YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman Al Mufadhal, Ketua Rombongan Haji Malaysia dan isteri beramah mesra bersama para jemaah haji Maktab 83 di Surau tingkat bawah (Hotel Rawdhat Shorouq) pada hari rabu, 14 Jun 2023 @08.30pagi.😁🙂
Masya’ir ialah hari-hari kemuncak ibadah haji iaitu ibadah Wukuf di Arafah, Mabit di Mudzalifah dan Melontar di Mina.
Wukuf ialah rukun haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai daripada tergelincirnya matahari (waktu zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.
Bercukur bagi melepaskan dari |
Kami Jemaah KT07, KT10, KT19, KT26, KT29, KT38, KT49, KT56, KT59 dan KT72 yang berada dalam Maktab 83 menyertai 31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah. Kami bersama-sama hampir tiga juta umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji yang jatuh pada Selasa, 9 Zulhijjah (27 Jun). Kami bergerak secara berperingkat ke Arafah yang jaraknya kira-kira 22 kilometer dari Masjidil Haram. Pada hari tersebut, jemaah haji telah mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf sebaiknya dengan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran. Berdoa pada Hari Arafah merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling cepat dimakbulkan oleh Allah SWT. Rugi ketika berada di Arafah dibiar berlalu tanpa beribadat, berdoa dan memohon keampunan.
Beginilah keadaannya berada dalam khemah di Arafah |
Berada di luar khemah lebih selesa walaupun agak panas |
Selepas semalaman berada di Arafah kami bergerak pula ke Muzdalifah. Selepas solat Maghrib dan Isyak kami diarahkan supaya bersiap. Petugas muasasah dan Tabung Haji memanggil mengikut khemah untuk menaiki bas pada malam 10 Zulhijjah.
Kami sampai di Muzdalifah kira-kira jam 11 malam. Kawasannya begitu luas, namun berpagar mengikut negara. Dalam samar-samar cahaya lampu, di jalan utama kelihatan ramai jemaah haji dari negara lain berjalan kaki menuju ke Mina yang jaraknya 8 kilometer.
Kami bermabit di situ sehingga awal pagi. Ada yang terlelap di atas hamparan karpet yang telah tersedia disitu malah ada yang lena disebabkan dah beberapa malam tidur kami tidak menentu.
Selepas setengah malam bermabit, sebahagian dari jemaah telah diarahkan untuk menaiki bas ke Mina pula. Giliran kami untuk manaiki bas no 57 belum sampai dan kami sempat menunaikan solat subuh berjemaah di situ dengan beralaskan tikar dan beratapkan langit.
Dalam khemah di Mina, disini tempat kami |
Selesai mengerjakan solat subuh, kami menaiki bas ke Mina. Disebabkan teramat letih membuatkan ramai dari kalangan kami tidur terus dalam khemah yang disediakan sesampainya kami di Mina. Kami berada di Mina pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah.
Selepas solat zohor 10 zulhijjah (28 Jun), saya dan isteri serta paksu man dan maksu mah terus bergerak untuk melontar di Jumrah Kubra. Selepas menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra dan bercukur, kami sudah memperoleh tahhalul awal, iaitu bebas daripada 10 larangan ihram dan hanya terikat dengan tiga lagi larangan. Sepanjang perjalanan itu kami bersesak-sesak di celah-celah lautan manusia.
Selepas solat subuh 11 Zulhijjah, kami pergi melontar di ketiga-tiga jamrah. Di jamrah kami melontar batu sekuat hati di ketiga-tiga jamrah sebagai simbolik lontaran batu ke arah syaitan yang di rejam. Selepas solat subuh 12 Zulhijjah kami sekali lagi pergi melontar di ketiga-tiga jamrah dan memasang niat untuk Nafal Awal. Selepas itu kami Bercukur/bergunting. Ibadah kami seterusnya ialah melakukan tawaf dan saie di Mekah bagi menyempurnakan Rukun Haji.
Ibadat melontar banyak menguji kesabaran kami dan jemaah lain. Untuk sampai ke kompleks Jamrah dari khemah terpaksa merempuh perjalanan sejauh 3.5 km pergi dan 3.5 balik, itu tidak termasuk sekatan dan mengubah laluan kesana oleh petugas keselamatan Arab Saudi. Kami terpaksa berjalan kaki melalui dua terowong sebelum memasuki tingkat tiga kompleks Jumrah. Berulang alik 7 km bagi melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Sughra, Jamratul Wusta dan Jamratul Kubra setiap hari memerlukan semangat dan stamina tinggi. Ada jemaah yang kepenatan, sesak nafas dan kejang otot yang memerlukan rawatan segera oleh petugas kesihatan sebelum meneruskan perjalanan.
Berada di Mina selama 3 hari juga perlukan kesabaran tinggi. Beratur panjang untuk memasuki tandas sudah menjadi lumrah para jemaah haji dan semuanya terpaksa ditempuhi. Hanya dengan kesabaran dan iringan doa serta dengan memohon pertolongan dari Allah swt jualah yang dapat meredakan kesulitan kami. Setiap ujian yang datang kepada kita adalah ujian yang sesuai dengan kemampuan kita. Sabar merupakan kunci dalam menghadapi ujian dari Allah.
Jemaah haji (Maktab 83) berkumpul sebelum bergerak ke tempat melontar |
Kami antara beberapa jemaah dari KT29 melakukan Nafar Awal setelah permohonan kami telah mendapat kebenaran/persetujuan dari pihak pengurusan Tabung Haji di Mina. Kami perlu meninggalkan Mina sebelum jatuh matahari pada 12 Zulhijah. Sebelum keluar dari bumi Mina, kami berqasad untuk tidak kembali lagi ke Mina. Selain itu, kami juga telah menyempurnakan kesemua lontaran di ketiga-tiga jamrah bagi dua hari tasyrik iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah serta telah bermabit di Mina selama dua malam dengan sempurna.
**Bagi jemaah yang Nafar Thani perlu meneruskan ibadah sehari lagi di Mina iaitu pada 13 Zulhijjah untuk menyelesaikan lontaran di ketiga-tiga jamrah.
Selepas melakukan solat zohor dan asar berjemaah (jamak tamam) dikhemah, kami menaiki bas menuju ke hotel penginapan di Mekah. Sampai di hotel, kami berehat seketika sebelum menyempurnakan ibadat tawaf dan saei. Selepas selesai menunaikan tawaf dan saie maka sempurnalah sudah ibadat haji kami.
Untuk mencapai kurniaan haji yang mabrur, tidak semudah seperti yang dijangka tetapi tidak pula mustahil untuk mendapatkannya jika kena caranya. Hanya insan terpilih yang khusyuk beribadat, cermat tutur kata, yang mampu bersabar dengan karenah manusia dan yang redha menghadapi setiap ujian, insyaAllah akan berjaya mendapatnya. Semoga Allah kurniakan kepada kami dan semua dhuyufurrahman tahun ini dengan haji yang mabrur.
Sama-sama kita panjatkan doa semoga Allah swt makbulkan doa khususnya buat semua dhuyufurrahman 1444H/2023M:
اَللّٰهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْرًا
وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا
وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا
وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ
يَا
رَبَّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya:
“Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal soleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya. wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”
Foto rakan-rakan jemaah Maktab 83 yang diambil dari Grup Whatsapp:
Kedai Gunting Rambut mengenakan caj SR10
di dalam
Safwa Tower tingkat 3 di Mekah.
Kredit buat semua rakan jemaah yang hantar foto dan video kedalam grup whatsapp KT029, sebahagian foto dan video saya ambil dan telah dimuatkan dalam blog ni untuk dijadikan kenangan sepanjang pemusafiran kita di bumi ambia'.
Pautan: RETROSPEKTIF: SERUAN SUCHI (1965)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.