disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 23 November 2011

Haji Yaakub Lorong Gajah Mati (1895 - 1956)


Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu suku kedua abad ke-20 Masihi. Nama lengkap tokoh ulama' yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub b. Haji Ahmad.

Kerjaya awalnya bermula sebagai di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mensyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (sekolah melayu majlis) dengan gaji permulaan RM 20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke RM 28 sebulan. Seterusnya mulai 1Januari 1940, bertukar ke Jami' Merbau al-Ismail (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM 34 dan beliau kekal berkhidmat di situ dehingga 1945.

Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz (MB Kelantan), Dato' Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kelantan), Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (melaka) dan lain-lain.

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama' MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.

Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain 3 orang putera yang dikenali ramai :-

Dato' Haji Husain (ahli perniagaan) - pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.

Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu).

Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal a-Quran).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.