disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Khamis, 23 Julai 2015

Panduan Memohon Jawatan Imam Tua, Imam Muda dan Bilal Masjid Mukim Dalam Negeri Kelantan

Panduan yang ditulis adalah berdasarkan 'gholik' atau kebiasaan dan dari pengalaman anak mukim yang memohon sebelum ini untuk jawatan Imam dan Bilal bagi Masjid Mukim.

Panduan ini juga bagi membantu calon Bilal, Imam Muda dan Imam Tua Masjid Mukim dalam Negeri Kelantan dalam menghadapi ujian asas pemilihan imam.  

Kelayakan minimum bagi Imam dan Bilal Masjid Mukim ialah SPM walaupun tanpa sijil agama kerana ujian akan dikendalikan oleh pihak MAIK untuk menguji tahap penguasaan anda dalam ilmu agama. 



Tahap 1: Ujian Tahriri (Penulisan)
Selepas surat diterima, pihak MAIK akan menghubungi anda mengenai surat permohonan ini dan memaklumkan kepada anda bahawa bila-bila masa sahaja akan dipanggil untuk ujian ini. Kebiasaannya dalam tempoh 1 bulan hingga dua bulan, anda akan masuk ujian ini di bangunan MAIK di tingkat dua. 

1. Pengecualian daripada ujian Tahriri (bertulis) akan diberikan kepada pemohon-pemohon yang mempunyai kelayakan berikut;

a. Sijil IV Thanawi atau Sijil Menengah Ugama atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau mana-mana sijil agama yang setaraf dengannya.

b. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan dengan kepujian dalam subjek Pendidikan Syariah Islam, Pendidikan Quran Dan Sunnah dan lulus Bahasa Arab.

Sijil pondok pula, bergantung kepada budi bicara pihak MAIK sama ada anda boleh melangkau dari ujian ini. Ujian ini terbahagi kepada tiga kertas iaitu:

a. Ujian Ibadat (markah lulus 50%)
* Terdapat 5 topik soalan dan hanya menjawab 4 topik soalan.
Soalannya meliputi rukun dan syarat solat wajib dan sunat, taharah, jenis najis dan huraiannya, jenis air, rukun dan syarat solat jumaat, rukun dan syarat khutbah dan rukun sola jamak serta syaratnya, solat musafir, solat jenazah, wuduk, anggota wuduk dalam Al-Quran, dalil naqli ibadat dan sebagainya.
Ini termasuk soalan fatwa yang mudah unuk dijawab tetapi hendaklah dijawab bersama sebab dan alasan berdasarkan pendapat mazhab.

b. Ujian Aqidah (markah lulus 40%)
* Terdapat 5 topik soalan dan hanya menjawab 4 topik soalan.
Soalannya meliputi definasi tauhid, makna dan tujuan mukjizat, ajaran sesat, definasi Muktazilah, Al-Jabbar, Al-Qadariah, khawarij, syiah dan lain-lain lagi, sifat Allah, tauhid uluhiah, tauhid rubbubiyah, syirik, dalil naqli aqidah, tanda-tanda beraqidah benar dan sebagainya.

c. Ujian Munakahat (markah lulus 50%)
* Terdapat 5 topik soalan dan hanya menjawab 4 topik soalan.
Soalannya meliputi rada'ah, talaq tiga, wali mujbir dan huraiannya, mas kahwin, tujuan perkahwinan, syarat dan tujuan nikah, rujuk dan talaq, iddah dan quru', susunan wali, dalil naqli bagi perkahwinan dan sebagainya.
Ini termasuk soalan fatwa yang mudah unuk dijawab tetapi hendaklah dijawab bersama sebab dan alasan berdasarkan pendapat mazhab. 

2. Soalan kebanyakannya berkisar dari Kitab Matla' Al-Badrain. Jadi, persiapkanlah diri dengan kefahaman dengan mengulang kembali pembelajaran dalam kitab tersebut.

Tahap 2: Ujian Syafawi (Lisan)
1. Bagi calon yang cukup syarat, anda akan terus melaksanakan ujian syafawi selepas 2-4 bulan penerimaan borang permohonan. 

2. Pada kebiasaannya, calon ujian tahriri yang lulus ujian tahriri pula, akan dihubungi dalam tempoh 2 minggu hingga 3 bulan selepas ujian pertama anda. Tahniah jika terpilih!

3. Soalan ujian Syafawi bergantung kepada panel temuduga yang dilantik MAIK.

Bagi Jawatan Imam
- bacaan khutbah (teks disediakan)
- bacaan Surah al-fatihah dan surah lazim
- bacaan tahiyat akhir
Panel penemuduga sangat menitik beratkan kemampuan bacaan Al-Quran lengkap dengan sebutan huruf dan hukum bacaan (tajwid dan makhraj). 

Bagi Jawatan Bilal
- laungan azan
- bacaan Surah al-fatihah dan surah lazim
- bacaan tahiyat akhir
Ujian Syafawi.

Mungkin ramai pemohon yang mengeluh, apabila permohonan mereka untuk jawatan Bilal atau Imam tidak mendapat jawapan. Sebenarnya, proses pengambilan mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 6 bulan hingga ke setahun.

Jika anda lulus, anda akan dimaklumkan dalam tempoh 2 hingga 6 bulan dan jika gagal, keputusan tersebut juga akan dihantar ke alamat anda. 

Jika gagal, Kebiasaannya tiada respon atau mendapat maklum balas yang lama.
Pemohon perlu untuk menghubungi MAIK selepas 3 bulan ujian. Calon akan ditanya sama ada ingin mengulang ujian sekali lagi atau tidak. Jika anda berada di dalam kategori ini, bermakna semakin panjanglah tempoh anda untuk mendapatkan jawatan yang mulia ini. Namun begitu, kebiasaannya ujian ini hanya sekali sahaja untuk satu kali permohonan bagi satu masjid.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Imam akan dilaksanakan pada kebiasaannya pada bulan Januari, April, Mei, Ogos, November atau 5 kali setahun.

Temuduga ini lebih kepada sesi soal jawab sahaja, berbual santai untuk tujuan silaturrahim dan juga mengesahkan tahap kredibiliti anda sebagai Imam atau Bilal masjid mukim dalam negeri Kelantan.

Ini merupakan ujian akhir bagi calon Imam dan Bilal. Ianya sama seperti temuduga memohon jawatan kerajaan. Pada peringkat ini ramai yang tersingkir. Semoga dengan panduan ini, diharapkan dapat membantu anda untuk bersedia menghadapi cabaran ujian ini kelak.

Untok memohon jawatan tersebut, apa yang perlu anda lakukan ialah dengan mengisi borang jawatan tersebut. Borang permohonan boleh perolehi dari Imam Masjid atau dari Jabatan Agama yang berhampiran. 
Atau anda boleh muat turun borang dari laman sesawang MAIK di:
http://www.e-maik.my/v2/index.php/muatturun/category/10-hal-ehwal-agama-masjid.html.


Contoh Borang Permohonan Jawatan Pegawai Masjid Mukim


Pastikan borang tersebut ialah Borang Permohonan Jawatan Pegawai Masjid Mukim. Bilal juga menggunakan borang yang sama. Hantar sama ada ke Bangunan Maik atau terus pos. Jika hendak selamat, gunakan pos ekspres atau pos laju atau pos berdaftar.

Berikut adalah elaun bagi imam dan bilal di masjid mukim Kelantan.
1. Imam Tua = RM1300 (masjid mukim kategori A Rm1600)
2. Imam Muda = RM900 (masjid mukim kategori A Rm1100)
3. Bilal = RM650.

Melihat pada jumlah elaun sememangnya tidak berpadanan dengan tanggungjawab yang diberikan, dan seharusnya anda jangan cepat putus semangat. Sesungguhnya rezeki Allah SWT bukan semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk nikmat. Nikmat itu pula ada dalam bermacam-macam bentuk seperti dapat bersabar, dapat merasa lazatnya iman, dapat merasa taat kepada Allah. Nawaitu kita semestinya untuk menabur bakti kepada anak mukim dan selebihnya kita serahkankan kepada Allah SWT.

Wallahu musta'an


1 ulasan:

  1. salam....nak tanya sikit...kalau bilal pun kena periksa bertulis jugak ke

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.