Hj Wan Ishak bin Imam Hj Abdullah
(Mufti Kedua Kelantan)
Ahli sufi
yang warak digelar (Tuk Pelanduk) kerana kepintarannya.Ayahandanya adalah
seorang pembesar negeri yang berasal dari Kampong Chetok, Pasir Mas. Arwah
bondanya, Hajjah Wan Minah dikebumikan di Sungai Pinang, Tumpat.
Dilahirkan
di Kampong Imam Hj Abdullah, dalam Bandar Kota Bharu (sekitar tapak Bank Negara
sekarang). Tarikh kelahirannya yang tepat tidak diketahui, tetapi berdasarkan
ketika meninggal dianggar dalam tahun 1875 atau terkemudian sedikit. Seibu
sebapanya, 9 beradik, termasuk Hj Wan Ahmad (berjawatan Qadhi) yang meninggal
dunia pada waktu senja 12 Julai 1950 dan antara saudara sebapa pula; Dato’ Kaya
Setia Hj Che Ismail (menantu Dato’ Tumpat yang sangat masyhur dalam sejarah
Kelantan), Hj Che Sulaiman (menantu Tn Guru Hj Taib anak Tuan Padang Hj Ahmad)
dan Muhammad Soleh atau Che Leh Ketam, seorang ahli sejarah tempatan.
Dibawa ke
Makkah oleh ayahandanya sebelum berkhatan lagi dan pulang ke Kelantan sesudah
berkahwin dan mendapat anak. Di Makkah beliau bersahabat dengan Tok Kenali, Hj
Ibrahim Tuk Raja, Hj Wan Musa Hj Nik Mat (kemudiannya digelar Datik Lela Muda)
dan beberapa orang lagi. Mereka bersama-sama berguru dengan Syeikh Hasbullah,
Syeikh Wan Ahmad Al-Fathoni dan lain-lain.
Hj Wan Ishak
terkenal alim dalam ilmu tasawwuf serta berfkiran luas. Beliau pernah
bermuzakarah dengan Sheikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari di Kota Bharu.
Murid-muridnya
tidak ramai, tetapi alim-alim belaka. Antaranya: Hj Yusof b Hj Soleh (Pengasas
Sekolah Pondok di Kampong Kura, Kota Bharu tetapi meninggal dunia di Yala,
Thailand), Hj Che Ismail bin Che Chik (guru agama di Kampong Banggol, Kota
Bharu), Hj Yaakub bin Abu Baker (guru agama di Lundang Paku) dan Hj Noh bin
Ahmad (guru agama di Kampong Katong, Bachok).
Pada hari
Jumaat 17 Oktober 1907 Sultan Muhammad melantiknya menjadi (khatib surau Kota
Bharu) berikutan kematian Hj Nik Wan Daud. Oleh yang demikian itu, mesyuarat
majlis mesyuarat negeri pada hari Isnin 5 Syawal; 1325 bersamaan 11 November
1907 yang dihadiri Raja Negeri Kelantan (Sultan Muhammad), Raja Muda, Tengku
Seri Indera, Tengku Seri Maharaja, Tengku Besar, Tengku Che Abdullah serta
beberapa orang pembesar lain telah
mengambil keputusan hendak melantik Hj Wan Ishak sebagai Mufti yang baru.
Beliau kekal memegang jawatan sampai ke awal tahun 1909.
Sebab-sebab
penamatan perkhidmatannya kurang jelas. Agenda atau buku mesyuarat pada 27
Zulhijjah 1326 (19 Januari 1909) antara lainnya menyebut: (..pasal hendak tukar
Mufti Hj Ishak itu dengan Mufti Hj Wan
Musa....) dalam pada ketika itu ada juga mengaitkannya dengan kehilangan sebuah
fail mahkamah yang sedang dijadikan kes perbicaraan. Namun demikian beliau
sangat dihormati oleh Hj Wan Musa sehinggakan diberi kepercayaan mentashih
risalah yang setebal 22 muka itu.
Beliau
meninggal dunia di Kota Bharu pada petang Jumaat 25 Jamadilawal 1333 (4 April
1915) dan usianya dalam lingkungan 40 tahun. Anaknya termasuk Syeikh Abdul
Hamid (Makkah), Hj Wan Muhammad Nor (meninggal di Kemboja), Nik Abdullah
(meninggal 5 Julai 1957), Hj Wan Ibrahim (Pengawa Tumpat yang meninggal pada 25
November 1950) dan Hjh Wan Sofiah.
Wallaahu
a’lam.
Koleksi
Mantan Mufti Negeri Kelantan Siri 1
Jabatan
Mufti Negeri Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.