doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 27 Mei 2011

As-Syahid Al-Rantissi, doktor pakar dan pejuang hebat Hamas.

Abdul Aziz Ali Abdul Majid al-Rantisi dilahirkan pada 23 / 10 / 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Keluarganya telah dipaksa untuk berhijrah ke Gaza selepas peperangan 1948 dan menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribuan pelarian yang lain, pada waktu itu umurnya hanya berusia enam bulan. Di perkhemahan tersebutlah beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang lain (sembilan lelaki dan dua orang perempuan).

PendidikannyaSebagai seorang yang mempunyai otak yang cerdik beliau amat cemerlang di dalam pembelajarannya. Ketika baru berusia enam tahun sahaja beliau telah memulakan persekolahannya di salah sebuah sekolah di kawasan perkhemahan tersebut. Di usia sebegini muda juga beliau terpaksa bekerja demi menampung perbelanjaan keluarganya yang besar dan miskin dan juga kehidupan mereka yang amat perit di kawasan perkhemahan yang serba daif. Pada tahun 1965 beliau telah menamatkan pembelajaran menengahnya dan melanjutkan pelajarannya ke Fakulti Perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir. Di Fakulti tersebut beliau telah lulus dengan cemerlang dan telah menamatkannya pada tahun 1972 . Pada tahun 1976 beliau telah mengakhiri pelajarannya di peringkat sarjana (master) dalam pengkhususan peditriasi (perubatan kanak-kanak), dan memulakannya kerjanya sebagai doktor peru batan di Hospital Nasir (Pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus.

Penglibatannya di dalam perjuangan
Bapa kepada enam orang anak (dua lelaki dan empat perempuan)dan sepuluh orang cucu ini telah mula aktif dengan gerakan islam dan aktiviti-aktiviti islam semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau amat aktif dengan kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah seawal beliau memulakan perkhidmatannya di Khan Yunus. Antara penglibatan awalnya ialah sebagai jawatankuasa di peringkat pusat Majma Islamiy (sebuah pertubuhan islam di Gaza), pimpinan persatuan doktor-doktor Arab cawangan Gaza dan juga antara pihak pengurusan pertubuhan bulan sabit merah Palestin. Beliau juga telah berkhidmat sebagai pensyarah di dalam bidang perubatan kanak-kanak dan juga biologi di Universiti Islam Gaza bermula dari tahun 1978.

Pada tahun 1983 beliau telah dipenjarakan buat kali pertama kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan Zionis Israel. Pada 5 / 1 / 1988 beliau telah dipenjarakan buat kali kedua selama 21 hari di atas kesalahan yang sama. Keengganan beliau membayar cukai tersebut kerana kengganannya mengiktiraf penjajahan Israel terhadap bumi tercintanya Palestin. Ketegasan beliau ini merupakan bibit-bibit yang membawa kepada pembentukan keperibadiannya sebagai pemimpin sebuah gerakan islam yang berjaya menggoncang Israel di masa-masa mendatang.



Bersama dengan rakan-rakan seperjuangannya yang membawa aspirasi perjuangan Ikhwanul Muslimin beliau telah mengasaskan gerakan HAMAS pada tahun 1987 untuk memulakan kembali penentangan bersenjata terhadap Israel yang telah lama ditinggalkan oleh orang-orang Arab dan kaum muslimin. Gerakan ini telah berjaya meletuskan gerakerja baru di dalam metod penentangan terhadap rejim Zionis. Gelombang Intifadah yang telah diilhamkan oleh gerakan HAMAS telah membawa anak-anak muda Palestin untuk keluar ke jalan-jalan raya untuk bersemuka dengan pihak tentera Zionis.

Pembunuhan tentera-tentera Israel dan juga kemusnahan yang minor berjaya dilakukan oleh HAMAS. Operasi-operasi ketenteraan terhadap konvoi tentera Israel juga telah menggegarkan keutuhan tentera rejim Zionis buat pertama kali selepas mereka berupaya untuk berehat buat beberapa tahun lamanya selepas kerajaan-kerajaan Arab telah mula meletakkan senjata mereka.

Buat kali ketiganya beliau telah dipenjarakan pada 4 / 2 / 1988 kerana keterlibatannya dengan HAMAS yang didakwa oleh Israel sebagai tindakan pemberontakan yang subversif. Selepas dua tahun setengah dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan pada 4 / 9 / 1990. Sayangnya tiga bulan selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi iaitu pada 14 / 12 / 1990 selama setahun. Walaubagaimanapun, peluang beliau dipenjarakan buat kali keempat ini merupakan sesuatu yang bertuah. Beliau telah ditempatkan di dalam satu sel bersama Syeikh Ahmad Yassin, bapa perjuangan HAMAS dan juga ikon perjuangan rakyat Palestin. Peluang itu diambil olehnya untuk menghafal al-Quran. Ketika itu jugalah beliau telah membina replika masjid al-Aqsa dengan menggunakan kotak-kotak terbuang yang masih boleh dilihat sehingga kini di meja di rumahnya beliau di bandar Gaza. Di dalam penjara itu jugalah beliau banyak menghasilkan syair-syair perjuangan. Tidak hairanlah selain daripada ahli politik dan pemimpin HAMAS beliau juga amat dikenali sebagai seorang penyair.

Dibuang negaraSelepas dibebaskan pada penghujung 1991 beliau meneruskan aktiviti ? aktiviti untuk membebaskan bumi Palestin tanpa mengenal erti putus asa. Usaha rejim Zionis untuk melunturkan semangatnya dengan memenjarakan beliau tidak berhasil, malah beliau bertambah bersemangat dan gerakan HAMAS semakin bertambah kuat. Rejim Israel Zionis yang telah mula buntu akhirnya menghalau keluar 400 para pejuang kemerdekaan Palestin yang terdiri daripada para pejuang HAMAS dan juga gerakan Jihad Islami pada 17 / 12 / 1992 ke Marja Zuhur di Selatan Lubnan. Pada waktu itulah bintangnya mula menyinar di peringkat antarabangsa bilamana beliau telah menjadi jurubahasa para wartawan. Ini kerana kefasihannya di dalam Bahasa Inggeris berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Penonjolannya ini telah mewujudkan hubungan baiknya dengan para wartawan sehingga hari sebelum beliau syahid. Beliau amat disenangi oleh para wartawan, dan pintu apartmennya sentiasa terbuka kepada para wartawan dan junalis. Ini juga amat penting bagi HAMAS, memandangkan beliau merupakan pemimpin politik bagi gerakan tersebut (manakala Ahmad Yassin sebagai pemimpin spiritual mereka).

Sekembalinya beliau dari Marja Zuhur ke Gaza, beliau telah dipenjarakan oleh pihak rejim sehingga tahun 1997. Selepas keluar dari penjara tersebut, dalam tempoh tidak sampai setahun pihak berkuasa autonomi (Palestinian National Authority ? PNA) yang diketuai oleh Yassir Arafat pula telah memenjarakan Dr. Rantisi pada 10 / 4 / 1998. Selepas 15 bulan dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan kerana kematian ibunya. Walaubagaimanapun selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi sebanyak tiga kali oleh PNA. Beliau telah dibebaskan buat kali terakhir kerana dua sebab, pertamanya kerana beliau melancarkan mogok lapar, dan selepas jet pejuang Israel menyerang para tahanan di penjara milik PNA. Pembebasannya buat kali terakhir itu mengakhiri tempoh 27 bulan beliau dipenjarakan oleh PNA.

Pembebasannya itu bagaikan satu rahmat bilamana Syeikh Yassin sebelum itu telah pun dibebaskan juga. Dengan gabungan dua ikon perjuangan Palestin ini gerakan HAMAS menjadi bertambah mantap dan mendapat momentum perjuangan yang lebih kuat dari sebelum itu. Intifada gelombang kedua pada penghujung tahun 2000 sebagai satu bukti kekuatan HAMAS semakin bertambah. Strategi bom syahid yang diinovasikan oleh HAMAS semakin bertambah saban hari dan menjadikan penduduk Yahusi Zionis hidup dalam ketakutan dan memaksa ramai di antara mereka untuk berhijrah semula pulang ke tanah air asal mereka. Dianggarkan lebih 50,000 rakyat Israel yang keluar negara tidak pulang semula ke Israel semenjak tahun 2000. Dr. Rantisi juga sering ditemui oleh para wartawan dari serata dunia dan berjaya menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan mereka de seluruh dunia. Ini amat menggerunkan Israel, malah Amerika yang ingin memaksa dunia untuk melihat HAMAS sebagai perjuangan pengganas yang radikal.

As-Syahid Al-Rantissi dan As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin

Pada 10 Jun 2003, Israel dengan taktik bacul dan biadapnya telah melancarkan percubaan membunuh Dr. Rantisi dengan membedilnya dengan roket yang dilancarkan oleh helikopter Apache mereka. Serangan itu menemui kegagalan apabila Dr. Rantisi dan anaknya yang masih kecil berjaya menyelamatkan diri mereka, namun kereta yang mereka naiki hancur dimamah oleh letupan roket tersebut. Serangan tersebut telah dibalas oleh HAMAS dengan siri serangan-serangan yang telah mengecutkan perut setiap warga Zionis. Ketika berada di atas katil hospitalnya, beliau mengatakan : Hanya perjuangan bersenjata sahaja yang akan dapat memerdekakan bumi Palestin kita?. Selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yassin pada 22 / 3 / 2004 beliau telah dilantik menjadi pemimpin HAMAS di wilayah Gaza dan berjanji untuk membalas dendam diatas kematian Syeikh Ahmad Yassin.

Ketika ditemuramah oleh salah sebuah badan berita antara bangsa, tidakkah dia takut yang dia pula akan menjadi mangsa buruan tentera Zionis yang seterusnya, dia menjawab: “Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian? JIka saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache!”

Pada hari Sabtu, 17 April 2004, bersama dengan dua orang rakannya beliau telah menemui Allah S.W.T sebagai seorang syahid menyusul pemergian Syeikh Ahmad Yassin apabila kereta yang beliau naiki telah dibedil dengan roket dari helikopter Apache oleh pihak rejim Zionis di jalan al-Jallaa di wilayah Gaza. Rejim Israel Zionis menyifatkan Dr. Abdul Aziz al-Rantisi sebagai salah seorang pemimpin pengganas yang perlu dihapuskan demi menjamin keselamatan rakyat Israel dan kedamaian di kawasan tersebut. Tidak hairanlah dua minggu sebelum peristiwa tersebut empat buah helikopter Apache berlegar-legar di ruang udara Gaza untuk mencari Dr. Rantisi.

Persoalannya sekarang, kenapa masih lagi ada negara Islam, yang katanya bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, tetapi dalam masa yang siapa tidak mahu mengiktiraf HAMAS sebagai pendokong kepimpinan tertinggi semangat jihad rakyat palestine? Sama seperti perangai Israel dan Amerika yang tidak mahu mengiktiraf HAMAS.




Sumber : http://norapalestina.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan