Assalamualaikum,
Ambo terkejut dan amat terharu mendengar pengumuman Imam Tua sebelum khutbah jumaat sekejap tadi. Ust Hj Abdul Halim telah memaklumkan Ustaz Shahiman telah melepaskan jawatan sebagai Imam Muda di Masjid Mukim Padang Enggang. Khidmat Ustaz Shahiman sebagai Imam Muda akan berakhir pada hari khamis 31 Disember 2020.... Walaupun ramai yang meluahkan rasa sedih, apa boleh buat... kita hanya mampu merancang namun semuanya sudah ditakdirkan begitu. Sudah menjadi lumrah
dunia, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan, dan perpisahan ini bagi kami
amat menyedihkan. Segala jasa dan pengorbanannya serta kenangan manis akan
tersemat kukuh dalam minda kami warga Padang Enggang.
Dilantik sebagai Imam Muda di masjid Mukim Padang Enggang pada 01 November 2016. Ustaz Shahiman sangat komited dalam menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawab. Banyak program yang dijalankan termasuklah aktiviti kekeluargaan & kemasyarakatan. Beliau sentiasa turun padang bagi menjayakan aktiviti yang telah dianjurkan.
Tugasnya sebagai Imam muda begitu mencabar, beliau mendampingi semua pihak tidak kira usia. Baginya, apa yang lebih penting adalah ilmu agama dan nasihat dapat disampaikan kepada semua. Pada masa yang sama beliau mengadakan kelas mengaji quran dewasa dan kanak-kanak. Kelas mengaji al- quran dewasa yang dikendalikan sepenuhnya oleh Imam Muda bertujuan untuk membantu warga mukim Padang Enggang khususnya golongan dewasa supaya celik al-Quran. Usahanya ini mendapat mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Setelah ibunya meninggal, Ustaz Shahiman kerap berulang alik ke kampung untuk menjenguk ayahnya. Hasil dari beberapa perbincangan dengan adik beradik, beliau membuat keputusan untuk lepas jawatannya sebagai imam muda dan pulang ke kampong halaman. Sebagai anak lelaki bongsu dalam keluarga beliau akan ambil tanggungjawab menjaga ayahnya yang keseorangan. Baginya kini tiada yang paling gembira melainkan dapat peluang untuk berbakti kepada bapa satu-satunya insan mulia yang masih ada…. insan mulia yang mesti dihormati dan disanjungi pada setiap masa. Ustaz Shahiman juga menerima tawaran mengajar di Sekolah Menengah Islam Tahfiz Sains dan Teknologi Pulau Pinang (SMITSAT).
Tiada kata-kata yang mampu diucapkan atas segala sumbangan dan jasa yang dicurah. Warga Mukim Padang Enggang kehilangan seorang insan yang komited, amanah dan bertanggungjawab. Tidak puas lagi rasanya untuk kami mengikuti kuliah agama dari insan hebat ini, walau bagaimanapun kami berlapang dada menerima keputusan ini demi masa depannya yang lebih gemilang di tanah tumpah darahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Alhamdulillah setelah sekian lama berkhidmat dirantau orang, akhirnya tibalah masanya untuk beliau pulang untuk menabur jasa dan bakti di kampung halaman sendiri. Ustaz Shahiman akan berangkat pulang pada pagi jumaat 1 Januari 2021. Kami iringi kepulangan Ustaz Shahiman dan keluarga nanti dengan doa moga Ustaz Shahiman dan keluarga dimurahkan rezeki, dilimpahkan rahmat dan keberkatan serta berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang.
Di kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan jemaah masjid Mukim Padang Enggang memohon ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa atau tersilap bicara sepanjang persahabatan kami... semoga Allah SWT ketemukan lagi dilain masa dan insyaallah ukhwah kita akan berkekalan hingga ke Jannah.
FOTO BERSAMA USTAZ SHAHIMAN DARI ALBUM WARGA PADANG ENGGANG.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.