Hari ini 90 tahun yang lalu, ulama disegani tanah air, Tok Kenali, meninggal dunia.
Nama sebenarnya Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad, lahir pada
1868 di Kubang Kerian, mukim Kenali, Kota Bharu, Kelantan dalam keluarga yang
warak. Ketika kecil beliau belajar mengaji ilmu-ilmu asal dengan datuknya,
kemudian menyambung belajar di Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu.
Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali bermusafir ke tanah
suci Mekah untuk lebih mendalami ilmu agama. Bermalam di serambi-serambi
masjid, beliau berguru dengan ramai ulama Arab & juga tanah Jawi, sebelum
menuntut dengan lebih rapat dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani.
Sesudah gurunya itu meninggal dunia, Tok Kenali pulang ke
tanah air pada 1909, selepas kurang lebih 22 tahun berkelana di tanah suci.
Beliau membuka sekolah di pondok dekat rumahnya, yang berkembang menjadi pusat
pengajian Islam tradisional terkenal, menempatkan lebih 300 pelajar pada suatu
masa.
Beliau dijemput mengajar di Masjid Al-Muhammadi dari 1915
hingga 1920. Ketika sama, beliau juga memainkan peranan besar dalam penubuhan
Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Kelantan (MAIK), majlis agama Islam
pertama di Tanah Melayu yang menjadi asas & rujukan kepada pembentukan
majlis-majlis agama di negeri-negeri lain.
Tok Kenali juga merupakan pengarang terhormat untuk majalah
Pengasuh, majalah Islam paling lama bertahan di Nusantara (sejak 1915 hingga
hari ini) bawah kelolaan MAIK. Beliau turut menghasilkan beberapa kitab
antaranya Risalatud Durril Mantsur, Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi & Mulhiq
li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih.
Beliau kembali ke rahmatullah pada 19 November 1933/2
Syaaban 1352H, di usia 65 tahun. Jasadnya disemadikan dekat rumahnya di Kubang
Kerian. Nama, ilmu & keperibadiannya tidak hanya disegani di Kelantan &
Malaysia, malah harum di seluruh Nusantara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Daurah Haramain
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.