Oleh Ahmad Abd Hamid
MUNGKIN Pak Hassan sudah tiada, pergi menemui Ilahi. Tetapi
masih terbayang jelas di ruang mata penulis wajah seorang lelaki bertubuh
sederhana, dalam lingkungan umur pertengahan 40-an ketika itu, sekitar hujung
tahun 60-an.
Penulis tidak pernah bertanya nama penuhnya. Perawakannya
serius dan pendiam. Tetapi di sebalik wajah serius itu, beliau seorang yang
mesra dan mudah tersenyum. Bila berbual tutur katanya lembut, dan kadang kala
diiringi dengan jenaka mencuit hati.
Kenangan kepada Pak Hassan mengembalikan nostalgia penulis
ketika menonton wayang pacak Jabatan Penerangan di padang Sekolah Kebangsaan
Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk Perak, di mana penulis belajar dari 1962
hingga tamat Darjah Enam pada 1967.
Pak Hassan adalah individu yang memainkan peranan utama
mengendalikan tayangan wayang pacak tersebut. Beliau memandu van Jabatan
Penerangan. Beliau juga yang bertindak selaku projector man atau tukang tayang
filem. Biasanya Pak Hassan ditemani oleh seorang kakitangan Jabatan Penerangan.
Tidak ada jadual khusus kedatangan wayang pacak ini. Tetapi
apabila van Jabatan Penerangan sampai ke deretan kedai di kampung, di tepi
jalan utama Teluk Anson (Teluk Intan)-Bagan Datuk, itu petanda malam itu ada
wayang pacak di padang sekolah.
Berita ini segera tersebar bukan sahaja ke seluruh kampung,
tetapi kampung-kampung berdekatan. Detik ini begitu menggembirakan. Semua
teruja untuk menonton kerana ketika itu wayang pacak dianggap saluran hiburan
utama untuk penduduk kampung.
Menjelang petang, ketika Pak Hassan sibuk mendirikan tiang
untuk memasang layar putih, ramai sudah mula datang ke padang sekolah, terutama
kanak-kanak, termasuk penulis dan kawan-kawan. Seronok sungguh bermain
sementara menanti malam.
Selepas maghrib, semakin ramai datang bersama keluarga, lengkap membawa tikar untuk alas tempat duduk, juga makanan dan minuman untuk dijamah sambil menikmati tayangan filem. Ada juga remaja yang mengambil kesempatan bertemu kekasih.
Tayangan dimulakan dalam pukul 8 malam. Kerana ketika itu
tidak ada bekalan elektrik, Pak Hassan menggunakan generator untuk menayangkan
filem. Orang ramai yang memenuhi padang bersorak sebaik sahaja Pak Hassan
memutarkan filem pertama. Masing-masing menumpukan perhatian ke layar putih.
Penulis lebih suka berada dekat van menyaksikan Pak Hassan
bekerja. Menyaksikan penuh minat bagaimana beliau mengeluarkan gulung filem
dari bekasnya dan kemudian memasangnya ke projektor. Sambil itu bertanya
macam-macam kepada Pak Hassan.
Antara yang penulis ingat ialah bertanya bagaimana gambar
‘mati’ atau still dalam filem boleh bergerak apabila dipancarkan ke layar
perak. Pak Hassan tersenyum menjawab. Tetapi bagi penulis jawapannya teknikal,
sukar difahami. Cuma ingat beliau ada menyebut mengenai banyak frames dalam
filem bagi sesuatu pergerakan.
Filem-filem yang ditayangkan adalah keluaran Filem Negara
Malaysia (FNM) dengan logo Harimau.
Kesemuanya hitam putih, merangkumi filem cereka dan dokumentari. Penulis
masih ingat antara filem cereka ini bertajuk Tongkat Hitam.
Selain hiburan, wayang pacak Jabatan Penerangan adalah juga
saluran maklumat. Kerana itu filem-filem dokumentari ditayangkan untuk memberi
maklumat dan penerangan kepada orang ramai mengenai perkembangan dalam dan luar
negara.
Jika ada isu semasa yang hendak disampai atau dijelaskan,
staf Jabatan Penerangan yang datang bersama Pak Hassan akan menyampaikannya
melalui ceramah antara 15 minit hingga setengah jam. Ini dilakukan pada waktu
rehat atau break.
Biasanya jumlah filem ditayangkan empat hingga lima filem,
bergantung kepada anjang mana satu-satu filem. Setelah dua filem, Pak Hassan
berhenti rehat. Pada waktu inilah kakitangan Jabatan Penerangan menyampaikan
ceramah. Selepas itu tayangan disambung.
Ketika itu saluran hiburan dan maklumat melalui Jabatan
Penerangan dianggap kaedah terbaik menghibur dan mendidik, terutama di kawasan
pedalaman yang agak tersisih daripada sumber hiburan dan maklumat lain. Tidak
ramai mempunyai radio, apatah lagi TV yang dianggap barang mewah.
Tayangan wayang pacak selesai lebih kurang pukul 11 malam,
ketika ada anak yang sudah tertidur di pangkuan. Namun semua pulang dengan suka
hati dan terhibur. Penulis dan kawan-kawan pula
menunggu sehingga Pak Hassan selesai mengemas barang dan peralatan. Selepas
beliau pulang, barulah penulis bergerak pulang.
Penduduk kampung sentiasa menunggu kemunculan Pak Hassan
dan wayang pacaknya yang akan datang. Tidak tentu tarikhnya. Mungkin selepas
tiga atau empat bulan kemudian, dengan filem-filem lain pula.
Masa mengubah banyak perkara. Tiada lagi wayang pacak Jabatan Penerangan masa ini. Generasi kini tidak dapat merasainya. Kenangan terhadap Pak Hassan dan wayang pacak sangat menyentuh hati. Ia tetap tersimpan dalam ingatan abadi.
Kredit: -BebasNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.