dan beberapa orang penduduk sebagai AJK yang mewakili setiap kampung dalam Mukim Padang Enggang. 


Ahli jawatankuasa tersebut mewakili Kampung Wakaf Che Yeh, Kampung Padang Enggang, Kampung Padang Darat, Kampung Telok Chat, Kampung Rupek, Kampung Baru, Kampung Ijok, Kampung Seterpa, Kampung Jelasin, Kampung Air Deras dan Kampung Tini.


Antara aktiviti dan perancangan yang dilakukan oleh AJK  untuk memulakan pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang:
  1. Membuat kutipan wang dari rumah kerumah. Tugas ini dilakukan oleh semua AJK yang mewakili kawasan masing-masing dalam Mukim Padang Enggang.
  2. Mengadakan jamuan teh sambil menderma dilakukan di tapak masjid tersebut.
  3. Mendapat sumbangan kewangan sebanyak RM1,000.00 dari Dato Asri Muda yang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963.
  4. Husin Musa sawmill telah dipersetujui oleh majoriti AJK sebagai pembekal barangan keperluan untuk pembinaan masjid dengan kaedah pembayaran yang fleksible.                            
Dato Asri Muda
   
Masjid Mukim Padang Enggang dengan keluasan lantai 2,100 kaki persegi (42' X 50') dapat menampung jemaah seramai 250 orang. Pada peringkat awal, solat jumaat juga disertai oleh jemaah wanita untuk memenuhi ruang masjid yang agak besar dibandingkan dengan bilangan makmum yang tidak ramai. Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menarik jemaah mengimarahkan masjid. Pada masa itu bilangan guru agama amat terhad tambahan pula aktiviti kebudayaan mendapat tempat dihati penduduk. Walaupun begitu usaha membesarkan masjid terus dilakukan dari masa kesemasa  dengan mengambil kira bilangan penduduk mukim yang semakin bertambah dan minat mencari ilmu agama dikalangan mereka juga semakin meningkat.


Pak Su dilantik sebagai AJK Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang pada tahun 1959. Paksu diberi tanggungjawab menjaga  urusan pembinaan masjid, kebetulan pula Pak Su bekerja di Jabatan Kerja Raya, Kota Bharu dan mempunyai sedikit kemahiran dalam kerja-kerja pertukangan kayu dan binaan bangunan. Pak Su aktif  sebagai AJK selama 53 tahun tanpa henti dan berada dibawah 5 orang imam bermula dari 1959 hingga sekarang. Imam -imam tersebut adalah seperti berikut:

1) Allahyarham Ahmad Bin Ismail (Tok Ayah)
2) Allahyarham Pauzi Bin Ahmad (Tok Imam Pauzi)
3) Ustaz Yassin (Tok Imam Yassin)
4) Ustaz Haji Hanafi Bin Mohamad (Tok Imam Napi)
5) Ustaz Haji Abdul Halim Bin Mat Isa (Imam Tua sekarang.)


Tok Ime Pauzi bergambar bersama jemaah
depan Masjid Mukim Padang Enggang
di pagi raya sekitar tahun 1970an.

Pada awal tahun 1960an kemudahan letrik belum ada lagi waktu itu. Kami guna beberapa biji pelita untuk menerangi  ruang masjid  untuk solat dan juga ruang untuk kanak-kanak belajar mengaji al-Quran. Minyak gah (minyak tanah) lah yang menjadi sumber terpenting sebagai bahan bakar untuk menghidupkan api pelita. Pak Su  masih ingat lagi waktu malam  semua rumah bergelap, cuma yang ada pelita minyak tanah, bayangkan lah setakat mana saja lah yang boleh diterangi nya. Seluruh kampong bergelap, hiburan yang ada hanyalah siaran dari radio transistor, tv tiada. Jam 10.00 malam, setelah selesai kami menunaikan solat isyak berjemaah di masjid, tiada apa lagi aktiviti yang hendak dilakukan. Masa itu kebanyakan penduduk kampong mulai ketempat tidur. 

Pada awal tahun 1969 barulah ada kemudahan letrik dilengkapi pula dengan kemudahan air paip beberapa tahun selepas itu. Sejak dari itu kampung kami mula membangun dan terus menjadi tumpuan orang ramai terutama Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang kini menjadi destinasi tarikan pelancong membeli belah sepanjang tahun.

Bermula 1979, kerja-kerja pembesaran masjid telah diteruskan lagi setelah terhenti beberapa ketika atas faktor kewangan. Kerja pembinaan masjid melibatkan pembesaran anjung kiri dan anjung kanan masjid. Sebuah jawatankuasa kampong yang dianggota oleh Cg Zin, Cg Awang, Cg Rashid, Che Omar, Paksu Taib, Abang Awang kak Nab, Paksu Long, Pak Ngah Mamat dan beberapa lagi individu telah membuahkan hasil apabila permohonan mereka berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM 70,000 dari kerajaan pusat melalui YBM Tengku Ahmad Rithaudeen, ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Menteri Luar pada ketika itu. 

Salinan geran tapak 
Masjid Mukim Padang Enggang


Jawatankuasa ini patut diberi penghargaan kerana jasa-jasa yang telah mereka curahkan. Atas inisiatif dan kerja keras mereka jua kampong ini mendapat bekalan letrik seawal tahun 1969. Kita patut berbangga atas titik peloh dan pengorbanan mereka untuk memajukan kampong ini. Semoga pengorbanan mereka ditauladani oleh generasi muda hari ini.

Sebagai orang lama yang telah bergiat sebagai AJK masjid sejak 1959. Paksu dapat rasakan kehadhiran anak mukim berjemaah amat membanggakan. Alhamdulillah syukur kehadhrat Allah SWT, dengan berkat kesabaran dan usaha berterusan Ustaz Halim (Imam Tua sekarang) dibantu oleh AJK dan rakan-rakan qariah masjid, kebelakangan ini bilangan jemaah dewasa dan kanak-kanak yang datang ke Masjid Mukim Padang Enggang semakin bertambah.

Mereka mengimarahkan masjid setiap waktu untuk melakukan solat berjemaah, iktikaf, berzikir, membaca Al-Quran, mengikuti majlis-majlis ilmu dan menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta apa jua program yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada penduduk mukim Padang Enggang dan kepada umat islam keseluruhannya.

Wallahu a’lam.



View Masjid Mukim Padang Enggang, Wakaf Che Yeh,15100 Kota Bharu in a larger map


Ahad, 9 Oktober 2011

Arwah Emak Masih Kekal Dalam Ingatan


Tok Che dan Mok Wa bergambar bersama anak, 
cucu serta menantu (foto akhir 1950an)

Emak kami, Jah binti Hassan dilahirkan pada tahun 1934. Panggilan mesranya Mak Su. Merupakan anak bongsu dari 7 beradik (4 lelaki dan 3 perempuan) daripada perkahwinan Pak Chu Hassan Tok Teras dan Sepiah binti Hassan iaitu Tok Che dan Mak Wa kami. Emak berkulit cerah, sederhana tinggi, pemurah, peramah, murah dengan senyuman serta seorang yang penyayang.


          
Pada zaman remajanya emak kerap berkunjung ke rumah kakaknya Mariam yang juga mak saudara kami yang bersuamikan anggota polis, Sarjan Wan Mahmud (No Anggota: 7891) yang telah bertugas sebagai Ketua Polis Balai dibeberapa balai polis di negeri Kelantan sekitar tahun 1940an. Di rumah mak cik mariam emak belajar memasak dan menjahit. Ini adalah sebagai persiapan untuk menempuh alam rumahtangga. Kebolehan memasak dan menjahit yang emak perolehi sekurang-kurangnya mampu menampung keperluan keluarga sendiri.


Diawal perkahwinan emak dan ayah menetap di Kampung Tini, Pasir Hor bersama nenek. Pada masa itu nenek kami merupakan ‘Tukang Gulai’ tersohor dikawasan tersebut. Nenek juga adalah besan kepada Tok Guru Hj Abdullah Tahir Pengasas Pondok Bunut Payong.

Gulai Bakok
                                       
Sepanjang berada di Kampung Tini, Pasir Hor selama 2 tahun emak sempat belajar beberapa resipi masakan termasuklah Gulai Bakok dan juga Taucu. Sehingga ke hari ini hidangan ini menjadi kegemaran anak-anak hinggalah cucu-cucu. Sesekali apabila keluarga berkumpul, menu inilah yang menjadi pilihan untuk hidangan kami.









Hasil perkongsian hidup emak dan ayah kami, mereka dikurniakan 8 orang anak: 
Anak pertama:Ismail (meninggal 2007 - 57 tahun) 
Anak kedua : Mohd Pauzi (59 tahun) 
Anak ketiga: Ramli (meninggal semasa bayi) 
Anak keempat: Mohd Hashim (53 tahun) 
Anak kelima: Mohd Sayuti (50 tahun) 
Anak keenam: Rohani (47 tahun) 
Anak ketujuh: meninggal semasa lahir. 
Anak kelapan: Othman (42 tahun)




Dalam mendidik anak-anak emak mencurahkan sepenuh kasih sayang pada kami. Emak suka bercerita tentang pendudukan jepun di tanah melayu,dan cerita rakyat kepada kami. Cerita ‘Pakcik rimau’ antara cerita yang jadi kesukaan kami pada masa itu sehingga kini masih lagi terpahat diminda.  Aktiviti sebegini menghiburkan kami. Bagi kami emak adalah penghibur yang hebat.


Selepas ayah pencen, emak dan ayah menyempurnakan rukun islam ke lima bersama-sama dengan 6 orang keluarga terdekat menunaikan fardhu haji ke Mekah. Pada masa itu usia emak 49 tahun, itulah saat yang paling gembira buat emak setelah impiannya menjadi kenyataan.

Ayah dan emak tidak mengidap apa-apa penyakit. Mereka berdua masih sihat dan mampu berjalan jauh. Sesekali mereka dibawa oleh anak-anak dan menantu bersiar-siar di tempat menarik di seluruh Malaysia.





Kami adik beradik juga semuanya telah dewasa dan sudah mempunyai keluarga sendiri. Alhamdulillah tautan kekeluargaan kami bertambah erat. Tiada pernah berlaku pertelingkahan antara kami adik-beradik, malah kami bertolak ansur dalam semua perkara. Sesungguhnya masa dan peristiwa yang berlaku mematangkan kami dalam menempuh kehidupan yang penuh mencabar. Ini adalah hasil pengorbanan emak dan ayah yang telah mendidik kami supaya menjadi manusia yang bersyukur. 


Tanggal 22 Mac 2008 - Emak menghembuskan nafas terakhir jam 7:10 pagi pada usia 74 tahun. Kebetulan pada masa iitu ayah baru saja balik dari berjemaah solat subuh di masjid. Sebelum ke masjid emak masih sihat malah sempat mengingatkan ayah jemputan Hj Che Llah / Hjh Mek (Kg Ijok) untuk hadhir majlis cukur jambul cucu mereka selepas solat subuh. Kematian emak amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan ayah yang berusia 84 tahun keseorangan. Kami sedih kerana dengan kematian emak bermakna hilanglah satu lagi keberkatan dari Allah terhadap kami iaitu doa dari ibu terhadap kami, anak-anaknya. Walaupun begitu kami redha dengan segala ketentuan Allah SWT.
Hj Che Llah / Hjh Mek 


Kehidupan yang Allah pinjamkan kepada kita hanyalah sementara. Kita sebagai hamba hanya mampu berserah.... menunggu masa bila akan tiba giliran kita pula. Yang telah pergi, tak akan kembali lagi. Apa yang tinggal hanyalah kenangan yang pastinya takkan luput dan akan kekal sepanjang hayat.



Buat anak-anak dan semua pembaca fikir dan renungilah ungkapan berikut:

Hulurkan salam buat IBU, 
semasa IBU mampu menyambutnya.
Pimpinlah tangan IBU, 
semasa IBU masih boleh berjalan bersama-sama.
Tenunglah mata IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh melihat.
Bercakaplah dengan IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh mendengar.
Berilah ucapan sayang kepada IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh faham.
Ingat dan kenanglah jasa IBU, 
semasa IBU masih ada.
Sesungguhnya pengorbanan 
IBU tak mungkin dapat dibalas.

Kehadhiran seorang ibu adalah anugerah yang tidak ternilai. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih ada. Dan doakan untuk mereka hingga ke hujung nyawa kita. Sekurang-kurangnya kita amalkan doa berikut: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيرًا

Maksudnya: 

Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.


Sebagaimana yang kita tahu doa adalah suatu ibadah. Doa juga boleh mendekatkan kita dengan Allah. Doa juga adalah zikir. Doa akan menjadi lebih bermanafaat sekiranya doa daripada anak kepada ibubapa. 
Justeru itu berdoalah kepada kedua ibubapa baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada. Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah jua.
Semoga Allah SWT akan kurniakan keberkatan, ketenangan dalam kehidupan dan dimurahkan rezeki kepada kita semua yang sabar dan istiqomah berdoa kepada Allah SWT setiap masa.



Catatan diari anakanda
Ahad 09 Oktober 2011