Bila mendengar sahaja ada kematian, ramai berpusu-pusu datang menziarahi jiran untuk bertanya khabar. Namun ketika hayatnya masih ada ramai juga yang buat tidak ambil peduli akan kesusahan jiran yang diuji dengan kesakitan di rumah atau terlantar di hospital. Itulah ragam manusia terlalu sibuk memikirkan hanya untuk menyelesaikan urusan keluarga dan kerjaya mereka semata-mata.
Walhal keutamaan menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada saudara mara, sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang pernah bermusuhan atau pernah menyakiti hati kita.
Seusai solat zohor tadi kami menziarahi Sdr. Hanafi rakan jemaah yang sakit.
Kita hidup bermasyarakat tidak sepatutnya memikirkan kepentingan diri dan keluarga kita saja iaitu bersenang-lenang tanpa memikirkan sedikit pun nasib jiran dan anggota masyarakat sekeliling yang mungkin dalam kesusahan atau ditimpa musibah. Kalau sudah namanya hidup bermasyarakat, pastinya kita kena ambil tahu keadaan di sekeliling terutama jiran berhampiran. Amalan menziarahi orang sakit adalah hak yang mesti ditunaikan buat orang yang sihat.
Diriwayatkan daripada Thawban r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عَائِدُ الْمَرِيضِ فِي مَخْرَفَةِ
الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ
Maksudnya:
“Orang yang menziarahi pesakit akan berada di kebun
buah-buahan syurga sehingga ia pulang (daripada ziarah).”
(Riwayat Muslim: 2568)
Antara amalan yang mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupan adalah berbuat kebajikan sesama jiran. Sekiranya kita melakukan kebaikan serta melaksanakannya dengan penuh keikhlasan, nescaya timbul perasaan senang dan bahagia secara semula jadi dalam sanubari.
Kebahagiaan datang kepada kita apabila kita saling menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan orang lain. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mengambil peduli dan saling membantu, menziarahi orang sakit dan bertanya khabar serta mendoakan kesejahteraan dan membantu memenuhi keperluannya. Kehadiran kita itu pastinya akan meninggalkan kesan kepada jiwanya yang sedang sedih dan berduka.
InsyaAllah, moga-moga kita semua anak Mukim Padang Enggang dapat meneruskan amalan menziarahi orang sakit sepertimana yang dah jadi amalan generasi terdahulu.
Mungkin hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari kita. Semoga
kehadiran kita semasa menziarah dapat memberi kegembiraan kepada pesakit dan
memperkukuhkan hubungan silatulrahim sesama kita. Wasalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.