disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 19 Disember 2014

SEJARAH PENERBITAN MAJALAH PENGASUH - 11 JULAI 1918




Akhbar bertulisan Jawi PENGASUH diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan di Kota Bharu pada 11 Julai 1918. Pada mulanya, akhbar ini diterbitkan dua minggu sekali dan kemudiannya diterbitkan pada setiap hari Khamis dengan mempunyai lapan halaman. Pengarangnya ialah Dato’ Haji Muhammad bin Haji Mohd Said. Pengasuh memuatkan tulisan dan rencana yang bersifat keagamaan, terutamanya tulisan yang mempertahankan Kaum Tua dan menentang idea Kaum Muda.

Selain daripada itu, peranan utama Pengasuh ialah memperkenal dan mempopularkan penulisan berbentuk cerpen. Pengasuh adalah media pertama dan terawal memperkenalkan bentuk cerpen dalam kesusasteraan Melayu. Cerpen berjudul “Kecelakaan Pemalas" karya Nor bin Ibrahim (Madrasi) dianggap sebagai cerpen Melayu yang pertama dalam sejarah perkembangan cerpen tanah air dan telah disiarkan pada 4 Februari 1920. Semenjak tahun 1920-an, Pengasuh aktif menyiarkan cerpen dan berhasil memuatkan 25 buah cerpen. Namun begitu, penerbitannya bertukar daripada bentuk akhbar kepada majalah mulai tahun 1933 dan tamat pada akhir tahun 1968. Setelah ditukar kepada majalah, ia tidak lagi memuatkan cerpen dalam keluarannya.

Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing - masing apabila dibandingkan dengan akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.

 Kaedah ini akan meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan pensejarahan bahasa.

Sumber :- Arkib Negara Malaysia
                 Ahmad Bin Yaakob &

                 kelab Pencinta Sejarah Kelate


Link Berkaitan: 1 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.