Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau
Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin
Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal.
Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat
Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan
dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama
ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil
beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum
ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru
dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih,
Besut, Terengganu.
Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga
peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung
Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau
Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas
Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru
menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat
menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan
murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek
Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke
Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah,
Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik
al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad
Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan
India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam
bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar,
Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab.
Kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah
sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun.
Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke
tanahair Februari 1962.
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah
wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama
Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat
di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin.
Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di
sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan
berkhidmat di Maahad Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga
1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa).
Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi
kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS
Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat
yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS
Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa
Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi
siri-siri kuliah dan ceramah.
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar
Maahad Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu Halaqat
pengajian yang sekarang disebut usrah.
Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Maahad
Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat
latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah
berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak
dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas
dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat
di hati penyokongnya.
Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya
tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari
setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan
pondok bergerak sejak 1962. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan
malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan
tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan
setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja
yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Beliau mendapat penghargaan:
- Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
- Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
- Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin
Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota
Bharu iaitu tahun 1962.
Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya
mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul
Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik
Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu
binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi
kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh
dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang
perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas
keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung
pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya
umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan
Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli
Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan
pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya
di Dewan Rakyat.
Kredit: Kongsi Ilmu
Link berkaitan: Remembering “Tok Guru”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.