disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 22 November 2011

Tok Selehong (1872 - 1935)



Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Bachok dan Tok Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman b. Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.

Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung belajar di Pondok Cha-ok, Patani berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah b. Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Mekah - berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Mekah, pulang ke tanah air (1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsanuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata'Allah sebagai teks utama.

Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikannya semacam kamar khusus tempat beliau beribadat dan bersuluk.

Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan laklung persis orang pelihara ayam serama zaman ini.

Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang Beta ini kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zukaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan di Kubor Selehong, Tumpat.

Antara murid-muridnya yang masyhur ialah Pak Chu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Hj. Pak Man Berangan, Hj. Che Mamat Kok Keli, Hj. Awang Lambor, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj Abdullah Tal Tujuh (datuk saya), Hj Abdul Rahman Tendong, YB Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh ( Terengganu) dan lain-lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.