disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Ahad, 4 Februari 2024

Aktiviti Grup Veteran Kampung Wakaf Che Yeh - 03 Febuari 2024.

Masjid Brunei Darussalam
Kg Rong Chenok
Danau Tok Uban
Pasir Mas, Kelantan.

Masjid Brunei Darussalam telah dibiayai pembinaannya oleh Sultan Brunei Darussalam. Lokasinya di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan iaitu di pinggiran Danau Tok Uban. Masjid yang dibina pada tahun 1970-an dan menelan kos pembinaan sebanyak RM700,000 adalah hadiah Sultan Brunei kepada kerajaan negeri kelantan. Ini adalah bukti hubungan yang telah lama terjalin diantara Datuk Hj Mohamed Bin Nasir (Menteri Besar Kelantan dari 1973 hingga1978) dengan Sultan Hassanal Bolkiah (Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (Dari 1967 hingga sekarang). 

Masjid Brunei Darussalam telah dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra pada 23 Januari 1992. Masjid yang pada awal pembinaanya menjadi tumpuan orang ramai kerana keunikkannya, jika dilihat daripada jauh, masjid itu seolah-olah masjid terapung. Suasana di kawasan Masjid ini amat mendamaikan dan mententeramkan jiwa dan amat sesuai dijadikan kawasan pengajian bagi pelajar Tahfiz Alquran. Pemandangannya yang indah dihiasi rimbunan pepohon hijau dikiri dan kanan memberi suasana yang memukau. 

Danau Tok Uban jika dikomersialkan merupakan destinasi pelancongan yang menarik dan menguntungkan. Apa yang perlu kerajaan tempatan lakukan ialah dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan, taman rekreasi, chalet dan kemudahan jalanraya serta sistem pengangkutan awam. 

Selepas Dato Hj Mohamad Nasir meninggal dunia pada 1997, masjid dan maahad tahfiz mula terbengkalai. Pada musim tengkujoh, masjid yang indah itu dan maahad tahfiz ditenggelami air banjir hampir setiap tahun menyebabkan kemusnahan harta benda, kerosakan fasiliti, kematian haiwan ternakan dan kemusnahkan hasil pertanian. Kawasan persekitaran yang kotor selepas banjir juga menghalang kehadiran pelancong. 

Semenjak itu perkembangan maahad tahfiz ini mula kurang mendapat perhatian umum disebabkan tidak ada mana-mana pihak yang sanggup menanggung kos penyelenggaraan, sehinggalah ianya diambil alih oleh Ustaz Zulkifli Bin Shafie pada tahun 1999. 

Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Balaghulmubin, ditadbir oleh Ustaz Zulkefli Bin Shafie Al-Hafiz yang telah menjadi Mudir selama hampir 25 tahun. Beliau bertanggungjawab membangun dan menggembalikan fungsi Maahad yang sebelum ini boleh dianggap hidup segan mati tidak mahu.


 

Kami, beberapa orang dari Grup Veteran Kg Wakaf Che Yeh berkesempatan menyantuni pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Balaghulmubin di Rong Chenok, To' Uban. Kami sempat menunaikan solat zohor berjemaah di Masjid bersama pelajar-pelajar tahfiz dan solat hajat untuk rakan Jemaah Masjid Mukim Padang Enggang Cikgu Haji Mustapha Bin Zakaria yang akan menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) pada 04 Januari 2024. Semoga dipermudahkan urusan pembedahan dan diberi kesembuhan oleh Allah SWT. Seterusnya kami dan anak-anak tahfiz mengalunkan selawat beramai-ramai.




 

Terima kasih Ustaz Zulkefli Bin Shafie Al-Hafiz (Mudir Maahad) atas kesudian menerima kunjungan kami. Alhamdulillah, sejuk mata memandang pelajar-pelajar tahfiz di sini yang sentiasa jaga disiplin dan adab. Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan keluarga dan sebahagian dari mereka adalah anak-anak yatim, anak-anak tanpa penjaga dan anak-anak asnaf. Pihak maahad tahfiz juga telah memberikan kelonggaran dari segi pembayaran yuran kepada pelajar tahfiz yang kurang berkemampuan.

Mudir Maahad
Ust Zulkefli Bin Shafie
No Tel: 0199494413

Semoga Allah SWT permudahkan segala usaha Ustaz Zulkefli, Ustaz Rosdi, Ustaz Amri, Ustaz Nazri dan Ustaz Zahir mendidik pelajar-pelajar tahfiz ini menghafal Al-quran dan seterusnya menjadikan mereka insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.