disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 23 November 2011

Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani (1880 - 1952)


Salah seorang guru pondok dan ulama' pengarang tersohor di Semenanjung Tanah Melayu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Mekah.

Nama penuh tokoh ulama' kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu / Bachok pada penghujung 1297H / 1880 M ini ialah Hj. Osman b. Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Hj. Seman Sering.

Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Hj Jamaluddin Perupok dan HJ. Abdul Malek Sungai Pinang. Di Mekah pula, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor yang ternama itu.

Namanya mula timbul selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi' al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.

Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak manghasilkan karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyaraka. Kitab Al- Durrat al- Nafi'ah (Alamat Kiamat) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda-tanda dunia hampir kiamat.

Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal dunia di tanah suci Mekah waktu fajar hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.