Setiap hari, kita sibuk mengejar urusan dunia. Kesenangan
dunia selalu menjadi dambaan manusia terutamanya dalam mengejar harta, pangkat
dan kehebatan di mata masyarakat. Keasyikan
dan kemewahan dunia membuatkan umat Islam hari ini seakan lupa bahawa akhirat
yang menjadi pengakhirannya.
Akhirat adalah tempat pengadilan, selepas kematian tidak
ada lagi kesempatan untuk beramal. Apa yang telah kita lakukan di dunia akan menentukan
nasib kita di akhirat. Di akhirat, semua perbuatan di dunia itu akan
diperhitungkan. Kebaikan akan mendapat pahala, sedangkan keburukan akan
mendapat dosa, kecuali mendapat keampunan dari Allah Swt.
Kematian bukanlah penamat, tetapi permulaan perjalanan
abadi menuju akhirat. Kematian adalah satu kepastian yang tidak mengenal batas
usia samaada tua atau muda, sihat atau sakit, kaya atau miskin. Bila saatnya
tiba, ia akan datang tanpa terlambat walau sesaat, tanpa tercepat walau
sedetik.
Kematian adalah hakikat yang pasti bagi setiap makhluk yang
bernyawa. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ ١٨٥
Yang bermaksud:
Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasakan mati.
Mengingati mati bukan untuk menakutkan, tetapi untuk
menyedarkan supaya kita banyakkan melakukan amal kebaikan yang hasilnya dapat
dituai di alam akhirat kelak.
Pengakhiran yang baik atau kematian husnul khatimah merupakan anugerah terindah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas. Manakala kematian su'ul khatimah iaitu pengakhiran yang buruk.
Amalkan doa ini sebagai wirid harian:
اللهم إني أسألك حسن الخاتمة
Yang maksudnya:
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu husnul khatimah.
Justeru itu, bersedialah setiap masa. Jagalah solat, sucikan hati dengan taubat, dan sibukkan diri dengan berbuat kebaikan, kerana kita tidak mengetahui bila masanya malaikat izrail datang menjemput kita.
- Ya Allah berikan kami kesempatan untuk menjadi hamba yang lebih baik sebelum bertemu dengan Mu.
- Kurniakan kami pengakhiran yang baik hanya engkau Yang Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.
- Bimbing lah kami menuju jalan yang diredhai dan kuatkan hati dan semangat kami untuk sentiasa berusaha menjadi lebih baik dari sehari ke sehari.
- Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan pertolongan mu ya Allah.
Jalinkan ukhuwah sesama kita khususnya Anak Mukim Padang Enggang agar berkekalan selamanya dan seterusnya mendapat keredhaan dari Allah SWT.
Dengan rasa rendah diri pada posting terakhir ini, ambo selaku 'admin' memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan sama ada yang ambo sedari atau tidak. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan segala kekurangan itu wujudnya atas kelemahan saya sebagai makhluk Allah yang berstatus insan biasa. Oleh itu ambo memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan sepanjang catatan saya dalam blog ini.
Saya akhiri coretan ini dengan ucapan terima kasih dan.... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.