doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Khamis, 19 September 2013

Tuan Haji Ahmad bin Mat Som - Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1380/1961

Tuan Haji Ahmad bin Ma'som - Johan Tilawah Al-Quran 
peringkat Antarabangsa yang pertama pada tahun 1961 

Haji Ahmad bin Mat Som dilahirkan pada 1916 di Lubuk Bongor, Pergau dalam daerah Jeli di negeri Kelantan. Beliau lebih dikenali sebagai Haji Ahmad Mat Som Pergau, dan juga Tok Pergau. Perkataan Pergau diambil sempena nama sebatang sungai yang terletak di daerah Jeli.

Pendidikan 
Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Lebai Deraman, Pasir Mas, Kelantan. Di pondok inilah beliau mula-mula mempelajari tarannum Al-Quran. Antara guru tempatan yang sempat beliau menimba ilmu ialah Haji Yusof bin Haji Bulat yang lebih dikenali sebagai Haji Yusof Kedondong, seorang qari istana yang hebat suatu ketika dahulu. Beliau belajar sebahagian lagu-lagi bacaan Al-Quran terutama lagu Hijazi daripada guru tersebut.

Beliau kemudiannya merantau ke luar negara, iaitu Mekah selama lebih kurang lima tahun dan ke Mesir selama lebih kurang 15 tahun. Semasa di Mekah, beliau berguru dengan beberapa orang guru. antaranya ialah Syeikh ahmad Hijazi al-Faqih al-Makki, Syeikh Abdul Samad Fidal dan Syeikh Muhammad Abdul Sama al-Jambi. Manakala semasa di MEsir beliau berguru dengan Syeikh Toha al-Fasyni, Syeikh Mahmud Khalil al-Husairi dan Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi. Beliau merupakan satu-satunya qari negara yang mempelajari tilawak al-Quran dalam tempoh masa yang agak lama iaitu lebih kurang dua puluh tahun daripada ulama al-Quran yang terkenal mengikut kaedah 'talaqqi dan musyafahah dan mempunyai sanad yang mantap.

Kerjaya
Selepas meraih johan qari Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke 2 pada tahun 1280/1961M, beliau telah terpilih menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat antarabangsa pada tahun tersebut yang buat pertama kali diadakan atas ilham YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia masa itu. Dengan kejayaan itu, memberi ruang yang luas untuk beliau melibatkan diri dalam bidang pengajian Al-Quran dengan memberi sumbangan besar kepada masyarakat Islam dan negara.

Antara khidmat yang telah beliau berikan ialah : 
  • Hakim Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Guru al-Quran sepenuh masa di seluruh daerah Kelantan
  • Guru al-Quran di Terengganu.

Beliau meninggal dunia pada bulan November 1987 dalam usia 71 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Air Leleh, Batu 6, Tok Jiring, Terengganu. Beliau meninggalkan isteri, Salma binti Abdullah bersama lapan orang anak dan tiga orang anaknya daripada bekas isteri kedua.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan