disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 21 November 2012

Sejarah Ringkas Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang


Masjid adalah lambang syiar Islam, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Masjid bukan saja tempat solat berjemaah, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, pengajian keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah islamiyyah sesama manusia.

Pada tahun 1931, Tok Guru Haji Abdullah Tahir, telah mendirikan Madrasah Ahmadiah di Bunut Payong. Pusat pengajian itu kemudiannya terkenal sebagai Pondok Bunut Payong. Tok Guru Haji Abdullah Tahir (pengasas pondok) merupakan seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pelajar-pelajar pondok Bunut Payong bukan saja terdiri daripada anak tempatan, tetapi ramai juga yang datangnya dari Johor, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Pahang serta pelajar-pelajar dari Thailand dan Indonesia.

Pak Su masih ingat beberapa pelajar Pondok Bunut Payong yang cergas dan cemerlang  dalam pengajian sering diberi peluang oleh Tok Guru mengajar dalam pondok secara bergilir.  Mereka ialah Hj Abdul Shukor dari Bangkok, Hj Budin dari Sumatera, Ustaz Abdul Rahman dari Perlis, Hj Husin Rahimi dari Pasir Puteh, Hj Mat Besi Berani dari Bukit Marak, Hj Abdul Aziz dan abangnya Hj Mustapha dari Limbat, kedua-duanya menjadi pengasas Pondok Terusan Pasir Tumboh dan Ustaz Fadhil dari Johor yang  selepas itu menjadi menantu Tok guru.

Ustaz Fadhil 
Menantu Tok Guru.

Beberapa orang anak mukim Padang Enggang  turut serta belajar ilmu agama di Pondok Bunut Payong  yang jaraknya 3 km dengan kampong Padang Enggang.Sungai Ijok menjadi sempadan diantara kampong padang enggang dan kampong bunut Payong. Ilmu yang yang mereka perolehi, mereka ajarkan pula kepada penduduk dan begitulah seterusnya.  Pada ketika itu, penduduk mukim Padang Enggang menunaikan solat  hanya di sebuah surau kecil bersebelahan tanah perkuburan (kubur surau). Di surau ini jugalah kanak-kanak belajar mengaji Al-Quran. Selain dari itu, kanak-kanak ini juga diajarkan asas Fardhu Ain secara teori dan amali.

Pakcik Chegu mantan
Bendahari Masjid

Bermulanya pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang  apabila Haji Abdullah Wan Ahmad (Pak Lah Kedai Wakaf Che Yeh) telah mewakafkan tanah seluas 480 depa (0.480 ekar) untuk didirikan sebuah masjid pada pertengahan tahun 1950an. Hasrat beliau untuk melihat tertegaknya sebuah masjid di Lot 687, Kampung Wakaf Che Yeh dalam mukim Padang Enggang tidak kesampaian, apabila beliau terlebih dahulu telah dijemput mengadap illahi semasa mengerjakan fardhu haji di Mekah.

Pada tahun 1959 sebuah jawatankuasa pembinaan masjid telah di tubuhkan oleh Allahyarham Ahmad bin Ismail (Imam Tua) yang bertindak sebagai pengerusi, Allahyarham Hj Ibrahim Awang (Pakcik Che Gu) sebagai bendahari yang pada masa itu adalah Guru Besar Sek. Keb. Mulong, Allahyarham Pauzi Ahmad (Pelajar di Pondok Bunut Payong) sebagai setiausaha dan beberapa orang penduduk sebagai AJK yang mewakili setiap kampung dalam Mukim Padang Enggang. 


Ahli jawatankuasa tersebut mewakili Kampung Wakaf Che Yeh, Kampung Padang Enggang, Kampung Padang Darat, Kampung Telok Chat, Kampung Rupek, Kampung Baru, Kampung Ijok, Kampung Seterpa, Kampung Jelasin, Kampung Air Deras dan Kampung Tini.


Antara aktiviti dan perancangan yang dilakukan oleh AJK  untuk memulakan pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang:
  1. Membuat kutipan wang dari rumah kerumah. Tugas ini dilakukan oleh semua AJK yang mewakili kawasan masing-masing dalam Mukim Padang Enggang.
  2. Mengadakan jamuan teh sambil menderma dilakukan di tapak masjid tersebut.
  3. Mendapat sumbangan kewangan sebanyak RM1,000.00 dari Dato Asri Muda yang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963.
  4. Husin Musa sawmill telah dipersetujui oleh majoriti AJK sebagai pembekal barangan keperluan untuk pembinaan masjid dengan kaedah pembayaran yang fleksible.                            
Dato Asri Muda
   
Masjid Mukim Padang Enggang dengan keluasan lantai 2,100 kaki persegi (42' X 50') dapat menampung jemaah seramai 250 orang. Pada peringkat awal, solat jumaat juga disertai oleh jemaah wanita untuk memenuhi ruang masjid yang agak besar dibandingkan dengan bilangan makmum yang tidak ramai. Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menarik jemaah mengimarahkan masjid. Pada masa itu bilangan guru agama amat terhad tambahan pula aktiviti kebudayaan mendapat tempat dihati penduduk. Walaupun begitu usaha membesarkan masjid terus dilakukan dari masa kesemasa  dengan mengambil kira bilangan penduduk mukim yang semakin bertambah dan minat mencari ilmu agama dikalangan mereka juga semakin meningkat.


Pak Su dilantik sebagai AJK Pembinaan Masjid Mukim Padang Enggang pada tahun 1959. Paksu diberi tanggungjawab menjaga  urusan pembinaan masjid, kebetulan pula Pak Su bekerja di Jabatan Kerja Raya, Kota Bharu dan mempunyai sedikit kemahiran dalam kerja-kerja pertukangan kayu dan binaan bangunan. Pak Su aktif  sebagai AJK selama 53 tahun tanpa henti dan berada dibawah 5 orang imam bermula dari 1959 hingga sekarang. Imam -imam tersebut adalah seperti berikut:

1) Allahyarham Ahmad Bin Ismail (Tok Ayah)
2) Allahyarham Pauzi Bin Ahmad (Tok Imam Pauzi)
3) Ustaz Yassin (Tok Imam Yassin)
4) Ustaz Haji Hanafi Bin Mohamad (Tok Imam Napi)
5) Ustaz Haji Abdul Halim Bin Mat Isa (Imam Tua sekarang.)


Tok Ime Pauzi bergambar bersama jemaah
depan Masjid Mukim Padang Enggang
di pagi raya sekitar tahun 1970an.

Pada awal tahun 1960an kemudahan letrik belum ada lagi waktu itu. Kami guna beberapa biji pelita untuk menerangi  ruang masjid  untuk solat dan juga ruang untuk kanak-kanak belajar mengaji al-Quran. Minyak gah (minyak tanah) lah yang menjadi sumber terpenting sebagai bahan bakar untuk menghidupkan api pelita. Pak Su  masih ingat lagi waktu malam  semua rumah bergelap, cuma yang ada pelita minyak tanah, bayangkan lah setakat mana saja lah yang boleh diterangi nya. Seluruh kampong bergelap, hiburan yang ada hanyalah siaran dari radio transistor, tv tiada. Jam 10.00 malam, setelah selesai kami menunaikan solat isyak berjemaah di masjid, tiada apa lagi aktiviti yang hendak dilakukan. Masa itu kebanyakan penduduk kampong mulai ketempat tidur. 

Pada awal tahun 1969 barulah ada kemudahan letrik dilengkapi pula dengan kemudahan air paip beberapa tahun selepas itu. Sejak dari itu kampung kami mula membangun dan terus menjadi tumpuan orang ramai terutama Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang kini menjadi destinasi tarikan pelancong membeli belah sepanjang tahun.

Bermula 1979, kerja-kerja pembesaran masjid telah diteruskan lagi setelah terhenti beberapa ketika atas faktor kewangan. Kerja pembinaan masjid melibatkan pembesaran anjung kiri dan anjung kanan masjid. Sebuah jawatankuasa kampong yang dianggota oleh Cg Zin, Cg Awang, Cg Rashid, Che Omar, Paksu Taib, Abang Awang kak Nab, Paksu Long, Pak Ngah Mamat dan beberapa lagi individu telah membuahkan hasil apabila permohonan mereka berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM 70,000 dari kerajaan pusat melalui YBM Tengku Ahmad Rithaudeen, ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Menteri Luar pada ketika itu. 

Salinan geran tapak 
Masjid Mukim Padang Enggang


Jawatankuasa ini patut diberi penghargaan kerana jasa-jasa yang telah mereka curahkan. Atas inisiatif dan kerja keras mereka jua kampong ini mendapat bekalan letrik seawal tahun 1969. Kita patut berbangga atas titik peloh dan pengorbanan mereka untuk memajukan kampong ini. Semoga pengorbanan mereka ditauladani oleh generasi muda hari ini.

Sebagai orang lama yang telah bergiat sebagai AJK masjid sejak 1959. Paksu dapat rasakan kehadhiran anak mukim berjemaah amat membanggakan. Alhamdulillah syukur kehadhrat Allah SWT, dengan berkat kesabaran dan usaha berterusan Ustaz Halim (Imam Tua sekarang) dibantu oleh AJK dan rakan-rakan qariah masjid, kebelakangan ini bilangan jemaah dewasa dan kanak-kanak yang datang ke Masjid Mukim Padang Enggang semakin bertambah.

Mereka mengimarahkan masjid setiap waktu untuk melakukan solat berjemaah, iktikaf, berzikir, membaca Al-Quran, mengikuti majlis-majlis ilmu dan menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta apa jua program yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada penduduk mukim Padang Enggang dan kepada umat islam keseluruhannya.

Wallahu a’lam.



View Masjid Mukim Padang Enggang, Wakaf Che Yeh,15100 Kota Bharu in a larger map


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.