doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 2 Mei 2014

ANJUNG BESTARI, Masjid Mukim Padang Enggang.

Bestari, maknanya ialah bijak, cerdas, pandai, berpendidikan, ikhlas, berpengetahuan, berilmu dan berbudi pekerti yang baik. Inilah ciri-ciri yang akan diterapkan dalam minda anak remaja kita. Sifat dan juga amalan mulia ini juga terdapat pada perkataan BESTARI:

gambar hiasan

B      Bijaksana
E      Ehsan
S      Suci
T      Tulus
A      Amanah
R      Ramah
I      Idealistik


Anjung Masjid Mukim Padang Enggang baru saja siap pembinaan setelah melakukan beberapa perubahan dan ianya kelihatan lebih menarik, ceria dan mesra remaja. Matlamat utama mengujudkan dan menamakan anjung masjid sebagai lokasi yang dapat menarik minat para remaja mukim Padang Enggang supaya mereka rasa selesa berada di masjid dan bukannya menghabiskan masa di pusat hiburan, pasar borong atau cyber café.

Sekalung tahniah kepada Pihak Pengurusan Masjid Padang Enggang kerana terus mempelbagaikan aktiviti-aktiviti dan juga program-program yang dapat menarik minat anak anak dan golongan remaja berkumpul. Golongan remaja diberi ruang yang lebih terbuka bagi memudahkan penyaluran idea dan maklumat.

Memberikan suntikan baru kepada remaja untuk membina jati diri, berani membuat keputusan yang betul dan tepat serta berkeupayaan memikul tanggungjawab di samping melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh amanah.

Memberikan mereka peluang menimba ilmu dengan mengikuti Program Membina Generasi Solat (MGS) yang diadakan di anjung yang baru siap ini. MGS  terbuka kepada kanak-kanak dan remaja  berumur 8 tahun keatas. Program dibawah bimbingan Ustaz Haji Halim Mat Isa (ImamTua Masjid Mukim Padang Enggang) telah mendapat kerjasama yang baik dari warga Padang Enggang.


Seperti yang sering diwarwarkan pada khutbah jumaat. Imam Tua masjid amat mengharapkan kerjasama  yang padu dari semua peringkat usia kearah pembentukan remaja bestari. Usaha dan pengorbanan yang dicurahkan pada hari ini, hasilnya hanya akan dapat dikecapi 10 tahun akan datang. Justeru itu sama-samalah kita warga Padang Enggang berganding bahu menyahut cabaran menjadikan anak-anak dan cucu-cucu kita mencintai masjid dengan mengikuti program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pengurusan masjid, insyaAllah atas usaha kita semua akan menjadikan mereka insan yang berilmu.

Semoga inisiatif ini akan dapat melahirkan remaja beriman, bertaqwa serta berwawasan di samping menyediakan generasi yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa, negara dan agama Islam khususnya. Kini sudah ada di kalangan mereka yang menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan yang kita harapkan pada suatu hari nanti menjadi ‘idola’ kepada remaja lain dan mungkin juga menjadi  ‘idola’  kebanggaan kita semua warga Padang Enggang.

InsyaAllah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan