السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dalam melaksanakan ibadah haji atau ibadah umrah, para jemaah disunatkan melafazkan talbiah secara berulang-ulang. Talbiah adalah terjemahan tauhid menunjukkan bagaimana manusia membesarkan Allah. Lafaz Talbiah berakhir sebaik saja jemaah memasuki masjidil haram dan melihat kaabah:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ
لاَ شَرِيكَ لَكَ
Aku datang menyahut panggilan-Mu Ya Allah, aku datang menyahut panggilan-Mu.
Aku menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, aku menyahut panggilan-Mu.
Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan hanyalah kepunyaan-Mu.
Tiada sekutu bagi-Mu.
Haji dan Umrah merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu sekali seumur hidup. Beza umrah dengan haji ialah ibadah umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi ibadah haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji sahaja. Umrah ialah haji kecil, ia diambil dari perkataan al-I'timar iaitu (ziarah). Jemaah yang hendak mengerjakan umrah akan berniat ihram umrah dari miqat, mengerjakan tawaf, bersaie dan seterusnya bertahallul dari Ihramnya dengan bercukur atau bergunting. Seperti yang kita semua sedia maklum, bilangan pendeposit Tabung Haji yang melakukan pendaftaran untuk mengerjakan haji naik secara mendadak setiap tahun. Situasi ini sekaligus menjadikan tempoh menunggu untuk mengerjakan haji menjadi semakin lama. Ibadah umrah menjadi alternatif bagi mereka yang belum ada kesempatan menunaikan ibadah haji ke Mekah. Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pintu sempadan negara dan umat Islam di negara ini tidak dapat mengerjakan umrah di Mekah. Kami terpaksa menangguhkan hasrat kami itu selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
Warga dunia masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19 yang tidak tahu bila kesudahannya. Kami dan beberapa rakan jemaah yang telah pun dapat tarikh penerbangan untuk menunaikan umrah pada bulan Mac 2020 tapi tertangguh. Akhirnya kami boleh menarik nafas lega setelah kerajaan membuat keputusan membuka semula sempadan negara baru-baru ini. Kerajaan telah mengumumkan kebenaran pergerakan merentas negeri termasuk ke luar negara setelah negara kita Malaysia mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi dewasa.
Selain salinan sijil vaksinasi 2 dos, satu
lagi dokumen penting yang perlu dikembarkan dalam passport adalah hasil ujian
PCR negatif yang dilakukan 72 jam sebelum berangkat. Dokumen tersebut diperiksa
sebaik sahaja jemaah tiba masuk ke bangunan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah. Jemaah juga perlu
memuat turun aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna kerana kedua-dua aplikasi ini
menjadi mekanisma kepada petugas di Arab Saudi untuk memantau banyak perkara, khususnya
jadual yang ditetapkan bagi melakukan umrah dan ziarah serta untuk keluar masuk
ke mana-mana premis di sana.
Aplikasi eatmarna digunakan bagi memudahkan para jemaah membuat tempahan tempat termasuk untuk menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, menziarahi kawasan Raudah dan makam Nabi Muhammad SAW.Permit untuk mengerjakan umrah dan ziarah boleh dipohon dengan menggunakan aplikasi eatmarna pada bila-bila masa melalui aplikasi Eatmarna bergantung kepada bilangan jemaah pada satu-satu masa. Ibadah umrah menjadi semakin teratur dan terkawal dan para jemaah dapat melakukan ibadah dengan selesa kerana semuanya telah tersusun dengan penggunaan aplikasi eatmarna. Setiap jemaah telah diberi slot waktu masing-masing untuk beribadah.dan bilangan kemasukan terkawal pada setiap masa.
Had pengeluaran maksima di mesin ATM Al-Rajhi ialah SAR5000 sahaja sehari. |
Masjid tertua di dunia ialah Masjid Quba yang terletak di
Madinah Al-Munawwarah. Masjid pertama yang dibangun oeh Nabi Muhammad S.A.W sebaik saja berhijrah dari Mekah ke Madinah.
Baginda jugalah yang telah meletakkan batu arah kiblat pada masjid tersebut. Masjid
Quba telah melalui beberapa proses pembangunan sehinggalah ia menjadi sebuah
masjid yang besar dan indah, kini menjadi lokasi ziarah bagi jemaah yang
mengerjakan haji mahupun umrah.
Gunung Uhud, mengingatkan kita satu peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Perang Uhud. Peperangan ini berlaku pada minggu kedua dalam bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah antara tentera Islam dan tentera kafir quraisy. Perang ini merupakan misi balas dendam kekalahan tentera kafir quraisy dalam Perang Badar sebelumnya iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke-2 Hijrah . Jabal Rumat adalah sebuah bukit yang diarahkan Rasulullah SAW sebagai lokasi pasukan pemanah melindung tentera islam dari serangan tentera kafir dari arah belakang. Tentera Islam pada awalnya telah berjaya menggoyahkan tentera kafir quraisy dan ramai tentera kafir quraisy lari meninggalkan medan perang. Pasukan pemanah merasakan mereka sudah menang dan lupa pada arahan Rasulullah, mereka turun dari atas bukit untuk mengumpul harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh tentera kafir quraisy.
Apabila mendapati tentera Islam turun dari Bukit Rumat, tentera kafir pimpinan Khalid bin Al-Walid mengelilingi bukit tersebut dan melakukan serang hendap dari arah belakang. Tentera Islam terkepung dan kucar-kacir dan akhirnya tewas teruk. Rasulullah SAW cedera dibahagian muka dan 70 orang tentera Islam telah gugur syahid dalam perang tersebut. Antara yang syahid ialah Mush'ab bin 'Umair, Hanzalah bin Abi 'Amir, Amru bin al-Jamuh, Abdullah bin Amr bin Haram dan bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Sayidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah (Singa Allah). Beliau dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi bin Harb. Balingan lembing wahsyi terkena pada tulang rusuk Sayidina Hamzah. Semua para syuhada dimakamkan berhampiran dengan Bukit Rumat. Makam Syuhada Uhud kini jadi tempat ziarah bagi jemaah haji atau umrah dari seluruh dunia.
Sepanjang beberapa hari kami sebagai Tetamu Allah, kami berpeluang buat 4 kali umrah bersama Mutawif. Umrah pertama kami berniat di Masjid Bir Ali iaitu semasa dalam perjalanan kami dari Madinah ke Mekah. Setelah berada di Mekah, miqat bagi kami yang sudah bermukim di Mekah ialah di tanah halal yang berhampiran seperti di Ja'ranah, Hudaibiyah, Tanaim atau di Qarnul Manazil. Kami melakukan umrah yang seterusnya dengan berniat ihram di miqat yang berdekatan dengan Tanah Haram iaitu di miqat Ja’ranah (umrah yang ke-2), miqat Hudaibiyah (umrah yang ke-3) dan miqat Tanaim (umrah yang ke-4).
Perjanjian Hudaibiyah diantara pihak musyrikin
Kami juga membuat lawatan ke bandar Taif. Perjalanan dari kota Mekah ke Taif mengambil masa kira-kira dua jam. Suasana dan suhu di Taif yang sentiasa sejuk dan dingin (sekitar 8-23 darjah Celsius) juga menjadikan tanah di bandar tersebut subur sehingga Taif terkenal sebagai bandar penghasil buah-buahan yang segar sekaligus menjadikannya sumber ekonomi penduduk Taif. Di pasar buah, terdapat banyak sekali buah-buahan segar dan antara yang menjadi pilihan jemaah biasanya anggur, delima, buah zaitun, limau dan banyak lagi.
Lawatan kami seterusnya ke Masjid Abdullah Bin Abbas. Masjid ini dinamakan Masjid Abdullah Bin Abbas disebabkan Abdullah bin Abbas dimakamkan disini. Abdullah Bin Abbas adalah sepupu Rasulullah SAW. Lahir 3 tahun sebelum peristiwa hijrah. Rasulullah SAW antara yang menyambut kelahirannya. Abdullah Bin Abbas telah menjadi pembantu Rasulullah sejak kecil lagi dan sentiasa mengikut kemana sahaja Baginda pergi.
Beliau mendapat berbagai ilmu terus dari Rasulullah, menjadi tempat rujukan hadis dan berbagai ilmu walaupun pada usianya yang masih muda. Beliau merupakan seorang yang bijaksana dan telah meriwayatkan banyak hadis. Setelah Rasulullah wafat beliau terus mencari ilmu dari sahabat-sahabat Rasulullah. Beliau kemudiannya berhijrah ke bumi Taif untuk mendidik masyarakat Taif dan telah berjaya mengislamkan penduduk Taif dan beliau akhirnya meninggal di Taif.
Lawatan kami yang terakhir ialah ke Masjid Qarnul Manazil. Qarnul Manazil merupakan Miqat Makani bagi jemaah yang akan mengerjakan ibadah haji atau ibadah umrah. Begitu juga jemaah yang dalam penerbangan dari Malaysia menuju ke Jeddah, petugas dalam penerbangan akan mengingatkan semua jemaah supaya memakai ihram (bagi jemaah lelaki) serta berniat ketika hampir melintasi miqat Qarnul Manazil.
Sebelum berlepas pulang ke Malaysia, kami melakukan tawaf wida' atau tawaf selamat tinggal. Kami dinasihatkan, tidak boleh lagi membeli-belah, tidur atau berehat di hotel atau dalam masjid, mengambil foto, menunaikan solat sunat melainkan solat sunat tawaf wida' sahaja. Aktiviti membeli belah, bergambar atau melakukan solat sunat hendaklah dilakukan sebelum mengerjakan tawaf wida’. Sekiranya beberapa larangan tadi tidak dipatuhi, terbatallah tawaf wida’ dan dikenakan bayaran dam. Apa yang perlu kami lakukan seterusnya hanya bersiap-sedia untuk berangkat meninggalkan Mekah.
Semoga Allah SWT akan melimpahkan rezeki, umur dan kesihatan serta diberikan peluang untuk kami menjadi tetamuNya lagi suatu hari nanti, dan perkenankan permohonan kami agar ibadah umrah yang kami lakukan ini diterima olehMu Ya Allah sebagai umrah yang maqbullah.
آمیـــــــــــــن
یارب العالمین
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.