doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 31 Mei 2011

Mukayyam Remaja Ke Gua Ikan Dabong

Dabong bukanlah destinasi yang asing bagi masyarakat di negara ini kerana ia popular dengan air terjun Jelawang yang mengalir deras ke bongkahan batu Gunung Stong yang dipercayai tertinggi di Asia Tenggara. Tidak jauh dari gunung berkenaan, terletaknya empat gua menarik yang kian mendapat sambutan sebagai lokasi tarikan pelancong.
Gua –gua tersebut ialah:
1.Gua Ikan.
2.Gua Gelap (atau juga dikenali sebagai Gua Batu Tersusun),
3.Gua Keris.
4.Gua Pagar.



Dari Kota Bharu anda boleh sampai kesini melalui dua jalan. Iaitu melalui jalan Kuala Krai-Gua Musang, masuk ikut simpang ke Sungai San ataupun melalui jalan Jeli-Dabong. Gua Ikan terletak lebih kurang 3 km dari Pekan Dabong. Jarak perjalanan dari Wakaf Che Yeh (Masjid Mukim Padang Enggang)Ke Gua Ikan,Dabong melalui jalan Jeli-Dabong ialah 153km.



Info ringkas mengenai Gua Ikan
Gua Ikan,Gua Keris, Gua Batu Susun dan Gua Pagar adalah salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terkenal di Dabong.

Di sekitar Gua Ikan, terdapat juga kawasan lapang yang luas dan amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan riadah. Terdapat juga taman permainan kanak-kanak dan kawasan parkir kenderaan yang mampu menampung 20 biji kereta pada satu masa. Sebuah gerai yang menjual minuman dan makanan ringan, tandas awam, surau dan beberapa pondok kecil disediakan untuk keselesaan pengunjung.



Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di kawasan ini ialah seperti menikmati keindahan flora dan fauna, mandi-manda, mendaki bukit dan perkelahan. Nama Gua Ikan diperolehi kerana terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan di gua itu. Ada mitos mengatakan dulu terdapat sejumlah ikan menghuni di gua itu dan ia dijadikan lokasi masyarakat Melayu kuno mengadakan majlis perkahwinan.
Terdapatnya batu yang kelihatan seperti sisek ikan tercipta dari titisan air dalam gua bahkan titisan air itu juga menghasilkan pelbagai formasi yang menarik. Ia mempamerkan keindahan binaan stalagmit dan stalaktit berkilauan seperti kerlipan kristal.

Pada hari sabtu 28 Mei hingga ahad 29 Mei 2011, AJK Masjid Mukim Padang Enggang telah menganjurkan Program Muqayyam Remaja iaitu perkhemahan di Gua Ikan,Dabong. Seramai 52 orang peserta terdiri dari remaja dalam Mukim Padang Enggang telah menyertai perkhemahan tersebut . Perkhemahan itu diketuai oleh Ustaz Abd. Halim Mat Isa (Tok Imam) dan dibantu oleh barisan urusetia seramai 14 orang yang dipimpin oleh En Ibrahim Taib (kapten) selaku pengerusi jawatankuasa Biro Pemuda Masjid Mukim Padang Enggang.

Ibrahim Taib @ Kapten

Objektif Program
Program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk :

1.Menyedarkan remaja Muslim tentang pentingnya hubungan silatulrahim dan semangat tolong menolong dalam kalangan remaja dan keluarga.

2.Membina keperibadian remaja Muslim yang unggul dan cemerlang melalui ibadah solat dan memupuk minat melakukannya secara berjemaah.

3.Mewujudkan persekitaran hidup remaja Muslim yang cemerlang dunia akhirat.

4.Menyemai perasaan cinta kepada Allah,Rasul, Ibu-bapa, Guru dan Ummah.

5.Melatih remaja untuk berperanan dalam usaha memberi sumbangan dan khidmat sosial terhadap masyarakat.

Ustaz Ja
Antara pengisian program adalah beberapa sesi kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Halim, Ustaz Hamid, Ustaz Iskandar dan Ustaz Ja. Semua peserta diwajibkan mengikuti sesi kuliah tersebut iaitu sebelum dan selepas solat berjemaah. Mereka telah diberikan pendedahan berkaitan dengan amalan kehidupan Islam seharian, disiplin diri, berdikari, tepati masa, kerjasama, jasa pengorbanan ibubapa dan juga mempelajari serta melakukan solat qasar dan jamak berjemaah sepertimana yang diajarkan oleh Ustaz Hamid dalam sesi kuliah mereka.


Para peserta berjalan keluar dari Gua Ikan menuju 
ke tapak perkhemahan setelah berada didalamnya 
selama 20 minit - sabtu 28 Mei 2011

Pada hari Ahad 29 Mei 2011 - tepat jam 9 pagi sebaik saja selesai menunaikan solat hajat berjemaah ditengah padang permainan berdekatan lokasi tapak perkemahan kami, memohon keselamatan sepanjang pendakian kami yang di ketuai oleh Ibrahim Taib @ kapten bersama dengan Pak Din (Cave Tour Guide) yang telah diberi tanggungjawab oleh Ustaz Halim untuk mempastikan disiplin dan larangan-larangan yang perlu dipatuhi sepanjang pendakian ke dalam gua. Selepas itu bermulalah aktiviti yang paling mencabar iaitu ‘cave trekking‘. iaitu aktiviti menyingkap rahsia Gua Pagar dan Gua Keris.

Aksi yang menguji tahap ketahanan 
mental dan fizikal

Tidak seperti kunjungan kami ke Gua Ikan kelmarin (sabtu 28 Mei 2011) yang hanya menempuh laluan licin dan berbatu kecil, laluan ke Gua Pagar dan Gua Keris agak sukar dan mencabar bagi kami yang tiada pengalaman, ditambah dengan laluan yang sempit dan gelap dicelah-celah batu dan berjalan secara mengiring untuk memasuki laluan sempit dan pada ketika yang lain pula terpaksa merebahkan badan, merangkak dan bergerak secara meniarap untuk melepasi laluan rendah dan berair serta sempit di laluan gua tersebut, semua itu telah memberi pengalaman yang amat berharga dan sudah pasti tidak akan dilupakan oleh setiap peserta.



Bergambar depan batu dipintu masuk 
gua yang berbentuk keris.

Alhamdulillah...semua peserta, telah berjaya sampai ke Gua tersebut pada pukul 9.54 pagi. Gua Keris dinamakan sedemikian kerana ianya mempunyai formasi batu dipintu masuk gua yang berbentuk keris. Berbeza dengan gua lain, Gua Keris mempunyai permukaan yang mendatar dan luas seumpama sebuah padang bola sepak. Gua itu dipercayai pernah didiami manusia dulu kala serta dijadikan sebagai tempat menuntut ilmu persilatan. Menjelajah ke seluruh pelosok gua ini memang memberi kenangan indah kepada sesiapa saja terutama si pencinta alam. Kami berada dalam Gua Keris selama 1 jam dan kami ditunjukkan oleh Pak Din pada setiap kawasan dalam gua tersebut dengan penerangan yang memuaskan hati kami.
Jam 11.30 pagi, Kapten mengarahkan kami untuk kembali semula ke tapak perkhemahan untuk solat jamak dan qasar berjemaah.


Sebuah takungan air di dalam Gua Keris -
(Tempat mengambil wudhu)

Perkhemahan ini secara rasminya tamat pada jam 3 petang dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Halim Mat Isa, Imam Tua Masjid Mukim Padang Enggang. Para peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana menghadiri program perkhemahan ini, mereka mendapat kefahaman tentang betapa pentingnya keseimbangan di antara aktiviti fizikal dan keperluan kerohanian dalam kehidupan.
                                                                                             
Harapan AJK Biro Pemuda, semoga setiap kesusahan dan kekurangan yang dihadapi sewaktu program termasuklah tidur di dalam khemah, nyamuk yang mengganggu, tandas yang kurang sempurna, mengambil makanan secara beratur, sedikit sebanyak dapat memberikan kenangan manis untuk para peserta serta peluang merasai secebis kesusahan dan keperitan jika dibandingkan dengan makan bersama keluarga yang semuanya telah siap terhidang oleh ibu atau keluarga masing-masing. Diharapkan juga ukhuwwah dan semangat setiakawan yang dibentuk sepanjang program dapat membangkitkan semangat jatidiri untuk sama-sama memperbaiki diri dalam membina generasi dan masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan