Oleh MUSTAQIM MOHAMED 26 November 2023, 2:16 pm
Keadaan laluan utama di Kampung Padang Enggang, Wakaf Che Yeh di Kota Bharu yang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan petang semalam. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!
KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan
pelan hidrologi dan sistem saliran bandar bagi mengatasi masalah banjir kilat
di sekitar daerah ini terutamanya di Wakaf Che Yeh dan Tunjong di sini.
Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan
Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pelan itu melibatkan
kerja-kerja naik taraf Sungai Seribong dan tali air milik Lembaga Kemajuan
Pertanian Kemubu (Kada) untuk dijadikan sebagai saliran.
Menurutnya, pembinaan dua kolam takungan dengan setiap satu
berkeluasan 11.112 hektar dan 5.84 hektar itu bagi mengumpulkan air dari
longkang dan saliran dalam kawasan pembangunan sebelum dilepaskan ke laut.
“Selain itu, kita akan membina dan naik taraf longkang
termasuk saliran sedia ada ke kawasan tadahan dan ‘invert level’ seperti yang
diperakukan oleh kajian hidrologi dan sistem saliran.
“Kerajaan negeri juga akan meninggikan aras pelantar tapak
kawasan pembangunan agar semua tapak pembangunan berada pada aras selamat
banjir,” katanya ketika menjawab soalan Shaari Mat Yaman (Pas-Bunut Payong)
pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari
ini.
Mengulas lanjut, Izani memberitahu, selain itu, Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra
Alam (Pisma) di daerah ini bagi mengenal pasti punca kejadian banjir kilat.
Katanya, ia akan dijadikan sebagai rujukan dalam merancang infrastruktur saliran, langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang secara komprehensif bagi menangani kejadian banjir kilat dikawasan tersebut.
“Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan
Fasa 1 sedang dilaksanakan oleh JPS dengan nilai RM480 juta.
“Ia melibatkan tiga komponen utama iaitu Rancangan Tebatan
Banjir, Living River dan Saliran Mesra Alam.
“Kerja pembaikan Sungai Kelantan dan pembinaan benteng
sepanjang tiga kilometer (km) dari Kampung Tikat ke Kedai Buloh, Kota Bharu
(sambungan Fasa 1) dan 5.6 km dari Palekbang ke Kok Majid, Tumpat.
“Pembinaan benteng banjir sejauh 1.4 km di Kampung Laut,
Tumpat, Saliran Bandar Tunjong yang melibatkan kawasan sungai untui kerja-kerja
pengerukan Sungai Pengkalan Datu turut dijalankan. Selain itu, muara sungai
tersebut turut melalui proses pengukuhan tebing termasuk kerja-kerja Water
Treatment System di Sungai Pengkalan Chepa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.