disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Ahad, 9 Oktober 2011

Arwah Emak Masih Kekal Dalam Ingatan


Tok Che dan Mok Wa bergambar bersama anak, 
cucu serta menantu (foto awal 1960an)

Emak kami, Jah binti Hassan dilahirkan pada tahun 1934. Panggilan mesranya Mak Su. Merupakan anak bongsu dari 7 beradik (4 lelaki dan 3 perempuan) daripada perkahwinan Pak Chu Hassan Tok Teras dan Sepiah binti Hassan iaitu Tok Che dan Mak Wa kami. Emak berkulit cerah, sederhana tinggi, pemurah, peramah, murah dengan senyuman serta seorang yang penyayang.

           
Rumah tempat keluarga kami berteduh telah dibina
  pada tahun 1956, masih lagi utuh dan boleh didiami  
      
Pada zaman remajanya emak kerap berkunjung ke rumah kakaknya Mariam yang juga mak saudara kami yang bersuamikan anggota polis, Sarjan Wan Mahmud (No Anggota: 7891) yang telah bertugas sebagai Ketua Polis Balai dibeberapa balai polis di negeri Kelantan sekitar tahun 1940an. Di rumah mak cik mariam emak belajar memasak dan menjahit. Ini adalah sebagai persiapan untuk menempuh alam rumahtangga. Kebolehan memasak dan menjahit yang emak perolehi sekurang-kurangnya mampu menampung keperluan keluarga sendiri.


Diawal perkahwinan emak dan ayah menetap di Kampung Tini, Pasir Hor bersama nenek. Pada masa itu nenek kami merupakan ‘Tukang Gulai’ tersohor dikawasan tersebut. Nenek juga adalah besan kepada Tok Guru Hj Abdullah Tahir Pengasas Pondok Bunut Payong.

Gulai Bakok
                                       
Sepanjang berada di Kampung Tini, Pasir Hor selama 2 tahun emak sempat belajar beberapa resipi masakan termasuklah Gulai Bakok dan juga Taucu. Sehingga ke hari ini hidangan ini menjadi kegemaran anak-anak hinggalah cucu-cucu. Sesekali apabila keluarga berkumpul, menu inilah yang menjadi pilihan untuk hidangan kami.









Hasil perkongsian hidup emak dan ayah kami, mereka dikurniakan 8 orang anak: 
Anak pertama:Ismail (meninggal 2007 - 57 tahun) 
Anak kedua : Mohd Pauzi (59 tahun) 
Anak ketiga: Ramli (meninggal semasa bayi) 
Anak keempat: Mohd Hashim (53 tahun) 
Anak kelima: Mohd Sayuti (50 tahun) 
Anak keenam: Rohani (47 tahun) 
Anak ketujuh: meninggal semasa lahir. 
Anak kelapan: Othman (42 tahun)




Dalam mendidik anak-anak emak mencurahkan sepenuh kasih sayang pada kami. Emak suka bercerita tentang pendudukan jepun di tanah melayu,dan cerita rakyat kepada kami. Cerita ‘Pakcik rimau’ antara cerita yang jadi kesukaan kami pada masa itu sehingga kini masih lagi terpahat diminda.  Aktiviti sebegini menghiburkan kami. Bagi kami emak adalah penghibur yang hebat.


Selepas ayah pencen, emak dan ayah menyempurnakan rukun islam ke lima bersama-sama dengan 6 orang keluarga terdekat menunaikan fardhu haji ke Mekah. Pada masa itu usia emak 49 tahun, itulah saat yang paling gembira buat emak setelah impiannya menjadi kenyataan.

Ayah dan emak tidak mengidap apa-apa penyakit. Mereka berdua masih sihat dan mampu berjalan jauh. Sesekali mereka dibawa oleh anak-anak dan menantu bersiar-siar di tempat menarik di seluruh Malaysia.





Kami adik beradik juga semuanya telah dewasa dan sudah mempunyai keluarga sendiri. Alhamdulillah tautan kekeluargaan kami bertambah erat. Tiada pernah berlaku pertelingkahan antara kami adik-beradik, malah kami bertolak ansur dalam semua perkara. Sesungguhnya masa dan peristiwa yang berlaku mematangkan kami dalam menempuh kehidupan yang penuh mencabar. Ini adalah hasil pengorbanan emak dan ayah yang telah mendidik kami supaya menjadi manusia yang bersyukur. 

Tanggal 22 Mac 2008 - Emak menghembuskan nafas terakhir jam 7:10 pagi pada usia 74 tahun. Kebetulan pada masa iitu ayah baru saja balik dari berjemaah solat subuh di masjid. Sebelum ke masjid emak masih sihat malah sempat mengingatkan ayah jemputan Hj Che Llah / Hjh Mek (Kg Ijok) untuk hadhir majlis cukur jambul cucu mereka selepas solat subuh. Kematian emak amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan ayah yang berusia 84 tahun keseorangan. Kami sedih kerana dengan kematian emak bermakna hilanglah satu lagi keberkatan dari Allah terhadap kami iaitu doa dari ibu terhadap kami, anak-anaknya. Walaupun begitu kami redha dengan segala ketentuan Allah SWT.
Hj Che Llah / Hjh Mek 


Kehidupan yang Allah pinjamkan kepada kita hanyalah sementara. Kita sebagai hamba hanya mampu berserah.... menunggu masa bila akan tiba giliran kita pula. Yang telah pergi, tak akan kembali lagi. Apa yang tinggal hanyalah kenangan yang pastinya takkan luput dan akan kekal sepanjang hayat.



Buat anak-anak dan semua pembaca fikir dan renungilah ungkapan berikut:

Hulurkan salam buat IBU, 
semasa IBU mampu menyambutnya.
Pimpinlah tangan IBU, 
semasa IBU masih boleh berjalan bersama-sama.
Tenunglah mata IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh melihat.
Bercakaplah dengan IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh mendengar.
Berilah ucapan sayang kepada IBU, 
semasa IBU masih lagi boleh faham.
Ingat dan kenanglah jasa IBU, 
semasa IBU masih ada.
Sesungguhnya pengorbanan 
IBU tak mungkin dapat dibalas.

Kehadhiran seorang ibu adalah anugerah yang tidak ternilai. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih ada. Dan doakan untuk mereka hingga ke hujung nyawa kita. Sekurang-kurangnya kita amalkan doa berikut: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيرًا

Maksudnya: 

Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.


Sebagaimana yang kita tahu doa adalah suatu ibadah. Doa juga boleh mendekatkan kita dengan Allah. Doa juga adalah zikir. Doa akan menjadi lebih bermanafaat sekiranya doa daripada anak kepada ibubapa. 
Justeru itu berdoalah kepada kedua ibubapa baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada. Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah jua.
Semoga Allah SWT akan kurniakan keberkatan, ketenangan dalam kehidupan dan dimurahkan rezeki kepada kita semua yang sabar dan istiqomah berdoa kepada Allah SWT setiap masa.



Catatan diari anakanda
Ahad 09 Oktober 2011



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.