Bulan Ramadan
adalah bulan al-Qur’an dan Allah SWT memuliakan bulan ini kerana padanya
diturunkan al-Qur’an. Ia adalah hadiah terhebat yang pernah Allah SWT
anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Maka dengan itu adalah tidak wajar
kita mensia-siakan peluang dalam merebut manfaat dan kelebihan daripadanya.
Penurunan ayat
al-Quran itu kemudiannya berterusan secara berperingkat-peringkat sehingga
lengkap keseluruhan 30 juzuk yang mengambil masa selama 23 tahun. Maka tidak
hairanlah pada Ramadan yang penuh keberkatan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk bertadarus
al-Quran. Inilah kesempatan bagi mereka membaca al-Quran secara berkumpulan, samaada di masjid atau di
surau.
Alhamdulillah,
Biro Wanita Masjid Mukim Padang Enggang telah mengadakan Program Tadarus
al-Quran Ramadhan 1445H di sepanjang Ramadhan dan telah selesai mengkhatamkan
pada Khamis, 2 April 2024. Biro Wanita yang diketuai oleh Cikgu Jah @Hajjah Jah Bt. Drani
telah berjaya menghimpunkan seramai 15 orang Jemaah dan mengadakan tadarus al quran setiap pagi
selepas solat subuh secara istiqomah sejak tahun 2018.
Sekalung tahniah kepada Maksu Timah dan Kak Sabariah yang banyak mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga program ini capai
kejayaan. Program yang bermanfaat ini bukan
sahaja dapat beramal bersama-sama malah merapatkan ukhuwah antara satu sama
lain. Mereka yang
bertadarus al-Qur’an baik di masjid ataupun di surau hakikatnya mereka
sedang menyambung tali persaudaraan sesama muslim yang lain.
Berikut
beberapa foto yang dirakam seusai majlis khatam pada 02 April 2024 di
Masjid Mukim Padang Enggang:
Pihak masjid
mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah wanita yang telah berjaya khatam,
beriktikaf dan mengimarahkan masjid. Semoga Allah
SWT melipatgandakan pahala kepada para hamba-Nya yang melazimi kehidupan mereka
dengan al-Quran khususnya di bulan Ramadhan.
Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak
ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Banyak peluang dan
kemudahan belajar al-Quran telah disediakan. Pilihlah mengikut keselesaan kita.
Ramadhan ini sekurang-kurangnya mengingatkan kita kembali mendekatkan diri
dengan al-Quran yang menjadi asas kesempurnaan diri seorang Muslim.
والله أعلمُ
Pautan: KHATAM AL-QURAN SETIAP BULAN - 1 HARI 1 JUZUK.