doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 22 November 2011

Tok Kenali (1870 - 1933)

Tokoh ulama' Kelantan yang paling masyhur, malah termasuk antara ulama' besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Hussein Kedah, Pak Wan Sulaiman, Hj. Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Hj. Abu Bakar Alim (Muar), Hj. Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang punnamanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.

Foto Tok Kenali bergambar bersama Pendita Zaaba dan
 Ahli-ahli Majlis Agama Islam Kelantan pada Sept 1928


Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Hj. Mohd. Yusoff Ahmad.

Menuntut di Mekah selama 22 tahun (1305H - 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemsukkan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu pada usuluddin, fiqh, dan tasawuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama' pelapis paling berwibawa - bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah Hj. Mat Jebeng, Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula ialah Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Hj Hassan Yunus al-Azhari (MB Johor), Dato' Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj Osman Bukit Besar, Hj Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj Hasan Lampung, Hj Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).

Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Mekah) - juga tergolong ulama' dan pendakwah yang berjasa besar.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bersamaan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan