Bulan Ramadan adalah bulan al-Qur’an dan Allah SWT memuliakan bulan ini kerana padanya diturunkan al-Qur’an. Ia adalah hadiah terhebat yang pernah Allah SWT anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Maka dengan itu adalah tidak wajar kita mensia-siakan peluang dalam merebut manfaat dan kelebihan daripadanya.
Penurunan ayat
al-Quran itu kemudiannya berterusan secara berperingkat-peringkat sehingga
lengkap keseluruhan 30 juzuk yang mengambil masa selama 23 tahun. Maka tidak
hairanlah pada Ramadan yang penuh keberkatan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk bertadarus
al-Quran. Inilah kesempatan bagi mereka membaca al-Quran secara berkumpulan, samaada di masjid atau di
surau.
Alhamdulillah, Biro Wanita Masjid Mukim Padang Enggang telah mengadakan Program Tadarus al-Quran Ramadhan 1445H di sepanjang Ramadhan dan telah selesai mengkhatamkan pada Khamis, 2 April 2024. Biro Wanita yang diketuai oleh Cikgu Jah @Hajjah Jah Bt. Drani telah berjaya menghimpunkan seramai 15 orang Jemaah dan mengadakan tadarus al quran setiap pagi selepas solat subuh secara istiqomah sejak tahun 2018.
Sekalung tahniah kepada Maksu Timah dan Kak Sabariah yang banyak mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga program ini capai kejayaan. Program yang bermanfaat ini bukan sahaja dapat beramal bersama-sama malah merapatkan ukhuwah antara satu sama lain. Mereka yang bertadarus al-Qur’an baik di masjid ataupun di surau hakikatnya mereka sedang menyambung tali persaudaraan sesama muslim yang lain.
Berikut beberapa foto yang dirakam seusai majlis khatam pada 02 April 2024 di Masjid Mukim Padang Enggang:
Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah wanita yang telah berjaya khatam, beriktikaf dan mengimarahkan masjid. Semoga Allah SWT melipatgandakan pahala kepada para hamba-Nya yang melazimi kehidupan mereka dengan al-Quran khususnya di bulan Ramadhan.
Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Banyak peluang dan kemudahan belajar al-Quran telah disediakan. Pilihlah mengikut keselesaan kita. Ramadhan ini sekurang-kurangnya mengingatkan kita kembali mendekatkan diri dengan al-Quran yang menjadi asas kesempurnaan diri seorang Muslim.
والله أعلمُ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.