disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 3 Mei 2016

KEM REMAJA MASJID MUKIM PADANG ENGGANG - Ke Pondok Tarbiah Aulad, Kg Kenerong, Dabong, Kelantan.

Segala puji bagi Allah, dengan izinNya, seramai 58 orang peserta remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 20 tahun telah mendaftarkan diri untuk menyertai program . Program ini telah berlangsung pada pada 29 april 2016 hingga 01 Mei 2016 bertempat di Pondok Tarbiah Aulad, Kg Kenerong, Dabong, Kelantan. Kem kali ini juga disertai oleh 20 orang urusetia yang kebanyakanya adalah AJK masjid Mukim Padang Enggang. 

Foto peserta di Masjid Mukim Padang Enggang sebelum mereka memulakan perjalanan ke Pondok Tarbiah Aulad, Dabong Kelantan.






Pelbagai aktiviti menarik telah disusun atur untuk memastikan kelancaran perjalanan program dan objektif program tercapai. Program itu diadakan bagi melahirkan remaja berkeyakinan, dedikasi, berdikari dan berdisiplin, tinggi motivasi diri, menghormati orang tua dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Minum petang bersama Pak Teh Din

Peserta akan didedahkan dengan keperluan untuk memiliki sahsiah dan penampilan diri, kemahiran ilmu berkomunikasi sesama mereka serta membuka minda dan menanam semangat dalam kalangan mereka untuk berusaha menjadi remaja yang cemerlang, bermotivasi dan berkualiti.

Antara pengisian program ialah, solat berjemaah, kuliah Subuh dan Maghrib bersama Mudir pondok iaitu Baba Mohd Samsuddin Dollah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Teh Din. Kami begitu teruja diatas kesudian Pak Teh Din memyampaikan 4 kali sesi kuliah/motivasi sepanjang 3 hari 2 malam kami berada di sana. Pak Teh Din memberikan layanan istimewa kepada kami dengan bergegas pulang dari Tok Bali untuk menyambut kehadhiran kami walaupun pada tarikh yang sama Pak Teh Din dan dan beberapa orang pelajarnya ada program di sana.

Peserta juga didedahkan dengan aktiviti lasak seperti 'Jungle tracking' iaitu merentasi laluan yang sukar dan menyelusuri hutan rimba yang mencabar. Aktiviti ini diketuai oleh Ibrahim Taib @ Kapten yang banyak pengalaman dalam aktiviti lasak sebegini. Pihak pondok juga turut membantu kami dalam aktiviti ini, 5 orang pelajar pondok ditugaskan untuk pandu arah perjalanan kami serta memberi beberapa petua semasa kami berada dalam hutan yang sememangnya amat diperlukan bagi kami yang tiada pengalaman.

Kami membuat sedikit warming up, yang dikendalikan oleh 3 urusetia iaitu Ibrahim@Kapten, Cg Nik Jailani dan En Sudin. Selepas mengadakan solat sunat dhuha berjemaah, kami mulakan aktiviti ini dengan berjalan melewati semak-belukar, menyusuri sungai sedalam paras lutut, mendaki bukit dan menuruni lembah. Aktiviti ini mengambil masa 3 jam pada anggaran jarak perjalanan sejauh 4 km.

Program ini juga mengeratkan hubungan dengan golongan dewasa terutama barisan urusetia yang menjadi pembimbing mereka dalam setiap aktiviti dalam perkemahan ini. Sikap yang seumpama inilah yang diharapkan akan dapat melahirkan remaja masjid yang mampu menghadapi apa jua cabaran dan rintangan, ditambah lagi dengan program yang berbentuk kerohanian yang dihasratkan dapat membentuk remaja yang beriman, berakhlak dan berilmu dan dapat memakmurkan Rumah Allah setiap masa dan mampu mengangkat martabat Islam suatu masa nanti.

Foto peserta disepanjang program berlangsung -  Pondok Tarbiah Aulad, Kg Kenerong, Dabong, Kelantan.
































Alhamdulillah, kem remaja telah berjalan lancar dan tamat pada hari ahad jam 10.00 pagi. Sedikit sebanyak program telah mencapai objektifnya iaitu kesedaran remaja betapa pentingnya solat berjemaah yang menjadi asas untuk memakmurkan masjid. Selain dari itu perkemahan ini dapat menerapkan nilai-nilai keperibadian muslim dalam diri peserta untuk sentiasa berhijrah ke arah kebaikan dan melatih para peserta untuk menjadi insan yang berakhlak mulia. Harapnya Tok Imam serta pihak AJK Masjid dapat mengadakan lagi program seumpama ini di masa-masa akan datang, InsyAllah…….

**Semua Peserta akan diberikan sijil penyertaan dalam satu program lain yang akan diadakan sempena menyambut Ramadhan nanti di masjid mukim padang enggang.




Masjid yang masih dalam pembinaan, disini lah
kami semua solat berjemaah dan mendengar
kuliah dari Pak Teh Din

Utk makluman, Pondok Tarbiah Aulad, Kg Kenerong, Dabong, Kelantan masih memerlukan sumbangan drp penderma sekelian.

Tahukah anda pondok ini tidak mengenakan sebarang bayaran yuran untuk pelajarnya seramai 90 orang yang belajar ilmu agama di pondok tersebut.

Kos pengurusan bulanan pondok mencecah RM4,000 - makan minum semua pelajar termasuk kos penggunaan generator memandangkan tiada bekalan elektrik disitu. Kos untuk beli minyak diesel sahaja berjumlah RM1200 sebulan.


Pondok Tarbiah Aulad, Kg Kenerong dalam proses menyiapkan masjid hasil dari sumbangan derma derma orang ramai. 

Untuk pengetahuan semua, Pelajar-pelajar pondok menanam pokok pisang seluas beberapa ekar dan memelihara kambing/lembu untuk di jual bagi menampung pembelanjaan dan pengurusan pondok.

Sumbangan dari kita semua amat dialu-alukan. Untuk Menderma, sila masukkan terus wang derma tuan/puan ke akaun:

MADRASAH TARBIAH AL-AULAD, SG. KENERONG.
NO.AKAUN BIMB : 03072010126195 

Sebarang pertanyaan : Boleh hubungi Mudir Madrasah Tarbiah Al-Aulad - Pak Teh Din (No HP: 017-9635644)

Semoga sumbangan tuan/puan dalam meringankan pengurusan pondok sungai kenerong ini mendapat ganjaran disisi Allah S.W.T.

1 ulasan:

  1. Satu program yang bermanafaat dan perlu diteruskan. Syabas.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.