disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Ulamak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulamak. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Mac 2024

Tuan Guru Haji Lah Serpa, Pondok Pasir Tumboh ( 1927 - 2013 )

Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Bin Ali dan beliau berasal dari Kampung Seterpa, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. Beliau lebih mesra dengan panggilan Abang Lah Serpa dari kalangan guru dan juga Tuan Guru Haji Lah Serpa dari kalangan pelajar. Beliau dilahirkan pada tahun 1927.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Pondok Lorong Kubur Tok Kenali, Kubang Kerian dan seterusnya memasuki Pondok Bunut Payong. Disamping itu, beliau turut mengikuti pengajian di halaqah Masjid Muhammadi dan akhirnya menyambung pengajian ke Pondok Pasir Tumboh.

Di antara gurunya ialah :

  1. Tuan Guru Haji Mat Jebeng, Pondok Lorong Kubur Tok Kenali
  2. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Pondok Bunut Payong
  3. Tuan Guru Haji Ali,  Pondok Pulau Pisang
  4. Tuan Guru Haji Abdul Aziz, Pondok Pasir Tumboh
  5. Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumboh
  6. Tuan Guru Haji Nuh

Selesai menuntut ilmu, beliau berkhidmat sebagai guru di Pondok Pasir Tumboh dan menjadi antara guru yang paling lama mencurah bakti di sini sehinggalah beliau uzur pada 2008.

Tuan Guru Haji Lah Serpa terkenal alim dalam ilmu nahu dan feqah. Kealiman beliau digarap hanya di Tanah Jawi dan tidak pernah belajar di Tanah Arab.

Antara anak murid beliau ialah :

  1. Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman, Pondok Nipis Kulit, Patani
  2. Tuan Guru Haji Muhammad Zain, Pondok Lubuk Pandan, Marang
  3. Tuan Guru Haji Jamaluddin, Pondok Charok Tok Uban, Sik
  4. Tuan Guru Maulana Haji Mohd Khairi, Ayer Molek, Melaka
  5. Tuan Guru Haji Zakaria, Derang
  6. Tuan Guru Haji Abdul Wahab, Pondok Jarak
  7. Tuan Guru Haji Shafie Bin Awang Din, Tualang
  8. Tuan Guru Haji Abdullah Zawawi Bin Muhammad, Pondok Lubuk Setol
  9. Tuan Guru Haji Abdul Rahim Bin Haji Hamzah, Pondok Pasir Tumboh
  10. Tuan Guru Baba Mashadi Bin Masyuti, Selangor
  11. Tuan Guru Haji Sofi, Langkawi
  12. Tuan Guru Haji Abdul Halim, Pondok Tandop Pisang

Beliau meninggal dunia pada tarikh 1 Disember 2013 ketika berusia 86 tahun. Jenazahnya disemadikan di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - Majalah al-Bakriyyah, Pasir Tumboh & tulisan Syeikh Mashadi Masyuti

#KenaliUlamak

 

 

Kredit: Tengku Yusuff (Mohamad Yusof)

5 Wali Allah - Abad ke 19

 

Penghujung abad ke-19, telah muncul Ulama 5 Serangkai warisan Melayu mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Nusantara. Mereka ialah :

  1. Tok Padang Jelapang (Tok Goloq / Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim | 1871 – 1935 ) dari Pasir Mas
  2. Tok Kenali (Tok Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad | 1870 – 1933) dari Kota Bharu
  3. Tok Bachok (Tok Guru Haji Uthman bin Haji Muhammad | 1868 – 1953) dari Bachok
  4. Tok Selehor (Tok Guru Haji Abdul Rahman bin Utsman | 1871 – 1935) dari Tumpat
  5. Tok Kemuning (Tok Guru Haji Ismail bin Haji Senik | 1885 – 1934) dari Machang

Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya . Amin

#KenaliUlamak

 

Kredit: Tengku Yusuff  (Mohamad Yusof)

Tuan Guru Haji Hasan Helmi, Pondok Bunut Payong ( 1922 - 1983 )


Tuan Guru Haji Hasan Helmi Bin Haji Abdullah Tahir dilahirkan pada tahun 1922 di Padang Garong, Kota Bharu, Kelantan. Beliau adalah putera sulung kepada seorang wali Allah, ulama besar Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir - Pengasas Pondok Bunut Payong.

Ibunya bernama Hajah Che Aminah Binti Dato' Encik Awang (Dato' Bentara Kiri). Beliau mempunyai 10 orang adik beradik iaitu :

  1. Haji Hasan Helmi
  2. Hajah Aishah
  3. Hajah Kalthum
  4. Che Zainab
  5. Haji Ahmad Nazirin
  6. Che Khadijah
  7. Che Halimah
  8. Rashdi
  9. Che Nadrah
  10. Che Zainah

Pendidikan agama beliau diperolehi sepenuhnya daripada bapanya sendiri di Pondok Bunut Payong, Kota Bharu dan turut bertalaqqi kitab dari beberapa guru pembantu di pondok seperti Tuan Guru Haji Othman Bukit Besar, Tuan Guru Haji Budin Sumatera, Tuan Guru Haji Che Ismail Kampung Dendang, Tuan Guru Haji Hussin Rahimi dan ramai lagi.

Setelah ayahandanya meninggal dunia pada tahun 1961, beliau telah menerajui Pondok Bunut Payong sekaligus mentadbir Madrasah Sulamiyah yang masih kekal hingga sekarang.

Di antara anak muridnya ialah :

  1. Tuan Guru Haji Abdul Samad Bin Haji Ibrahim, Trong
  2. Tuan Guru Haji Zainal Abidin Bin Haji Abdul Rahman, Kampung Peringat
  3. Tuan Guru Dr Haji Ismail Bin Mahmood, Pasir Mas
  4. Tuan Guru Haji Zakaria Bin Osman, Derang
  5. Tuan Guru Haji Wan Daud Bin Wan Yusof, Pasir Tumboh

Allahyarham Tuan Guru Haji Hasan Helmi tutup usia pada jam 10.30 pagi, 18 hb Mac1983 dalam usia 61 tahun. Jenazahnya disemadikan di Masjid Bunut Payong, Kota Bharu.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - Biografi Singkat 40 Ulama Terpilih Negeri Kelantan



Kredit: Tengku Yusuff  (Mohamad Yusof)

Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Wakaf Bharu ( 1916 - 1990 )

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Haji Ismail, Wakaf Bharu, Tumpat adalah seorang tokoh ulama' tasawwuf yang berkebolehan mengajar kitab-kitab (kitab kuning) setaraf dengan guru-guru pondok ternama. Dikenali juga dengan panggilan "Haji Man Tasawwuf" lantaran kealimannya dalam ilmu tasawwuf. Namun hakikatnya, beliau terbukti alim dalam pelbagai jurusan ilmu, termasuk tata bahasa Arab, usuluddin, Furu' al-Din dan al-Quran.

Bapanya Haji Ismail Bin Abdul Rahman Bin Tok Badar berasal dari Kampung Lubok Durian, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat. Ibunya, Wan Aminah Binti Wan Muhammad, dibesarkan di rumah Tengku Besar, seorang kerabat diraja di Kota Bharu.

Beliau mula belajar dengan Tok Selehor ketika berumur 16 tahun, iaitu selama dua hingga tiga tahun, kemudian berpindah ke Kota Bharu, menyertai halaqat pengajian kitab di Masjid Muhammadi. Antara guru-gurunya termasukah Tuan Guru Haji Ahmad Bin Haji Abdul Mannan, Tuan Guru Haji Yaakob Legor, Mufti Haji Ahmad Maher dan Imam Haji Nik Mud selama tiga hingga empat tahun.

Dalam bulan Rejab 1355 (September/Oktober 1936), beliau ke Kota Mekah, menuntut ilmu selama 12 tahun. Antara guru- gurunya termasuklah:

  1. Syeikh Muhammad Syafie Kedah (alim tasawwuf)
  2. Syeikh Ahmad Hijazi (al-Quran)
  3. Syeikh Muhammad Zain Simabur yang berasal dari Sumatera

Akhirnya pada 1940an, Tuan Guru Haji Abdul Rahman pulang ke Kota Bharu. Selepas berkahwin, beliau pergi ke negeri Terengganu dan tinggal lama di sana setelah terikat mengajar di sebuah sekolah agama di Jerteh, Besut. Hanya sesudah banjir besar awal 1967 barulah beliau pulang menetap di negeri Kelantan.

Selain mengajar kitab di kediamannya di Padang Luas/Pohon Tanjung, Chabang Empat Tok Mek Ngah, beliau juga diundang menyampaikan kuliah mingguan di beberapa buah masjid di luar Jajahan Tumpat seperti di Rantau Panjang, Bachok dan Jelawat (peringkat awal di rumah muridnya, kemudian di Masjid Jelawat).

Pertengahan 1975, beliau sekeluarga berpindah ke rumah barunya di Jalan Kebakat, Wakaf Bharu. Namun kuliah mingguan di surau berhampiran rumahnya tetap mendapat sambutan ramai.

Antara anak muridnya ialah :

  1. Tuan Guru Pak Su Mid Gunong
  2. Tuan Guru Haji Abdul Rahim Bin Haji Hamzah Pondok Pasir Tumboh
  3. Tuan Guru Haji Muhammad Zain, Pondok Lubuk Pandan, Marang
  4. Tuan Guru Haji Jamaluddin Pondok Charok Tok Uban
  5. Tuan Guru Haji Abdul Wahab Pondok Jarak
  6. Tuan Guru Haji Abdul Halim Pondok Tandop Pisang

Kemasyhuran Tuan Guru Haji Abdul Rahman terletak pada kebolehannya yang diakui alim "melaut" dalam ilmu tasawwuf. Keupayaannya yang seperti ini, ditambah pula dengan penguasaannya dalam pelbagai ilmu lain seperti bahasa Arab, al-Quran dan Syariah menyebabkan beliau menguasai ilmu agama secara bersepadu lagi seimbang, iaitu suatu tahap pencapaian ilmu yang jarang dimiliki oleh tokoh-tokoh ulama' Melayu zaman mutakhir ini.

Antara kitab-kitab tasawwuf Jawi yang kerap beliau baca sebagai teks ialah :

  1. Hikam Ibni Atha i 'Llah (Hikam Kabir) terjemahan Tok Pulau Manis
  2. al-Durr al-Nafis hasil pena Syeikh Muhammad Nafis Banjar
  3. al-Manhal al-Shafi karya Syeikh Daud Patani

Hikam Kabir adalah "kitab wirid" beliau yang lazim beliau ulangi pada setiap kali khatam.

Di samping kitab-kitab tasawwuf, Tuan Guru Haji Abdul Rahman juga ada mengajar kitab-kitab usuluddin seperti Faridah al-Fara'id dan al-Durr al-Thamin, kedua-duanya karangan Syeikh Wan Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fathani dan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani.

Lebih daripada seorang guru kitab, beliau terkadang menyelang-nyelikan jadual kuliahnya dengan kelas al-Quran sambil mengupas risalah Tuhfat al-Sibyan susunan Syeikh Nuh Jamaluddin al-Kalantani.

Di celah-celah kesibukannya mengajar, beliau sempat menghasilkan sebuah karya saringan dari bahasa Arab berjudul Doa al-Nadar fi Hayah Abi al-'Abbas al-Khadr pada tahun 1971. Cetakan Sahabat Press, Yala Thailand setebal 50 muka surat. Beliau juga menerbitkan sebuah risalah tasawwuf popular berjudul al-Manhal al-Shafi fi Bayan Ramuz Ahl al-Sufi (cetakan ketiga, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1978) serta menulis kata pengantar untuknya.

Beliau ditakdirkan "menutup mata" secara mendadak pada jam 5.50 petang Isnin, 27 Ogos 1990, sekembalinya dari tempat mengajar. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Batang, Tumpat.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - Buku 40 Biografi Singkat Ulama Terpilih Negeri Kelantan

 

Kredit: Tengku Yusuff (Mohamad Yusof) 

Rabu, 13 Mac 2024

Al Allamah Sohibus Samahah Tuan Guru Haji Mohd Noor Penambang - Mufti Kelantan Ke-8.

Tuan Guru Haji Mohd Noor Penambang
(Mufti Kelantan Ke-8).

Dilahirkan di Pasar Lido, Kota Bahru. Beliau merupakan anak kepada Al Allamah Sohibus Samahah Tuan Guru Haji Ibrahim Tok Raja Mufti Kerajaan Kelantan ke 6. Manakala ibunya pula Hajah Che Zainab merupakan anak kepada seorang ulamak terkemuka iaitu Tuan Padang.

Beliau telah pergi ke Mekah bersama ayahnya ketika berusia 8 bulan. Pada 1918, beliau pulang ke tanahair. Kemudian pada tahun 1923 setelah mendirikan rumah tangga, beliau pergi semula ke Mekah untuk lebih mendalami ilmu agama.

 

Diantara guru guru beliau ialah:

  1. Arif Billah Tok Senggora
  2. Syeikh Nuh Jamaluddin Kelantan
  3. Syeikh Muhammad Nur al Fathani
  4. Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi al Fathani
  5. Al Muhaqqiq Pak Da Eil Mekah
  6. Tuan Guru Haji Sulung al Fathani

 

Kealiman dan ketokohan beliau terbukti apabila beliau berjaya menghafal keseluruhan al-Qur’an, mempelajari tujuh qira’at yang masyhur (Qira’at as-Sab’u) dan mendapat tauliah pengajian al-Qur’an daripada 20 orang qari terkenal di Makkah yang telah menyemak bacaannya.

Disamping itu beliau juga mahir dalam: 

  • Ilmu tajwid
  • Qira’at
  • Feqah
  • Usuluddin
  • Tafsir,Hadis 
  • Ilmu tibb (ilmu perubatan).

 

Antara jasa beliau yang amat besar pada masyarakat ialah:

1. Qadhi Kelantan 1937

2. Penasihat Sultan 1941

3. Guru di Jami’e Merbai al-Ismaili

4. Diminta oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu untuk mengendalikan kelas tahfiz al-Qur’an di Masjid Negara

5. Dilantik menjadi Mufti Kelantan ke 8 pada tahun 1968 sehingga 1987 mengantikan Sohibus Samahah Dato' Ahmad Maher Bin Ismail .

 

Diantara anak murid beliau ialah:

  1. Tuan Guru Dato Seri Abu Hassan Din al Hafiz
  2. Tuan Guru Muhsin Syeikh Ahmad
  3. Tuan Guru Haji Ismail Mahmud
  4. Tuan Guru Haji Zainal Abidin Ahmad
  5. Tuan Guru Haji Salehuddin Omar
  6. Puan Guru Hajah Salamah Binti Haji Hassan - Puan Guru dari kalangan wanita 
  7. Al Allamah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Menteri Besar Kelantan & Mursyidul Am PAS

Beliau meninggal dunia pada usia 81 tahun dan disemadikan jasadnya di Kampung Penambang , Kota Bharu . Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Aamiin.

 




Kredit:01

Asyiqin Ab Halim, PhD,
pensyarah kanan di Jab. Sejarah & Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Khamis, 11 Januari 2024

Puan Guru Hajah Salamah Binti Hassan (1932 - 2011)

Oleh : Tengku Yusuff

Nama penuh tokoh ulama' wanita negeri Kelantan ini ialah Puan Guru Hajah Salamah Binti Hasan Bin Haji Muhammad Bin Cik Wil @ Ismail dan beliau dilahirkan pada 7 Julai 1932 di Jalan Post Office Lama, Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan.

Ayahnya berasal dari Kampung Tendong, Pasir Mas dan berkhidmat sebagai guru al-Quran serta peniaga kecil. Ibunya pula yang bernama Hajah Kalsum Binti Ishak seorang tukang jahit yang berasal dari Kampung Masjid. Puan Guru Hajah Salamah adalah anak sulung dari 11 orang adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal dari ibunya sendiri. Kemudian, Puan Guru dihantar belajar al-Quran dengan Hajah Aisyah di Kubang Pasu. Pada tahun 1938 hingga 1944, beliau belajar di Madrasah Muhammadiah Bahagian Melayu dan pada tahun 1945, beliau mengikuti kelas Qismul Muallimin anjuran Majlis Agama Islam Kelantan. Ekoran itu, beliau diterima sebagai guru pelatih di Madrasah Muhammadiah Bahagian Melayu.

Pada tahun 1947, beliau menyambung pelajarannya di Madrasah Naim Lilbanat, Kota Bharu hingga tamat darjah 3 Bahagian Arab iaitu pada tahun 1948. Kemudian pada 1949, Puan Guru Hajah Salamah menyambung pelajarannya ke Madrasah al-Maarif al-Islamiah, Ipoh Lanes, Singapura. Semasa di sana, beliau menjadi anak angkat kepada Syeikh Haji Muhammad Fadhullah as-Suhaimi.

Pada tahun 1951, beliau pulang ke Kelantan dan menyambung semula pelajarannya di Madrasah Naim Lilbanat dalam darjah 5 hingga tamat darjah 7 pada 1953.

Puan Guru Hajah Salamah merupakan di antara 3 orang pelajar perempuan terawal yang berjaya melanjutkan pelajarannya ke Mesir pada tahun 1954. 2 sahabat yang sekali dengannya ialah Puan Guru Hajah Nik Zaharah Binti Haji Nik Yahya & Puan Guru Hajah Tuan Aminah Binti Tuan Saleh.

Sepanjang puluhan tahun Puan Guru Hajah Salamah menuntut ilmu, maka tersenarailah beberapa alim ulama' yang menjadi gurunya secara langsung di madrasah-madrasah ataupun secara bertalaqqi.

Di antara guru guru beliau ialah :

1. Hajah Aisyah - guru al-Quran

2. Puan Guru Hajah Aminah Binti Haji Abdul Rahman - guru ilmu hadis

3. Tuan Guru Mufti Haji Mohammad Nor Penambang

4. Tuan Guru Haji Ishak Bin Shamsuddin - Imam Masjid Muhammadi

5. Syeikh Haji Muhammad Fadhullah as-Suhaimi

6. Tuan Guru Haji Nik Abdul Rahman Khatib

7. Tuan Guru Baba Haji Najmuddin al-Fathani

8. Tuan Guru Haji Wan Mahmud Daud al-Makki

Puan Guru Hajah Salamah berjaya memperoleh Diploma Pendidikan di Maahad al-Muallimat, Kaherah, Mesir dan akhirnya kembali ke tanah air pada Ogos 1958.

Berikut merupakan jawatan yang pernah disandang beliau ketika hayatnya :

1.  Ahli Jawatankuasa Persatuan Penuntut Melayu Mesir

2. Ahli Jawatankuasa sambutan rombongan Kemerdekaan Malaya di Mesir

3. Ahli Jawatankuasa sambutan kemerdekaan Tanah Melayu di Kaherah tahun 1957

4. Dilantik sebagai guru penolong di Madrasah Naim Lilbanat pada 1 Oktober 1958

5. Dilantik sebagai penolong kanan di Madrasah Naim Lilbanat pada 1960

6. Diangkat ke jawatan guru besar di sekolah yang sama hingga 1 April 1964

7. Berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Terengganu pada 3 April 1964 hinggalah 31 Mac 1967

8. Dilantik sebagai pensyarah agama secara sambilan di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada tahun 1965 hingga 1966

9. Dilantik sebagai guru asrama dan guru kelas urusan rumahtangga di Madrasah al-Sultan Zainal Abidin

10. Dilantik sebagai guru penolong di Maahad Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu

11. Dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah, Pengerusi Kelas Jahitan dan Masakan, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Kebersihan dan Ahli Jawatankuasa Pelancongan di Maahad Muhammadi, Jalan Merbau

Di dalam bidang penulisan pula, Puan Guru Hajah Salamah ada menulis dua bentuk penulisan iaitu :

1. Terjemahan buku Putri Balqis

2. Artikel di dalam Majalah Juwita

Puan Guru Hajah Salamah juga seorang yang aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di sekitar masjid dan surau serta beberapa buah tempat. Di antaranya ialah :

1. Surau Tuan Guru Haji Omar Sungai Keladi

2. Surau Batu 4, Kota, Pendek, Kota Bharu

3. Surau Wakaf Mek Zainab

4. Surau al-Marhum Haji Ismail Kampung Sireh

5. Masjid Cikgu Mat Kampung Dusun, Kota Bharu

6. Masjid al-Ikhsan, Dusun Muda, Kota Bharu

7. Surau Setia Telipot

8. Surau Hajah Cik Zaharah Binti Amran Kampung Sireh, Kota Bharu

9. Masjid Kampung Demit, Kubang Kerian

10. Masjid Kubur Kuda, Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu

11. Surau Haji Wan Abdullah Khatib, Lorong Tok Semian

12. Surau Haji Wan Salleh, Pasir Pekan

Beliau meninggal dunia pada 2 Januaro 2011 ketika berusia 79 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Aamiin.




Kredit: Tengku Yusuff

Ahad, 19 November 2023

Peristiwa 19 November 1933.

 

Hari ini 90 tahun yang lalu, ulama disegani tanah air, Tok Kenali, meninggal dunia.

Nama sebenarnya Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad, lahir pada 1868 di Kubang Kerian, mukim Kenali, Kota Bharu, Kelantan dalam keluarga yang warak. Ketika kecil beliau belajar mengaji ilmu-ilmu asal dengan datuknya, kemudian menyambung belajar di Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu.

Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali bermusafir ke tanah suci Mekah untuk lebih mendalami ilmu agama. Bermalam di serambi-serambi masjid, beliau berguru dengan ramai ulama Arab & juga tanah Jawi, sebelum menuntut dengan lebih rapat dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani.

Sesudah gurunya itu meninggal dunia, Tok Kenali pulang ke tanah air pada 1909, selepas kurang lebih 22 tahun berkelana di tanah suci. Beliau membuka sekolah di pondok dekat rumahnya, yang berkembang menjadi pusat pengajian Islam tradisional terkenal, menempatkan lebih 300 pelajar pada suatu masa.

Beliau dijemput mengajar di Masjid Al-Muhammadi dari 1915 hingga 1920. Ketika sama, beliau juga memainkan peranan besar dalam penubuhan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Kelantan (MAIK), majlis agama Islam pertama di Tanah Melayu yang menjadi asas & rujukan kepada pembentukan majlis-majlis agama di negeri-negeri lain.

Tok Kenali juga merupakan pengarang terhormat untuk majalah Pengasuh, majalah Islam paling lama bertahan di Nusantara (sejak 1915 hingga hari ini) bawah kelolaan MAIK. Beliau turut menghasilkan beberapa kitab antaranya Risalatud Durril Mantsur, Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi & Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih.

Beliau kembali ke rahmatullah pada 19 November 1933/2 Syaaban 1352H, di usia 65 tahun. Jasadnya disemadikan dekat rumahnya di Kubang Kerian. Nama, ilmu & keperibadiannya tidak hanya disegani di Kelantan & Malaysia, malah harum di seluruh Nusantara.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Daurah Haramain

Rabu, 4 Oktober 2023

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir - Pengasas Pondok Bunut Payong

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir 
Bapa Feqah Kelantan

Pondok Bunut Payong telah diasaskan oleh seorang ulamak besar negeri Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong ( 1897 - 1961 ). Beliau diberi julukan dengan nama "Bapa Feqah Kelantan" kerana kealimannya didalam bidang ilmu tersebut.

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Arif Billah Tok Kenali, beliau telah belayar ke Mekah selama beberapa tahun. Pada 1931, beliau pulang ke tanah air dan menjadi guru di Masjid Muhammadi sebelum mendirikan sebuah pondok pengajiannya sendiri yang diberi nama Madrasah Ahmadiah atau lebih mahsyur dengan nama Pondok Bunut Payong.

Pondok Bunut Payong merupakan pondok yang kedua termahsyur didalam sejarah pondok di Kelantan selepas pondok gurunya Pondok Kenali. Diriwayatkan  jumlah pelajar pondoknya pernah mencecah sehingga 800 orang yang datang dari pelbagai pelosok daerah. Disekitar madrasahnya pula dipenuhi oleh kira kira 500 buah pondok kecil yang membentuk satu perkampungan pelajar yang teratur rapi.


Diantara guru penolong yang membantu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar di pondok ialah:

  1. Tuan Guru Haji Mukhtar - Adiknya
  2. Tuan Guru Haji Bahauddin Sumatera
  3. Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi @ Pak Man Bukit Besar, Kedah
  4. Tuan Guru Haji Man Pahang
  5. Tuan Guru Haji Hussain Rahimi
  6. Tuan Guru Haji Ismail Dendang
  7. Tuan Guru Mat Junoh Binjai



 Madrasah Ahmadiah 
Pondok Bunut Payong


Diantara alim ulamak yang mendapat didikan di Pondok Bunut Payong ialah:

  1. Tuan Guru Haji Husain Rahimi - Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan
  2. Tuan Guru Haji Nik Man Sungai Budor - Khatib Masjid Muhammadi
  3. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pasir Tumboh - Pengasas Pondok Pasir Tumboh
  4. Tuan Guru Haji Ismail Padang Lepai
  5. Tuan Guru Haji Abdullah Kok Lanas
  6. Tuan Guru Haji Omar Bemban - Pengasas Pondok Kubang Bemban
  7. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Slow Machang - Pengasas Pondok Slow Machang
  8. Tuan Guru Haji Wook Lubok Chekok
  9. Tuan Guru Haji Noor Teliar - Pengasas Pondok Kampung Teliar
  10. Tuan Guru Haji Sulaiman Siram
  11. Tuan Guru Haji Daud Bukit Bunga
  12. Tuan Guru Haji Yaakub Kelong - Pengasas Pondok Berangan
  13. Tuan Guru Haji Ghazali Pulai Chondong - Pengasas Pondok Kampung Kok Lanas & Pondok Kampung Galang
  14. Tuan Guru Haji Zakaria Selising
  15. Al Allamah Haji Utsman al Yunusi - Pengasas Pondok Pak Man, Bukit Besar
  16. Tuan Guru Haji Isa Bin Muhammad @ Lebai Isa Bukit Keplu, Kodiang
  17. Tuan Guru Haji Yahya Junid - Pengasas Pondok Pak Ya, Yan
  18. Tuan Guru Haji Ibrahim Bongek - Pengasas Pondok Kampung Bongek
  19. Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang - Pengasas Pondok Sungai Udang Melaka
  20. Tuan Guru Haji Husain Umbai - Ahli Majlis Fatwa Negeri Melaka
  21. Tuan Guru Haji Ahmad Relai
  22. Tuan Guru Haji Hasanuddin Berhala Gentang - Pendiri Madrasah al Wasto
  23. Tuan Guru Haji Ismail Phuket
  24. Tuan Guru Haji Ghazali Lubis | Tok Mundok - Pengasas Pondok Mundok
  25. Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman @ Pak Ya Telok - Pengasas Pondok Kampung Telok , Kepala Batas
  26. Tuan Guru Haji Awang Bin Abdul Rahman - Ayah kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi ( Presiden PAS )
  27. Tuan Guru Haji Abdullah Bin Mohammad - Pengasas Pondok Bukit Kledang , Temerloh
  28. Tuan Guru Haji Hashim Kajang - Tok Guru di Madrasah Taufiqiyah Kajang
  29. Tuan Guru Haji Awang Lanai - Pengasas Madrasah Tahzibun Nufus
  30. Baba Dir Tok Bandar - Pengasas Pondok Tok Bandar
  31. Ayah Der Sekam - Pengasas Pondok Sekam
  32. Tuan Guru Haji Hussin Genting - Pengasas Pondok Genting
  33. Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution - Pengasas Madrasah Maahad Ehya al Ulum ad Diniah Tanjung Pauh
  34. Tuan Guru Haji Mustafa Pasir Tumboh - Pengasas Pondok Pasir Tumboh
  35. Tuan Guru Haji Ahmad Ibrahim - Imam Tua Bukit Panau
  36. Tuan Guru Haji Ghazali Tunjung - Pengasas Pondok Tunjung @ Madrasah Al Fununiah at Tunjuniah
  37. Tuan Guru Haji Mat Bukit Gading - Pengasas Pondok Kampung Kelewek, Tanah Merah
  38. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Kampung Tujoh - Pengasas Pondok Kampung Tujoh, Tumpat
  39. Tuan Guru Haji Musa Kota - Pengasas Pondok Kampung Belukar, Batu 8
  40. Syeikh Yaakob Bin Ismail
  41. Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumboh - Mudir Pondok Pasir Tumboh
  42. Tuan Guru Haji Ali Bin Haji Ismail Kebun Lima Ratus, Langgar
  43. Tuan Guru Haji Mohd Noor Bin Awang Madrasah Taqaddum Terusan
  44. Sohibus Samahah Tuan Guru Haji Hassan Melaka - Mufti Melaka Ke-2
  45. Qadhi Tuan Guru Haji Sulaiman Bin Ahmad Pahang
  46. Tuan Guru Haji Abdul Ghani Fikri - Pengasas Pondok Padang Langa, Patani
  47. Syeikh Daud Malau - Pengasas Madrasah al-Hanafiah, Malau
  48. Tuan Guru Haji Zakaria Sulaiman - Pengasas Madrasah al-Hidayah al-Islamiyah, Jeliang
  49. Tuan Guru Haji Musa Bukit Marak - Pengasas Sekolah Agama Bukit Marak
  50. Tuan Guru Haji Ahmad Bin Amin al-Hafiz - Pengasas Madrasah al-Ittihadiah, Kuala Lipis
  51. Syeikh Sidi Abdul Rashid al-Linggi
  52. Tuan Guru Haji Ahmad Kepis
  53. Tuan Guru Haji Shuaib Marang - Pengasas Pondok Kampung Kelulut, Marang
  54. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Ibrahim Pangsa Enam, Temerloh
  55. Tuan Guru Haji Jamaluddin Bin Hashim - Imam Masjid Abu Bakar Johor
  56. Tuan Guru Haji Md Salleh Bin Harun Kemboja
  57. Qadhi Tuan Guru Haji Abdullah Sani - Qadhi Kuala Kangsar
  58. Qadhi Tuan Guru Haji Yahya Bin Muhammad - Qadhi Ipoh
  59. Qadhi Tuan Guru Haji Abdul Malik Bin Kamaruddin - Qadhi Ipoh
  60. Qadhi Tuan Guru Haji Abdul Samad Bin Haji Muhammad - Qadhi Tanjung Malim
  61. Qadhi Tuan Guru Haji Ahmad Lutfi - Qadhi Jerantut
  62. Qadhi Tuan Guru Haji Sulaiman - Qadhi Bentong
  63. Qadhi Tuan Guru Haji Ali Husain Pasir Pekan - Qadhi Pasir Mas & Kuala Krai

Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya . Aamiin


Kredit: Tengku Yusof

Selasa, 14 September 2021

Al Allamah Sohibus Samahah Dato' Ahmad Maher Bin Haji Ismail | Mufti Kelantan Ke-7 ( 1904 - 1968 )

  

Al Allamah merupakan anak kepada salah seorang dari wali Allah 5 serangkai bumi Kelantan iaitu Arif Billah Tok Kemuning Muda dan cucu kepada Tok Kemuning Tua @ Arif Billah Tuan Guru Haji Senik. 

Beliau dilahirkan di Ma'ala Mekah dan mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri . Selepas 9 tahun di Mekah , beliau pulang ke Kelantan dan berguru dengan Tok Kenali . Seterusnya pada tahun 1925 , beliau ke Mesir dan menuntut ilmu di Universiti al Azhar . Diantara guru beliau ialah: 

  1. Arif Billah Tok Kemuning
  2. Arif Billah Tok Kenali
  3. Tuan Guru Tok Khatib Haji Nik Abdullah
  4. Al Allamah Tok Khurasan
  5. Tuan Guru Haji Mohd Hakim
  6. Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang
  7. Tuan Guru Haji Yaakob Lorong Gajah Mati
  8. Syeikh Mohd Bakhit Bin Husain al-Hanafi 

Beliau mendapat gelaran "Maher" dari gurunya Syeikh Mohd Bakhit kerana kemahirannya didalam ilmu Usul Fiqh dan Balaghah . Beliau juga merupakan anak Melayu pertama mendapat sijil tinggi Syahadah Ulya di Mesir . Al Allamah diriwayatkan mahir 32 jenis ilmu. 

Diantara anak murid beliau ialah: 

  1. Al Allamah Tuan Guru Haji Yahya Junid - Pondok Pak Ya
  2. Tuan Guru Haji Omar Abdul Aziz - Pondok Terusan, Kelantan
  3. Tuan Guru Haji Mokhtar Ismail - Pekalang Asar , Perlis
  4. Tuan Guru Haji Husin Hafiz Umbai - Melaka
  5. Tuan Guru Lebai Isa - Kaplo, Kedah
  6. Tuan Guru Haji Ahmad Osman - Kodiang, Kedah
  7. Tuan Guru Haji Osman Yunusi - Pondok Pak Man Bukit Besar, Kedah
  8. Tuan Guru Haji Abdul Jalil - Sungai Udang, Melaka
  9. Tuan Guru Haji Mohd Nor Salleh Sumatra 

Dilantik menjadi Mufti Kelantan ke 7 pada tahun 1941 mengantikan Sohibus Samahah Tuan Guru Haji Ibrahim Bin Yusof. 

Beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun dan dikebumikan di Kubur Banggol , Kota Bahru. 

*Pada Tahun 1992, Sekolah Menengah Jalan Bayam telah bertukar nama kepada Sekolah Menengah Dato' Ahmad Maher.

SMK Dato' Ahmad Maher adalah salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Nama Dato' Ahmad Maher dipilih kerana ketokohan beliau sebagai seorang ulama serta pendidik dan juga jasa-jasa beliau semasa menjadi Mufti Besar Kelantan.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya . Aamiin.


Sumber: Ustaz Muhammad Bin Abdullah – UMA

Pautan lain: Pondok Rahmat

                  : wikipedia.org - Ahmad Maher Ismail

Khamis, 17 Disember 2020

Tokoh Ulamak Alam Melayu - Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani

Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Ayahandanya bernama Mat Tahir manakalanya bondanya bernama Wan Sena. Kesungguhan ibubapanya menghantar beliau mempelajari ilmu agama semenjak dari usia yang kecil telah mencambah minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang itu. Selain mendalami pengajian di tempat asalnya, beliau turut menimba ilmu di beberapa pondok terkenal seperti di Bunut Payong dan juga pondok-pondok sekitar Patani, Thailand. 

Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Haji Musa telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan kali pertama adalah dengan gadis sekampungnya ketika dia berusia awal 20-an. Beliau memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Idris. Namun jodoh perkahwinan mereka dikatakan tidak panjang. 

Tuan Guru berkahwin buat kali kedua setelah pulang dari Makkah. Beliau berkahwin dengan Hajjah Che Wook yang berasal dari Kampung Seterpa, Bukit Marak. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Noor (Haji) dan Jah (Hajjah). 

Tuan Guru berkahwin lagi buat kali ketiga dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik, bekas isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil Bin Dato' Nik Mahmood. 

Ketinggian budi pekerti Hajjah Che Bidah telah menambat hati beliau dan melalui perantaraan anak muridnya, beliau telah melamar Hajjah Che Bidah sebagai teman hidupnya. Hasil perkongsian hidupnya dengan Hajjah Che Bidah, beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan. 

Antara anak beliau yang menjadi tokoh masyarakat ialah anak keenam beliau iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Mantan Menteri Kabinet Malaysia


Pendidikan

Tuan Guru Haji Musa berangkat ke Makkah buat kali pertama dalam tahun 1921. Setelah membulatkan tekad untuk mendalami ilmu disana, beliau menaiki kapal laut dengan membawa wang belanja sebanyak RM 225. Wang itu digunakan untuk tujuan perkhidamatan kapal menuju ke Makkah. Beliau menggunakan khidmat Syeikh Osman untuk kesana. Perjalanan bermula dari Singapura ke Jeddah sebelum tiba di Makkah dalam tempoh berbulan-bulan lamanya. 

Di Makkah, beliau berguru bertahun-tahun lamanya sebelum pulang semula ke kampung halamannya. Pada tahun 1936, beliau sekali lagi berangkat ke Makkah, kali ini bersama isterinya Hajjah Che Wook dan anak-anak mereka. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa telah menadah kitab kepada ulama-ulama besar yang mengadakan halaqah pengajian di Masjidil Haram. Beliau mendalami ilmu Al-Quran dengan Syeikh Ahmad Hijazi. Dengan Sheikh Ahmad Hijazi, beliau telah didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu Al-Quran seperti qiraat, hafazan, tajwid, nafek, warash, qanun, mantik dan sebagainya. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dengan ulama besar Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah iaitu Syeikh Hassan Ibrahim Shaier yang berasal dari Mesir. Syeikh Hassan Ibrahim merupakan seorang mahaguru dalam bidang tajwid, tarannum dan sebagainya. 

Tuan Guru Haji Musa telah berpeluang memperdengarkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran ini kepada ulama besar Masjid Nabawi tersebut dan mendapat pengiktirafan dari ulama besar Madinah itu. Pengiktirafan yang diberikan oleh Syeikh Hassan Ibrahim kepada Tuan Guru Haji Musa adalah satu penghormatan kepada ulama Alam Melayu. Ini adalah kerana ijazah yang dimiliki oleh Tuan Guru Musa pada waktu itu adalah setaraf dengan ijazah PhD dalam bidang al-Quran pada masa ini. Syeikh Hassan Ibrahim bukanlah calang-calang ulama. Beliau sangat dihormati dalam sejarah ulama' di Arab Saudi dimana beliau telah mengajar hampir 100 tahun dalam Masjid Nabawi, Madinah dan meninggal pada usia hampir 120 tahun. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa turut berkesempatan menadah kitab kepada Syeikh Nuh Jamaluddin Al-Kelantani. 

Sekembalinya dari Makkah, Tuan Guru Haji Musa membuka sebuah madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. Pada tahun 1947, Tuan Guru Haji Musa secara rasmi telah mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membuka sekolah agama di Bukit Marak dan berdakwah diseluruh negeri Kelantan. Selain dari mengajar di madrasahnya sendiri, Tuan Guru Haji Musa sangat gigih menyebarkan ilmu dengan berulang alik mengajar kitab di merata tempat antaranya seperti di Sekitar Kg. Padang Lati, Atas Pasir, Banggol Telipot, Pasir Puteh, Limau Kasturi, Manik Urai dan Laloh di Ulu Kelantan. Bahkan beliaulah orang yang bertanggungjawab memulakan solat Jumaat pertama di Kampong Laloh, Kuala Krai. Walaupun terpaksa menaiki bot galah, keretapi dan sebagainya, namun demi dakwah dan menyebarkan ajaran Islam, beliau sanggup mengetepikan segala kepayahan yang beliau hadapi. 

Pada tahun 1948, beliau berangkat sekali lagi ke Makkah setelah berasa rindu yang amat sangat hendak mengunjungi Baitullah. Kali ini beliau menggunakan khidmat Syeikh Abdul Halim dan menaiki kapal laut di pelabuhan Pulau Pinang. Beliau berangkat ke Makkah bersama Hajjah Che Bidah, anak perempuannya Zaunah (Hajjah) serta dua orang anak angkatnya iaitu Syeikh Mohammad Qurra' dan Mohammad Saghir. Mereka menetap disana selama 3 tahun. Syeikh Mohammad Qurra' kemudiannya menjadi rakyat Arab Saudi, menetap di Ajyad Sup dan mengajar Al-Quran di Masjidil Haram sehinggalah meninggal dunia di Makkah manakala Mohammad Saghir menetap di Jabal Sudan dan meninggal dunia di Makkah. Tuan Guru turut ditawarkan menjadi warga Arab Saudi, namun beliau menolaknya memandangkan 2 orang anaknya masih berada di Malaya pada ketika itu. Selain itu, beliau juga berhasrat hendak menyumbangkan khidmat bakti dengan berdakwah, mengajar agama dan Al-Quran kepada masyarakat setempat di negeri kelahirannya.

 

Jasa-jasa beliau dalam dakwah dan penyebaran ilmu agama

  1. Beliau menjadi pelopor kepada pembelajaran Al-Quran secara qiraat dimana hanya beliau dan Mufti Kelantan Dato' Haji Muhammad Nor sahaja yang arif di bidang Qiraat 7 Al-Quran diwaktu itu (Tujuh cara pembacaan Al-Quran)
  2. Beliau mengajar kitab dan berdakwah bukan sahaja di madrasahnya tetapi di seluruh tempat di negeri Kelantan
  3. Beliau pernah menjadi hakim tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Bank (kini Padang Merdeka) Kota Bharu.
  4. Beliau sentiasa menjadi tempat rujukan orang ramai untuk memohon bantuan, pandangan dan nasihat berkaitan hukum-hakam, masalah rumah tangga dan sebagainya.
  5. Beliau pernah melatih dan membimbing qari terkenal Kelantan antaranya Haji Ahmad Som Pergau dan Haji Mokhtar dalam bidang tajwid sehingga berjaya muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa
  6. Beliau menjadi pelopor solat Jumaat di Kampong Laloh, Kuala Krai
  7. Beliau mendidik dan memelihara ramai anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dan kurang didikan agama serta miskin. Anak angkat Tuan Guru Haji Musa ada di merata tempat antaranya seperti Encik Junuh di Kg. Bayam Kota Bharu, Allahyarham Hajjah Fatimah di Felda Jelu, Raub, Pahang, Encik Razali di Merapoh, Pahang, Allahyarham Encik Yusof Lind, Kuala Lumpur iaitu bekas suami seniwati Dayang Sulu dan ramai lagi.

 

Keistimewaan

Beliau sangat tegas menegakkan syiar Islam dimana sahaja beliau berpijak. Sebagai contoh, beliau melarang keras permainan Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora yang dimainkan di sekitar kampongnya semasa hayat beliau sekiranya permainan itu mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam. Beliau dikatakan seorang yang berkat dan masin mulutnya, malahan ada sesetangah pihak yang mengatakan beliau adalah wali Allah, Wallahua'lam. 

Beliau dikatakan mempunyai kepandaian membaca khasiat batu permata. Dikatakan bahawa kepandaian ini beliau perolehi setelah mempelajarinya dari orang arab Maghribi ketika menetap di Tanah Suci Makkah. Tuan Guru Haji Musa amat berdisiplin dan sangat kemas peribadinya sehinggakan setiap perkara yang dilakukannya dicatit satu persatu termasuk apa yang dimakan setiap hari. Rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung menyimpan barang berharga ketika musim huru-hara atau darurat. Pernah satu hari anak murid beliau ternampak puluhan penjahat berada di hadapan madrasah. Selesai berdoa, Tuan Guru Haji Musa mempelawa mereka naik ke madrasah dan dijamu mereka makanan pulut sehingga mereka kekenyangan. Akibat kekenyangan dan rasa malu atas kebaikan Tuan Guru Haji Musa, ketua penjahat itu kemudiannya berikrar dan berjanji tidak akan mengganggu keamanan disekitar kampung tersebut. Begitu juga sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Bukit Marak menjadi tempat askar Jepun melaksanakan hukuman pancung terhadap mereka yang bersalah. Namun ketua askar Jepun amat menghormati Tuan Guru Haji Musa sehinggakan terdapat beberapa orang dilepaskan daripada hukuman pancung akibat menghormati beliau. 

Ketika peristiwa darurat 13 Mei 1969 meletus, Kiyai Haji Salleh daripada Johor telah datang ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk memberi pesanan dan bertemu dengan masyarakat Kelantan. Tuan Guru Haji Musa telah menjemput rombongan Kiyai Haji Salleh datang ke madrasahnya di Bukit Marak . Tuan Guru dikatakan telah membuat selendang merah dan menempah parang panjang untuk mempertahankan diri. Sepanjang tempoh darurat itu, Tuan Guru Haji Musa dikatakan memenuhkan masanya dengan beramal dan bersuluk di dalam biliknya

 

Sahabat dan anak angkat yang menjadi alim-ulama

  1. Almarhum Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal (mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Haji Musa) 
  2. Almarhum Tuan Guru Sidi Abdul Latif , Seberang Takir Terengganu
  3. Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh
  4. Almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, Ayahanda kepada Dato' Nik Aziz Nik Mat
  5. Almarhum Sheikh Mohammad Qurra', Ajyad Supp, Makkah
  6. Allahyarham Haji Mohammad Saghir, Jabal Sudan Makkah

Tuan Guru Haji Musa, yang telah ditauliahkan tariqat al-Ahmadiah al-Idrisiyyah al-Rasyidiyyah ad Dandarawiyah di Makkah al-Mukarramah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1970 sewaktu berusia 75 tahun, dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Pasir, Bukit Marak. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya pada pagi Jumaat setelah mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri selama 3 hari. Ribuan anak murid, keluarga dan kenalan telah datang menziarahi jenazah beliau pada hari tersebut. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya yang sangat besar kepada masyarakat, nama kampung "Cabang Tiga telah diabadikan dengan namanya menjadi nama Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak. Begitu juga dengan Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak.


Almarhum Tuan Guru Haji Musa

 

 

Rujukan utama:

Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani (Cabang Tiga Haji Musa,Bukit Marak). http://ahmadiah-idrissiah.co.cc/musa.html. Dicapai pada 26 Mac 2010



Sumber: Tokoh Ulama Alam Melayu

Jumaat, 8 Mei 2020

JADUAL KEHIDUPAN HARIAN - ALMARHUM TUAN GURU DATO ISMAIL KAMUS

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْه
Pergimu Murabbi Pada Hari Jumaat, Dalam Bulan Ramadhan Yang Penuh Berkat. Berbahagialah Tuan Guru Setelah Lama Berpenat. Banyak Jasamu Kepada Ummat. Sudah Tiba Masanya Untukmu Berehat.



1. Bangun Malam (sekitar jam 3 pg)
  • Mandi dan ambil wuduk

2. Solat Sunat Wuduk.

3. Solat Sunat Taubat.

4. Solat Sunat Tahajjud (8 rakaat).

5. Solat Sunat Hajat (mintak Allah makbulkan permintaan kita, bila2 masa kita mintak).

6. Solat Sunat Witir 3 rakaat.

7. Istighfar 40 kali:
 أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ
 إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه   

8. Tahlil 300 kali:
لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  

9. Baca Doa Nabi Yunus 40 kali:
لاَإِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَا نَكَ إِنِّيْ كُنتُ مِنَ الظَّا لِمِيْنَ


10. Tasbih 40 kali: 
سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَكْبَرُ


11. Solat Sunat Fajar.

12. Solat Subuh.

13. Baca Yaassin lepas subuh.

14. Solat Sunat Dhuha 6 rakaat.

15. Solat Zohor.
  • Solat sunat sebelum
  • Solat sunat selepas

16. Solat Asar.
  • Solat sunat sebelum

17. Solat Maghrib.
  • Solat sunat selepas

18. Solat Isya'.
  • Solat sunat sebelum
  • Solat sunat selepas

19. Sebelum tidur baca:
  • Al-Quran
  • Surah Al-Mulk
  • Surah As-Sajjadah
  • Surah Al-Waqiah

20. Setiap hari mesti sedekah, walaupun sedikit.



Kata Ulama, apabila Allah tidak mengkehendaki kita lagi:
  1. Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia.
  2. Allah akan sibukkan kita dengan urusan anak-anak.
  3. Allah akan sibukkan kita dengan urusan perniagaan.
  4. Allah akan sibukkan kita dengan harta.
  5. Allah akan sibukkan kita dengan mencari pengaruh pangkat dan kuasa.

🔸Alangkah ruginya kerana kesemuanya itu akan kita tinggalkan. Sekiranya kita mampu bertanya pada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah SWT dan jika mereka diberi peluang untuk hidup sekali lagi sudah semestinya mereka memilih tidak lagi akan bertarung bermati-matian untuk mengejar kemegahan dan kemewahan hidup di dunia.

🔸Tujuan kita diciptakan adalah untuk menyembah Allah dan beribadat kepada Allah SWT. Sebenarnya apa yang kita dapat dari habuan dunia ini telah pun ditentukan oleh Allah SWT.

🔸 Kita mungkin cemburu apabila melihat orang lain lebih daripada kita dari segi gaji, pangkat, harta, kereta mewah dan rumah besar.

🔸 Kenapa kita tidak pernah cemburu melihat ilmu dan amalan orang lain lebih daripada kita. Kenapa kita tidak pernah cemburu melihat orang lain bangun disepertiga malam untuk solat tahajjud.

🔸Kita cemburu melihat orang lain tukar kereta baru, tetapi jarang kita cemburu melihat orang lain boleh khatam Al-Quran sebulan 2 kali.

🔸Kesemua petanda-petanda ini menunjukkan dunia akhir zaman apabila duit, pangkat dan harta mengatasi segalanya. Akhirnya manusia menjadi semakin keliru dan ragu ragu dengan pegangan mereka sendiri akibat banyak percampuran antara kebenaran dan kebatilan.

🔸 Setiap kali menyambut hari jadi kita sibuk hendak raikan sebaik mungkin tetapi kita telah lupa dengan bertambahnya umur kita maka giliran kita akan dipanggil oleh Allah SWT semakin dekat.

🔸 Kita patut bermuhasabah dan seterusnya menyiapkan bekalan menuju ke satu perjalanan jauh yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.

🔸Sesungguhnya mati itu benar, alam kubur itu benar, pertanyaan munkar dan nakir itu benar, mahsyar Allah itu benar, syurga dan neraka itu benar. Maka berbahagialah mereka yang sentiasa ditemani al-Quran yang menjadi pembelanya ketika menghadapi sesi soal jawab malaikat Munkar dan Nakir, lalu kubur dilapangkan seluas mata memandang.

🔸Allah SWT lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Sesungguhnya Allah SWT jua lah yang Maha berkuasa membalas segala amal kamu. Allah SWT Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.