السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan. Tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh rasmi bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Hari Malaysia pula diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.
Masjid Mukim Padang Enggang juga tidak ketinggalan mengadakan Program Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini. Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini agak meriah. Pada tahun ini 16 September 2022 jatuh pada hari Jumaat. Sehubungan dengan itu pihak jawatankuasa Masjid Mukim Padang Enggang telah mengadakan aktiviti membersih Tanah Perkuburan Islam Jias pada pagi jumaat bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Aktiviti gotong royong anak mukim padang enggang itu turut disertai oleh seramai 13 anggota PDRM Kota Bharu.
Penyertaan anggota PDRM dalan gotong royong itu juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali polis dengan lebih dekat dengan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada polis untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Mereka menonjolkan imej polis yang mesra dan bertimbang rasa serta komited menyantuni masyarakat. Hubungan polis dan rakyat ibaratkan bagai aur dengan tebing yang saling membantu, saling memerlukan dan saling mengukuhkan antara satu sama lain. Kita patut rasa bangga dengan komitmen anggota PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara dan keperihatinan mereka kepada masyarakat. Ini memang bertepatan dengan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Selesai saja aktiviti gotong royong membersih kubur, peserta balik awal sikit untuk membersihkan diri, memakai pakaian yang sesuai dan bersegera pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu jumaat.
Foto-foto sekitar program pada 17 September 2022:
Semoga program sebegini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan dan dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program ini juga dapat menyemai semangat patriotisme dan nilai murni melalui gaya hidup bermasyarakat serta memupuk semangat jati diri dan cintakan negara. Sesungguhnya program ini dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat dengan mendekati dan berkenalan antara satu sama lain dalam suasana masyarakat yang harmoni, sopan santun dan berbudi bahasa.
Ini merupakan sebahagian dari proses pengukuhan jati diri dan pembangunan modal insan dalam usaha untuk menarik anak mukim padang enggang terutama remaja untuk datang mendekati masjid mengikuti program agama dan seterusnya meramaikan lagi bilangan jemaah melakukan solat fardhu setiap waktu di masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.