disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Kampung Wakaf Che Yeh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kampung Wakaf Che Yeh. Papar semua catatan

Khamis, 30 Julai 2020

Kebenaran Mengadakan Solat Sunat Aidiladha 1441H Di Negeri Kelantan.


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) setelah mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri Kelantan. 


Semua jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan:
  1. Masjid dan surau hanya akan dibuka sejam sebelum waktu solat sunat Aidiladha dan ditutup selepas solat disempurnakan.
  2. Kehadiran individu yang datang bersolat perlu menggunakan aplikasi  Kod QR atau borang daftar hadir atau direkodkan di dalam buku kehadiran.
  3. Jumlah jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar selepas mengambil kira keperluan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah termasuk di anjung dan perkarangan masjid.
  4. Jemaah wanita dibenarkan hadir bersolat, keutamaan diberikan kepada jemaah lelaki sekiranya tempat bersolat di masjid tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi semua jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha.
  5. Jemaah yang bergejala atau yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.
  6. Bagi jemaah yang berumur 70 tahun ke atas juga dibenarkan dan mereka ditempatkan di tempat yang berasingan dari Jemaah lainnya.
  7. Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka dan perlu membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk di rumah.
Jawatankuasa masjid hendaklah mempunyai petugas yang mencukupi bagi mengawal disiplin jemaah yang datang menunaikan solat sunat Aidiladha. Apabila tiba di masjid, jemaah perlu masuk dan keluar masjid mengikut giliran dengan beratur selain menjaga penjarakan yang terkawal. Apabila selesai menunaikan solat, jemaah tidak dibenarkan bersalaman antara satu sama lain serta tidak boleh berkumpul samada di dalam atau di luar masjid.

Dari grup whatsapp Rakan Masjid
Masjid Mukim Padang Enggang. 


Bermula 1 Ogos 2020, kerajaan menguatkuasakan pemakaian pelitup muka di tempat tumpuan awam yang sesak dan di dalam pengangkutan awam. Arahan kerajaan mewajibkan pelitup muka di tempat awam yang sesak dan ketika menggunakan pengangkutan awam adalah satu langkah yang wajar, ketika banyak negara lain turut menguatkuasan pemakaian pelitup muka apabila kes Covid 19 mula menunjukkan peningkatan.



KERAJAAN mewajibkan pemakaian pelitup muka semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum mulai 1 Ogos ini. Walaupun tidak selesa memakai pelitup muka, tapi ia dapat melindungi kita daripada dijangkiti. Amalkan juga penjarakan sosial serta jaga kebersihan diri dengan kerap dengan membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau pakai hand sanitizer ketika di luar. RM1,000 boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Jumaat, 24 Julai 2020

Cadangan Tapak parkir - Masjid Mukim Padang Enggang.




السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Masjid Mukim Padang Enggang dibina pada tahun 1959. Masjid yang dibangunkan di kampung Wakaf Che Yeh pada masa itu hanya dapat menampung bilangan jemaah seramai 250 orang. Kampung Wakaf Che Yeh yang dulunya ketinggalan, membangun dengan pesat dan penduduk terus bertambah dari masa ke semasa. Penduduk yang semakin bertambah memerlukan tambahan ruang untuk solat. Justeru itu Masjid terus diperbesarkan seiring dengan perubahan masa. 

Kini pertambahan jemaah di Masjid Mukim Padang Enggang telah melebihi 1000 orang pada setiap kali solat jumaat. Sejak akhir-akhir ini terdengar banyak runggutan dari Jemaah tentang tempat parkir kereta.


Ketiadaan ruang tempat letak kereta mencukupi kawasan Masjid Mukim Padang Enggang sudah berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu. Dari tahun ke setahun isu ini tiada penyelesaian, malah semakin serius. Jumlah kenderaan jemaah semakin bertambah, tetapi jumlah petak parkir masih sama. Setiap kali Jumaat, para Jemaah menghadapi masalah dengan tempat letak kereta, mereka meletak kereta di perkarangan masjid yang jumlahnya amat terhad. Mereka juga tiada pilihan melainkan terpaksa meletak kereta mereka di bahu-bahu jalan sehingga menimbulkan kesesakan dan halangan lalulintas sekitar laluan ke Masjid Mukim padang Enggang. 



Sebagai alternatif, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Padang Enggang telah dibentuk untuk menangani masaalah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk membeli separuh bahagian daripada sebidang tanah bernombor Lot 688 yang berkeluasan 730 depa iaitu bersamaan dengan 31798.8 kaki persegi. Lokasi tanah Lot 688 hanya bersebelahan dengan Lot 687 iaitu tapak bangunan masjid. 

Setelah mendapat persetujuan dari Imam Tua Masjid Mukim Padang Enggang, beberapa tabung infaq akan diletakkan di pintu masjid pada setiap kali solat jumaat bermula pada jumaat minggu depan iaitu pada 31 julai 2020.                                                                                                    

Berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa adalah menjadi kewajipan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan. sebagai seorang anak, apakah hadiah dan penghargaan terbaik yang dapat kita berikan tanda kasih dan sayang kita kepada kedua ibubapa kita? 

Antaranya ialah bersedekah jariah seperti derma kepada pembinaan masjid, mewakafkan tanah untuk tapak masjid/ perkuburan, derma pakaian atau makanan kepada rumah anak yatim dan niatkan segala pahala untuk kedua ibu bapa samaada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Pahala itu juga akan kita perolehi dan tidak dikurangkan walaupun sedikit.

Rebutlah peluang ini... untuk kita berbakti kepada mereka yang telah banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada kita. Sayangilah ketika mereka masih ada atau ketika mereka telah meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W bersabda:

Apabila anak adam itu mati maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak soleh yg mendoakannya.

(HR Muslim) 

Sebarang derma/infaq untuk tujuan pembelian/pembinaan tapak parkir Masjid Mukim Padang Enggang boleh hubungi: 
  1. Pengerusi  –  Zakaria Salleh (013- 9845014)
  2. Bendahari  –  Hj Zahari Zakaria (012-9819027)
  3. Setiausaha – Zainuddin Yaacob (013-9800829)
Allah beri kita cukup sifat, kekuatan, kesihatan supaya kita dapat cari dan kumpul harta untuk kesenangan kita dan keluarga. Simpan harta banyak-banyak di dunia…tapi jangan pula kita lupa simpanan untuk akhirat. Apa guna harta banyak di dunia, tapi tak gunakan untuk infaq ke jalan Allah. Kita hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia hanyalah tempat persinggahan sementara sambil membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat nanti.

Sedekah dan infaq lah ke jalan Allah…rezeki kita akan jadi berkat. Jika rezeki kita berkat, insyaAllah kita akan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Setiap kali kita infaq di jalan Allah, sebenarnya kita sedang melakukan segala kebaikan itu kepada diri kita sendiri, di akhirat nanti kita akan melihat himpunan pahala dari infaq yang telah kita lakukan di dunia.


Kerja pembersihan tapak yang melibatkan 
kerja-kerja membuang tumbuh-tumbuhan liar 
giat dilakukan dengan mengunakan jentolak.

Sesungguhnya mereka yang beriman kepadaNya dan hari akhirat pastinya tidak akan melepaskan peluang ini. Mereka akan menginfaqkan harta mereka di jalan Allah SWT, Sekiranya dia kaya, dia akan menginfaq harta dengan banyak. Sekiranya dia kurang berharta, dia akan menginfaqkan sekadar kemampuannya. Infaq tetap dilakukan dalam apa jua keadaan tanpa banyak alasan, tanpa tunduk atau mengiakan hasutan syaitan...

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 268



Yang bermaksud:

Syaitan itu menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji (bakhil, kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. 

Semakin hari kita semakin menjauh dari alam dunia untuk menuju alam akhirat. Kita di dunia hanya menunggu masa dan ketikanya dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Betapa ruginya kita jika biarkan masa berlalu tanpa memikirkan hidup kita selepas mati. Sudah cukupkah bekalan atau amalan baik yang kita lakukan atau kita masih lagi terlena dalam buaian dunia yang akhirnya boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Alangkah ruginya kerana kesemuanya itu akan kita tinggalkan.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 64:


Yang bermaksud:

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” 


Fikir-fikir dan renung-renungkanlah... والله أعلمُ بالـصـواب

Khamis, 23 Julai 2020

CIK NIE KITCHEN: Daging Kerutuk Bakok 😋😋

                                      السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Manusia secara umumnya mempunyai pilihan untuk berbuat kebaikan atau pun berbuat jahat. Mereka berhak mendapatkan pahala atas kebaikan dan juga hukuman atas kejahatan yang di lakukannya. Jika pahala itu kita boleh dilihat nilainya, sudah tentu ramai yang berlumba-lumba untuk membuat amalan yang baik. Terlalu banyak amalan kebaikan yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan pahala. Kebaikan ini tidaklah semestinya kena berdakwah melalui media sosial. Ramai yang beranggapan begitu. Nak buat pahala, tidaklah sesukar mana pun. Jika diikutkan, senang sangat nak dapat pahala iaitu hanya dengan membuat apa saja yang baik-baik dan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada orang lain. Amalan kebaikan ini mampu kita dilakukan dan tidaklah memerlukan keluar tenaga sampai kepenatan.

Memasak atau mengajar masakan kepada jiran pun dikira perbuatan baik. Dengan menggunakan telefon android, Ciknie dibantu oleh anak bongsunya Mohd Amirul untuk rakam video masakannya dan menyiarkan dalam media sosial. Nawaitunya hanya untuk membantu golongan wanita khususnya mereka yang ada minat dan yang baru berjinak dalam masakan. Amalan baik itu Ciknie dilakukan sekadar kemampuannya untuk mendapat ganjaran pahala. Allah tidak akan mensia-siakan segala amalan baik yang dilakukan sekiranya ikhlas. Mungkin sahaja amalan baik ini yang kita nampak kecil, tetapi ianya mampu menjadi penyebab untuk terpilih menjadi penghuni syurga kelak. Apabila kita berkongsi ilmu atau ajar orang lain dan mereka menggunakannya, kita akan mendapat pahala berterusan walaupun sudah meninggal dunia.

 

Jangan lupa video dari Cik Nie Kitchen seterusnya di youtube channel:

https://www.youtube.com/channel/UCC4Dq6XoLpNS248q6lJmYiw/videos


Cik Nie & Famili

  

Isnin, 20 Julai 2020

Larangan Ke atas Seseorang Yang Hendak Melakukan Ibadah Korban

Foto beberapa ahli keluarga yang menyertai
ibadah korban beberapa tahun yang lalu.

Apabila tibanya 1 Zulhijjah maka disunatkan untuk tidak memotong kuku, rambut serta bulu-bulu yang berada di badan sehinggalah selesai dia melakukan ibadah korban tersebut..  Justeru itu potonglah siap-siap sebelum masuknya bulan Zulhijjah.

Bagi tahun 2020 ini, 1 Zulhijjah 1441 ialah pada waktu maghrib, hari Rabu, 22 Julai 2020. Manakala tarikh Hari Raya Aidiladha pula jatuh pada hari Jumaat, 31 Julai 2020 (10 Zulhijjah 1441).

Larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

Larangan ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah Radhiallhuanha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا

Maksudnya: 

Apabila masuknya sepuluh (hari zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.

Riwayat Muslim (1977)


Link rujukan: Al Kafi li al-Fatawi 

Ahad, 28 Jun 2020

Koleksi Hadith - Kelebihan Mempelajari al-Qur’an dan Mengajarkannya.


Daripada Uthman RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya."  
(Hadith riwayat al-Bukhari, No. 5027, Abu Dawud, No. 1452, at-Tirmizi, No.2907)

Matan Hadith:

عَنْ عُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ.
تخريج : [صحيح البخاري , كِتَاب فَضَائِلِ الْقُرْآنِ , بَاب خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ, حديث رقم 5027].


Pengajaran hadith:
  1. Al-Qur’an adalah firman Allah SWT yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, yang tertulis di dalam mushaf, dinukil daripadanya secara mutawatir dan diberikan ganjaran pahala beribadah apabila membacanya.
  2. Umat Islam dituntut mempelajari al-Qur’an sama ada untuk memperbetulkan bacaannya atau memahami isi kandungannya sebagai pedoman dalam kehidupan.
  3. Apabila seseorang Muslim mempelajari al-Qur’an maka Allah SWT akan mengurniai kemuliaan dan kelebihan yang besar. 
  4. Manakala bagi mereka yang mahir dengan al-Qur’an dituntut mengajarkannya kerana Allah SWT akan memberikan kepadanya kemuliaan sebagai ahli al-Qur’an.


Jumaat, 5 Jun 2020

Solat Jumaat 40 Jemaah Di Masjid Mukim Padang Enggang Dibenarkan Bermula Hari ini, 5 Jun 2020.


Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dengan perkenan Tuanku Sultan telah meluluskan Solat Jumaat dengan bilangan 40 orang jemaah bermula hari ini jumaat 5 Jun 2020. Kebenaran menunaikan solat Jumaat di masjid ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
Syukur kehadhrat Allah SWT kerana sekian lama tidak dapat bersolat Jumaat di Masjid Mukim Padang Enggang, akhirnya ambo dan beberapa rakan masjid yang lain telah terpilih dan dapat melakukan solat jumaat pada hari ini dengan izinNya. 

Pengurusan Masjid perlu mengambil langkah yang telah ditetapkan bagi menyekat risiko penyebaran Covid-19. Pelaksanaan solat Jumaat ini mestilah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebagaimana berikut:
  • Memastikan hanya pegawai-pegawai masjid iaitu Imam Tua, Imam Muda, Bilal, Siak, Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja yang dibenarkan. Bilangan ahli jemaah tidak melebihi jumlah 40 orang.
  • Pemilihan Jemaah yang terdiri dalam kalangan anak mukim hendaklah ditentukan terlebih dulu oleh pengurusan masjid bagi mengelakkan kekeliruan dan perselisihan antara ahli jemaah berkenaan.
  • Aliran pengudaraan di dalam ruang solat perlu dijaga dengan membuka semua pintu, jendela dan menggunakan kipas angin dan tidak dibenarkan memasang alat pendingin hawa.
  • Kebenaran pelaksanaan solat fardu Jumaat ini tertakluk kepada kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid.
  • Jemaah yang terpilih hendaklah mendaftarkan kehadiran mereka di dalam buku pendaftaran yang disediakan di pintu masuk ke ruang solat masjid.
  • Saringan suhu kepada para jemaah yang hadir perlu dibuat. Mereka yang mempunyai bacaan suhu lebih 37.40 darjah celsius adalah tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid.
  • Menyediakan cecair pembasmi kuman, pemakaian topeng muka serta mepastikankan para jemaah membawa sejadah dan mengambil wudhuk sebelum datang ke masjid.
  • Membuat penjarakan sosial satu meter antara satu Jemaah dengan Jemaah yang  lain.
  • Warga emas melebihi umur 70 tahun dan kanak-kanak tidak dibenarkan hadhir.
  • Jemaah yang bergejala seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak tidak dibenarkan menghadiri solat Jumaat.
SOP sebagaimana diatas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid. Kegagalan untuk mematuhi SOP boleh membawa kepada penarikan balik kebenaran atau apa-apa tindakan dari pihak berwajib.








Ya Allah Ya Tuhanku. 
Aku memohon ampun kepada Allah untuk mukmin dan mukminat...
              
استغفر الله للمؤمنين و مؤمنات
استغفر الله للمؤمنين و مؤمنات
استغفر الله للمؤمنين و مؤمنات

Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim.

Engkau ampunilah dosa-dosa kami.

Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami.

Engkau lindungilah hamba-hambaMU yang kerdil ini dari segala musibah.

Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang berbahaya dan wabak yang 
mengancam nyawa.

Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.


Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim.

Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaanMU yang berat ini.

Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami.

Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami, Ya ALLAH, tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepadaMU,


Ya ALLAH Ya Rahman Ya Syaafi.

Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak koronavirus walau di mana sahaja mereka berada.

Sesungguhnya, tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya ALLAH.

Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya ALLAH.

Kami bermohon kepadaMU Ya ALLAH.

Lindungilah kami.

Selamatkanlah kami.

Sejahterakanlah hidup kami..

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً
      وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً
         وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
    آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن

Putera Kami, YUSUF KHALISH Telah Menemui Pemiliknya Yang Abadi.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kepada semua ahli keluarga dan sahabat handai. Dukacita dimaklumkan bahawa Putera kami, YUSUF KHALISH BIN MUHAMAD IKHWAN telah kembali menemui pencipta-Nya pada pagi Jumaat, 5/6/2020 bersamaan 14 Syawal 1441H selepas satu jam dilahirkan.

Putera kami, YUSUF KHALISH dengan wajah suci bersih, tanpa sepalit dosa telah menjadi insan terpilih yang insyaallah menjadi penghuni Syurga. Sebagai ibu dan bapa, kami redha dengan Qada' dan Qadar Mu..Ketentuan Mu..Segala apa yang telah Kau tentukan. 

….tentunya pada saat ini Putera kami, Yusof Khalish sangat gembira dan berbahagia di “alam sana”..di bawah LindunganMu Ya Allah…di bawah RahmatMu Ya Allah…. Semuga semua ahli keluarga kami di sini juga sahabat handai semua sentiasa dirahmati dan diberkati Nya.... InsyaAllah.

Terima kasih atas doa dan sokongan dari semua. Alhamdulillah Yusuf Khalish telah selamat dikebumikan oleh datuknya di Tanah perkuburan Islam Jias, Wakaf Che Yeh. Kota Bharu.

Semoga kehadiran dan pemergian Yusuf Khalish sentiasa menjadi kenangan terindah buat famili kami di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu dan di Berangan, Tumpat, Kelantan...


أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه

'Aku meminta ampun pada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan selain Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat kepadaNya.'







💌
Ikhwan & Nazirah
Bertarikh: 5 Jun 2020.

Sabtu, 30 Mei 2020

Cantik Susunan Bahasanya...


Dalam menjalani kehidupan ini kita seringkali melakukan kesalahan dan dosa. Setiap manusia tak pernah luput dari dosa. Mata sering melihat yang haram, lidah sering bicara yang tidak benar, berdusta, melaknat, sumpah palsu, menuduh, membicarakan aib sesama muslim, mencela, mengejek, menghina, mengadu-domba, memfitnah, dan lain-lain.

Akan tetapi tidak baik apabila kesalahan-kesalahan itu berulang-ulang dilakukan. Untuk mengurangi atau meninggalkan kesalahan-kesalahan tersebut memerlukan nasihat. Nasihat dari para ustaz dalam majlis ilmu,  nasihat dari orang tua, kawan-kawan maupun dari hati kecil kita sendiri.

Berikut ini adalah sedikit catatan berupa nasihat tentang kehidupan. Catatan yang menarik yang saya perolehi dari grup whatsapp untuk dikongsi bersama:

Kita diberi rezeki bangun berqiyamulail, maka bersyukurlah, 
tapi jangan dipandang rendah orang yang tidur, kerana dia mungkin tidur dengan air mata taubat dan penyesalan.

Kita diberi rezeki gagah berpuasa sunat, maka bersyukurlah, 
tapi jangan pandang rendah insan yang belum mampu istiqomah berpuasa sunat, siapa tahu pahala sedekah secara sembunyinya diangkat ke langit.

Kita diberi rezeki mampu khatam Al-Quran sebulan sekali, maka bersyukurlah, 
namun jangan diejek- ejek, disindir insan yang masih merangkak- rangkak dengan muqaddamnya. Siapa tahu Allah lebih mencintainya yang istiqomah belajar mengaji dengan segala kepayahannya.

Kita diberi rezeki dengan harta dunia dan mampu bersedekah jariah, maka bersyukurlah, 
namun jangan dihina si miskin yang tidak mampu memberi kerana kekurangannya. Mana tahu mulutnya tidak berhenti berzikir menjadi pahala sedekahnya.

Kita direzekikan lahir dari keluarga yang alim. Kecil- kecil sudah mantap imannya, sudah sempurna menutup auratnya, sudah sempurna solat, bacaan Al-Quran dan hadisnya. Maka bersyukurlah, 
tetapi jangan dihina anak- anak yang lahir dalam keluarga yang porak- peranda. Kita tidak tahu pahala yang diberi Allah atas payah jerihnya mereka mencari agama.

Bersyukurlah andai kita diberi rezeki beramal ibadah, 
namun ibadah itu hancur sama sekali saat kita berasa hebat dengannya dan meremehkan orang lain.

Ingatlah sejarah Iblis Laknatullah yang hebat ibadahnya namun terhumban keluar kerana satu titik......
SOMBONG

#muhasabahbuatdiriku
#allahuakbar
#Salam Asar

Khamis, 28 Mei 2020

Tuntutan Kepada Orang Beriman


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
 "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." 
(HR Bukhari No: 5673) 


Pengajaran hadis:
  1. Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
  2. Menyuburkan tali persaudaraan mengeratkan hubungan silaturahim adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
  3. Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di tularkan).
  4. Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di tularkan, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri. 

Ambillah peluang semasa berkeadaan sihat untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah dengan ahli keluarga. Begitu pentingnya bagi kita menjaga silaturahim dalam Islam. Malah, Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan berkenaan. 

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: 
“Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Walaupun mengetahui kewajipan menyambung tali silaturahim antara sesama Muslim, namun pada hakikatnya masih ada ramai umat Islam yang sombong dan bangga diri. Orang yang sombong akan merasakan dirinya lebih tinggi dari orang lain. Setiap pendapat, pandangan dan cadangan orang lain semuanya dilihat lebih ’rendah’ dan tidak perlu diberikan perhatian. Bila tidak bersependapat dalam sesuatu perkara, jalan keluarnya adalah dengan mengelak dari bersemuka...akhirnya hubungan jadi semakin renggang. 
Ada juga yang terputus tali persaudaraan kerana berlakunya perbezaan fahaman politik, perebutan harta pusaka atau pun lain-lain perkara berkaitan hal keduniaan. 

Jumaat, 14 Disember 2018

Lorong Paksu Haji Deris

Anak mukim Padang Enggang makin bertambah. Mengikut bancian zakat fitrah tahun lepas ianya telah melebehi 5000 isirumah. Menyedari keperluan penduduk yang semakin meningkat ianya memerlukan penempatan baru. Justeru itu Lorong Paksu Haji Deris yang menghubungkan Lorong Madrasah dengan Lorong Kampong Dusun telah dilebarkan lagi menjadi 10 kaki. Kerja melebar laluan ini dilakukan secara gotong royong oleh penduduk kampong.


Sebuah jawatankuasa bertindak yang diwujudkan oleh En Hassan dan dibantu oleh En Ramli Mohd telah berjaya mendapatkan 20 lori batu kasaran (crusher run) dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Bunut Payong melalui Penghulu Mukim Padang Enggang, En Zakaria Salleh. 

Permohonan mereka seterusnya yang bertarikh 18 ogos 2016 untuk mendapatkan 5 penutup longkang konkrit dari Jabatan Parit Dan Saliran Kelantan mendapat kelulusan segera dengan kerjasama dan bantuan teknikal mantan Pengarah Jabatan Parit Dan Saliran, Dato Mat Rahim Ismail. 

Dato Mat Rahim Ismail


Kerja-kerja merata batu kasaran dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu. Manakala kerja memasang lima penutup konkrit pada longkang pula dilakukan oleh pihak Jabatan Parit Dan Saliran. Setelah semuanya siap dilaksanakan telah membolehkan lori kecil keluar masuk membawa barangan keperluan binaan melintasi longkang air buangan dari pekan Wakaf Che Yeh ke sungai ijok. 

Dengan adanya kemudahan pengangkutan keluar masuk, kawasan ini dijangka akan jadi tumpuan anak Mukim Padang Enggang untuk membina rumah kediaman setelah Lorong Masjid Padang Enggang dan Lorong Madrasah serta kawasan yang berdekatan sudah agak padat dengan penduduk.


Lorong Paksu Haji Deris sebelum
penambakan batu kasaran

En Hassan (berkopiah) dan En Ramli (bertopi)
tekun memerhati kerja merata jalan dilakukan



Lampu jalan dipasang pada tiang letrik (TNB) 
menjadikan laluan sekitar kawasan ini 
terang benderang pada waktu malam


Laluan yang melintasi longkang dilebarkan bagi
memudahkan kenderaan keluar masuk melalui 
Lorong Paksu Haji Deris 

Laluan yang sebelum ini sunyi sepi.. kini sudah
kedengaran deruan enjin kenderaan setiap hari

Sebuah banglo di Lorong Paksu Haji Deris
yang masih dalam pembinaan











Rujukan: Fail