disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 29 Mac 2024

Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Wakaf Bharu ( 1916 - 1990 )

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Haji Ismail, Wakaf Bharu, Tumpat adalah seorang tokoh ulama' tasawwuf yang berkebolehan mengajar kitab-kitab (kitab kuning) setaraf dengan guru-guru pondok ternama. Dikenali juga dengan panggilan "Haji Man Tasawwuf" lantaran kealimannya dalam ilmu tasawwuf. Namun hakikatnya, beliau terbukti alim dalam pelbagai jurusan ilmu, termasuk tata bahasa Arab, usuluddin, Furu' al-Din dan al-Quran.

Bapanya Haji Ismail Bin Abdul Rahman Bin Tok Badar berasal dari Kampung Lubok Durian, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat. Ibunya, Wan Aminah Binti Wan Muhammad, dibesarkan di rumah Tengku Besar, seorang kerabat diraja di Kota Bharu.

Beliau mula belajar dengan Tok Selehor ketika berumur 16 tahun, iaitu selama dua hingga tiga tahun, kemudian berpindah ke Kota Bharu, menyertai halaqat pengajian kitab di Masjid Muhammadi. Antara guru-gurunya termasukah Tuan Guru Haji Ahmad Bin Haji Abdul Mannan, Tuan Guru Haji Yaakob Legor, Mufti Haji Ahmad Maher dan Imam Haji Nik Mud selama tiga hingga empat tahun.

Dalam bulan Rejab 1355 (September/Oktober 1936), beliau ke Kota Mekah, menuntut ilmu selama 12 tahun. Antara guru- gurunya termasuklah:

  1. Syeikh Muhammad Syafie Kedah (alim tasawwuf)
  2. Syeikh Ahmad Hijazi (al-Quran)
  3. Syeikh Muhammad Zain Simabur yang berasal dari Sumatera

Akhirnya pada 1940an, Tuan Guru Haji Abdul Rahman pulang ke Kota Bharu. Selepas berkahwin, beliau pergi ke negeri Terengganu dan tinggal lama di sana setelah terikat mengajar di sebuah sekolah agama di Jerteh, Besut. Hanya sesudah banjir besar awal 1967 barulah beliau pulang menetap di negeri Kelantan.

Selain mengajar kitab di kediamannya di Padang Luas/Pohon Tanjung, Chabang Empat Tok Mek Ngah, beliau juga diundang menyampaikan kuliah mingguan di beberapa buah masjid di luar Jajahan Tumpat seperti di Rantau Panjang, Bachok dan Jelawat (peringkat awal di rumah muridnya, kemudian di Masjid Jelawat).

Pertengahan 1975, beliau sekeluarga berpindah ke rumah barunya di Jalan Kebakat, Wakaf Bharu. Namun kuliah mingguan di surau berhampiran rumahnya tetap mendapat sambutan ramai.

Antara anak muridnya ialah :

  1. Tuan Guru Pak Su Mid Gunong
  2. Tuan Guru Haji Abdul Rahim Bin Haji Hamzah Pondok Pasir Tumboh
  3. Tuan Guru Haji Muhammad Zain, Pondok Lubuk Pandan, Marang
  4. Tuan Guru Haji Jamaluddin Pondok Charok Tok Uban
  5. Tuan Guru Haji Abdul Wahab Pondok Jarak
  6. Tuan Guru Haji Abdul Halim Pondok Tandop Pisang

Kemasyhuran Tuan Guru Haji Abdul Rahman terletak pada kebolehannya yang diakui alim "melaut" dalam ilmu tasawwuf. Keupayaannya yang seperti ini, ditambah pula dengan penguasaannya dalam pelbagai ilmu lain seperti bahasa Arab, al-Quran dan Syariah menyebabkan beliau menguasai ilmu agama secara bersepadu lagi seimbang, iaitu suatu tahap pencapaian ilmu yang jarang dimiliki oleh tokoh-tokoh ulama' Melayu zaman mutakhir ini.

Antara kitab-kitab tasawwuf Jawi yang kerap beliau baca sebagai teks ialah :

  1. Hikam Ibni Atha i 'Llah (Hikam Kabir) terjemahan Tok Pulau Manis
  2. al-Durr al-Nafis hasil pena Syeikh Muhammad Nafis Banjar
  3. al-Manhal al-Shafi karya Syeikh Daud Patani

Hikam Kabir adalah "kitab wirid" beliau yang lazim beliau ulangi pada setiap kali khatam.

Di samping kitab-kitab tasawwuf, Tuan Guru Haji Abdul Rahman juga ada mengajar kitab-kitab usuluddin seperti Faridah al-Fara'id dan al-Durr al-Thamin, kedua-duanya karangan Syeikh Wan Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fathani dan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani.

Lebih daripada seorang guru kitab, beliau terkadang menyelang-nyelikan jadual kuliahnya dengan kelas al-Quran sambil mengupas risalah Tuhfat al-Sibyan susunan Syeikh Nuh Jamaluddin al-Kalantani.

Di celah-celah kesibukannya mengajar, beliau sempat menghasilkan sebuah karya saringan dari bahasa Arab berjudul Doa al-Nadar fi Hayah Abi al-'Abbas al-Khadr pada tahun 1971. Cetakan Sahabat Press, Yala Thailand setebal 50 muka surat. Beliau juga menerbitkan sebuah risalah tasawwuf popular berjudul al-Manhal al-Shafi fi Bayan Ramuz Ahl al-Sufi (cetakan ketiga, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1978) serta menulis kata pengantar untuknya.

Beliau ditakdirkan "menutup mata" secara mendadak pada jam 5.50 petang Isnin, 27 Ogos 1990, sekembalinya dari tempat mengajar. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Batang, Tumpat.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - Buku 40 Biografi Singkat Ulama Terpilih Negeri Kelantan

 

Kredit: Tengku Yusuff (Mohamad Yusof) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.