disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 31 Januari 2018

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1

KOTA BHARU: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 yang bernilai RM572 juta, dijangka dapat mengelakkan lebih 100,000 penduduk di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bahru, Tanah Merah dan Machang daripada dipindahkan akibat banjir.

 

 Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek yang akan bermula secara rasmi hari ini untuk selama 40 bulan dengan jangkaan siap pada 28 Mei 2021 itu akan turut menyelamatkan infrastruktur dan harta benda awam di sepanjang 10 kilometer tebing sungai berkenaan.

 

 “Secara umumnya, pelaksanaan infrastruktur adalah terdiri daripada empat komponen utama iaitu komponen Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Living River, Saliran Mesra Alam dan Imbangan Air,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, semalam.

 

 Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

 Wan Junaidi berkata pelaksanaan projek PLSB itu adalah atas kehendak perdana menteri berikutan Kelantan sering dilanda banjir dan menjadi musibah yang ditanggung rakyat.

 

 Beliau berkata komponen RTB melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Pengkalan Datu dan muaranya, pengerukan muara Sungai Kelantan, pembinaan tetambak dan tembok banjir, pemasangan pintu kawalan di Sungai Pinang dan Sungai Tikat di sini serta pengambilan balik tanah bagi kawasan terjejas.

 

 Pembinaan tembok banjir sepanjang 1.5km dan ban banjir juga akan dilaksanakan khususnya di Kampung Laut, Tumpat sebagai menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk membangunkan kampung tersebut sebagai Kampung Warisan dan seterusnya membangunkan industri pelancongan di kampung tersebut, katanya.

 

 Beliau berkata komponen ‘Living River’ pula melibatkan penstabilan tebing sungai, rawatan air di Sungai Pengkalan Chepa dan kerjakerja pengorekan sungai, sementara sistem saliran di Bandar Baru Tunjung dan Istana Kota Lama bakal dinaik taraf menerusi komponen Saliran Mesra Alam yang turut melibatkan pembinaan kolam takungan Sungai Seribong dan Kolam Takungan Alor KADA.

 

 Komponen Imbangan Air melibatkan pembangunan model Imbangan Air di lembangan Sungai Kelantan supaya maklumat sumber air semasa dan ramalan dapat disediakan 14 hari ke depan.

 

 Katanya selain menangani masalah banjir kilat, projek PLSB itu juga dipercayai dapat mengurangkan aliran masuk sampah ke Sungai Pengkalan Chepa kira-kira lima tan setiap bulan.

 

 Wan Junaidi berkata pembinaan tembok banjir/tetambak sepanjang 3.7km bagi projek itu di Kota Bharu telah dilaksanakan secara ‘Reka & Bina’ menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan melibatkan kos RM220,735,470 dan siap pada Ogos 2013.

 

 Beliau berkata projek PLSB Sungai Kelantan perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan secara berfasa dengan anggaran kos keseluruhan projek kira-kira RM9.6 bilion.

 

 Lembangan Sungai Kelantan mempunyai keluasan 12,981.185km persegi yang merangkumi 75 peratus daripada keluasan negeri Kelantan dengan Sungai Kelantan sepanjang 107km sebagai sungai utama dan anak-anak sungai utama adalah Sungai Lebir sepanjang 72km, Sungai Galas 87km dan Sungai Nenggiri sepanjang 115km.

 

 Kelantan adalah negeri yang sentiasa terdedah kepada bencana banjir terutamanya pada musim monsun timur laut yang berlaku dari Oktober hingga Januari setiap tahun.

 

 Selepas banjir besar pada 1926, telah berlaku sebanyak lapan kali lagi banjir besar iaitu pada 1967, 1971, 1974, 1980, 1988, 1994, 2004 dan 2014 melibatkan lembangan Sungai Kelantan yang memberi kesan kepada lebih 70 peratus daripada 1.2 juta penduduk Kelantan dan melumpuhkan kegiatan ekonominya.

 

 — Bernama

 

Sumber:

https://www.utusanborneo.com.my/2018/01/29/plsb-sg-kelantan-cermin-kesungguhan-kerajaan-pusat-bantu-rakyat-kelantan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.