disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 22 November 2011

Haji Ismail Pontianak (1882 - 1950)



Tokoh ulama' perantau. Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Hj. Idris, Dato' Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.

Nama penuhnya ialah Haji Ismail b. Hj. Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak - berkhidmat selama suku abad (1910 - 1935).

Meskipun demikian, Hj. Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Mekah ini dalam perkhidmatan MAIK bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami' Merbau al-Ismail dengan gaji permulaan RM 47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama' MAIK (10 April 1940 - 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok Khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa 'segar' bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sedang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap imam di Istana baginda.

Khatib panutan ini meninggal dunia di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok , Machang - kampung asalnya.

Satu-satunya penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka surat iaitu sebuah karya "bunga rampai".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.